• 301
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    301
    Shares

Kenangan terindah melayari pasca bulan madu selepas berkahwin adalah satu detik yang sukar dilupakan oleh semua pasangan pengantin. Kebahagiaan dirasai bak bunga mekar di taman. Begitu indah hingga sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Banyak kelebihan berbulan madu sebenarnya dalam rumah tangga antaranya ia dapat mengeratkan hubungan antara pasangan suami isteri tidak kira yang baharu mendirikan rumah tangga mahupun yang sudah lama.

Hakikatnya kenikmatan bulan madu boleh dirasai dan dicipta tanpa mengira lokasi dan situasi. Hadirkan suasana bahagia bulan madu di sepanjang pelayaran bahtera rumah tangga anda bersama insan tercinta. Anda dan pasangan tidak perlu terikat dengan masa mahu pun  kos yang tinggi untuk menikmati indahnya bulan madu buat sekian kalinya. Pilih hari teristimewa buat anda berdua dan raikannya dalam suasana bulan madu yang terindah hanya di rumah.

Berdua Lebih Baik

Pastikan di rumah hanya ada anda berdua sahaja ketika itu. Jika telah mempunyai anak, maka pandai-pandailah untuk menghantar mereka sementara ke kampung, rumah adik beradik atau sebagainya. Berikan apa sahaja alasan yang logik untuk mengizinkan anda menikmati musim bulan madu tanpa gangguan. Lakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Ini kerana kasih sayang tidak terus subur tanpa dipupuk. Ibarat pokok, ia perlu dibaja agar terus hidup subur.

Cipta Suasana Berbeza

Jelmakan suasana romantis di dalam rumah terutamanya untuk ruang kamar tempat anda bermadu kasih. Pasangkan cahaya yang malap bertemankan aroma romantis agar tercipta suasana indah seperti malam pertama. Dalam pada itu, ada baiknya kamar tidur turut diserikan dengan kuntuman bunga ros sebagai dekorasi berkesan. Sememangnya ros sering menjadi perlambangan luahan kasih  dan sayang antara seorang lelaki dan juga wanita.

Makan Malam Bertemankan Lilin 

Suasana romantik pasti tidak akan lengkap tanpa sesi makan malam berdua. Memikirkan cara agar lebih hebat, ada baiknya meja di hias ringkas bertemankan cahaya lilin sebagai penyeri. Namun jika janggal menikmati hidangan dalam suasana kelam, letakkan sahaja taburan kelopak ros di atas meja sudah memadai untuk mencipta mood romantis di meja makan.

Berpenampilan Hebat

Selain soal makanan, ada satu lagi perkara penting dalam menikmati kehebatan bulan madu di rumah. Bagi si isteri, perlulah mengenakan pakaian yang cantik dan menarik. Sebaiknya pakailah pakaian baru yang sedikit seksi untuk tatapan si suami. Begitu juga buat si suami, perlu berpakaian kemas untuk memancing tumpuan si isteri.

Menonton Bersama

Usai menjamu selera, penuhi aktiviti bulan madu anda dengan menonton filem romantis dalam suasana yang nyaman. Kebiasaannya, menonton filem romantis jika ditonton bersama pasangan tercinta akan memberi kesudahan yang hebat terutamanya jika ditonton lewat malam.  Tentu hebat bunyinya bukan? Jadi apa lagi, bolehlah cuba dengan pasangan masing-masing. Siapa kata bila di rumah kita tidak boleh berbulan madu? Yang penting anda dan pasangan bijak mengadun agenda untuk ‘dinikmati’ bersama-sama.

via GIPHY

Anda Mungkin 'Love' Ini:

Jangan Lupa Komen:

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: