Wanita yang mempunyai saiz badan yang agak besar atau plus size pastinya ingin terlihat anggun dan mempesona saat bergelar raja sehari.

Masalah yang sering dialami bagi golongan ini adalah gaya atau busana paling tepat agar tampak langsing dan bergaya.

Edisi kali ini menghadirkan lima tip atau cara berpakaian bagi wanita plus size agar tampak langsing dan menyerlah di hari bahagia.

Potongan Busana

Pemilihan busana dengan cetusan sexy shoulder membiaskan ilusi terbaik pada bahagian atas badan terutamanya bagi yang mempunyai rangka bahu yang besar dan lebar.

Pilihan samada bukaannya hanya melewati paras bahu (off shoulder) mahupun sehingga ke pangkal dada. Potongan kolar berbentuk v-shape juga sesuai dan akan memberikan kesan leher yang lebih jinjang.

Busana akan tampak lebih indah dengan disusuli rekaan lengan daripada fabrik renda perancis polos, hanya hujung lengan direka sulam sedikit sarat.

Fabrik Bermotif

Sekiranya anda memilih fabrik atau busana yang mempunyai corak atau motif, elakkan daripada memilih motif horizontal dan saiz motif yang terlalu besar.

Sebaiknya anda memilih busana bermotif garis-garis vertikal dan secara tidak langsung, tubuh gempal terlihat tinggi dan ramping. Biasan garisan-garisan yang dihasilkan mencetuskan ilusi yang lebih lansing dan kurus. Tip ini mungkin kelihatan kecil, namun mempunyai pengaruh yang sangat besar secara visual.

Aksesori Ideal

Memilih aksesori yang sesuai tidak kurang pentingnya untuk penampilan yang lebih menyerlah. Pemilihan aksesori, tas dan sepatu yang tepat sangat penting bagi memastikan penampilan anda agat tidak kelihatan terlalu sarat dan berat.

Kebanyakan kaum wanita mengalami kesulitan menggunakan sepatu yan terlalu tinggi, jadi pilihlah sepatu yan tidak terlalu tinggi atau menggunakan wedges. Sepatu yang agak tinggi akan memberi kesan tubuh yang lebih jinjang bagi orang bertubuh gempal.

Pilihan Fabrik

Dari segi pemilihan fabrik,  wanita plus size perlu memilih fabrik yang lebih lembut dan polos seperti sifon, sutera, atau satin yang tidak terlalu berkilat.

Elakkan dari memilih fabrik jenis jersey atau fabrik jenis melekat di tubuh kerana ia akan menampakkan lagi susuk tubuh badan anda yang gempal itu.

Anda juga disarankan supaya memilih jenis fabrik yang lebih berat kerana ia bakal menghasilkan siluet yang lebih kemas dan terletak.

Memahami Bentuk Tubuh

Tip terakhir yang tidak kurang pentingnya dalam tip memilih busana bagi wanita plus size adalah dengan memahami bentuk tubuh badan anda sendiri.

Seperti mana yang kita ketahui, wanita bertubuh curvy juga memiliki bentuk tubuh beragam.  Oleh  kerana itu, pemilihan busana yang sesuai dan tepat turut menentukan kecantikan dan keanggunan penampilan anda di hari bahagia.