Fesyen
  • 1.1K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1.1K
    Shares

Hadir dalam pelbagai jenis fabrik, kebaya yang sememangnya dikenali sejak turun temurun telah mengalami satu evolusi yang mana selari dengan arus kemodenan dan kepesatan industri fesyen tanah air, ramai pereka fesyen yang mengangkat kebaya ke satu tahap yang lebih tinggi agar mampu untuk bersaing dengan busana-busana yang berinspirasikan barat.

Sebagai contoh, di Malaysia pereka Rizalman Ibrahim acapkali menazahirkan kebaya melalui karya beliau. Melihat ilham dari negara Indonesia pula, pereka fesyen Anne Avantie yang berkarya dan bernafas dalam roh kebaya mengadaptasi rekaan busana tradisi ini sehinggga mata terpana dan terpegun melihat keindahan kebaya.

Kebaya Rekaan Rizalman Ibrahim

APA ITU KEBAYA PENGANTIN?

Seperti yang sudah dinyatakan, para pereka fesyen banyak memainkan peranan penting dalam membentuk identiti kebaya pengantin. Merekalah yang menciptakan kebaya pengantin agar kelihatan lebih moden, mewah dan elegan. Rekaan dan juga gaya bentuk yang inovatif, penuh dengan inspirasi pembaharuan seperti rekaan meleret menampakkan ciri-ciri gaun moden kontemporari barat.

Reka letak dan perincian moden dipandang sebagai satu perkara penting dalam penghasilan kebaya pengantin. Rekaan seperti potongan puff pada bahu kebaya, garis leher kebaya ala Victoria, garis leher yang tidak simetri dan juga rekaan lengan ala gaya Obi-Jepun adalah contoh suntikan kelainan pada kebaya pengantin.  Labuh kebaya pengantin juga berbeza daripada kebaya-kebaya biasa, kebiasaannya labuh kebaya pengantin melepasi paras lutut dan juga buku lali.

Perincian kebaya pengantin juga berbeza dengan kebaya biasa, perincian pada kebaya pengantin diberi penekanan dalam gaya sulaman dan juga tampalan batu-batuan perhiasan seperti Swarovski. Perincian seperti inilah yang menyuntik nilai-nilai artistik terhadap busana tersebut. Oleh itu masa yang diambil untuk membuat kebaya pengantin boleh memakan masa sehingga dua atau tiga bulan bagi satu-satu rekaan dan untuk mebentuk perincian yang dikehendaki.

PADANAN TERBAIK KEBAYA

Keindahan kebaya itu diiringi dengan padanan kain yang dipakai oleh sang pengantin. Kebiasaannya kebaya yang penuh dengan perincian batua-batuan mahupun sulaman akan dipadankan dengan kain seperti kain batik,songket, sutera, sifon ataupun satin. Kain kebaya kini telah diolah kepada pelbagai jenis rekaan mengikut kesesuain dan juga citarasa si pemakai.Antara rekaan popular yang menjadi padanan terbaik buat kebaya adalah kain potongan ‘A-line’ dan juga potongan duyung.

KEBAYA DAN BENTUK BADAN

Kebaya boleh dipakai sesiapa sahaja namun pemilihan kebaya haruslah berpandukan bentuk tubuh yang dimiliki. Bagi wanita yang memiliki bahu lebar anda disarankan untuk memilih kebaya yang menutup hujung bahu tetapi jatuhan leher yang berbentuk V. Perincian pula harus dikurangkan dibahagian dada dan lebihkan perincian dibahagian pinggul, ini mampu menyeimbangkan bentuk tubuh agar kelihatan sempurna.

Bagi bakal pengantin yang memiliki tubuh berisi pula, anda disarankan untuk memilih kebaya yang memiliki potongan serong di bahagian bawah bagi menampakkan ilusi badan yang lebih tinggi. Anda juga boleh memilih kebaya yang memiliki juraian belakang yang lebih panjang berbanding hadapan untuk tampak sedikit langsing.

PERBEZAAN KEBAYA RESEPSI DAN KEBAYA NIKAH

Pemilihan kebaya yang sesuai haruslah berdasarkan majlis yang bakal dilalui, seperti dalam adat tradisi Melayu, majlis resepsi dan majlis pernikahan diadakan pada hari yang berlainan. Maka sang pengantin akan meilih dua warna yang berbeza berdasarkan majlis. Kebiasaannya pada majlis pernikahan para pengantin disarankan memelih warna-warna lembut yang mampu mencetuskan aura kedamaian dan kesucian. Antara warna-warna popular pada majlis pernikahan adalah putih, krim dan juga warna-warna pastel. Perincian yang diletakkan pada baju juga lebih ringkas tanpa kelihatan keterlaluan.

Berbeza pula dengan majlis resepsi, helaian yang disarungkan sang pengantin lebih menyerlah dari segi warna,perincian dan potongannya. Warna-warna yang digunakan lebih garang dan mengkap mata, kebiasaannya warna-warna popular yang gunakan oleh para pengantin adalah warna emas, perak , merah dan juga warna-warna tembaga. Namun kini, pilihan seperti kain broked yang berkilat juga menjadi pilihan para pengantin. Perincian yang menghiasi kebaya resepsi juga lebih sarat dan menyerlah diiringi dengan rekaan yang sedikit berbeza dan lain daripada kebiasaan kebaya.

4 LANGKAH TAMPIL SEMPURNA BERKEBAYA

  1. Mendapatkan nasihat daripada pereka fesyen mengenai rekaan, warna dan perincian yang diingini.
  2. Pemilihan bahan yang berkualiti tinggi seperti les, songket dan broked amat penting untuk memastikan kebaya kelihatan terletak pada badan.
  3. Perincian batu-batuan ataupun labuci haruslah yang bermutu tinggi agar seri kilauannya memancar dengan cantik.
  4. Apabila memakai kebaya, adalah penting untuk memiliki bentuk tubuh yang menarik, tidah kiralah sama ada anda berisi ataupun tidak. Oleh itu pemakaian pakaian dalam atau korset yang sempurna amat penting kerana ianya mampu membentuk struktur tubuh agar kelihatan lebih menarik.

*Kebaya Gambar Utama Oleh Nurita Harith

 

Jangan Lupa Komen:

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: