Kehadiran pelakon wanita kelahiran Singapura, Nurul Atikah Mohd Suhaimie,di dalam dunia seni tanah air kian mendapat perhatian peminat .

Solo tentu sahaja memberi segunung harapan dan peluang untuk lelaki di luar sana cuba mendekati si gadis manis berusia 25 tahun ini. Apatah lagi Atikah bukanlah jenis orang yang sombong malah dia sememangnya mudah melemparkan senyuman kepada sesiapa jua.

“Saya kalau bab berkawan memang mudah. Sesiapa pun boleh berkawan dengan saya. Tapi untuk membina sebuah hubungan yang istimewa, saya cukup berhati-hati dalam membuat pilihan. Boleh dikatakan saya bukanlah seseorang yang mudah jatuh cinta. Lebih-lebih lagi dengan lelaki yang perasan 'handsome'.

Bagi saya, personaliti luaran itu bukanlah tarikan utama yang mampu mengetuk pintu hati dan perasaan saya ini. Saya lebih mudah tertarik jika si dia bersifat merendah diri dan dalam masa yang sama, memiliki cara pemakaian yang presentable,” luah Atikah tentang gambaran lelaki idamannya.

Apabila diajukan persoalan tentang jodoh pula, Atikah menyandarkan semuanya kepada ketentuan Ilahi. Jodoh akan datang dengan sendirinya, malah katanya ia tidak perlu dipaksa-paksa. Biarlah misteri jodoh itu bakal menjadi sebahagian dari momen hidup yang terindah dalam dirinya.

“Apabila kita yakin bahawa si dialah yang kita nanti-nantikan selama ini, maka kita perlu berani menyuarakan hasrat apa yang terbuku di dalam hati. Jangan pendam sehingga menunggu si lelaki tersebut meluahkan perasaan kepada kita. Akhirnya apabila sama-sama takut meluahkan perasaan, jodoh di depan mata pun boleh terlepas begitu sahaja. Malah saya juga percaya, wanita masa kini lebih berani untuk meluahkan apa yang dirasakan tentang cinta,” jelas Atikah lagi.

Begitu juga apabila membayangkan tentang impian di majlis perkahwinannya nanti. Menurut Atikah, dia mahukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan, malah turut bersifat ekstrem.

“Saya teringin hendak mengadakan majlis resepsi nanti di mana pengantin akan turun ke bawah dengan menggunakan payung terjun. Apabila berarak pula diiringi dengan paluan kompang. Ketika itu, saya sedang menggayakan gaun kembang dan berjalan penuh sopan bersama si dia di sisi. Tentu sekali istimewa, malah saya sendiri tidak dapat membayangkannya lagi. Maklum la sekadar angan-angan,” jelasnya disulami dengan tawa kecil.

“Tapi apa yang pasti, gaun pengantin menjadi sesuatu yang cukup penting bagi saya. Jika ada penajaan sekali pun untuk majlis itu, boleh tapi baju pengantin tetap menjadi sesuatu yang personal. Biarlah saya sanggup membelinya asalkan ia menepati impian dan cita rasa saya.