11 Jalan Pembuka Rezeki Untuk Suami Isteri. Amalkan Sebagai Azimat Kejayaan

11 Jalan Pembuka Rezeki Untuk Suami Isteri. Amalkan Sebagai Azimat Kejayaan

Sebuah rumah tangga akan menjadi lebih sempurna apabila dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus. Apatah lagi jika suami isteri istiqamah melaksanakan perintah Allah SWT maka mencurah-curahlah rezeki yang datang mengalir.

Untuk memastikan rezeki dalam hubungan suami isteri mengalir dengan mudah dan melimpah ruah, pastikan suami isteri jangan miss lakukan 11 amalan pembuka rezeki ini. Tengok hasilnya nanti, cukup luar biasa!

1. Ikhlaskan niat berkahwin kerana Allah SWT

Berkahwin merupakan salah satu pintu pembuka rezeki kerana ia mampu menyatukan hati dua insan dalam satu tujuan iaitu mencapai keredaan Allah SWT. Jika ingin rumah tangga anda terus mengalirkan rezeki yang luas, ikhlaskan niat anda dan pasangan berumah tangga kerana Allah SWT.

2. Sentiasalah menggembirakan pasangan

Penghambat utama rezeki dalam rumah tangga bergantung kepada suami dan isteri itu sendiri. Sentiasalah bermesra dan menggembirakan pasangan agar hubungan yang terjalin akan bertambah bahagia serta saling hormat-menghormati lantas mengundang rezeki yang banyak dalam rumah tangga.

3. Banyakkan bersedekah

Amalan bersedekah tanpa mengharapkan balasan sememangnya digalakkan dalam Islam kerana amalan terpuji ini mampu menambahkan rezeki. Apabila kita meringankan bebanan orang lain yang dalam kesusahan, maka Allah akan menggandakan rezeki dan memberikan kesenangan dalam kehidupan harian kita.

4. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Berbuat baiklah dengan orang tua dan jangan sesekali menderhaka kepadanya selain bersikap kedekut dengan mereka.

Sabda Rasulullah SAW:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya, maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila hamba itu meninggalkan doa untuk kedua orang tuanya, nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

5. Ramaikan cahaya mata

Kehadiran cahaya mata merupakan nikmat bagi setiap pasangan yang telah berkahwin. Ini kerana anak boleh diibaratkan sebagai tali pengikat yang dapat menguatkan lagi hubungan suami isteri.

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.” (QS. Al An’am, 6: 151)

6. Jangan kedekut belanja isteri

Dalam rumah tangga tidak boleh ada sifat kedekut sesama pasangan. Jika mahu menggandakan rezeki, suami janganlah kedekut membelanjakan isteri. Nescaya apa yang dibelanjakan itu akan digantikan Allah dengan rezeki yang berlipat kali ganda.

7. Gunakan bahasa lembut dan panggilan manja

Percayalah dengan menggunakan bahasa yang lembut dan mesra apabila berkomunikasi dengan pasagan juga mampu membuatkan rezeki terus mengalir. Tentu sahaja pasangan akan rasa lebih tenang dan bahagia jika dipanggil dengan panggilan manja ataupun menggunakan bahasa lembut sekali gus membuatkan ikatan suami isteri bertambah erat.

8. Tenangkan hati isteri ketika resah

Seorang suami yang baik mampu memahami sisi emosi seorang isteri apabila isteri dilanda masalah. Isteri yang tenang jiwanya akan memancarkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap suami.

9. Cium dan peluk isteri sebelum keluar rumah

Apabila keluar rumah, cium dan peluklah isteri sebagai tanda suami menghargainya sebagai insan teristimewa. Amalan ini akan memberikan aura positif bukan sahaja dalam diri seorang isteri untuk aktiviti hariannya tetapi juga memberi semangat untuk suami mencari nafkah yang lebih banyak buat keluarganya.

10. Salam dan cium tangan suami sebelum keluar rumah

Begitu juga buat isteri, tingkatkan rezeki dalam rumah tangga anda dengan bersalam dan mencium tangan suami sebelum suami keluar rumah. Amalan ini menunjukkan yang anda menghargai suami yang bertungkus lumus mencari sumber rezeki untuk anda dan anak-anak.

11. Bergurau senda sebelum tidur

Hubungan suami isteri akan bertambah erat dan penuh warna-warni apabila adanya gurau senda dalam rumah tangga. Sebelum melelapkan mata, curilah mada untuk bergurau senda dengan pasangan mudah-mudahan rezeki anda berdua akan sentiasa dimurahkan.

5 Ciri Isteri Yang Lemah Lembut Sebenarnya Kuat. Ciri No. 4 Tu Paling Berharga

5 Ciri Isteri Yang Lemah Lembut Sebenarnya Kuat. Ciri No. 4 Tu Paling Berharga

Wanita sememangnya dilahirkan dengan sifat lemah lembut yang mampu menawan hati seorang lelaki dan juga menjadi penenang jiwa kepada pasangan dan anak-anak. Namun dalam kelembutan yangmereka tonjolkan jangan pula disalahertikan sebagai satu kelemahan.

Daripada tugas melahirkan zuriat sehinggalah menjadi payung jiwa kepada keluarga, semuanya dilakukan tanpa ragu-ragu atas dasar cinta dan kasih sayang. Jom kita lihat lima ciri-ciri isteri yang lemah lembut namun sebenarnya seorang yang kua

1. TIDAK KENAL PENAT

Sebagai seorang isteri yang bekerja, tugas mereka tidak pernah padam. Jika dipejabat mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kerenah rakan sekerja dan juga bos. Apabila pulang ke rumah pula mereka perlu melayan kerenah suami dan anak-anak pula. Walaupun penat mereka tetap cuba sedaya upaya untuk membahagiakan orang tersayang menerusi masakan yang dimasak khas dan juga persiapan esok hari untuk orang tersayang.

2. MENDAHULUKAN SUAMI

Sedar atau tidak wahai suami, sebaik sahaja seorang wanita mejadi isteri anda mereka sudah tertakluk dibawah jagaan diri anda. Ini bermakna ke mana sahaja mereka mahu pergi harus mendapatkan izin anda sebagai suami. Kadang kala apabila hendak membuat apa-apa keputusan perlu diberitahu kepada suami dahulu, baik hendak keluar bersama teman-teman atau pun hendak ke rumah ibu dan bapa. Jadi kekuatan dan tahap hormat yang tinggi terhadap suami ini merupakan satu kekuatan jiwa khusus untuk wanita.

3. MENAHAN RASA TIDAK BERDANDAN BERLEBIHAN

Dalam kepesatan dunia kecantikan dan fesyen masa kini, pasti wanita-wanita moden mahu berdandan bak personaliti fesyen terkenal. Namun tahukah anda berdandan berlebihan untuk dilihat oleh lelaki bukan suami itu tidak elok. Bukan tak boleh berdandan, cuma berdandan dalam keadaan sederhana.

Tidak perlu bersolek dan berpakaian yang berlebihan dan seterusnya menarik perhatian lelaki-lelaki bukan muhrim. Berdandan dengan sederhana lebih menampakkan seorang wanita itu lemah lembut dan tidak terlalu cuba menarik perhatian. Lagipun bukankah elok kita bersederhana dalam semua hal.

4. KUAT MEMBAWA ‘NYAWA’ LEBIH 9 BULAN

Hai lelaki, bersunat pun takut inikan pula hendak mengandung lebih 9 bulan dan kemudiannya melahirkan. Untuk suami yang membaca artikel ini, apabila bertemu isteri kucuplah dahinya dan ucapkan terima kasih kerana berjuang demi sebuah nyawa. Lemah lembut seorang wanita, mereka tidak akan pernah mengalah ataupun merungut biarpun mengandung. Malahan ada yang bekerja sehingga ke saat-saat terakhir kandungan. Salute buat wanita!

5. PENENANG JIWA

Sudah resam dalam sesebuah hubungan. Isteri bertindak sebagai seorang yang menenangkan jiwa suami. Si suami biarpun kelihatan gagah di luar namun segala masalah yang berkecamuk pasti dikongsi bersama isteri untuk meringankan beban. Ini adalah tugas isteri secara psikologi dalam lumrah rumah tangga bagi memastikan suami sentiasa sihat jiwanya. Amboi isteri macam pakar psikologi pula!

Bila Putus Cinta Janganlah Terus Bersedih! Ada Hikmah Yang Allah Sediakan Untuk Anda!

Bila Putus Cinta Janganlah Terus Bersedih! Ada Hikmah Yang Allah Sediakan Untuk Anda!

Setiap pasangan bercinta pasti pernah merasai pahit manis hubungan cinta dan kadangkala ia terputus di tengah jalan. Walaupun ia cuba dielak, namun ia tetap berantakan dan tidak menemukan jalan penyelesaian.

Cinta merupakan satu anugerah daripada Allah SWT yang tidak ternilai. Perasaan cinta merupakan fitrah seorang manusia sama ada lelaki mahupun perempuan. Walaupun kita cuba mempertahankan cinta yang sekian lama dibina, namun siapakah kita untuk menidakkan ketentuan-Nya.

Mungkin ia nampak senang, tapi hanya orang yang melaluinya saja yang dapat merasakan keperitan tersebut. Namun, di sebalik keperitan putus cinta itu, masih terdapat hikmah yang boleh diperolehi dan membuatkan anda lebih bersemangat. Oleh itu, jom kita lihat hikmah yang boleh diperoleh saat anda putus cinta!

MILIKI LEBIH MASA BERHARGA

Sedar atau tidak ketika anda mabuk dengan dunia cinta, anda sebenarnya banyak menghabiskan masa untuk si dia. Dating, mesej, whatsapp dan segalanya adalah untuk si dia. Jadi selepas si dia sudah tiada dalam hidup anda, anda boleh gunakan masa-masa tersebut untuk kerja dan perbuatan yang lebih berfaedah.

LEBIH DEKAT DENGAN ALLAH

Mungkin ada perkara yang membuat anda jauh daripada Allah apabila bersama si dia. Jadi Allah sayang kepada anda dan tunjukkan bahawa si dia mungkin bukan jodoh yang terbaik buat anda. Kembalilah kepada Allah. Banyakkan berdoa dan memohon petunjuk supaya anda bertemu dengan calon yang benar-benar baik agama dan akhlaknya.

ADA MASA UNTUK BAHAGIAKAN IBU BAPA

Kadang kala apabila tengah mabuk bercinta, anda asyik dengan si dia hingga mengabaikan ibu bapa anda. Anda asyik berkepit dengan si dia termasuk dalam telefon atau bermesej. Masa untuk ibu dan bapa anda abaikan. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk anda bahagiakan mereka kerana ibu bapa mungkin sudah tua dan mereka ingin bersama dengan anak-anak sebelum mereka tiada di dunia ini.

TERSELAMAT DARIPADA PASANGAN YANG TIDAK BAIK

Setiap yang berlaku sudah tertulis dan ditentukan oleh Allah. Benar, anda berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sentiasa berfikiran positif dengan perkara yang telah ditakdirkan untuk anda. Mungkin di sana ada seseorang yang lebih baik yang disediakan oleh Allah untuk anda. Siapa tahu kan ? Jodoh itu ketentuan Allah dan berdoalah pada-Nya agar berjumpa dengan pasangan yang jauh abih baik dari sebelumnya.

TIDAK LAGI MEMBAZIRKAN WANG

Apabila anda bercinta, banyak wang yang dihabiskan untuk pasangan anda samada lelaki atau perempuan. Membeli-belah bersama, lunch dan dinner bersama dan macam-macam lagi yang anda snggup beli untuk pasangan anda. Jadi setelah putus cinta, anda tidak perlulagi bazirkan wang kepada si dia. Simpan wang anda untuk perbelanjaan masa hadapan dan boleh bagi ibu bapa lagi!

Putus cinta bukanlah bermaksud segala-galanya sudah berakhir. Anda sukakan sesuatu, padahal ia bukanlah baik untuk anda dan anda mungkin benci sesuatu padahal ia baik untuk anda. Banyak perkara yang diluar pengetahuan anda sebagai manusia. Jadi, yakin kepada Allah. Allah mungkin merancangkan sesuatu yang lebih baik untuk anda.

