Menjadi kebiasaan majlis perkahwinan selebriti akan diraikan dengan penuh gilang gemilang, malah cukup meriah bak perkahwinan diraja. Namun berbeza dengan Nely tatkala diminta untuk berkongsi impian perkahwinannya. Nely punya bayangan indah untuk  direalisasikan.

“Sebenarnya dahulu pernah Nely impikan untuk melangsungkan majlis perkahwinan dengan tema outdoor yang romantis. Teringin kalau dapat melangsungkan majlis di tepian pantai ataupun di dalam taman.

Tapi kini, lain pula impiannya. Terasa alangkah indahnya kalau majlis perkahwinan Nely jika bertemakan fairy tale. Setiap ruangan penuh dengan fantasi yang memukau. Lebih-lebih lagi Nely suka melihat kerlipan lampu-lampu kecil menyinari ruangan pelamin, sekali gus menjadikan majlis tampak begitu berseri. Semahunya pada saat itu, Nely akan diraikan bersama ahli keluarga dan teman-teman rapat dalam suasana yang privasi,” ujarnya sambil tersenyum.

Menyambung berbicara tentang perkahwinan tajaan yang sering diterima oleh artis, Nely ada pendapatnya yang tersendiri.

“Sebenarnya bagus ada perancang majlis yang pemurah untuk menaja perkahwinan artis. Dalam masa yang sama, artis boleh berkahwin dalam suasana yang cukup sempurna, selain menjimatkan bajet untuk majlis perkahwinan tersebut.

Jadi Nely tidak menolak perkahwinan tajaan, namun bimbang juga sekiranya Nely tidak mendapat kepuasan peribadi dalam merealisasikan perkahwinan yang diimpikan selama ini. Maklumlah kena akur dengan tajaan-tajaan yang diberikan.

Sebaiknya, kedua-dua belah pihak sama ada artis mahupun perancang majlis perlu duduk semeja dan berbincang bersama-sama. Ini penting agar impian pengantin itu dapat direalisasikan dan dalam masa yang sama memenuhi harapan pihak penaja,” jelas Nely yang  mempunyai impian untuk memiliki empat cahaya mata