Kadangkala Warna busana pilihan untuk disarung pada hari bahagia sering menjadi kebingungan buat mempelai. Pelbagai Warna yang boleh dijadikan pilihan, namun terdapat warna yang tidak lapuk ditelan zaman.

Warna yang dimaksudkan ialah warna putih yang sentiasa “EVERGREEN”. Selain melambangkan kesucian, warna ini mampu membangkitkan mood yang tenang dan harmoni.

Warna putih menjadi pilihan bagi majlis-majlis istimewa dan penyatuan dua hati seperti akad nikah, pertunangan dan persandingan. Cukup anggun gaya gadis yang mengenakan busana putih sama ada dibuat daripada fabrik sutera mahupun songket. Jelas terpancar keserian wajah yang dioles dengan solekan bak seorang ratu. Ditambah layah panjang atau sanggul berhias tiara, membuat yang memandang tidak berkedip mata.

Sepertimana yang kita lihat, warna putih juga sering dipakai oleh orang barat sejak dahulu kala lagi. Sebagai contoh, perkahwinan pelakon terkenal Hollywood, Grace Kelly yang berkahwin dengan kerabat diraja menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Walaupun perkahwinan aktres jelita ini sudah sekian lama, namun busana yang disarung di hari perkahwinannya masih relevan hingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, malah, gaun perkahwinannya menjadi inspirasi oleh pereka fesyen di seluruh dunia.

Rekaan yang ringkas dan minimalis boleh memberi impak elegan dan eksklusif buat si pemakai. Tambahan lagi, warna putih itu sendiri memberi nilai elegansi tersendiri yang cukup eksklusif. Tambahkan sedikit labuci mahupun perincian pada busana tersebut, nescaya penampilan anda di hari bahagia menyerlah dan mempersona.

Sekiranya ingin kelainan, anda boleh menggabungkan perincian yang mempunya sedikit warna. Namun harus diingatkan, pemilihan warna perincian bersama busana berwarna putih haruslah tidak terlalu kontra. Sebaiknya, pilihlah perincian berwarna pastel seperti merah jambu lembut, biru lembut, hijau lembut, kelabu dan lain-lain lagi.

Gabungan renda senada pasti bakal menghasilkan busana yang mewah dan classy. Pelbagai jenis renda yang ada di gedung fabrik yang boleh anda padankan bersama busana pilihan anda. Sebagai contoh, anda boleh memilih renda Perancis sebagai pilihan. Selain menjanjikan kualiti yang baik, renda jenis ini mampu melahirkan impak yang elegan buat busana perkahwinan anda.

Pereka terkenal tempatan, Dato’ Rizalman Ibrahim sering mengilhamkan busana perkahwinan dengan percikan warna putih. Dengan bakat yang beliau miliki, setiap sentuhan beliau pastinya menghasilkan busana perkahwinan yang cukup menawan. Walaupun ada sesetengan rekaan yang ditampilkan ringkas, namun letusan idea dengan sulaman fabrik dan taburan batu permata yang tepat, maka lahirlah helaian eksklusif yang mampu memberi nilai eksklusiviti yang cukup tinggi.

Semestinya, pilihan warna putih buat ratu sehari menjadikan momen perkahwinan anda lebih nyata. Eksentrik warna tersebut memberikan satu fenomena dan definisi perkahwinan yang sebenar.

Warna “EVERGREEN” ini meninggalkan satu kenangan yang paling terindah buat mempelai di majlis raikan cinta. Lihatlah gambar perkahwinan anda yang diabadikan di dalam album selepas 10 tahun, nescaya ia seolah baru sahaja berlangsung kerana warna putih yang pastinya “EVERGREEN”.