Gaun Pengantin Refleksi Personaliti Ratu Sehari. Ini Tip Pereka Alia Bastamam Dalam Memilih Busana Yang Tepat

Gaun Pengantin Refleksi Personaliti Ratu Sehari. Ini Tip Pereka Alia Bastamam Dalam Memilih Busana Yang Tepat

Setiap orang memiliki cita rasa fesyen yang berbeza-beza. Ada yang suka dengan busana perkahwinan yang sarat perincian dan ada pula yang suka dengan rekaan minimal dengan sedikit jahitan labuci, manik dan renda. Pereka fesyen ini merupakan seorang yang berani dengan ideologi minimal, biarpun ringkas sentuhannya yang menawan menambat hati peminat fesyen tempatan.

APAKAH SIMBOLIK SEBUAH GAUN PERKAHWINAN BAGI ANDA SEBAGAI SEORANG PEREKA FESYEN?

Sebagai seorang pereka fesyen, setiap gaun yang direka adalah sesuatu perkara yang peribadi. Pengantin yang memakai rekaan kita haruslah nampak anggun dan berseri di hari bersejarahnya dan rekaan tersebut menjadi refleksi kepada personalitinya. Oleh itu saya mengambil masa untuk memahami dan mengenali bakal pengantin apabila mereka busana untuk mereka.

Alia Bastamam

SEBAGAI SEORANG PEREKA FESYEN YANG MEREKA SEGALA JENIS KOLEKSI SEPERTI BUSANA READY TO WEAR, LEBARAN DAN JUGA MADE TO MASURE. APAKAH PERBEZAAN KETARA YANG DIRASAI KALA MENERIMA TEMPAHAN BAJU BUSANA PERKAHWINAN?

Seperti jawapan saya sebelum ini, rekaan busana perkahwinan sangat peribadi. Berbanding dengan koleksi ready to wear yang mana saya mengambil inspirasi dari cerita sekeliling dan juga trend terkini, busana perkahwinan lebih kepada pengantin itu sendiri. Saya perlu kenal dan faham setiap pengantin kerana mereka memiliki kehendak yang berbeza.

APAKAH WARNA YANG PALING SESUAI DIGUNAKAN DALAM MENCIPTA BUSANA PERKAHWINAN?

Bagi saya warna putih adalah warna pilihan utama dalam mencipta sesebuah gaun perkahwinan. Lagipun warna putih bukalah warna yang kerap digunakan seharian seperti warna-warna lain dan ini menjadikannya lebih istimewa. Seseorang wanita selalunya akan memakai warna putih penuh ketika perkahwinan sebab inilah rona putih sangat istimewa.

APAKAH PERKARA YANG PERLU SEORANG PENGANTIN TAHU SEBELUM MENEMPAH BUSANA PERKAHWINAN?

Selain kos dan masa untuk menyiapkan busana, bakal pengantin perlu memahami estetik rekaan pereka fesyen yang dipilih. Seperti saya, jika anda mahukan gaun perkahwinan yang sarat dan berat dengan perincian jangan datang kepada saya kerana itu bukanlah estetik rekaan saya. Selain itu mereka perlu meneliti lokasi dan juga tema perkahwinan dalam memilih gaun yang sesuai.

BOLEH BERIKAN EMPAT TIP KEPADA BAKAL RATU SEHARI?

Pertama, guna warna putih dan padankan busana dengan aksesori yang minimal. Kedua, rekaan klasik adalah yang terbaik kerana 10 tahun dari sekarang bila anda melihat ke dalam gambar, gaun tersebut masih lagi relevan. Ketiga, jangan membuat gaun perkahwinan pada akhir-akhir masa, anda tidak akan mendapat gaun yang diiamkan. Keempat, jangan biarkan gaun tersebut ‘menelan’ anda, biarkan diri anda yang menyerlah berbanding gaun.

ANTARA MAHKOTA, LAYAH DAN BUNGA SEGAR. APAKAH HIASAN YANG PALING SESUAI DIJADIKAN HIASAN KEPALA?

Perkara ini terletak kepada pemilihan bakal pengantin itu sendiri, namun bagi saya layah adalah yang terbaik kerana ia memiliki aura yang romantik dan agung. Bunga segar boleh memberikan sentuhan menarik, namun jangan terlalu banyak.

APAKAH SILUET GAUN PERKAHWINAN YANG MENJADI KEGEMARAN ANDA?

Bagi saya siluet klasik adalah pilihan terbaik. Ia sangat bersahaja, elegan dan sentiasa relevan.

DARI KACA MATA SEORANG PEREKA FESYEN. APAKAH TREND YANG DIJANGKA POPULAR UNTUK TAHUN 2018?

Selepas melihat busana perkahwinan yang dipakai oleh YAM Tunku Tun Aminah, siluet klasik, sofistikated dan understated akan menjadi kegemaran pengantin untuk tahun 2018.

 

 

 

 

Wahai Lelaki Bergelar Suami, Ini 5 Sikap NEGATIF Yang Patut Dielakkan

Wahai Lelaki Bergelar Suami, Ini 5 Sikap NEGATIF Yang Patut Dielakkan

Dalam perhubungan suami isteri harus ada sikap saling bertoleransi dan juga memahami antara satu sama lain yang tinggi. Untuk kaum lelaki apabila akad nikah telah dilafazkan, itu bukan bermakna anda ‘memiliki’ isteri, sebaliknya ia lebih kepada anda berjanji untuk bertanggungjawab terhadapnya dalam sudah mahupun senang.

Ikatan perkahwinan bukan satu tiket untuk lelaki menindas wanita ataupun mengikat hidung mereka bagaikan lembu. Isteri juga punya hak bersuara dan isteri juga berhak tegur suami jika sang suami tersasar dari jalan yang benar.

1. MALAS MEMBANTU

Tidak mencuba sedaya upaya untuk memakmurkan rumahtangga! Lebih mengharapkan isteri dalam segala hal baik dari menjaga anak, menyiapkan makanan, mengemas rumah dan membasuh baju. Walaupun suami adalah ketua keluarga ini tidak bermakna suami boleh melepaskan tangan dalam hal ini. Harus diingatkan bahawa keharmonian rumah tangga terletak kepada bahu suami dan isteri.

2. BERSIKAP DUA ALAM

Kat rumah lain, kat luar lain. Di rumah suami bagaikan singa dan garang terhadap si isteri dan anak-anak namun apabila di luar rumah berhadapan orang lain mereka menjadi sebaik-baik manusia. Sikap begini harus dikikis kerana ia boleh mempengaruhi kesihatan mental isteri dan anak-anak. Bayangkanlah jika membesar dengan bapa sebegini, perasaan benci dan juga marah pasti menjadi nanah yang akan memberi kesan negatif terhadap sikap mereka.

3. TERLALU IKUT KATA KELUARGA

Ini sikap negatif yang menjadikan seorang lelaki tidak layak mengetuai rumah tangga. Seorang lelaki memang patut mendahulukan keluarga yang mereka telah membesar daripada kecil, namun setelah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri sebagai suami, lelaki harus memberi perlindungan kepada keluarganya sendiri.

Jangan biarkan ibu bapa atau adik beradik mempengaruhi anda untuk tidak bersikap adil terhadap keluarga sendiri. Apa sahaja perkara yang dilakukan harus dikongsi dan bawa berbincang bersama isteri. Jangan jadi lelaki yang seperti lalang.

4. SELEKEH DAN BERBAU

Dah berkahwin, penampilan janganlah diabaikan. Sebelum kahwin semuanya bersih dan elok, bila kahwin semua langsung terabai. Aspek kebersihan haruslah dititikberatkan jangan pula mulut dan badan berbau pun anda biarkan sampai isteri pun tak sanggup tidur dekat dan trauma untuk ‘disentuh’. Kahwin bukan alasan untuk tidak menjaga kesihatan, kekalkan penampilan agar sentiasa menarik. kalau anda seorang yang kuat merokok, rajinkanlah memakai minyak wangi dan sentiasa mencuci mulut dengan produk penjagaan oral yang baik. Tapi lebih bagus kalau TERUS BERHENTI MEROKOK.

5. LEMAH DAN MUDAH BERPUTUS ASA

Sikap ini amat menjengkelkan! Seorang lelaki seharusnya bangkit untuk keluarga dan tidak terlalu lemah dalam menghadapi kehidupan. Jika terdapat masalah yang berlaku, seorang suami harus menyelesaikannya dengan baik dan profesional. Lelaki9 yang lemah dan mudah berputus asa juga tidak sesuai menjadi ‘role’ model kapada anak-anak, bahkan mereka juga menjadi lambang seorang isteri yang tidak tahu menjadi tulang belakang suami. Jadi wahai lelaki yang bergelar suami, wake up dan bangun menghadapi cabaran!

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: