Sebaik memasang niat untuk berumah tangga, banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum meneruskan fasa seterusnya. Jangan ambil mudah sebagaimana anda bujang kerana setiap bakal pengantin perlu lebih bertanggungjawab dengan setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan. Sentiasalah berfikiran rasional dan memikirkan akibatnya jika anda membuat keputusan yang salah.

Sebelum berhasrat mendirikan rumah tangga, sebaiknya ikuti nasihat dan tip berguna yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus ini. Moga nasihat dan tip ini dapat memberi kebahagiaan untuk anda dan pasangan membina rumah tangga kelak.

1. KETIKA MENCARI CALON

Memanglah secara zahir kecantikan rupa paras seseorang menjadi keutamaan dalam mencari jodoh. Namun rupa paras yang elok tidak selamanya berpanjangan. Sebaiknya serapkan hati yang ikhlas dan baik sebagai perhiasan penting dalam diri. Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak anda. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak anda.

2. KETIKA MELAMAR

Anda bukan sedang meminta kepada orang tua atau wali si gadis, tetapi mintalah kepada Allah SWT melalui orang tua atau wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH

Anda berdua bukan bernikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN

Senaraikan jumlah tetamu yang akan diundang ke majlis anda untuk mereka mendoakan rumah tangga dan kebahagiaan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk bercerai kerana mengiakan doa mereka.

IKLAN

5. KETIKA MALAM PERTAMA

Jangan gelojoh dan belajarlah untuki bersyukur dan bersabar. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat. Laluilah dengan penuh sopan dan barakah sebagai sepasang suami isteri. Layani pasangan dengan rasa tanggungjawab dan kasih sayang.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA

Sedarilah bahawa jalan yang akan anda dan pasangan lalui bukan selamanya jalan yang bertaburan dengan bunga, tapi ada ketikanya anda berdua akan melalui semak belukar yang penuh dengan onak duri. Laksanalah tanggungjawab anda sebagai suami isteri kerana hidup berkeluarga tentunya banyak cabaran dan laluilah dengan tenang.

7. KETIKA RUMAH TANGGA GOYANG

Ketika berdepan dengan masalah rumah tangga, jangan saling berlepas tangan sebaliknya anda berdua haruslah saling erat berpegang tangan. Apabila dilanda masalah bukanlah bererti anda dan pasangan perlu bermasam muka. Bincanglah secara matang untuk setiap permasalahan itu agar ia dapat dirungkai satu persatu dengan penuh bijaksana.

IKLAN

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK

Cintailah pasangan dengan sepenuh jiwa. Jika belum dikurniakan zuriat, jangan pula dijadikan pasangan sebagai senjata untuk anda tidak setia kepadanya. Bersabarlah kerana Allah SWT sentiasa mempunyai perancangan yang terbaik untuk anda berdua dan layanilah isteri dengan sebaiknya.

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK

Terapkan rasa cinta terhadap pasangan dan anak-anak dengan sepenuhnya. Walaupun telah memiliki cahaya mata, jangan sekali berubah cinta dan kasih sayang terhadap pasangan. Sebaliknya cambahkan cinta dan kasih sayang serta sentiasalah bersyukur dengan kebahagiaan yang dimilliki.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM

Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri. Hidup ada turun naiknya. Sama-samalah berkuat semangat untuk menempuh cabaran dalam mengendalikan kewangan keluarga.

IKLAN

11. KETIKA EKONOMI BERKEMBANG

Jangan lupa akan jasa pasangan yang setia mendampingi anda semasa senang mahupun susah. Sentiasalah menghargai pasangan dengan membuat kejutan dan membawanya ke tempat yang disukai agar ada kemanisan dalam rumah tangga.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI

Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi janganlah lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan anda. Jangan mengharapkan isteri dalam semua perkara, sebaliknya suami haruslah sama-sama berperanan mendidik anak dan menguruskan rumah tangga.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI

Sentiasalah menghormati suami dengan lemah-lembut dan layanlah suami dengan rasa ikhlas tanpa dipaksa kerana syurga anda di bawah tapak kakinya. Hindari dosa yang bakal membebani suami dan berkomunikasilah dengan berhemah bagi mengelakkan ada salah faham dalam rumah tangga

Sumber: islamituindah.com.my

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI