• 1.3K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1.3K
    Shares

Lepas kata lafaz ‘aku terima nikahnya’, itulah saat jatuh semua tanggungjawab, keputusan kepada suami. Selama mana tak bercanggah dengan hukum, kena ikut. Andai ada yang bercanggah, kena nasihat bukan bergaduh.

Yang menikah bukan antara manusia dengan malaikat, bukan malaikat dengan jin. Manusia sesama manusia, kita PASTI bergaduh. Salah itu pasti wujud. Ada masa kita salah, ada masa dia salah, Maka jawabnya toleransi. Realiti perkahwinan tak seindah drama tv, bersedialah susah senang bersama.

Kadang-kadang kita mungkin tak perasan ada antara perkara ini kita sering lakukan kepada pasangan kita. Dan mungkin perkara yang kita lakukan ini sering menghalang rezeki kita dan keluarga. Periksa setiap perkara ini dan muhasabah diri kita sendiri.

1] TIDAK TERIMA PASANGAN SEADANYA

Masa awal perkahwinan ramai yang terpaksa mengikat perut memulakan hidup baru. Tak semua dapat kahwin dengan anak orang kaya yang sanggup sediakan segala-galanya. Lepas kahwin tinggal ‘cuci kaki’ sahaja. Masa ini. Belajarlah untuk susah senang bersama. Ada kala Tuhan menguji dengan kesempitan wang, maka jawabnya sabar dan banyakkan berbincang.

Usahlah bergaduh sesama pasangan, lagi-lagi berkenaan wang ringgit. Suami sebagai ketua keluarga haruslah memainkan peranan penting. Buang sifat ego dalam diri anda. Hidup berumah tangga ialah sebuah perkongsian. Belajarlah untuk menerima dan reda dengan kekurangan diri pasangan masing-masing, sama ada sikap, akhlak dan sebagainya. Bila pasangan tidak reda antara satu sama lain, di situlah rezeki akan tersekat.

2] ANGGAP ANAK SATU BEBAN

Memang perkahwinan membukakan pintu rezeki. Tapi bukan datang dalam bentuk wang ringgit sahaja. Pasangan yang baik pun rezeki, dikurniakan anak juga rezeki. Hati yang tenang juga rezeki. Dan kalau duit kita berkat, duit yang ada pun akan sentiasa rasa cukup.

Usahakan rezeki untuk anak-anak tanpa merungut, menyesal, ataupun rasa terbeban. Berikanlah kasih sayang kepada anak-anak, kerana setiap anak ialah rezeki Allah SWT. Mereka menjadi ujian untuk kita. Mereka juga amanah yang boleh menjadi kebaikan atau bala kepada kita di akhirat kelak. Justeru, hargailah kewujudan mereka kerana merekalah aset selepas kematian kita nanti.

3] TIDAK PERNAH BERSYUKUR

Kurangkan mempersoalkan ujian yang Allah berikan kepada kita dan banyakkan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Kahwin itu ibadah. Jalan untuk dapat pahala. Mungkin di awal perkahwinan , anda terpaksa masak atau makan di rumah setiap hari. Ataupun beli bungkus, dan kemudian share berdua. Itu normal. Bukan senang nak mulakan hidup baru dari kosong.

Hidup kita tak sama dengan drama kisah cinta dalam tv yang biasanya cuma ada satu halangan dan kemudian terus dihabiskan dengan happy ending sampai bila-bila. Hidup ini banyak ujian yang bukan kita harungi. Belajar bersyukur dengan setiap yang mendatang. Tidak kira banyak atau sedikit, kerana syukur itu ialah kunci kepada rezeki yang melimpah ruah.

4] KEDEKUT DENGAN PASANGAN & ANAK-ANAK

Dulu ketika bercinta sanggup berjanji hidup susah senang bersama, kan? Bila ada rezeki lebih jangan simpan sendiri. Kongsikan sesama keluarga. Bila dihimpit masalah kewangan, jangan mudah putus asa. Anda kena kuat dan tabah. Usaha sehabis baik untuk cari jalan penyelesaian. Ada sebab Allah SWT hantar dugaan kepada anda berdua. Supaya anda tak perlu hadapi cabaran itu seorang diri. Lama-lama nanti, bila rezeki bertambah, masa susah ini lah akan jadi kenangan.

Sebab detik-detik inilah yang akan mengeratkan hubungan dan menambah perasaan sayang dalam hati anda berdua. Jangan terlalu berkira dengan keluarga. Perlu diingat keluargalah yang lebih utama, hendaklah bertolak ansur dan faham sesama pasangan, kerana rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama pasangan dan anak-anak serta ahli keluarga. Ingatlah, zuriat anda juga pembawa rezeki anda.

5] CEPAT MARAH DAN SELALU NAIK ANGIN

Ada kalanya kita gagal untuk mengawal emosi dan perasaan kerana masalah yang timbul. Perasaan seperti serba salah , takut dan rasa tidak sedap hati yang berterusan akan menyebabkan anda merasa duka. Oleh itu, belajar untuk kawal perasaan anda. Ingat! Bukan semua orang boleh terima dan faham akan emosi kita. Memang wajar kita sebagai manusia beremosi kerana kita mempunyai perasaan dengan melepaskan marah atau meninggikan suara bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Gunakan kata-kata yang baik sesama pasangan. Jika anda mempunyai anak, jangan tunjukkan sifat buruk dengan memaki hamun ini di depan mereka. Ingat, anak-anak bakal mengikut segala tingkah laku ibu bapanya kerana mereka cermin kita di masa hadapan.

6] SUAMI ISTERI KURANG SABAR

Kunci segala kebahagiaan di dalam rumah tangga adalah sabar. Bahagia itu ada apabila kita sentiasa bersabar dalam banyak hal. Bersabarlah dalam menangani karenah masing-masing. Ada kalanya sesuatu itu kita tidak suka, begitu juga dengan pasangan. Mungkin ada sesuatu yang dia kurang gemar tentang perangai kita namun, tetap perlu bersabar, kerana kesabaran itulah punca rezeki. Ingat, pasangan yang perfect itu tak bermaksud pasangan yang ideal.

7] SENTIASA LUPA BERDOA

Ramai daripada kita sering ambil mudah dengan perkara ini. Lupakah kita, siapa yang paling berkuasa dan mampu perkenan kan doa-doa kita? Mintalah apa sahaja dengan-NYA. Lambat atau cepat, DIA sentiasa dengar doa-doa kita. Sentiasalah ingatkan pasangan juga untuk dekatkan diri kepada Allah, dan mendoakan yang baik-baik kedua-dua pasangan serta keluarga. Ibu bapa yang paling utama. Tanpa mereka, dan restu mereka membahagiakan kita suami isteri. Sentiasa ingat mereka dalam doa, khususnya setiap kali selepas solat.

Anda Mungkin 'Love' Ini:

Jangan Lupa Komen:

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: