Kemunculan Janna Nick atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner bermula dengan iklan komersial dan video korporat. Pada saat usianya lima hingga tujuh tahun, Janna Nick tekad untuk berhenti kerana mahu memberikan fokus pada pembelajaran.

Soal berkaitan perkahwinan impiannya, Janna Nick masih terfikir-fikir bagaimana impian perkahwinannya nanti. Ini kerana umur Janna Nick yang masih muda membuatkan beliau belum bersedia untuk memikirkan soal berumah tangga. dan dia mengimpikan tema warna putih sebagai penyeri dalam majlis perkahwinannya nanti.

“Kalau boleh Janna mahukan semuanya berwarna putih. Sebab warna putih kita jarang pakai ketika pergi ke majlis orang. Selain warna putih, pengantin akan kelihatan lebih berseri-seri dan cantik. Manakala untuk tema majlis pula, Janna sukakan English vintage style seperti Victoria pada zaman 70-an dengan busana pengantin perempuan yang digayakan berkorset zig zag. Untuk majlis pula, Janna impikan majlis pada sebelah malam dengan keadaan yang lebih sejuk dan mendamaikan. Kalau boleh, majlis diakan dengan konsep outdoor,” kongsi Janna tentang impian perkahwinannya.

“Bagi Janna, perkahwinan ini merupakan satu hubungan yang ingin dikekalkan sampai ke syurga kerana ia berlaku sekali dalam seumur hidup. Keduanya, perkahwinan itu adalah hubungan di antara lelaki dan perempuan bagi menyatukan kasih sayang, cinta dan tanggungjawab antara satu sama lain. Sekiranya terjadi pada diri saya, saya tidak bersetuju untuk berkahwin pada usia yang muda. Bagi saya, perempuan zaman sekarang haruslah lebih banyak merancang dalam kehidupan seharian. Orang kata itu adalah langkah keselamatan sekiranya berlaku apa-apa di kemudian hari.

“Maksudnya, sebelum berfikir untuk mendirikan masjid, lebih baik seseorang wanita itu mengumpul harta atau mengejar karier terlebih dahulu. Ini kerana wanita pada zaman sekarang tidak boleh mengharapkan 100% pada kaum lelaki sahaja. Malah, perkahwinan ada ketikanya tidak menjamin kekukuhan. Mungkin kita akan dilanda badai yang kita sendiri tidak tahu. Jadi adalah lebih baik kita bersedia lebih awal,” ujar Janna Nick sambil berkongsi impian lokasi percutian sejuk sebagai destinasi bulan madunya nanti.

Terus mencungkil rahsia hati dan cinta yang diimpikan, kongsi Janna Nick, jika boleh dia ingin menolak untuk bercinta sesama rakan artis, malah dia sendiri tidak kisah sekiranya dijodohkan dengan lelaki yang lebih berusia.