Zara Zya, si gadis manis yang juga seorang pelakon berusia awal 30-an. Percaya dengan karisma, semangat dan azam yang ada dalam diri gadis kelahiran negeri Perak ini dalam membina kerjaya dilihat begitu hebat.

Menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon yang masih solo, tentu sahaja Zara Zya tidak terlepas daripada dikaitkan dengan tempias cinta lokasi.Malah ada juga peminat yang mahukan watak yang dibawa di dalam dunia lakonan menjadi realiti.

“Tidak pernah pun timbulnya cinta lokasi. Memandangkan pelakon lelaki yang digandingkan dengan Zara semuanya sudah menjadi suami orang, jadi apa yang penting bagi Zara apabila sudah mendapat skrip, lakonkan watak tersebut dengan sebaik mungkin. Lakukan kerja tersebut sehingga selesai. Tidak perlulah cinta lokasi bagi Zara.

Zara tidak menolak sekiranya suatu hari nanti ditakdirkan jodoh Zara adalah daripada golongan artis, Zara terima seadanya. Begitu juga sekiranya dipertemukan dengan orang yang bukan berdarah seni, Zara tiada masalah dengan itu. Cuma apa yang Zara harapkan biarlah bakal suami Zara itu nanti memahami kerjaya dan kecintaan Zara pada bidang seni lakonan. Jangan sekat minat Zara dan semahunya Zara tidak akan berhenti daripada bidang ini selagi daya,” jelas Zara Zya dengan semangat.

Zara Zya punya fantasi indah untuk direalisasikan di majlis perkahwinannya itu nanti.

“Zara terbayang untuk menjadi seorang permaisuri yang cantik dengan menyarungkan busana dress kembang seperti di dalam kisah dongeng. Pada hari penuh bersejarah itu nanti, Zara diraikan di dalam suasana yang penuh indah. Sarat dengan gubahan bunga-bungaan serta pokok-pokok menghijau seperti berada di dalam taman larangan istana. Manakala pilihan tema warna pula, Zara lebih tertarik untuk memilih warna pastel di hari persandingan Zara nanti,” ujar Zara Zya jujur dan berhasrat untuk melangsungkan majlisnya nanti di ruangan terbuka.

“Zara dapat membayangkan perasaan debar dan gentar yang akan dirasai saat lafaz nikah diucapkan oleh bakal suami, begitu juga ketika ingin melangkah ke singgahsana pelaminan. Jadi Zara perlukan seorang pengapit yang terdiri daripada ahli keluarga Zara sendiri untuk lebih yakin dan berani mengharungi detik tersebut.

Jujur Zara katakan, peranan dan tugas pengapit kepada pengantin sebenarnya amat berat. Hanya dialah yang berada paling hampir dengan kita sepanjang majlis berlangsung. Oleh sebab itu, Zara memerlukan seorang pengapit yang terdiri daripada ahli keluarga. Jika bukan adik beradik, mungkin sepupu pun okey,” luah Zara Zya mengakhiri perbualannya.