Lokasi pilihan merupakan pilihan tepat dengan suasana berkonsepkan gaya Inggeris. Rimbunan pokok-pokok yang menjalar berlatar belakangkan tasik sangat meruntun jiwa yang memandang. Di sudut kawasan tasik pula, persiapan dekorasi direka penuh pesona bagi meraikan pasangan selebriti ini. Ternyata gandingan antara Juara Hero Remaja 2011/2012 dan Juara Dewi Remaja 2014/2015 ini sama cantik dan sama padan.

Menyuntik soal cinta dan perasaan, jejaka tampan dan bertubuh tinggi lampai ini sama sekali tidak menyorok siapakah kekasih yang sedang bertakhta di hatinya kini, malah bersikap jujur untuk berkongsi.Bukan itu sahaja, setiap tutur bicaranya menggambarkan beliau begitu menyayangi wanita istimewa itu yang juga seorang pelakon terkenal, Sherry Ibrahim. Bagi Fattah Amin, faktor usia sama sekali tidak menjadi penghalang untuk dia menjalinkan ikatan cinta.

Walaupun belum bersedia untuk berkahwin kerana sedang membina karier, Fattah Amin tetap mengimpikan sebuah perkahwinan seperti pasangan lain yang akan melangkah ke alam rumah tangga.

Jika ditanya berkenaan konsep perkahwinan, saya lebih sukakan perkahwinan bertemakan dalam taman. Contohnya seperti penggambaran pada hari ini, jauh daripada kesibukan kota, malah hanya kedengaran kicauan burung sambil ditemani dengan kehijauan alam semesta. Bukan itu sahaja, lokasi perkahwinan sebegini juga lebih tenang dan tidak serabut,” ujar jejaka berusia 26 tahun ini.

Perkahwinan dari kaca mata Fattah Amin,Perkahwinan itu bermaksud apabila seseorang itu sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami. Ia juga sesuatu yang tidak mudah untuk digalas. Sebelum melangkah ke status suami, tanya dahulu kepada diri sendiri sama ada kita sudah betul-betul bersedia ataupun sebaliknya, selain berjanji pada diri untuk menjadi suami yang bertanggungjawab. Ini kerana, jika berlaku sebarang persengketaan antara kita dengan isteri, masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan baik. Jika sudah mempunyai cahaya mata, suami berperanan membimbing dan mengasuh anak-anak dengan bijak,” ujar pelakon ini.

Erti perkahwinan bagi Raysha Rizrose,“bagi saya, perkahwinan bukanlah perkara yang kita perlu tergesa-gesa melakukannya. Ia akan berlaku apabila seseorang itu sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Apabila sudah bersedia dan merasakan perlu ada pasangan dalam hidup, barulah saya akan memikirkan soal berkahwin, itu pun selepas berjumpa dengan pasangan yang sesuai.

Ini kerana rata-rata pasangan yang bercinta, apabila sakit hati dan putus hubungan, mereka terus mengambil jalan penyelesaian dengan mengahwini orang lain yang baru kenal tidak hampir setahun. Selepas berkahwin, barulah nampak karakter diri yang sebenar. Sebab itulah bagi saya, sebaik-baiknya sebelum berkahwin selidiki latar belakang empunya diri terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama,” tambahnya.

Kini, saya belum ada seseorang yang istimewa dan masih lagi mengejar cita-cita. Saya menyukai lelaki yang lebih tua beberapa tahun daripada saya kerana pemikirannya agak lebih matang,” ujar Raysha Rizrose yang menolak cinta sesama rakan artis.