Tip Mekap Pengantin Berkulit Gelap! Cuba 6 Teknik Ini, Pasti Wajah Anda ‘Gorgeous’!

Tip Mekap Pengantin Berkulit Gelap! Cuba 6 Teknik Ini, Pasti Wajah Anda ‘Gorgeous’!

Siapa kata pengantin berkulit gelap tidak boleh tampil cantik dan menawan di hari perkahwinan? Dengan teknik dan penggunaan alat mekap yang betul, mereka yang berkulit gelap juga pastinya akan menonjol bagaikan puteri kayangan selain memukau tetamu yang hadir.

Jom kita kita lihat teknik mekap yang betul dan sempurna buat anda yang berkulit gelap!

1. BEDAK ASAS (FOUNDATION)

Agar sukar untuk memilih bedak asas yang tepat malah ramai wanita mengalami kesukaran untuk membuat pilihan. Bagi anda yang berkulit gelap, anda disarankan memilih dua jenis bedak asas yang berbeza. Bedak asas tersebut perlu dicampur agar menjadi satu (blend) dan ia akan memberikan hasil warna yang kelihatan lebih natural serta melekat pada kulit anda. Hasilnya, kulit wajah anda akan nampak lebih bersih dan lembut seperti warna kulit asal.

2. PEMILIHAN BEDAK

Terdapat dua jenis pilihan bedak. Jika anda mempunyai kulit jenis kombinasi atau berminyak, anda disarankan memilih bedak tabur. Manakala untuk kulit normal, anda boleh memilih bedak jenis padat. Bagi pemilihan warna bedak pula, sebaiknya gunakan yang agak gelap. Biasanya setelah diaplikasikan, ia akan kelihatan lebih terang pada kulit.

3. PEMBAYANG MATA (EYESHADOW)

Penggunaan pembayang mata atau eyeshadow akan mempercantikkan lagi gaya solekan mata. Pilih eyeshadow yang mampu membuatkan mata anda nampak lebih menonjol. Warna yang sesuai untuk anda yang berkulit gelap ialah ungu, chopper, biru dan hijau. Jika mahu, untuk kelopak mata di bahagian atas, pilihlah warna coklat terang. Manakala di lipatan kelopak mata pula gunakan warna coklat gelap dan baurkan keluar. Ia akan membuatkan mata anda nampak ‘dalam’ dan tajam.

4. PENGGUNAAN BRONZER

Supaya tampak lebih menyerlah, sapukan blusher dengan menggunakan bronzer serta hindari pemilihan warna yang terlalu merah atau merah jambu kerana ia boleh membuatkan wajah anda kelihatan seperti badut. Warna bronzer akan menjadi shading yang cantik selain akan mengangkat tulang pipi anda. Untuk menyerlahkan lagi tekstur kulit anda, sapukannya di sepanjang tulang pipi. Sapukan hingga ia kelihatan merata dan tidak nampak bertompok-tompok di kulit.

5. UKIRAN KENING

Agar kening anda kelihatan lebih kemas dan semula jadi, hindari penggunaan pensel dengan warna hitam kerana ia boleh menciptakan kesan garang. Sebaiknya, gabungkan sahaja warna coklat dengan warna hitam sehingga menggoreskan kening yang natural dan eksotik.

6. RONA GINCU

Sebaiknya hindari warna-warna yang terlalu terang dan pucat. Warna seperti burgundy, merah, coklat dan plum adalah pilihan yang tepat. Ia mampu membuatkan wajah anda kelihatan lebih manis dan tampak dinamik sebaik sahaja disapu pada bibir.

Tip Diet Mudah 100 Hari Sebelum Kahwin Ini Jika Konsisten Amalkan, Anda Pasti Boleh Kurus!

Tip Diet Mudah 100 Hari Sebelum Kahwin Ini Jika Konsisten Amalkan, Anda Pasti Boleh Kurus!

Menjelangnya hari kahwin setiap bakal pengantin tentu sibuk memasang badan agar nampak kurus selain ingin memastikan baju kahwin muat untuk dipakai. Masa inilah anda akan gigih mengamalkan macam-macam jenis diet. Jika diamalkan secara konsisten pasti impian anda untuk kurus akan tercapai.

Apatah lagi sebagai pengantin baharu sudah tentu anda ingin kelihatan cantik dan menjadi tumpuan tetamu. Pastinya anda tidak mahu rasa rendah diri apabila tetamu memerhatikan penampilan anda seperti ‘tidak kena’ ataupun kurang.

Jika anda ingin kurus sebelum kahwin, pastikan anda lakukan diet mudah dan berkesan ini 100 hari sebelum kahwin secara konsisten. Pasti boleh kurus! 

1. Banyakkan minum air kosong untuk membuang toksin badan dan mengurangkan kalori. Minum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk tujuan detoks yang berkesan dan mudah.

2. Lakukan senaman berjalan kaki secara konsisten. Bersenam dengan berjalan kaki merupakan senaman paling mudah yang boleh anda lakukan setiap hari. Berjalan ke kantin pejabat, menaiki tangga atau membeli-belah dapat membakar kalori.

3. Hindari perut kosong sebelum anda keluar rumah ke tempat kerja atau sebagainya. Ini penting bagi memastikan anda tidak berasa terlalu lapar dan asyik memikirkan makanan apabila berada di luar rumah.

4. Berniat untuk hanya ‘merasa’. Tidak salah anda mencuba pelbagai menu yang dihidangkan di majlis atau kenduri teman, namun elakkan daripada makan kesemua juadah dalam keadaan perut yang terlalu kenyang. Cukup anda makan sekadar ingin ‘merasa’.

5. Ambil tahu kalori setiap juadah yang anda ingin makan setiap hari. Perhatikan kandungan dan senarai nutrisi dalam menu harian anda untuk memastikan anda tidak mengambil kalori secara berlebihan.

6. Tetapkan matlamat anda untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan iaitu penurunan dalam lingkungan 0.5 kilogram ke satu kilogram dalam seminggu.

7. Lupakan niat anda untuk mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan, lebih-lebih lagi tanpa mendapatkan nasihat atau kebenaran doktor yang selayaknya.

8. Bagi anda yang mahu menjaga otot, boleh ambil suplemen seperti Glutamin setiap hari selepas sesi senaman.

9. Ambil makanan dan minuman yang rendah kalori serta mempunyai kandungan nutrien yang tinggi. Kurangkan sebanyak 500 kalori sehari untuk tujuan mengurangkan berat badan.

10. Kurangkan juga pengambilan makanan ataupun minuman yang manis dengan kandungan gula yang tinggi. Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar.

11. Elakkan mengambil makanan ringan di antara waktu makan. Sebaliknya, anda boleh gantikan dengan sekeping biskut krim kraker dengan secawan kopi atau teh kurang manis (rendah lemak). Ataupun anda makan sahaja buah-buahan sebagai ganti kudapan.

12. Banyakkan minum air mineral bagi tujuan detoks. Jangan minum minuman berkarbonat ataupun beralkohol kerana minuman seperti ini boleh meninggalkan kean buruk bagi kesihatan anda.

13. Tetapkan waktu makan anda setiap hari. Jangan biarkan jadual pemakanan harian asyik berubah dan tidak menentu untuk mengelakkan anda terkena penyakit gastrik atau mudah letih.

14. Makan supplemen atau makanan tambahan untuk membersihkan usus. Usus perlu dicuci secara konsisten untuk memastikan proses penghadaman berjalan dengan efektif dan hasilnya badan lebih sihat serta kurang masalah kegemukan.

15. Lakukan senaman secara berterusan. Badan perlu digerakkan untuk membakar kalori dan lemak yang terkumpul serta membantu badan mengagihkan keperluan nutrisi lebih efisien ke bahagian tertentu mengikut keperluan. Senaman tarian ternyata memberi kesan yang sangat baik untuk mempercepatkan penurunan berat badan.

16. Aktiviti berjalan, skipping dan regangan selama 30 minit sehari (setiap pagi) yang dilakukan secara berterusan lebih digalakkan berbanding anda membuat senaman agresif yang tidak konsisten.

17. Tidur awal untuk memastikan anda tidur berkualiti iaitu lapan jam sehari. Badan berupaya membaiki sendiri setiap kali seseorang tidur malam hari dan proses baik pulih badan selalu lebih efisien jika waktu tidur adalah sama.

18. Sesetengah vitamin dan mineral penting untuk melawan penyakit. Jika anda tidak berselera untuk makan sayur, kekacang dan buah-buahan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap hari waktu makan, cara paling mudah adalah mengambil makanan kesihatan. Pilihan terkini adalah makanan kesihatan organik yang berasaskan herba.

19. Fikir dahulu sebelum sertai mana-mana program menguruskan badan. Program menguruskan badan bukannya tidak elok, namun ada alternatif yang jauh lebih murah dan kekal lama untuk anda mendapatkan berat badan ideal, kurus dan sihat.

20. Anda digalakkan juga makan lebih sayur-sayuran. Agak susah diamalkan sebab bagi sesetengah orang, sayur bukanlah satu kegemaran. Namun cara paling mudah tentunya makan lebih sayur-sayuran. Dengan amalan pemakanan yang sihat ia turut membantu anda mengurangkan risiko dijangkiti masalah kesihatan.

21. Kata mahu sihat, jadi kenapa perlu makan makanan yang memudaratkan? Kurangkan pengambilan daging merah, kopi, gula dan garam dalam menu harian anda.

22. Tidur tidak menentu lama-kelamaan boleh mendatangkan mudarat, jadi penting untuk anda tidur awal sebagai langkah paling mudah untuk mengelakkan penyakit.

23. Jangan tinggalkan sarapan pagi. Seseorang yang meninggalkan makan pagi majoritinya akan berasa teramat lapar pada sebelah petang dan malam.

24. Jangan makan hidangan yang tidak lengkap. Badan boleh menyerap nutrien secara lebih baik jika ketiga-tiga elemen penting iaitu karbohidrat, lemak tidak tepu dan protein diambil bersama.

25. Jangan biarkan perut anda berlapar. Makan ketika terlalu lapar selalunya akan menjadi penyebab anda makan secara berlebihan. Seharusnya anda makan ketika baru terasa lapar, kunyah secara perlahan dan ini akan membolehkan anda mengawal pemakanan dengan lebih baik.

26. Elakkan tekanan. Berada dalam tekanan boleh menjadi punca risiko anda sakit. Oleh itu cuba kawal stres yang anda alami misalnya ketika berada dalam kesesakan trafik, bebanan kerja dan masalah dalam hubungan seharian.

27. Lakukan pemeriksaan doktor secara berjadual setiap enam bulan sekali. Rasa sihat tidak bermakna anda betul-betul sihat secara dalaman. Selalulah melakukan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, kandungan kolesterol dan lain-lain secara berjadual.

28. Lakukan senaman ringan seperti squat dan berjalan di atas treadmill untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan rasa bosan yang mungkin menyebabkan anda lapar.

29. Jangan lakukan program detoks sebulan sebelum majlis, bimbang program detoks itu boleh menyebabkan anda mengalami ulser ringan, rasa tidak selesa dalam mulut dan muntah-muntah.

30. Elak daripada mencuba sebarang produk kesihatan dan pelangsingan badan yang baharu untuk mengurangkan risiko terhadap kesan perubatan pada fizikal badan terutamanya wajah.

31. Ambil suplemen multivitamin untuk menguatkan sistem imunisasi badan. Pengambilan vitamin yang baik dapat memberi sumber nutrisi yang diperlukan oleh badan  seharian.

Sebelum Bersolek, Pengantin Perlu Buat Perkara Ini Kalau Nak Solekan Lebih Wow!

Sebelum Bersolek, Pengantin Perlu Buat Perkara Ini Kalau Nak Solekan Lebih Wow!

Setiap bakal pengantin tentunya ingin tampil wow di majlis perkahwinan. Untuk mendapatkan hasil solekan yang memukau seperti yang diidamkan, bakal pengantin perlu memberikan penekanan terhadap penjagaan kulit wajah agar aura pengantin lebih terserlah.

Rejim penjagaan kulit wajah yang baik perlu diamalkan agar kondisi wajah anda bersedia untuk ditatarias oleh jurusolek pilihan anda di hari bahagia nanti.

Disenaraikan beberapa tip penjagaan wajah sebelum bersolek agar tetamu tak berkelip menatap wajah seri pengantin saat anda melangsungkan perkahwinan.

1. START’ JAGA KULIT DARI AWAL

Mulakan rejim penjagaan kulit sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun sebelum hari perkahwinan tiba bagi memastikan kulit anda berada dalam keadaan baik dan sihat. Ada sebahagian produk baharu akan memberi reaksi alahan kepada kulit dan ini akan mengambil masa sehingga dua bulan untuk memulihkannya. Sebaiknya jangan tukar produk kecantikan dalam tempoh terdekat dengan majlis perkahwinan anda bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah pada kulit wajah.

2. JANGAN PAKAI SEBARANG PRODUK SEBELUM DISOLEK

Elakkan memakai losen, toner atau mana-mana produk pada kulit anda di pagi hari perkahwinan sebelum anda bakal disolek oleh jurumekap. Ia bertujuan untuk memudahkan jurumekap menyolek anda dan hasilnya akan membuatkan solekan tampak lebih wow. Jika anda berdegil dan masih memakai juga produk sebelum bersolek, dikhuatiri solekan anda nanti akan pecah dan timbul garis-garis halus pada wajah sebaik sahaja kulit muka anda mula berpeluh serta berminyak.

3. BERITAHU JURUMEKAP MASALAH KULIT ANDA

Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, pastikan jurumekap anda tahu mengenai masalah kulit yang anda hadapi. Ini akan memudahkan jurumekap memakai produk bersesuaian dengan masalah kulit anda itu. Malah mereka juga boleh menggunakan produk-produk tambahan jika perlu untuk membantu mendapatkan hasil solekan yang terbaik.

4. JANGAN KESAT AIR MATA DENGAN TISU ATAU SPAN KASAR

Sekiranya anda berpeluh atau menangis, jengan sesekali mengelapnya dengan tisu atau span yang kasar. Ia boleh merosakkan solekan yang ada pada wajah. Sebaiknya, anda tekap-tekapkan kawasan yang basah itu dengan tisu lembut supaya ia dapat menyerap dengan baik tanpa merosakkan solekan anda.

5. ELAK PAKAI PRESSED’ ATAU LOOSE POWDER

Elak menggunakan pressed atau loose powder untuk menghilangkan minyak yang menyebabkan wajah tampak berkilat pada wajah. Gunakan kertas serap minyak untuk menghapuskan minyak serta-merta dan tidak mencomotkan solekan.

6. WAJIB MINUM AIR SECUKUPNYA

Untuk mendapatkan solekan yang terbaik pada wajah, anda digalakkan untuk minum air dengan jumlah yang cukup agar anda mampu mendapatkan kulit yang segar dan bersinar. Elakkan pengambilan kafein secara berlebihan dan kurangkan stres serta dapatkan rehat yang secukupnya. Selebihnya, serahkan tanggungjawab yang lain kepada jurumekap pilihan anda nanti.

Nak Tampil Selesa Di Hari Bahagia? Ini 8 Tip Penjagaan Rambut Untuk Pengantin Berhijab

Nak Tampil Selesa Di Hari Bahagia? Ini 8 Tip Penjagaan Rambut Untuk Pengantin Berhijab

Rambut adalah mahkota yang melambangkan keterampilan seorang wanita. Bagi wanita khususnya yang memakai hijab, penjagaan rambut perlu dititikberatkan agar aura kejelitaan dan keselesaan dapat dirasai sepanjang majis perkahwinan. Ini kerana masalah rambut seperti kelemumur yang menyebabkan kegatalan boleh mengganggu keterampilan pengantin di hari bahagia.

Jom lihat 8 tip berguna ini agar rambut anda tetap sihat walaupun mengenakan hijab sepanjang hari bahagia.

1. PASTIKAN RAMBUT KERING SEBELUM MEMAKAI HIJAB

via GIPHY

Rambut yang basah saat memakai tudung akan menyebabkan rambut berbau, rosak, berbuah, kelemumur dan tidak sihat. Sebaiknya biarkan rambut anda kering terlebih dahulu sebelum anda memakai tudung. Jika anda ingin menyarung tudung dalam keadaan tergesa-gesa sedangkan rambut anda masih belum cukup kering secara semula jadi, anda boleh menggunakan pengering rambut sebagai alternatif untuk mempercepatkan rambut kering.

2. JANGAN SIKAT RAMBUT TERLALU KUAT

Bagi anda yang miliki rambut panjang tentu sahaja anda akan mengikat rambut ketika memakai tudung. Bagi mengelakkan rambut anda mudah rosak dan cepat parah, jangan ikat rambut terlalu kuat ketika memakai tudung. Biarkan ikatan tersebut sedikit.

3. BIARKAN RAMBUT TERURAI BEBAS KETIKA BERADA DI RUMAH

Sejurus tiba di rumah, lepaskan rambut anda daripada ikatan getah yang ketat. Sikat rambut dengan jari anda dan pastikan ia menyentuh kulit kepala. Ini akan membantu peredaran darah pada bahagian kepala berjalan dengan lancar serta mendapat udara yang cukup buat mahkota rambut anda.

via GIPHY

4. BUAT TRIM RAMBUT

Tidak kira jika anda ingin menyimpannya sehingga panjang atau kekal pendek, rambut perlu dipotong sedikit pada bahagian hujung rambut setiap empat hingga ke enam minggu. Ini untuk memastikan tiada rambut bercabang dan rambut kekal sihat bersinar.

via GIPHY

5. CUCI ANAK TUDUNG SEKERAP YANG MUNGKIN

Ia penting untuk mencuci anak tudung setiap minggu atau mungkin setiap dua hari. Tidak kira jika anda mempunyai satu atau lebih anak tudung untuk anda gunakan setiap hari, tetapi jangan ambil ringan dengan kebersihan anak tudung.

6. PILIH SYAMPU YANG SESUAI DENGAN JENIS RAMBUT

Pastikan anda menggunakan jenis syampu yang bersesuaian dengan rambut dan kulit kepala. Elakkan daripada menggunakan syampu yang mengandungi banyak bahan kimia agar ia tidak mendatangkan kesan buruk kepada penjagaan rambut anda. Malah ketika proses membasuh rambut, anda juga digalakkan melakukan urut pada kulit kepala secara teratur.

7. SIKAT RAMBUT SEBELUM & SELEPAS MEMAKAI TUDUNG

Wanita berhijab sering mengabaikan kepentingan menyikat rambut sama ada sebelum atau selepas memakai tudung atas alasan tiada siapa yang akan nampak rambut anda. Sebenarnya tanggapan anda itu sama sekali salah. Amalan menyikat rambut ini sangat penting bagi memastikan rambut anda kekal sihat dan cantik walaupun bertudung. Gunakan sikat yang bergigi jarang untuk mengurangkan risiko rambut kusut dan akhirnya rosak akibat terlalu sukar untuk disikat.

8. ATASI MASALAH RAMBUT SECEPAT MUNGKIN

Jangan biarkan masalah rambut anda berlarutan tanpa diatasi. Pastikan sebulan sekali anda periksa rambut bagi memastikan rambut anda bebas daripada pelbagai masalah seperti rambut bercabang, rosak dan sebagainya. Dapatkan rawatan di salun ataupun gunakan produk rambut yang bersesuaian.

TAHUKAH ANDA?

Rambut boleh memanjang sehingga 6 inci setahun! Secara purata, rambut manusia boleh memanjang sebanyak 1 sm setiap bulan iaitu lebih kurang 0.35 mm setiap hari. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada diet, persekitaran, genetik dan banyak faktor lain. Faktor utama untuk kesihatan rambut ialah kesihatan fizikal dan mental.

Jika Ingin Tampil Berseri Di Majlis Nikah, Pastikan Perkara Ini Anda Elak

Jika Ingin Tampil Berseri Di Majlis Nikah, Pastikan Perkara Ini Anda Elak

Menjelang hari ini, pastikan anda mengelakkan perkara-perkara ini daripada berlaku agar anda tampil dengan persediaan terbaik di hari meraikan cinta.

Tidur Lewat Malam

Saat melangsungkan majlis pernikahan tentu sahaja memenatkan. Pastikan anda mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi agar keesokan harinya anda bangun dalam keadaan yang segar. Sekiranya anda berdegil, tentu sahaja mata anda akan muncul lingkaran hitam di bawah mata dan bengkak kerana kurang tidur.

Jangan Minum Air Berkafein

Selalunya rakan-rakan atau saudara terdekat antaranya sepupu akan menemani anda di malam terakhir anda bergelar anak dara. Apabila sudah ramai pasti membuatkan anda leka berborak sambil mengambil minuman berkafeina. Minuman seperti ini pastinya akan membuatkan mata anda lebih segar dan tidak mengantuk seterusnya membuatkan anda lambat tidur.

Lakukan Urusan Persiapan Nikah Di Saat Terakhir

Sebagai bakal pengantin, anda pastinya ingin kerja-kerja terakhir diuruskan oleh anda sendiri kerana di situ ada kepuasan yang bakal anda peroleh. Sebaiknya rancanglah urusan untuk menyiapkan kerja-kerja kahwin dengan lebih awal. Sekiranya terdapat hal-hal kecil yang masih berbaki, anda boleh mendapatkan bantuan daripada keluarga ataupun sanak saudara untuk menyudahkannya.

Makan Makanan Yang Tidak Sihat

Malam menjelangnya hari pernikahan bukanlah waktu terbaik untuk anda mengambil makanan yang tidak sihat seperti makanan ringan, asam jeruk, minuman bergas ataupun makanan manis yang banyak. Ini kerana makanan-makanan seperti ini boleh mengganggu pencernaan dan penghadaman sehingga membuatkan perut memulas, kembung ataupun tidak selesa pada keesokan harinya. Pastikan anda minum banyak air putih.

Melakukan Rawatan Atau Mencuba Produk Kecantikan

Ada sebilangan bakal pengantin berdegil dengan membuat rawatan muka seperti skrub, membuang bintik-bintik hitam ataupun mencuba produk kecantikan sehari sebelum hari bahagia. Ingatlah bahawa rawatan atau produk yang tidak diketahui keberkesanannya ini jika tidak sesuai dengan kulit anda akan meninggalkan kesan yang buruk pada wajah. Tentu sahaja anda tidak mahu wajah kelihatan merah dan penuh dengan parut akibat kesan memicit saat anda ditatarias oleh jurumekap. Jadi elakkan perkara sebegini berlaku.

Langsing Di Hari Bahagia Dengan Air Detoks

Langsing Di Hari Bahagia Dengan Air Detoks

Air kosong sememangnya baik untuk kesihatan namun ramai di kalangan kita agak kurang minum air putih. Buat bakal mempelai jika ingin memiliki kulit yang sihat bekalan air yang cukup amat penting bagi memastikan kulit sentiasa segar dan lembap. Jika anda tergolong di kalangan mereka yang tidak suka minum air putih, anda boleh cuba untuk mengamalkan minuman  infused detox water?

Infused detox water juga dikenali sebagai air detoks dan merupakan campuran air kosong dengan rendaman buah-buahan, daun herba, madu dan sebagainya. Kebiasaannya ia akan dibiarkan semalaman sebelum diminum. Seeoloknya untuk bakal mempelai boleh mengamalkan petua ini seawal mungkin atau selewat-lewatnya enam bulan sebelum majlis berlangsung bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

Dipercayai bahawa air detoks mampu menurunkan berat badan secara sihat tanpa mengambil sebarang produk atau ubat pelangsingan. Air ini boleh dijadikan sebagai alternatif untuk tampil sihat. Sangat berkesan, jimat dan mudah untuk disediakan.

Ada berbagai jenis air detoks. Berikut disenaraikan beberapa jenis air detoks untuk diamalkan.

Pilihan Air Detoks

6 JENIS CAMPURAN AIR  DETOKS & KHASIATNYA

1. Timun + Limau + Lemon

Sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Timun, limau dan lemon mampu mengawal nafsu makan selain mengelakkan masalah perut kembung.

2. Teh Hijau + Daun Pudina + Oren

Sangat berkesan untuk membakar lemak, melancarkan penghadaman, mengatasi sakit kepala dan bau mulut. Teh hijau pula memang terkenal dalam membantu meningkatkan metabolisme tubuh.

3.Timun + Lemon + Limau Nipis + Oren

Sesuai untuk mereka yang sedang berdiet kerana timun, lemon, limau nipis dan oren membantu mengawal selera makan dan meningkatkan metabolisme tubuh.

4.Lemon + Daun Pudina

Kombinasi lemon dan daun pudina sesuai buat mereka yang sibuk dan aktif. Lemon dapat menyingkirkan toksin dalam badan manakala daun pudina pula membantu proses penghadaman. Ia sangat membantu menurunkan berat badan.

5.Oren + Lemon + Limau Nipis

Sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan perut kerana oren dan limau nipis baik untuk sistem pencernaan. Lemon pula membersihkan sistem pencernaan. Berkesan untuk mengatasi masalah perut buncit.

6.Strawberi + Oren +Daun Pudina

Air detoks campuran strawberi, oren dan daun pudina sangat baik untuk diamalkan. Hal ini kerana strawberi mampu mengurangkan kolesterol. Oren pula membantu mengatasi masalah sembelit manakala daun pudina pula mencegah masalah angin dan kembung perut.

Cara Membuat Air Detoks

1.Potong buah-buahan nipis-nipis.

2.Susun potongan buah-buahan di dalam jar. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga jar penuh.

3. Biarkan semalaman sehingga bahan sebati dalam peti ais. Bolehlah dinikmati keesokan harinya. Habiskan air detoks pada hari yang sama.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: