Kehadiran pelakon cantik, manis dan tinggi lampai , Zahirah Mac Wilson, 21 tahun , begitu cepat disedari ramai.

Walaupun sering dihimpit dengan pelbagai gosip percintaan, gadis berdarah kacukan Melayu Inggeris ini tidak pernah sesekali melatah dan matang membawa diri ke bidang yang glamor ini.

Seperti orang lain, Zahirah juga mempunyai impian dalam perkahwinan. Walaupun umur yang masih muda dan belum memikirkan ke arah perkahwinan dan rumah tangga, Zahirah memilih konsep perkahwinan dalam taman bagi memenuhi impian di hari bahagianya nanti.

“Ira sukakan konsep majlis yang privasi, di mana tetamu yang hadir terdiri daripada kalangan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Lagipun Ira rasa tema tersebut sangat sesuai dengan Ira, malah ia menggambarkan suasana yang cantik. Lokasi pula dilakukan secara outdoor dengan kehadiran bunga-bunga segar yang memenuhi dekorasi perkahwinan. Tapi cuaca di Malaysia yang selalunya panas memerlukan tempat tersebut dipasang dengan penghawa dingin agar terasa sejuk,” ujar Zahirah sambil ketawa.

Perkahwinan bagi Zahirah merupakan satu komitmen dan tanggungjawab antara satu sama lain. Ia juga memerlukan kita dan pasangan saling memahami dan bertolak ansur. Ini kerana ujarnya, apabila sudah berkahwin, kita merupakan keluarga yang perlu dipimpin bersama.

“Untuk berkahwin atau berkenalan dengan sesiapa pun, keluarga Ira tidak meletakkan apa-apa syarat asalkan Ira bijak membawa diri dan pasangan itu memberikan sokongan yang baik kepada Ira.

Ira mengatakan yang Ira sudah bersedia kerana Ira merupakan anak sulung dan pandai menjaga keluarga serta adik-adik yang lain. Jadi Ira tidak meletakkan had umur untuk berkahwin,” katanya yang ingin membabitkan diri dalam dunia perniagaan fesyen dan kecantikan suatu hari nanti.