Jika anda perhatikan di dalam sesuatu majlis perkahwinan mahu pun pertunangan pastinya anda akan sering melihat pengantin perempuan dibekalkan dengan bunga tangan atau di panggil hand bouquet.
Selain dari elemen-elemen pada pakaian anda, perhatian harus juga diberikan kepada bunga tangan ini kerana ianya memainkan peranan yang amat besar pada penataan diri anda.
Fungsi utama bunga tangan ini adalah ianya mampu meningkatkan keceriaan kepada pengantin. Selain itu dengan adanya bunga tangan ini, ia dapat meningkatkan mood pada majlis itu.
Warna Bunga
Warna bunga tangan hendaklah bersesuaian dengan warna tema perkahwinan dan juga pakaian mempelai itu sendiri. Carilah warna yang seiringan dengan keseluruhan pakaian pengantin tapi jangan serupa pula! Jika sama warna dengan pakaian maka tidak akan nampaklah elemen bunga ini.
Elakkan juga warna bunga tangan yang terlalu kontras dengan pakaian. Jika ingin lebih menarik anda boleh cuba gabungkan dua atau tiga warna yang hampir sama. Tapi janganlah terlalu banyak warna hingga menjadi cacamarba pula.
Elakkan warna yang terlalu terang. Juga elakkan warna floresen. Ia akan membuatkan pengantin nampak agak garang. Warna lembut tentunya lebih sesuai. Ia akan menampakkan anda lebih lemah-lembut dan pastinya lebih ayu.
Bentuk Dan Saiz
Bentuk bunga tangan pula biasanya agak ringkas. Jambangan ini dibentuk dengan menggabungkan beberapa kuntum bunga dengan tangkai yang sederhana panjang. Tangkainya biasa akan diikat dengan reben yang dilepaskan sederhana panjang.
Warna reben juga memainkan peranan penting dalam membentuk jambangan yang menarik. Jambangan yang dibentuk ini janganlah terlalu besar hingga menenggelamkan pengantin pula. Pastikan juga ikatannya kemas kerana anda pastinya tidak mahu bunga tangan ini terlerai ketika majlis berjalan.
Jenis Bunga
Bagaimana pula halnya dengan jenis bunga? Adakah anda inginkan bunga asli atau bunga tiruan?
Jika dibuat perbandingan sudah tentulah bunga asli jauh lebih menarik. Tapi harus diingat dari segi bajet sudah tentulah ianya lebih mahal dari bunga tiruan. Penjagaannya juga harus diambil kira agar bunga tersebut tidak layu.
Biasanya bunga asli ini akan dibiarkan terendam di dalam air sebelum digunakan. Apabila hendak digunakan sila pastikan ianya dilap dengan kering air pada tangkai ditoskan agar tidak membasahkan pakaian pengantin. Bunga asli yang biasa digunakan adalah seperti ros (mawar), tulip, lily, daisi dan juga orkid.
Bunga tiruan pula lebih murah harganya dan ia diperbuat dari plastik atau pun kain. Tapi harus juga diingat bahawa murah tu tak semestinya tak cantik. Kalau kena gayanya ianya tetap akan tampak menarik. Ada juga penggubah yang mahir mengadunkan bunga asli dengan elemen-elemen lain seperti kristal, manik dan reben.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Sebab Anda Perlu Memilih Isteri Yang ‘Terbaik’ Menurut Islam
Tidak kira bagi lelaki dan perempuan, anda perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Ini kerana,perkahwinan bukanlah kontrak semata untuk menghalalkan hubungan dua jiwa. Tetapi, perkahwinan ini memerlukan tanggungjawab bersama untuk menjadi lebih baik.
Isteri merupakan pasangan hidup dan teman perkongsian segala suka dan duka. Di antara ciri-ciriutama yang dianjurkan dalam pemilihan jodoh ialah :
1. Yang beragama dan berakhlak mulia
Ia dimaksudkan dengan agama di sini ialah bukanlah agama Islam semata-mata tetapi memahami prinsip-prinsip dalam agama Islam serta mempunyai akhlak dan perlakuan yang mulia.
2.Bersifat pengasih dan penyayang
sebaik-baik wanita ialah mereka yang pengasih dan penyayang, mampu memberikan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Wanita yang kasar, pendendam dan pemarah tidak akan dapat menjadi seorang isteri yang baik. Begitu juga dengan suami, mereka perlu bersifat pengasih dan penyayang serta pandai mendidik isteri dan anak-anak bersesuaian dengan keadaan.
3. Boleh melahirkan zuriat
Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung dan memperkembangkan zuriat. Kehidupan tanpa anak-anak akan sunyi dan tidak bahagia.
4. Masih perawan
Ia dimaksudkan di sini ialah wanita yang bersih dan belum biasa mengenali permainan cinta lebih baik daripada janda yang telah biasa dengan permainan asmara kecuali pada keadaan tertentu.
5. Keturunan yang baik
Di sini bermaksud keturunan bangsawan ataupun hartawan tetapi keturunan yang yang baik dari segi keagamaan, kecerdasan, kesihatan dan akhlak yang mulia.
6. Tiada jurang perbezaan yang besar
Seeloknya tidak ada jurang umur, status sosial, pendidikan yang terlalu besar antara calon suami dan isteri. Perbezaan yang jauh daripada aspek yang dinyatakan tadi akan menyukarkan lahirnya keserasian dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga.
7. Bukan keluarga yang terdekat
Perkahwinan dengan keluarga yang terdekat seperti sepupu sebenarnya kurang digalakkan kerana ia tidak dapat memberi jaringan yang lebih besar dan luas. Sebaiknya, calon suami dan isteri datangnya daripada keluarga yang jauh seperti perumpamaan benih pokok jika dicantumkan dengan baka yang berlainan akan melahirkan baka yang baik.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Harga Kursus Kahwin Mengikut Negeri
Kursus perkahwinan merupakan satu kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Negeri kepada pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Selain dari Jabatan Agama Negeri, ada juga syarikat-syarikat swasta yang bertauliah menganjurkan kursus ini.
Kursus perkahwinan ini adalah wajib kepada mereka yang belum pernah berkahwin. Ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang alam perkahwinan yang bakal mereka tempuhi nanti. Kursus ini juga bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang sering berlaku dalam rumahtangga.
Kenapa Kita Diwajibkan Mengambil Kursus Kahwin
Dalam kursus ini, mereka akan didedahkan tentang apakah tanggungjawab mereka masing-masing sebagai suami atau isteri, proses pendaftaran perkahwinan, cara pengurusan rumahtangga, cara menghadapi masalah dalam rumahtangga, kisah-kisah benar berkaitan alam perkahwinan untuk dijadikan tauladan dan bermacam-macam lagi pengetahuan yang penting berkaitan dengan alam perkahwinan.
Kursus perkahwinan ini amat penting sebagai persediaan kepada setiap pasangan. Islam mewajibkan kita untuk menuntut ilmu. Oleh kerana itu kursus perkahwinan ini amat penting dalam Islam.
Perkahwinan itu bukanlah suatu perkara mudah akan tetapi ianya adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang baru yang penuh dengan tanggungjawab.
Kursus perkahwinan ini boleh dihadiri pada bila-bila masa sebelum berkahwin mengikut kelapangan waktu dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh tempat kursus yang dipilih. Kursus ini boleh dihadiri bersama pasangan ataupun secara individu. Bagi menyertai kursus ini, setiap individu perlu mengisi borang pendaftaran secara atas talian ataupun secara langsung mengikut negeri masing-masing.
Kursus ini selalunya diadakan selama dua hari berturut-turut tanpa bermalam sama ada pada hari-hari biasa ataupun pada hujung minggu. Bermula pada waktu pagi dan berakhir pada sebelah petang.Manakala pada hari kedua hanya separuh hari. Setelah selesai, setiap peserta akan diberikan sijil menandakan mereka telah menyertai kursus tersebut. Sijil inilah yang akan digunakan untuk memohon surat kebenaran berkahwin nanti.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai ataupun kehilangan sijil, mereka tidak akan dibenarkan berkahwin dan dikehendaki untuk memohon semula sijil berkenaan. Sijil kursus ini tiada tarikh luput. Ianya sah digunakan untuk seumur hidup. Bagi mereka yang mempunyai sijil pengajian Islam seperti Sijil Menengah Ugama (SMU) atau mana-mana sijil pengajian agama yang diiktiraf, mereka boleh memohon untuk pengecualian dari menghadiri kursus perkahwinan.
Jabatan Agama di setiap negeri ada menganjurkan kursus ini. Oleh kerana itu, seseorang itu boleh menghadirinya di mana-mana tempat yang mereka mahu mengikut kemudahan masing-masing.
Negeri | Kursus Kahwin (RM) | Link Jabatan Agama Islam |
1. Kuala Lumpur | RM120 | jawi.gov.my |
2. Selangor | RM80 | ncr.jais.gov.my |
3. Johor | RM120 | jainj.johor.gov.my |
4. Melaka | RM80 | jaim.gov.my |
5. Negeri Sembilan | RM100 | jheains.ns.gov.my |
6. Pulau Pinang | RM80 | jaipp.penang.gov.my |
7. Kedah | RM80 | jaik.gov.my |
8. Perlis | RM80 | perlis.gov.my |
9. Terengganu | RM50 | terengganu.gov.my |
10. Pahang | RM80 | jaip.pahang.gov.my |
11. Kelantan | RM70 | jaheaik.gov.my |
12. Sabah | RM100 | jheains.sabah.gov.my |
13. Sarawak | RM100 | jais.sarawak.gov.my |
14. Labuan | RM100 | jawi.gov.my |
15. Perak | RM80 | jaipk.perak.gov.my |
16. Putrajaya | RM80 | jawi.gov.my |
Yuran kursus perkahwinan yang dikenakan adalah berbeza mengikut Jabatan Agama Negeri masing-masing. Yuran yang dikenakan adalah merangkumi:
Makan dan minum
Buku gerbang perkahwinan
Fail dan alat tulis
Sijil
Tenaga pengajar
Silibus/Modul Kursus Pra Perkahwinan
Bagi setiap kursus perkahwinan yang dianjurkan, penggunaan tujuh Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam adalah wajib. Modul tersebut ialah:
Akidah dan Ibadah
Akhlak dan hubungan dalam keluarga.
Pengurusan kesihatan keluarga.
Perkahwinan dan prosedur perkahwinan.
Pengurusan tekanan dan konflik.
Komunikasi antara suami isteri dan pengurusan kewangan dan masa
Perkhidmatan runding cara dan pembubaran perkahwinan.
Setiap modul ini akan dibahagikan kepada beberapa sesi dan setiap sesi mestilah dihadiri oleh setiap peserta. Jika peserta ada tertinggal mana-mana modul yang ditetapkan, mereka hendaklah mengulangi modul itu semula sebelum mereka layak untuk diberikan sijil perkahwinan.
Peraturan Kursus Kahwin
Kursus perkahwinan mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri dan para peserta mestilah mematuhinya untuk memastikan mereka layak untuk mendapat sijil perkahwinan. Berikut merupakan peraturan-peraturannya:
Mengisi borang pendaftaran dan membawa salinan kad pengenalan.
Menandatangani kehadiran bagi setiap sesi.
Wajib mengikuti semua sesi selama dua hari dan mematuhi jadual waktu yang ditetapkan.
Berpakaian formal. Setiap negeri mempunyai tatacara ataupun peraturan berpakaian yang ditetapkan.
Peserta lelaki yang berambut panjang hendaklah diikat dengan kemas atau mereka tidak akan dibenarkan menghadiri kursus.
Dilarang merokok sepanjang kursus berlangsung.
Peserta dilarang melakukan perkara sumbang seperti berpasang-pasangan.
Dilarang membawa makanan ataupun membuang sampah merata-rata.
Jika peserta mempunyai sebarang masalah sepanjang kursus, mereka hendaklah melaporkannya kepada pihak urusetia.
Tidak dibenarkan menimbulkan sebarang gangguan seperti bunyi deringan telefon, menjawab telefon dan sebagainya.
Tempat duduk bagi peserta lelaki dan perempuan adalah berasingan sama ada kedudukan kiri dan kanan ataupun depan dan belakang.
Sebelum memulakan kursus, penganjur akan memberikan taklimat terlebih dahulu berkenaan dengan peraturan kursus, peraturan peserta, jadual kursus, sijil dan kemudahan yang disediakan seperti dewan kuliah, kerusi, meja, tempat solat, tempat makan dan pelbagai lagi kemudahan lain untuk kegunaan para peserta.
Etika Pakaian
Contoh peraturan berpakaian untuk menghadiri kursus perkahwinan di Kuala Lumpur bagi peserta lelaki adalah berbaju kemeja dan berseluar slack Sekiranya mereka ingin memakai t-shirt, t-shirt tersebut mestilah berkolar. Peserta lelaki dilarang sama sekali memakai gelang, subang, rantai dan topi. Ada juga negeri yang mewajibkan pemakaian songkok dan dilarang sama sekali memakai selipar.
Bagi peserta perempuan pula, pakaian yang sesuai adalah berbaju kurung ataupun berjubah. Sekiranya mereka ingin memakai seluar, baju yang dipakai mestilah labuh. Mereka dilarang sama sekali memakai pakaian berlengan pendek, nipis, ketat, berseluar jeans dan berkain belah.
Sebelum memilih mana-mana kursus perkahwinan yang ingin dihadiri, bakal pengantin hendaklah menyelidiki dahulu tentang latar belakang dan keberkesanan sesebuah pusat kursus. Hal ini bagi memastikan mereka dapat menghadiri tempat kursus perkahwinan yang bertauliah dan daripada saluran yang betul.
Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan maklumat dengan bertanya kepada rakan-rakan yang pernah menghadirinya agar mereka dapat menghadiri kursus perkahwinan yang lengkap dan diiktiraf. Sebagai pengetahuan, terdapat dua jenis penganjuran kursus kahwin. Pertama adalah kursus perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama negeri itu sendiri seperti di Kelantan dan Terengganu.
Kedua adalah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh Jabatan Agama negeri. Anjuran daripada syarikat-syarikat ini adalah untuk membantu Jabatan Agama negeri seperti di Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Namun syarikat-syarikat ini mestilah mendapatkan permit ataupun kelulusan daripada pihak Jabatan Agama terlebih dahulu mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Permit ini mestilah diperbaharui dari tahun ke tahun mengikut prestasi masing-masing setelah pemantauan dibuat oleh Jabatan Agama. Penganjuran kursus tanpa permit adalah salah. Di Kuala Lumpur terdapat sekitar 30 syarikat yang menganjurkan kursus ini.
Sekiranya anda mempunyai sebaran keraguan sama ada syarikat yang menganjurkan kursus ini sah ataupun tidak, anda boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Jabatan Agama Negeri bahagian perkahwinan.
Peserta juga hendaklah menyimpan segala dokumen seperti resit pembayaran yuran, maklumat ataupun nombor hotline penganjur. Sekiranya mereka tidak mengambil berat tentang perkara ini, masalah akan timbul sekiranya sijil kursus hilang ataupun rosak.
Bagi yang menghadiri kursus anjuran Jabatan Agama Negeri, mereka boleh menghubungi Jabatan Agama Negeri untuk mendapatkan sijil kursus yang baru. Maklumat lengkap seperti nombor kad pengenalan, tarikh dan lokasi di mana mereka menghadiri kursus hendaklah diberikan.
Manakala bagi mereka yang menyertai kursus anjuran syarikat-syarikat ataupun anjuran kolej, universiti, persatuan atau pertubuhan, mereka hendaklah menghubungi penganjur masing-masing untuk mendapatkan surat pengesahan kehadiran kursus. Setelah itu, barulah mereka boleh mendapatkan sijil kahwin yang baru di Jabatan Agama Negeri.
Kesimpulannya, kursus perkahwinan ini adalah sangat penting kepada mereka-mereka yang bakal mendirikan rumahtangga. Oleh kerana itu ianya diwajibkan kepada mereka yang belum berkahwin. Dengan menghadiri kursus ini, kita akan mendapat banyak pengetahuan tentang alam perkahwinan untuk kita gunakan sebagai rujukan menghadapi alam rumahtangga.
Perkahwinan ini bukanlah tentang cinta semata-mata dan bukannya untuk kepuasan semata-mata. Akan tetapi ianya adalah tentang perjanjian antara dua insan untuk hidup bersama, perkongsian dua buah keluarga dan tentang penerimaan antara kedua-dua belah pihak.
Justeru itu, restu kedua ibu bapa amatlah penting bagi setiap pasangan yang ingin berkahwin kerana restu mereka akan mempengaruhi perjalanan sesebuah perkahwinan yang bakal dibina. Jangan takut untuk berkahwin walaupun kita belum mempunyai kehidupan yang stabil kerana Allah telah menyatakan bahawa perkahwinan ini merupakan pembuka kepada pintu rezeki.
Allah akan memberikan rezeki kepada kita dengan caranya yang tersendiri. Yang penting, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengubah hidup kita dan yakin dengan Allah kerana DIA merupakan sebaik-baik perancang.
Kepada mereka-mereka yang bakal berkahwin, semoga segala urusan yang dilakukan akan dipermudahkan oleh Allah dan semoga perkahwinan yang bakal dibina akan mendapat keredhaan Allah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Perlu Risikokan Diri Ambil Ubat ‘Pengetat’ Atau Jamu Timbang Kilo. Jaga Diri Sebelum Kahwin!
Ini adalah perkongsian dari Najwa Zaidi di Facebook miliknya akibat taasubnya terhadap kecantikan. Bakal pengantin jangan nak cepat cantik dan ambil jalan mudah, beli produk perlu ada ilmu ya.
———————————————————————————–
Bersyukur la bila ada orang remind, orang upkan tentang bahaya produk kilo, jamu ketat sana sini, ubat ketat melekat poenn and suppliment over claim ni. Tak kisah la cara dia remind tu kasar ke or dia sendiri tak berapa nak betul tapi ambil part yang betul tu, terima and hadam. Jangan ambil part yang negative. Senang cerita selagi tak kena selagi tu orang tak akan percaya dan terus jual atau pakai. Saya salah seorang yang degil dulu. Saya jual produk timbang kilo dan saya suka makan suppliment putih kulit, kurus dan macam2 lagi tapi bukan dalam satu masa. Saya guna segala bagai jamu mak nenek , gel itu ini masuk lubang sana sini konon nak ketat kemut la.
Akibatnya??kulit dari normal jadi super sensitive sebab pakai produk timbang kilo, kulit jadi nipis, pedih yang ada kelulusan katanya. Makan tahun nak elok balik tapi still effect nya sampai sekarang terasa. 😑
Bacaan darah dan hati terlampau tinggi,ni yang nak nangis!!alhamdulillah lepas operate je bacaan hati dan ok, syukur. Disebabkan effect long term suka makan suppliment, yea semua suppliment tu ada kelulusan katanya yea, siap boleh keluar tv sana sini, taja sana sini. Wawa ni dah keluar masuk hospital sebab masalah hati ni since diploma tahun 2009 lagi sebab masa tu dah consume macam-macam suppliment tapi yealah kesedaran tak ada lagi dan terus kan makan lagi dan lagi dan lagi. Start awal tahun ni 2018 makin teruk sampai tahap tak boleh bangun, tak blh bernafas, sakit terlampau sakit rasa nak hilang nyawa, jadi pergi la check, and doc kata dah teruk. Tapi hempedu kena buang, tak berfungsi, tak boleh diselamatkan dah hempedu tu plus ada batu, jadi buang terus. Now dah sihat.
Gel, jamu kemut2, ketat itu ini, effect nya?kena jangkitan kuman dekat poeennn, tobat tak pakai dah.
Saya pernah bodoh dan dah dapat pun effectnya , lepas dapat effect macam biasa la baru reti nak cerdik sikit. Jadi maybe anda nak tunggu hilang organ2 or muka jadi mak lampir baru nak sedar la kot kan. Tak pe saya faham sebab saya juga pernah “bodoh” macam ni dulu.
Boleh nak sokong produk orang kita tapi sokong la yang betul-betul ada kelulusan dan berkualiti, contoh nya Simply siti, Annona,dermags dan byk lagi produk2 yang berkualiti. Anda sedar atau tak dengan membeli produk yang tidak berkualiti anda bukan bantu menyokong “orang kita” tapi anda membantu membinasakan diri sendiri serta orang lain. Dalam masa yang sama anda sokong “founder puaka” ni terus menyebarkan keburukan pada orang lain. Anda rasa perkara itu bagus?fikir kan .
Semoga perkongsian saya membuka mata anda supaya tidak terus diperbodohkan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan dengan menggunakan perkataan “nak bantu” masalah anda. No mereka hanya nak kenyang perut mereka sendiri dan tidak sedikit pun mereka peduli kalau anda sakit, founder sampah ni juga tak akan bantu anda bayar bil hospital effect dari produk sampah mereka. Saya tak mention produk sebab saya tak mahu burukan sesiapa, cukup sekadar memberi kesedaran kepada anda . Saya share bukan sebab nak memperbodohkan sesiapa tapi nak elakan anda dari diperbodohkan oleh “Mereka”.
Btw, bil hospital utk buang hempedu tu total RM 17 ribu, yes insurans yang bayar, bukan founder sampah yang bayar. Tak payah la sibuk kejar reward RM21K tu sampai lupa nak simpan duit utk berubat kemudian hari nanti. Boleh je nak pergi hos gov tp kena tunggu giliran la and tahan la sakit tu.
Ambil yang positive!!
psstt: Tu gambar hempedu wawa yang dah dibuang, bawah tu gambar asid dalam perut sbb mula-mula ingat gastrik tp bukan, seksa tau kena masuk camera dalam perut!!
Pada yang tak setuju and nak kecam saya tu tak apa sebab saya faham, pandangan kita pernah sama bahawa lain kulit lain penerimaan, lain badan lain penerimaan tapi ianya jadi berbeza selepas saya dapat effectnya 😊
Edit post: Sambungan part 2.
Since ramai tanya tanda-tanda sakit tu macam mana. Kenapa boleh jadi semua. Terkejut ramai yang share, niat nak bagi kesedaran supaya tak ada lagi yang ulang kesilapan saya tapi kena kutuk balik. Sebab tu malas bagitau produk apa yang wawa consume sebab nanti lagi ramai mak cik bawang cakap macam-macam.
Untuk pengetahuan semua saya suka consume suppliment jamu, collagen and macam-macam lagi since 2009, masa tu saya baru 18 tahun!!budak lagi dan tak tahu apa-apa. Ada orang kata dah bagitau byk kali pun otak letak dekat mana, macam2 kutuk saya. Saya just nak bagitau masa 2009 tu tak ada pun squad pengguna bijak cerdik, masa tu tak ramai yang share keburukkan thru media sosial ni. Bila dah start ada orang yang share tentang keburukkan produk ni dalam tahun2 lepas slowly saya stop, tp masih ambil collagen and jamu2 ni, produk kilo memang stop terus. Masa tu hati saya mmg dah start ada masalah, tak silap masa 2010-2011 mmg dah start keluar masuk hospital tapi tak tau punca apa jadi teruskan consume. Then dalam 2 tahun lepas masa dah ada anak, ramai dah doc dan aktivis yang share semua keburukkan ni. Saya stop terus suppliment putih2 ni semua. Allah nak tunjuk, lepas stop semua tu saya start sakit teruk, teruk sgt sampai setiap kali serangan sakit tu sampai saya terduduk rasa putus nyawa. Paling teruk saya disahkan preggy anak nombor 2 dan serangan tu bertambah teruk. Saya ingat alahan preggy, blh dikatakan setiap bulan saya kena serangan mcm gastrik, tulang belakang macam kena rentap, muntah-muntah, tercirit merata-rata, ada sampai satu tahap sampai berguling sebab terlampau sakit!! mati-mati ingat alahan preggy tapi lepas anak wawa lahir sakit tu datang lagi. Wawa pergi check merata, doc kata gastrik. Satu hari tu dah tak tahan sangat sebab terlampau seksa, sakit makin teruk. Wawa tercirit dan muntah merata-rata, tak boleh tahan, boleh dikatakan 1 bulan 2 3 kali kena serangan ni.
Last pergi klinik ni dia kata ni bukan sakit biasa, dia tulis surat untuk refer pakar. Bila jumpa pakar wawa warded, ambil darah, scan, buat scope untuk check gastrik,buat MRI semua end up yes bacaan darah tak cantik, hati pun sama, hempedu ada batu. Doc tanya awak ada ambil suppliment and dengan malunya saya akui mmg silap sendiri. Doc kata kena buang hempedu. Saya dengan sedihnya redha. Alhamdulillah sekarang dah tak sakit lagi, dah sihat. Allah beri peluang kedua. Now saya tak ambil lagi suppliment2 ni, dah stop lama pun. Saya tegaskan saya dah stop semua tu dan saya bertambah sakit since saya stop consume produk2 tersebut.
Sekali lagi saya tak pernah kata pun semua produk “orang kita” sampah. Baca elok2, fahamkan. Bukan tak nak share produk apa yang sampah tu tapi saya tak ada masa nak layan kerenah founder sampah yang suka sgt nak saman orang atas kesalahan sendiri yang jual produk sampah. Maaf yang minta share produk tu or pm private, bkn saya tak nak share tp lbh baik saya elak dari saya kena fitnah. Bukan tak kuat nak hadap pencinta produk sampah kecam tp saya takut saya terbalas dgn kasar, ending sama2 berdosa. Biar la saya share sekadar memberi peringatan. Utk mengetahui senarai produk yang bahaya boleh tengok di laman web NPRA,Kementerian Kesihatan Malaysia. Paling selamat tanya la doc sebelum consume mana2 produk. kalau tiada keperluan tak perlu la consume produk2 tersebut, itu lebih baik. Amalkan gaya hidup sihat itu kalau anda nak sihat. Saya tak suka cari gaduh dengan siapa2 dan jaga la bahasa anda kalau nak komen di wall saya. Petua pelik2 minum air 10 gelen ke nak consume mana2 produk saya rasa tak perlu kot. Nak share info saya amat mengalu-alukan tapi please info tu biar la dengan fakta yang betul supaya tak membahayakan kesihatan dan nyawa orang lain. Wall saya bukan tempat untuk anda membawang.
Terima kasih, sesungguhnya yang buruk itu datang dari saya. Kalau ada yang salah maafkan saya.
SUMBER : Perkongsian di Facebook Najwa Zaidi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI