5 Trik Pilih Baju Kahwin Ini Wajib Ikut, Barulah Pengantin Berisi Nampak Langsing!

5 Trik Pilih Baju Kahwin Ini Wajib Ikut, Barulah Pengantin Berisi Nampak Langsing!

Bagi pengantin berisi, tentunya anda rungsing untuk memilih baju kahwin yang ideal dengan bentuk badan anda. Seboleh mungkin, anda akan cuba memilih baju kahwin yang membolehkan anda nampak langsing di hari bahagia. Jangan bimbang kerana ada beberapa trik mudah yang boleh pengantin berisi ikut.

Selain tampak langsing, aura jelita anda juga pasti terserlah saat melangkah masuk ke mahligai cinta. Ini kerana pemilihan baju kahwin yang betul dan tepat amat penting bagi mengelakkan anda tampak lebih besar di hari bahagia.

Oleh itu jom kita lihat lima trik mudah yang pengantin berisi boleh ikut agar anda tampil lebih langsing di majlis perkahwinan.

1. MATERIAL FABRIK YANG TEPAT

Dari segi pemilihan fabrik, pengantin berisi perlu memilih fabrik yang lebih lembut dan polos seperti sifon, sutera, atau satin yang tidak terlalu berkilat. Elakkan memilih fabrik jenis jersey atau fabrik jenis melekat di tubuh kerana ia akan menampakkan lagi susuk tubuh badan anda yang gempal itu. Anda juga disarankan supaya memilih jenis fabrik yang lebih berat kerana ia bakal menghasilkan siluet yang lebih kemas dan terletak.

2. POTONGAN PAKAIAN

Pemilihan baju pengantin dengan cetusan sexy shoulder membiaskan ilusi terbaik pada bahagian atas badan terutamanya bagi yang mempunyai rangka bahu yang besar dan lebar. Pilihan sama ada bukaannya hanya melewati paras bahu (off shoulder) mahupun sehingga ke pangkal dada.

Potongan kolar berbentuk V juga sesuai dan akan memberikan kesan leher yang lebih jinjang. Busana akan tampak lebih indah dengan disusuli rekaan lengan daripada fabrik renda Perancis polos, hanya hujung lengan direka sulam sedikit sarat.

3. AKSESORI YANG SESUAI

Memilih aksesori yang sesuai dan ideal tidak kurang pentingnya untuk menunjang penampilan yang lebih menyerlah. Pemilihan aksesori seperti subang, rantai, tiara, layah dan kasut yang tepat sangat penting bagi memastikan penampilan anda agat tidak kelihatan terlalu sarat dan berat.

Ramai wanita mengalami kesulitan menggunakan kasut yang terlalu tinggi, jadi pilihlah kasut yang tidak terlalu tinggi atau menggunakan kasut tumit tinggi daripada jenis wedges. Kasut yang agak tinggi akan memberi kesan tubuh lebih jinjang bagi pengantin berisi .

4. FABRIK YANG MEMPUNYAI MOTIF

Sekiranya anda memilih fabrik atau busana yang mempunyai corak atau motif, elakkan memilih motif horizontal dan saiz motif yang terlalu besar. Sebaiknya anda memilih busana bermotif garis-garis vertikal dan secara tidak langsung, tubuh gempal terlihat tinggi dan langsing. Biasan garisan-garisan yang dihasilkan mencetuskan ilusi yang lebih langsing dan kurus. Trik ini mungkin kelihatan kecil, namun mempunyai pengaruh yang sangat besar secara visual.

5. MEMAHAMI BENTUK TUBUH ANDA

Trik dan panduan terakhir yang tidak kurang pentingnya dalam memilih baju kahwin untuk pengantin berisi adalah dengan memahami bentuk tubuh badan anda sendiri. Sepertimana yang kita ketahui, wanita bertubuh curvy juga memiliki bentuk tubuh beragam. Oleh kerana itu, pemilihan baju kahwin untuk pengantin berisi haruslah sesuai dan tepat kerana ia turut menentukan kecantikan dan keanggunan penampilan anda di hari bahagia.

Trend Baju Kahwin 2018 Yang Dijangka Hangat Untuk Pengantin Berhijab, Wajib Tengok!

Trend Baju Kahwin 2018 Yang Dijangka Hangat Untuk Pengantin Berhijab, Wajib Tengok!

Menjadi pengantin yang anggun dan menawan adalah impian setiap gadis di majlis perkahwinan yang penuh gilang-gemilang. Trend baju kahwin pengantin berhijab bagi tahun 2018 tentunya berbeza dengan baju kahwin pengantin berhijab tahun-tahun sebelumnya.

Aksen yang ditambah pada baju kahwin khusus buat pengantin berhijab ini menyuntik sedikit kelainan, begitu juga dari segi potongannya.

Mungkin tahun sebelumnya, baju berwarna putih lebih menjadi pilihan atau identiti bagi baju kahwin pengantin berhijab, namun kombinasi warna yang menarik dan sesuai menyuntik satu dimensi yang berbeza bagi pasangan mempelai yang ingin membina istana cinta, selain gaya busana yang masih berlandaskan syariat Islam.

Oleh itu, jom kita lihat trend yang dijangka hangat untuk baju kahwin pengantin berhijab tahun 2018!

PILIHAN WARNA

Baju pengantin berhijab terbaharu ini lebih fokus kepada warna-warna pastel. Perubahan warna ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pengaruh dari negara Korea baik dari artis Korea itu sendiri selain pelbagai sinetron dramanya. Namun, pengaruh tersebut terlihat ke arah yang positif pada busana berhijab sekali gus melahirkan penampilan seorang Muslimah yang lebih menawan.

Dominasi warna pastel seperti rose quartz, creamy white, baby blue dan banyak lagi melambangkan kesucian, juga diserlahkan lagi dengan perincian manik serta labuci berkilauan yang masih menjadi trend baju kahwin pengantin berhijab bagi tahun 2018. Pengantin berhijab yang teguh dengan mempertahankan auratnya memiliki banyak pilihan hijab yang menarik untuk digayakan di hari perkahwinan. Ditambah dengan hiasan aksesori berupa tiara, pastinya pengantin berhijab kelihatan bak tuan puteri di alam kayangan.

POTONGAN YANG LEBIH PRAKTIKAL

Gaya yang lebih santai dan kasual pastinya menjadi pilihan bagi trend baju kahwin pengantin berhijab 2018. Dengan pilihan warna-warna pastel, keserian pengantin terserlah dengan potongan yang lebih praktikal, urban, moden dan minimalis untuk menampilkan sisi elegan wanita Muslimah. Aplikasi potongan busana akan didominasi dengan potongan yang lebih rapi, sederhana dan berstruktur lurus seperti potongan empire line, kurung moden, duyung, sheath cut dan princess line.

PEMILIHAN FABRIK

Pemilihan fabrik yang lebih polos dengan  alunan yang mengasyikkan seperti fabrik sifon, como crepe dan dull satin akan menjadi buruan untuk trend baju kahwin pengantin berhijab 2018. Fabrik ini mampu mengalirkan sirkulasi pengudaraan yang lebih baik dan selesa ke seluruh bahagian tubuh badan. Ia juga melahirkan siluet pakaian yang lebih ringkas dan moden sekali gus menyerlahkan lagi aura anggun pengantin. Ia juga bakal melahirkan penampilan yang lebih sofistikated.

Pastinya, trend rekaan ringkas dengan mainan warna pastel menjadi pilihan pengantin berhijab 2018. Kesempurnaan baju pengantin dengan potongan yang tepat dan selesa pastinya mampu menyerlahkan lagi keanggunan si dara menyusuri mahligai cinta.

7 Kesilapan Besar Yang Perlu Anda Elak Ketika Memilih Baju Pengantin, Pastikan Jangan Buat!

7 Kesilapan Besar Yang Perlu Anda Elak Ketika Memilih Baju Pengantin, Pastikan Jangan Buat!

Waktu memilih baju pengantin pastinya menjadi saat yang paling mengujakan bagi setiap bakal pengantin. Momen ini cukup penting bagi memastikan anda membuat pilihan baju pengantin yang tepat dan sempurna. Namun begitu, terdapat beberapa kesilapan besar yang boleh berlaku saat bakal pengantin memilih baju pengantin.

Kesilapan besar ini boleh membuatkan anda tersalah memilih baju pengantin sekali gus menyebabkan penampilan anda kelihatan tidak sempurna di hari bahagia. Jom kita lihat tujuh kesilapan besar yang sering bakal pengantin lakukan ketika memilih baju pengantin. Elak daripada melakukannya dan jangan buat kesilapan-kesilapan ini.

1. TIDAK BUAT BAJET

 

Anda harus tahu bajet yang anda perlu peruntukkan untuk baju pengantin anda. Sebelum memilih baju pengantin, tetapkan bajet anda terlebih dahulu. Buat kajian mengenai harga baju di butik pilihan. Anda dinasihatkan agar memiih baju pengantin mengikut kemampuan anda. Untuk menjimatkan kos, anda boleh pergi ke ekspo perkahwinan kerana di situ terdapat banyak pakej promosi yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah dan berbaloi.

2. BAWA TERLALU RAMAI ORANG UNTUK MEMILIH BAJU

Anda pasti memerlukan seseorang untuk membantu anda ketika memilih baju pengantin. Ramai bakal pengantin akan membawa ibu, adik atau kawan rapat. Walau sesiapa sahaja yang anda pilih, mereka hendaklah orang yang anda boleh percayai untuk memberikan pendapat yang jujur dan dalam masa yang sama, orang tersebut tidak boleh mempengaruhi anda untuk memilih baju pengantin yang mereka suka sahaja.

Jika anda membawa terlalu ramai orang, anda akan berakhir dengan terlalu banyak pandangan yang berbeza-beza sehingga akhirnya ia boleh mengelirukan pilihan anda. Pastinya anda mahu baju pengantin anda nanti menjadi pakaian yang boleh membuatkan anda kelihatan berseri dan memukau di hari bahagia anda.

3. MENEMPAH TERLALU AWAL ATAU TERLALU LEWAT

Menempah baju pengantin terlalu lewat boleh menyebabkan anda tiada masa untuk membuat pilihan yang banyak. Baju pengantin tidak perlu ditempah terlalu awal tetapi anda masih perlu menyasarkan matlamat untuk memperuntukkan masa yang cukup jika ada sebarang perubahan.

Jika anda berhasrat untuk menempah terlalu awal, anda sekurang-kurangnya sudah mempunyai tema serta menetapkan tarikh dan lokasi perkahwinan yang bakal berlangsung kerana keputusan ini akan mempengaruhi apa sahaja gaya baju pengantin yang bakal anda pilih. Jika anda belum bersedia untuk membuat tempahan, orang lain mungkin boleh menempah baju yang anda sukai dan menyebabkan anda tidak dapat menempah baju pengantin tersebut.

4. TIDAK MEMBUAT PENYELIDIKAN SEBELUM MEMBELI

Adalah baik untuk anda berfikiran terbuka tentang apa jua gaya baju pengantin yang anda mahukan tetapi dalam masa yang sama, anda juga perlu mempunyai beberapa idea tentang baju pengantin yang anda gemari. Mengetahui lokasi perkahwinan dari awal akan membantu dan memudahkan anda memilih baju pengantin, malah anda boleh mengambil masa untuk melihat beberapa gambar yang menarik minat anda.

Selain itu, pastikan anda menetapkan tema perkahwinan sebelum memilih baju pengantin. Ini penting agar baju pengantin yang dipilih tidak lari daripada tema anda. Buat kajian tentang potongan yang sesuai dengan bentuk badan dan warna yang sesuai mengikut tona kulit anda.

5. HANYA MENCUBA SATU GAYA BAJU

Mungkin anda menyukai warna putih dan hanya mencuba semua pilihan baju pengantin dengan warna tersebut. Kesilapan ini boleh mengakibatkan anda ketinggalan untuk memilih baju pengantin dengan warna lain yang mungkin lebih sesuai untuk anda, selain menyekat pilihan baju pengantin anda.

6. MENEMPAH DENGAN SAIZ YANG LEBIH KECIL

Mungkin segelintir bakal pengantin lebih berminat untuk menempah saiz baju pengantin yang lebih kecil atas alasan anda rasa yakin yang anda bakal kehilangan berat badan sebelum hari perkahwinan. Sebenarnya perkara ini boleh memberi kesan buruk sekiranya anda tidak berjaya untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman anda menjelang hari perkahwinan. Ia lebih berbaloi untuk anda mengingati bahawa kebanyakan baju pengantin boleh memberi kesan kepada gaya. Oleh itu, pilihlah baju pengantin yang sesuai dengan bentuk tubuh anda ketika membuat ukuran, jangan terlalu menumpukan perhatian tentang menurunkan berat badan anda.

7. MENEMPAH BAJU PENGANTIN YANG ANDA TIDAK SUKA

Ingat, ini adalah pakaian anda! Ia harus menjadi baju pengantin yang anda suka berbanding baju lain yang anda sarungkan. Jangan memilih baju pengantin kerana ia dibuat oleh ibu anda atau ia merupakan baju warisan keluarga. Tiada siapa pun yang mahu berkahwin lebih daripada sekali. Jadi, pastikan anda membeli baju pengantin yang menjadi impian untuk anda sarungkan sekali dalam seumur hidup anda.

Walaupun Sopan Tetap Nampak Class! Ini 6 Tip Mudah Pengantin Berhijab Perlu Ambil Berat

Walaupun Sopan Tetap Nampak Class! Ini 6 Tip Mudah Pengantin Berhijab Perlu Ambil Berat

Semua pengantin pastinya ingin tampil cantik di hari perkahwinan. Walaupun tampil sopan pastinya setiap pengantin ingin berikan yang terbaik dalam penampilannya agar dia nampak class di mata setiap tetamu.

Pemakaian hijab di majlis perkahwinan dengan gaya yang betul dan sempurna sememangnya tidak boleh dipandang remeh. Selain ingin tampil berseri dan memukau, ia juga penting agar penampilan pengantin berhijab mematuhi syariat.

Oleh itu penting untuk setiap pengantin memberi keutamaan terhadap beberapa faktor agar penampilan anda mampu memukau pandangan. Jom kita lihat enam tip mudah yang boleh pengantin berhijab lakukan untuk mendapatkan gaya tudung yang nampak class!

1. STAIL TUDUNG

Perkara penting yang perlu diingat oleh para muslimah ialah cara pemakaian tudung. Seharusnya tudung yang dipakai perlulah menutup bahagian dada agar tampak sopan dan menutup aurat. Pemilihan tudung juga haruslah tidak terlalu jarang sehinggakan boleh kelihatan bentuk telinga dan leher.

2. PEMILIHAN RONA

Rona pemilihan tudung juga perlu dititikberatkan agar penampilan anda lebih menyerlah. Sekiranya busana anda berona biru lembut, sebaiknya pemilihan tudung berada dalam kumpulan rona yang sama. Jangan memilih tudung yang kontra seperti merah, kuning dan sebagainya.

3. ANAK TUDUNG YANG SESUAI

Anak tudung juga boleh membuatkan penampilan tudung anda lebih kemas dan terletak. Pilih anak tudung yang boleh menutupi keseluruhan kepala anda agar memudahkan sesi pemakaian tiara dan layah.

4. PEMILIHAN FABRIK

Sumber : Tiar Zainal

Sebaiknya pilih fabrik yang tidak berkilat untuk digayakan di hari bahagia anda seperti satin. Ia bersifat panas dan bakal membuatkan anda tidak berasa selesa pada tempoh yang lama. Fabrik terbaik yang boleh dijadikan pilihan ialah sifon, georgette, cita, sari dan renda.

5. PERINCIAN RINGKAS

Elakkan daripada memakai tudung yang sarat dengan perincian manik atau batu permata. Cukup sekadar kosong dan polos. Padankan tudung polos anda dengan layah berjemeki dan tiara ringkas. Pastinya penampilan anda lebih menawan dan relevan.

6. KESESUAIAN TUDUNG DENGAN BENTUK MUKA

Gaya tudung juga harus mengikut kesesuaian bentuk muka anda. Sekiranya anda memiliki bentuk wajah yang petak, anda boleh memilih anak tudung yang mempunyai awning. Ia dapat memberikan ilusi yang lebih panjang buat wajah anda. Pilihan rona tudung juga harus sesuai dengan ton kulit anda.

8 Inspirasi Gaun Pengantin 2018 Yang Dijangka Hangat, Serius Cantik & Wajib Tengok!

8 Inspirasi Gaun Pengantin 2018 Yang Dijangka Hangat, Serius Cantik & Wajib Tengok!

Pemilihan gaun pengantin yang tepat dan terkini bakal menjadikan penampilan pengantin lebih elegan dan eksklusif. Inspirasi gaun pengantin 2018 yang dijangka hangat ini hadir dengan suntikan elemen Inggeris moden yang cukup eksentrik. Serius cantik dan anda wajib tengok!

Bagi bakal pengantin yang masih buntu dan runsing memikirkan baju pengantin yang bakal disarungkan di hari bahagia, jom cedok inspirasi dan idea menawan ini! Pasti anda tampak menyerlah bagaikan seorang puteri.

1. TIMELESS CLASSIC

Gaun pengantin putih berpotongan klasik ini pastinya memberi nada yang cukup anggun di hari perkahwinan. Potongan dan perincian yang minimalis menghasilkan impak yang elegan serta eksklusif, sekali gus menjadikan gaun pengantin ini memukau.

2. RUFFLES

Gaun pengantin dengan suntikan ruffles ini bakal menjadikan penampilan ratu sehari lebih dramatis. Perletakan ruffles yang tepat dan sempurna memberikan kesan yang lebih eksentrik dan demure. Saat pengantin melangkah masuk ke singgahsana cinta pastinya anda tampil bagaikan puteri kayangan.

3. PRINCESS

Potongan ball gown ala princess tentunya menjadi idaman setiap gadis yang bakal bergelar ratu sehari. Potongan kain kembang yang mempunyai volum memberi impak puteri raja. Sentuhan moden pada gaun pengantin ini cukup relevan dan praktikal untuk digayakan di majlis perkahwinan.

4. KASUAL ELEGAN

Pengantin pastinya akan tampil berbeza dengan baju pengantin yang unik ini. Penampilan yang lebih santai dan bersahaja sesuai buat pengantin yang inginkan gaya ringkas, moden dan minimalis.

5. BLAZER DAN SELUAR

Sesekali cukup tampil lebih berani dengan padanan blazer dan seluar di hari persandingan. Elegan dan classy saat anda menggayakannya di hari perkahwinan. Memberi sedikit kelainan, malah berbeza dan sesuatu yang baharu bagi masyarakat Malaysia.

6. AKSEN PEPLUM

Gaun pengantin dengan aksen peplum ini menghasilkan gaya pengantin yang lebih feminin sekali gus tampil moden. Relevan di masa kini, gaun pengantin dengan percikan batu permata ini memberikan kesan yang lebih eksentrik dan anggun. Tentunya si ratu sehari tampil bak bidadari di hari perkahwinan.

7. FAIRYTALE

Sesuai digayakan oleh pengantin yang ingin tampil seperti puteri dalam cerita dongeng dahulu kala di hari persandingan. Sulaman perincian dalam bentuk 3D seperti bunga menjadi ilham tepat bagi merealisasika gaun pengantin ala fairytale ini. Pastinya anda tampil anggun persis Cinderella.

8. AKSEN CAPE

Menampilkan nuansa romantis dengan suntikan cape dalam gaun pengantin ini, ia menampilkan sisi anggun pengantin yang lebih segar dan eksklusif. Potongan yang lebih ringkas ini menjadikan penampilan pengantin lebih menyerlah di majlis perkahwinan.

‘Veil’ Yang Tepat Mampu Serlahkan Seri Pengantin! Ini Ada 8 Idea Yang Boleh Dijadikan Pilihan

‘Veil’ Yang Tepat Mampu Serlahkan Seri Pengantin! Ini Ada 8 Idea Yang Boleh Dijadikan Pilihan

Tidak lengkap penampilan pengantin dengan padanan veil atau layah sebagai aksesori pelengkap busana di hari perkahwinan. Pemilihan veil yang tepat amat penting agar keseluruhan penampilan anda seimbang dan sempurna. Malah jika anda bijak memilih veil yang tepat, pastinya ia mampu menaikkan seri dan aura pengantin.

Jom kita lihat lapan pilihan veil yang boleh pengantin gayakan di hari perkahwinan.

1. BLUSHER VEIL

Blusher veil merupakan veil pendek yang mana kepanjangannya jatuh tepat di bawah bahu tetapi masih berada di atas payudara. Jenis veil ini merupakan yang popular digunakan kerana ia menutupi seluruh wajah sehingga membuatkan pengantin tampil lebih elegan.

2. FLY-AWAY VEIL

Veil ini mempunyai banyak lapisan dan bertingkat-tingkat. Ia dianggap kurang formal dan sesuai dipadankan dengan busana yang lebih ringkas. Namun, busana yang mempunyai perincian sarat pada bahagian punggung adalah padanan yang sesuai dengan veil jenis ini.

3. BIRDCAGE VEIL

Jenis veil ini agak pendek dan kepanjangannya hanya di paras dagu namun membingkaikan wajah dengan begitu sempurna. Selain itu, ada juga veil jenis ini yang mempunyai kepanjangan hanya segaris hidung bahkan mata.

4. ELBOW LENGTH VEIL

Sesuai dengan namanya, veil ini mempunyai kepanjangan sehingga ke siku dan meluas. Ia juga terdiri daripada satu lapisan tunggal atau dua, tiga lapisan yang dipotong sama panjang. Gayanya tampak lebih ringkas.

5. FINGERTIP VEIL

Ini merupakan salah satu jenis veil yang paling popular. Ia melebar hingga ke hujung jari pengantin dan cukup sesuai digayakan dengan semua jenis busana. Kepanjangannya yang cukup selesa membolehkan pengantin menggayakannya di acara pernikahan mahupun persandingan.

6. BALLET LENGTH VEIL

Veil jenis ini berjuntai dengan kepanjangan hingga meleret ke lantai. Ia menutupi hampir keseluruhan tubuh pengantin bagi membentuk kesan seperti jubah. Veil  ini juga sangat tepat dipadukan dengan busana pengantin tanpa ekor.

7. CHAPEL LENGTH VEIL

veil ini dikombinasikan dengan busana pengantin yang memiliki ekor panjang. Ia memanjang menutupi hampir keseluruhan ekor busana sehingga membuatkan pengantin kurang selesa untuk bergerak dengan bebas.

8. SEMI-CATHEDRAL VEIL / CATHEDRAL VEIL

Jenis veil ini mempunyai kepanjangan yang hampir sama dengan Chapel Length. Cuma bezanya, veil ini terdiri daripada dua juntaian panjang yang menutupi sehingga ke bahagian ekor busana pengantin.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: