Setiap pasangan berkahwin mempunyai impian membina rumah tangga yang serba lengkap iaitu ada rumah, kereta dan peralatan moden yang memudahkan kehidupan mereka. Tetapi, tidak semua orang dapat mencapai impian hidup mewah dan senang selepas berkahwin.

Ini kerana sebelum berkahwin mereka sudah membelanjakan wang yang agak banyak untuk beberapa majlis. Umpamanya bermula dari majlis pertunangan sehingga perkahwinan. Hutang yang terbeban oleh pasangan yang baru berkahwin memang banyak. Justeru bagi yang bijak mereka akan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan dan mengamalkan hidup sederhana bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga dan mengelak konflik suami isteri kerana masalah kewangan.

Berikut adalah tip untuk mengamalkan hidup sederhana bagi pasangan yang baru berkahwin.

Bina Kehidupan Sederhana Dari Awal Perkahwinan Barulah Rumah Tangga Kekal Bahagia

1. Jika belum mampu membeli rumah sendiri, sewa rumah yang mampu dibayar. Biar tidak besar asal selesa dan dapat dijadikan tempat tinggal buat sementara selagi belum mampu memiliki rumah sendiri. Tinggal sendiri boleh mengajar pasangan tentang ilmu berumah tangga kerana apabila sudah tinggal berasingan dari keluarga mereka perlu lebih bijak merancang kehidupan.

IKLAN

2. Membeli keperluan asas dalam rumah tangga, seperti set dapur, pinggan mangkuk, sudu garpu senduk, seterika dan sebagainya serta set bilik tidur dan keperluan harian yang bersesuaian dengan harga yang mampu dibayar. Buat sementara waktu beli yang tidak terlalu mahal harganya.

3. Kenderaan amat penting sebagai pengangkutan ke tempat kerja atau balik kampung. Jika ada duit simpanan boleh membeli motor untuk memudahkan perjalanan suami isteri ke tempat kerja atau membeli kereta yang kecil dan murah untuk kegunaan suami isteri. Jika tidak mampu naik kenderaan awam sahaja ia lebih menjimatkan kos hidup.

IKLAN

4. Masak di rumah dan tidak membazir dengan membeli makanan yang mahal dan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan. Memasak di rumah bukan sahaja menjimatkan malah mengeratkan hubungan suami isteri. Kata orang tua, air tangan isteri akan membuatkan suami akan sentiasa mengingati isterinya.

5. Jangan membeli barang yang tidak perlu seperti hiasan rumah yang hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Elakkan membeli peralatan rumah yang tidak kerap digunakan. Berbelanja hanya bila perlu sahaja.

IKLAN

6. Sentiasa mengamalkan konsep bersyukur dan tidak tamak serta iri hati melihat apa yang orang lain ada. Misalnya melihat orang lain membeli baju, tudung, kasut dan barangan berjenama, kita juga mahu yang sama. Memadai dengan barangan biasa yang boleh dipakai dan tahan lama.

7. Jangan selalu bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Ikut kemampuan diri dan sentiasa berhemah dalam apa juga yang dibelanjakan. Jika ada wang lebih menabung sedikit demi sedikit.

8. Dari awal perkahwinan jika sudah mengamalkan gaya hidup sederhana ia akan menjamin kebahagiaan hidup di masa depan. Walaupun mungkin ada yang mampu hidup mewah selepas berkahwin, buang rasa sombong dan ego serta sentiasa mendidik anak-anak dalam suasana kehidupan yang sederhana bagi mendidik jiwa mereka menjadi mulia.

Kesimpulannya, memulakan kehidupan berumah tangga dengan cara hidup sederhana amat dituntut dalam agama. Mereka juga dapat menghayati konsep bersyukur dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI