Bila Kali Pertama Nak Jumpa, Buat 6 Cara Paling Win Ini Agar Anda Dapat Tackle Hati Bakal Mertua!

Bila Kali Pertama Nak Jumpa, Buat 6 Cara Paling Win Ini Agar Anda Dapat Tackle Hati Bakal Mertua!

Setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga pasti akan melalui beberapa proses sebelum sah bergelar suami isteri. Antara proses yang dimaksudkan termasuklah perkenalan antara anda dan bakal mentua. Pastinya perjumpaan dengan bakal mertua buat pertama kali merupakan saat yang cukup mendebarkan.

Langkah yang paling penting saat pertemuan ini adalah untuk mengambil hati mereka. Mungkin ada sahaja situasi di mana ibu bapa tidak berapa selesa dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.

Namun, anda harus bijak dalam menangani situasi dengan memikat hati bakal mertua anda. Jangan biarkan bakal mertua anda mempunyai persepsi negatif pada anda terutama pertemuan buat pertama kali. Ini sedikit sebanyak menggambarkan siapa diri anda yang sebenarnya. Jom kita lihat 6 cara efektif untuk memikat hati bakal mertua buat pertama kali bertemu!

1. PERHATI DAN PELAJARI TENTANG BAKAL MERTUA

Perlahan-lahan risik apa yang anda perlu tahu tentang ibubapa pasangan anda. Sebagai contoh ambil tahu apa yang bakal mertua anda sukakan, hobi mereka, masakan kesukaan mereka, dan mungkin ciri-ciri lelaki atau perempuan yang bagaimana mereka sukakan. Kaji sedikit mengenai latar belakang mereka melalui pasangan anda agar saat berjumpa nanti, anda mempunyai topil untuk dibualkan.

2. JAGA PERCAKAPAN

Pastikan anda sentiasa menjaga tutur kata dan intonasi percakapan anda agar tidak terkecil hati mereka dan sekaligus boleh membuat anda di blacklist dari menjadi menantu pula. Jika bakal mertua anda seorang yang pendiam, sesekali cuba untuk berkomunikasi dengan mereka seperti bertanyakan tentang hobi dan pekerjaan mereka.

3. RINGANKAN TULANG

Jangan lupa untuk menawarkan bantuan jika anda rasa ia diperlukan. Sebagai contoh, jika bakal ibu mertua anda sedang mengangkat barangan yang banyak atau berat, bantulah mereka dengan rela hati. Ringankan tulang untuk membantu bakal ibu mertua di dapur. Dengan cara ini, bakal mertua anda dapat melihat anda sebagai seorang yang rajin.

4. JANGAN LUPA UNTUK MEMUJI

Memuji dengan ikhlas agar tidak nampak hipokrit pula nanti. Ada tempatnya dan juga masanya untuk memuji. Sebagai contoh, anda boleh memuji masakan ibu pasangananda sedap atau kediamannya cantik dan kemas. Tapi ingat, jangan memuji secara berlebihan hingga anda diaggap cuba membodek mereka.

5. BERPAKAIAN SOPAN

Memang benar bahawa kita tidak perlu jadi hipokrit dalam pemakaian. Tetapi dalam situasi ini, perlulah juga menjaga pakaian agar kelihatan kemas dan sopan supaya tidak menjejaskan reputasi diri anda dan agar dapat melancarkan perhubungan suai kenal dengan bakal mentua kita. Bagi lelaki, janganlah memakai seluar pendek, jeans berkoyak atau lusuh dan baju tanpa lengan ketika bertemu dengan ibu bapa kekasih anda. Dan buat sang gadis gaya santun adalah yang terbaik dan seharusnya tidak menjolok mata.

6. BERI BUAH TANGAN

Jika anda inginkan usaha yang lebih berkesan untuk memikat hati mereka, belikan mereka buah tangan atau apa sahaja sebagai tanda mengingati mereka. Apatah lagi apabila tiba ulang tahun hari jadi mereka. Bonus jika anda sudah risik lebih awal dengan pasangan kesukaan kedua ibu bapanya supaya hati mereka akan lebih berbunga terima cenderahati dari bakal menantu.

Walau Jalin Hubungan Dengan Lelaki Muda Ada Baik & Buruknya, Usia Bukanlah Halangan!

Walau Jalin Hubungan Dengan Lelaki Muda Ada Baik & Buruknya, Usia Bukanlah Halangan!

Umur bukanlah pengukur sesebuah kebahagiaan rumah tangga dan Ia juga bukanlah penghalang untuk seseorang itu jatuh cinta. Tidak menjadi suatu kesalahan bagi seorang wanita untuk jatuh cinta dan mengahwini lelaki yang jauh lebih muda.

Sesungguhnya cinta itu buta, malah sesiapa sahaja berhak untuk mencintai dan dicintai. Bagi wanita yang menjalinkan hubungan kasih dengan lelaki yang lebih muda, di sini disenaraikan beberapa kebaikan dan keburukannya. Ingat! Usia bukanlah halangan.

ADA KEBAIKAN TAU!

1. MANJA

Ada sesetengah wanita yang suka memanjakan pasangan mereka. Dan tak semua lelaki suka dimanjakan lagi-lagi lelaki yang berusia. Tapi berbeza dengan lelaki muda, mereka lebih suka di belai dan dimanjakan pasangan dan sebab itulah dia memilih anda! Kadangakala dia mungkin kelihatan keanak-anakan dan seolah-olah menagih kasih-sayang daripada anda. Namun percayalah, dia sangat menyanyagi anda!

2. AWET MUDA

Kata orang jika pasangan kita jauh lebih muda, kita akan curi sedikit awet muda dari pasangan. Rakan-rakan tidak akan tahu yang si dia jauh lebih muda dari kamu kerana mungkin cara kamu berdua bercinta membuatkan nampak sebaya. Aura remaja dan muda yang dibawa oleh pasangan akan membuatkan anda turut kelihatan muda.

3. STAMINA

Bagi yang merancang untuk berkahwin, usah gusarkan stamina si dia ketika ‘bersama’. Orang lebih muda ni jauh lebih bertenaga dan suka mencuba sesuatu yang baru. Kamu pasti akan rasa teruja dan seronok melayari gerbang perkahwinan bersama si dia. Dalam pada masa yang sama, dia seorang yang romantis tanpa anda sedari.

JANGAN DILUPA KEBURUKANNYA!

1. KOMITMEN

Lelaki muda selalunya belum puas lagi dengan zaman bujangnya jadi untuk ‘settle down’ akan menjadi senarai terakhir baginya. Usia anda semakin meningkat dan rasanya dah tiba masa untuk berkahwin tapi rasanya bukan untuk dia. Tambahan pula, anda mempunyai banyak komitmen yang perlu anda tanggung.

2. KURANG MATANG

Risiko bercinta dengan lelaki muda adalah dari segi kematangannya. Selain itu, mereka juga mudah berasa hati dan cepat merajuk. Ia sedikit mencabar apabila kamu perlu beralah untuk beberapa perkara kerana sikapnya yang kurang matang. Jadi harus banyak bersabar melayan kerenah si dia yang muda.

3. KEWANGAN

Jangan berharap lelaki muda mempunyai kewangan yang kukuh, jika ada pun cuma segelintir. Silap haribulan anda yang perlu menyara si dia. Dengan pekerjaan dan gaji yang tidak begitu besar, membuatkan anda perlu bekerja demi menyara keluarga. Mungkin juga wang simpanan yang diperolehinya juga tidak begitu banyak.

Ini 9 Kriteria Utama Lelaki Yang Boleh Buat Hati Wanita Cair, No. 5 Tu Paling Penting!

Ini 9 Kriteria Utama Lelaki Yang Boleh Buat Hati Wanita Cair, No. 5 Tu Paling Penting!

Tidak semua wanita melihat hanya pada paras rupa seseorang lelaki itu untuk dijadikan pilihan hidup buat selamanya. Paling penting, kecantikan dalaman yang menjadi pengukur kepada ketulusan hati seseorang lelaki itu.

Namun, dalam memilih calon suami untuk menjadi imam kepada wanita kelak, beberapa kriteria yang akan dilihat oleh wanita terhadap lelaki. Kriteria-kriteria itu bukan sahaja mejadi faktor utama wanita boleh jatuh hati, malah boleh membuatkan hati menjadi cair dan jatuh cinta dalam sekelip mata. Jom kita lihat 9 kriteria utama pada lelaki yang boleh membuatkan hati wanita di luar sana cair sekaligus jatuh cinta!

1. ROMANTIK

Ingat, romantik bukannya gatal atau miang. Lelaki yang romantik adalah lelaki yang pandai mengambil hati dan bijak pula menggunakan kata-kata. Suka mengambil berat dan penyayang juga menjadi salah satu aspek yang menarik perhatian wanita.

Biar seseorang wanita itu kelihatan ‘rugged’ atau agresif. Namun, dalam soal atau perihal teman lelaki, kebanyakkannya memilih yang romantik dan gemar membuat kejutan yang indah.

2. BIJAK BERJENAKA

Jangan bercakap terlalu serius atau ketawa yang dibuat-buat. Lebih teruk kalau tersengeh-sengeh dan tersenyum simpul tidak tentu pasal. Ingat, untuk menjadi seorang yang kelakar tidak semestinya kamu membuat lawak bodoh. Belajar berjenaka secara spontan dan bersahaja kerana ini akan menghiburkan hatinya, membuatkan si dia merindui kerenahmu.

3. YAKIN PADA DIRI SENDIRI

Paling penting, jangan memperkecilkan kelemahan diri sendiri. Ada yang menyerah kalah sebelum berbuat apa-apa. Ini bukan sifat lelaki sejati. Anda harus berikan alasan kukuh, mengapa anda tidak boleh lakukannya.
Penting untuk berlatih bersungguh tanpa mengenal erti putus asa dan sentiasa berfikiran positif. Mungkin kerana sikap yakin diri yang tinggi, maka anda masih punya harapan atau ruang mendekati wanita yang selama ini anda puja dalam diam.

4. SENSITIF

Jadilah seorang lelaki dan pendengar yang baik. Wanita menyenangi lelaki yang mendengar setiap butir bicara mereka, memandang tepat pada matanya sepanjang berkomunikasi. Sifat ini dilihat sebagai satu penghargaan.

5. BERIMAN

Lelaki yang beriman antara kriteria yang paling utama yang wanita lihat pada seorang lelaki. Ini penting bagi seorang lelaki untuk membimbang wanita ke jalan yang lurus saat bergelar isteri nanti. Lelaki yang mempunyai iman yang tebal bukan sahaja penting untuk membimbing isteri, malah ia diperlukan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

6. BIJAK

Antara impian wanita adalah mendampingi lelaki yang bijak dan berpendidikan tinggi. Meski kebijaksanaan bukanlah kayu ukur kematangan diri, tetapi lelaki dengan ilmu dan pengetahuan antara paduan yang menyerlahkan sifat seksi dan menarik untuk didampingi.

7. EKONOMI YANG KUKUH

Ramai wanita dituduh bersifat materialistik atau mata duitan. Mereka hanya mahukan lelaki yang berjaya dan mempunyai wang yang banyak. Tetapi, tidak semua wanita layak diadili sebegitu. Wanita sebenarnya pantas tertarik kepada lelaki yang kukuh ekonominya. Ini dilihat penting bukan saja untuk masa hadapannya, malah masa hadapan zuriat atau penyambung generasi seterusnya.

8. SUKA KANAK-KANAK

Sikap ini bukan saja membias sikap prihatin dan penyayang malah, secara tidak langsung, ia mengusik sensual naluri seseorang wanita. Lelaki dengan sikap sebegini dilihat punya kelainan dan tentunya mampu menjamin kesejahteraan kehidupan berkeluarga kelak.

9. PANDAI BERGAYA

Jika seseorang wanita menyenangi kehadiran seseorang lelaki yang serba ringkas, itu tidak bermakna mereka juga pantas menyenangi lelaki yang mengabaikan aspek kebersihan diri. Pastikan kulit, rambut, kuku dan tubuh sentiasa dalam keadaan bersih dan rapi. Pastikan anda bebas daripada sebarang masalah bau badan yang kurang menyenangkan. Sentiasa kemas meski berpenampilan ringkas.

Inilah Pesanan Nabi SAW Kepada Aisyah, Jangan Tidur Sebelum Buat 4 Amalan Ini!

Inilah Pesanan Nabi SAW Kepada Aisyah, Jangan Tidur Sebelum Buat 4 Amalan Ini!

Waktu malam merupakan waktu untuk kita beristirahat dengan tidur. Sebelum melelapkan mata kita haruslah berdoa dan berzikir agar ketika tidur kita dilindungi daripada pelbagai perkara buruk.

Sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Sayyidah Aisyah ra, ini merupakan empat amalan yang sebaiknya kita buat sebelum nak tidur.

Suatu ketika Rasulullah SAW pernah berkata kepada Aisyah, “Janganlah engkau tidur sebelum mengerjakan empat hal ini.”

1. Mengkhatam Al-Quran
2. Menjadikan para nabi pemberi syafaat bagimu di hari kiamat
3. Meminta reda daripada semua kaum Muslimin
4. Melaksanakan haji dan umrah

Aisyah lantas bertanya kepada Rasulullah, “Bagaimana aku boleh melakukan keempat-empat hal tersebut?”

Seraya tersenyum, Rasulullah menjawab:

1. Jika engkau tidur dan membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka seakan-akan engkau telah mengkhatamkan Al-Quran.

قل هو الله أحد … (x3)
(Qul huwallau ahad … hingga selesai di baca sebanyak 3x)

2. Apabila engkau bershalawat kepadaku dan kepada semua Nabi-Nabi maka engkau sama dengan menjadikan kami sebagai pemberi syafaatmu.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى جميع الأنبياء والمرسلين (x3)
(Allahumma shalli ala sayyidina Muhammadin wa ala jami’il anbiya’ wal mursalin, 3x)

3. Apabila engkau beristighfar untuk kaum Muslimin, maka engkau telah menjadikan mereka reda kepadamu.

اللهم اغفرلى ولولدي ولجميع المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات (x1)
(Allahummaghfirli wa liwalidayya wa li jami’il muslimin wal muslimat wal mu’minin wal mu’minat, 1x)

4. Dan perbanyaklah “bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir” seolah-olah engkau telah melaksanakan haji dan umrah.

سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم (x7)
(Subhanallah wal hamdulillah wa la ilaha illallah wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil aliyyil adhim, 7x)

Itulah antara empat amalan yang diajarkan Rasulullah SAW menjelang tidur kepada Sayyidah Aisyah yang sebaik-baiknya kita sebagai umat Islam mengamalkannya.

Ini 6 Alasan Rezeki Makin Sempit Kalau Suami Tak Bahagiakan Isteri!

Ini 6 Alasan Rezeki Makin Sempit Kalau Suami Tak Bahagiakan Isteri!

Ketahuilah para suami, membahagiakan isteri merupakan salah satu jalan pembuka rezeki dalam sesebuah rumah tangga. Jika tidak mahu rezeki semakin sempit, hargailah isteri dan jangan sakiti hatinya.

Saat suami melukakan dan menyakiti hati isteri sehingga membuatkan isteri menangis, ia boleh diibaratkan seperti suami menzalimi isteri. Lantas tindakan suami itu boleh memberikan enam kesan terhadap isteri sehingga membuatkan rezeki suami semakin jauh.

1. Isteri rasa tidak bahagia

Jika isteri dilukai semestinya seluruh keluarga juga akan terkena kesannya sehingga mengganggu tugasan harian seorang isteri dalam sesebuah rumah tangga. Namun apabila isteri rasa bahagia, secara tidak langsung isteri akan menjadi perangsang terbaik untuk suami mencari lebih banyak rezeki.

2. Isteri menjadi orang yang tidak bersyukur

Melukakan hati isteri sama ada dalam bentuk ucapan ataupun tindakan boleh membuatkan isteri menjadi seorang yang tidak bersyukur. Namun jika isteri disenangi oleh suami, pasti isteri sentiasa bersyukur dan mendoakan rezeki suaminya terbuka luas kerana Allah akan mengurniakan banyak rezeki kepada mereka yang sentiasa bersyukur.

3. Isteri tidak ikhlas melayani suami

Isteri yang dilukai tentu sahaja akan melayani suaminya tidak ikhlas kerana ia mencerminkan sikap kecewa isteri terhadap tindakan suami. Apabila kedua-duanya bersikap negatif ia akan membuatkan pintu kebaikan dan sumebr rezeki tertutup. Namun jika suami melayani isteri dengan seikhlas hati dan bersyukur maka Allah akan menggandakan ganjaran rezeki yang begitu luas untuk dirinya dan keluarga.

4. Mood isteri terganggu

Apabila suami menyakiti isteri tentu sahaja isteri akan menyimpan perasaan sedih dan kecewa sehingga boleh memburukkan mood mereka. Perasaan negatif ini akan tersimpan di dalam hati sehingga menjejaskan hubungan suami isteri dan akhirnya menyebabkan berlakunya pertengkaran.

5. Isteri tidak menyokong suami

Jika sebelum ini isteri sentiasa memberikan sokongan kepada suami dalam apa jua perkara, namun saat isteri dilukai sokongan tersebut mulai hambar. Perkara ini akan membuatkan suami rasa hilang semangat terutama sekali apabila suami ditimpa masalah.

6. Beri kesan terhadap anak-anak

Apabila mood isteri terganggu dan hati isteri dilukai, ia juga akan memberi kesan terhadap perkembangan anak-anak. Ini kerana anak-anak merupakan rezeki dalam rumah tangga.

Konsep 5 ‘K’ Ini Mudahkan Anda Pilih Pasangan Serasi Tanpa Perlu Couple!

Konsep 5 ‘K’ Ini Mudahkan Anda Pilih Pasangan Serasi Tanpa Perlu Couple!

Setiap manusia pasti menginginkan pasangan yang tepat dan sempurna untuk hidup bersama. Disebabkan itulah proses perkenalan amat penting bagi kita untuk mengenali hati budi dan peribadi pasangan. Malah anda juga disyarakkan untuk mengadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan.

Mengenali pasangan itu bukanlah lesen bagi pasangan untuk keluar berdua-duaan dan menjalinkan hubungan tanpa batasan. Ia mempunyai batasan yang perlu dijaga agar ia tidak menjurus kepada perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

Rasulullah SAW memperkenalkan 5 K iaitu Kenal, Kelas, Kufu, Kasih dan Kahwin. Jom kita kupas 5 K ini!

1. KENAL

Kita disuruh kenal/takruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran atau fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk mengenali dan mendalami hati budinya, carilah orang yang boleh dipercayai agamanya dengan cara merisik corak hidupnya dan juga keperibadiannya.

Merisik latar belakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh mana pergaulan dan sifat warak yang dimilikinya. Pada dasarnya, anda boleh mengenalinya melalui corak kelakuan sahabat-sahabatnya yang akrab. Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak berbohong. Apabila sudah saling mengenali, tolak -ansur dapat dibuat dalam apa juga perkara.

2. KELAS

Anda mengenalinya tetapi anda harus bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja.

Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa alert, sanggup menerima dan memberi teguran serta saling bersifat ‘membina’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.

3. KUFU

Kufu amat diberatkan dari segi pendirian dan pemahaman agama, selain keturunan juga perlu diseimbangkan. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar anda mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam.

Begitu juga dari segi harta, ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu dititikberatkan kerana seseorang yang datang daripada keluarga miskin sukar untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang kebelakang ini juga mementingkan tahap umur.

Memang betul, soal jarak umur di antara Rasulullah SAW dan Siti Khadijah tidak wujud kerana Baginda, Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna, tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya apabila sudah lama berumah tangga.

4. KASIH

Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang ditekankan sebenarnya ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin.

Katakan lelaki itu suka kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu mengikut syariat Islam. Paling penting jika tidak berkenan, jangan dipaksa hati sebab ia bukanlah satu permainan yang boleh dipersendakan.

Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia bakal menjamin kebahagiaan rumah tangga. Keberkatan memang dititikberatkan dan apabila niat anda dipasakkan dengan betul, In sha Allah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak-geri dan tindak-tanduk mendapat pengawasan serta hidayah Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

5. KAHWIN

Reda terhadap pasangan masing-masing adalah penting. Istilah kufu sangat ditekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak-ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang.

Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agamanya tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin. Sikap kurang mahu ini akan menjadi titik-tolak sekiranya isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari semasa ke semasa.

Begitu juga sebaliknya, masalah pasti akan berlaku. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mestilah mencari lelaki yang lebih kuat iman daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: