Idea dan inovasi beliau telah membuka mata pesaing rapat baru dan juga lama, Biarpun masih muda, hasil seni yang dihasilkan seolah-olah beliau sudah lama menceburi bidang ini. Rico Rinaldi nama yang tidak lagi asing di dalam pementasan fesyen tempatan. Kian membina kepercayaan pelanggan dalam seni rekaan busana yang berseni juga berkualiti.

 

Bermula di institusi kolej terkemuka Lim Kok Wing, kredibiliti beliau terhadap minatnya kini telah terbukti. Pada mulanya menceburi bidang ini sebagai pengurus majlis besar ‘Islamic fashion week’ di Kuala Lumpur dan Jakarta. Namun ia tidak terhenti di situ, bakat beliau terus diyakini setelah memenangi pelbagai anugerah besar seperti Piala Seri Endon 2009, Yayasan Budi Penyayang 2006, dan juga Triumph Inspiration Award.

 

Mengikut pada hasil rekaan beliau, beliau sudah cukup berpengalaman untuk berbicara tentang kriteria dan kualiti yang perlu ada pada setiap pereka busana. Menurutnya, menjadi seorang pereka yang terbaik adalah menjadikan diri sendiri sebagai kunci, setiap pereka harus ada satu gaya rekaan ‘signature’ yang bakal memaku perhatian sesiapa sahaja yang melihat. Sederhana mahupun sarat, rekaan yang dihasilkan perlu mencapai standard kualiti yang bagus. Tambahan beliau, cara mempromosikan diri juga adalah penting bagi membina kepercayaan di mata pelanggan. Mengambil diri beliau sebagai contoh, walaupun lokasi butik yang sedikit jauh, kepercayaan pelanggan pada kualiti rekaan yang dihasilkan membuatkan mereka mencari dan sanggup ke butiknya walaupun sedikit jauh dari Kuala Lumpur.

 

“Dalam menghasilkan busana yang menawan, saya menjadikan  Elie Saab sebagai idola. Bagi saya pereka tersohor ini tahu bagaimana untuk membuat wanita itu cantik dan sempurna. Dari segi potongan busana hingga ke perincian yang mengagumkan. Elemen elegansi dan moden yang diterapkan melahirkan satu gaya yang sensual buat si pemakai.

 

“Manakala dari segi persembahan dan karakteristik pula, saya mengagumi koleksi busana Mc Queen. Nilai dramatis dan cerita di sebalik sesebuah rekaan busananya membuat beliau teruja. Sementara untuk idea rekaan pula, saya mengagumi bakat pereka Prabal Gurung, pereka baru yang datangnya dari kota New York,” ujarnya rancak bercerita.

 

Bercakap tentang karakter rekaan, tatkala diajukan soalan tentang karektor atau gaya yang diterapkan pada setiap rekaan beliau dalam menghasilkan busana perkahwinan. Kata pereka muda ini, setiap karakter busana yang dihasilkan adalah berpandukan pada personaliti seseorang pelanggan itu.

 

“Anda perlu tahu cerita di sebalik seseorang, personaliti, gaya dan fizikal beliau, supaya busana yang dihasilkan tidak menenggelamkan seorang ratu di mahligai kayangan,”.

 

“Daripada penataan solekan, gaya rambut dan rekaan busana, ia seharusnya tidak membebankan si pemakai. Biar cantik di luar dan selesa di bahagian dalam.” Tambahnya memberikan pendapat.

 

Pereka handal ini juga turut berkongsi tip buat penataan gaya persandingan. Benda pertama adalah pemilihan warna. Warna yang dipilih harus sepadan dan sesuai dengan kulit, dekorasi pelamin dan baju seisi keluarga yang menyambut tetamu pada majlis resepsi tersebut. Untuk langkah yang lebih mudah, pilih palet warna pastel, supaya tampak lebih sedondon dan selesa buat pemakaian di udara luar. Di samping itu, pemilihan layah dan sepatu yang tepat rurut memainkan peranan penting.

 

Dalam kesibukan bulan pereka-pereka lain memasarkan koleksi busana perkahwinan mereka, beliau masih dalam pembikinan dalam menghasilkan yang terbaik. Bertanya pula pada koleksi beliau yang akan datang. Pada tahun ini beliau tidak menggunakan warna putih. Palet pastel menjadi kunci utama rekaan. Gaya yang lebih sensual dan romantik di pandang. Penggunaan renda yang lebih dan olahan batu permata yang membentuk kelopak bunga menjadi gaya rekaan buat tahun ini.

 

Bagi beliau yang sudah berpengalaman dalam mengurus dan mengambil tempahan pelanggan, pereka celik ini turun berkongsi di antara kesalahan-kesalahan besar pelanggan semasa membuat tempahan.

 

“Ukur baju di badan sendiri, saya sering mendapat pelanggan yang membawa rujukan busana yang kadang kala tidak masuk akal. Mereka mempunyai cita-cita tinggi untuk mengayakan busana di seperti model di dalam rujukan yang dibawa. Namun dalam masa sama tidak sedar bahawa saiz dan bentuk tubuh mereka tidak sesuai buat rekaan yang sebegitu.

 

“Dan menjadi tugas saya untuk mengubah sedikit panduan rekaan mereka supaya menepati bentuk badan dan ketinggian pelanggan. Apa yang penting mereka berpuas hati dalam setiap rekaan yang dihasilkan,” ujarnya menutup perbualan.