Agenda percintaan antara Mawar dan Raf berlangsung dalam tempoh yang singkat. Enggan lama dalam melayari alam percintaan, pasangan ini mengambil kata sepakat untuk menghalalkan hubungan suci ini dengan sebuah ikatan perkahwinan.

Selain ruang hati yang sedang berbunga, kepercayaan terhadap jejaka yang dikenali sejak awal tahun ini juga semakin kukuh terpateri. Mawar telah meletakkan sepenuh jiwa dan raganya kepada Raf untuk membimbingnya menjadi suri yang menjadi pelengkap kehidupan Raf.

Hanya Selepas Dua Bulan Perkenalan, Saya Yakin Inilah Pilihan Terbaik

IKLAN

Cinta Pandang Pertama

Mungkin inilah yang dinamakan cinta pandang pertama. Pertemuan Mawar dan Raf yang diaturkan oleh Emma Maembong telah mencetuskan degup cinta dalam diri masing-masing. Pertama kali bertentang mata sudah membibitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Hanya empunya diri sahaja yang dapat mentafsirkan perasaan murni itu.

“Sebelum bertemu dengan Raf, saya tidak pernah percaya tentang cinta pandang pertama. Namun selepas melaluinya sendiri saya sedar bahawa hakikatnya cinta pandang pertama itu sememangnya wujud. Saat pertama kali bersua wajah dengan Raf, dia telah berjaya mencuri hati saya.

 

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Raf untuk menoktahkan hubungan kami berdua ke arah yang lebih serius membuatkan saya yakin bahawa dialah jodoh saya. Meskipun tempoh perkenalan antara kami berlangsung dalam tempoh yang singkat namun bagi saya, sesuatu yang baik itu mengapa harus dilengah-lengahkan. Saya yakin inilah pilihan yang terbaik buat diri saya. Hanya selepas dua bulan tempoh perkenalan, kami terus melangkah ke fasa yang lebih serius.

 

“Memang ada yang bertanya, tidakkah terlalu cepat saya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga sedangkan tempoh perkenalan kami berdua baharu setahun jagung. Apa yang boleh saya katakan sepanjang berkawan dengan Raf, dia banyak memberikan impak positif kepada diri saya. Malah restu daripada kedua-dua belah keluarga juga menguatkan lagi hubungan cinta kami berdua. Mungkin inilah yang dinamakan jodoh,” kongsi Mawar memulakan bicara tentang hubungan cinta bersama tunangannya.

Hanya Selepas Dua Bulan Perkenalan, Saya Yakin Inilah Pilihan Terbaik

Jodoh Tertulis Di Luh Mahfuz

“Berkait tentang Raf yang berstatus duda sebenarnya ia bukan satu masalah besar pada diri saya. Mungkin sudah tertulis di Luh Mahfuz yang jodoh saya dengan Raf. Allah sudah aturkan semuanya sebaik mungkin. Yang penting, calon suami saya mampu membimbing saya ke arah hidup yang lebih baik. Status yang ada pada diri Raf bukanlah satu halangan untuk kami hidup bersama. Azam saya ialah untuk menjadi isteri yang terbaik untuk Raf.

 

“Saya juga sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai ibu kepada dua orang cahaya mata Raf. Saya ikhlas menerima anak-anak Raf. Lagipun saya memang suka dengan kanak-kanak. Naluri keibuan itu datang secara natural,” ujar Mawar ringkas.

Hanya Selepas Dua Bulan Perkenalan, Saya Yakin Inilah Pilihan Terbaik

Lelaki Romantik

“Istimewanya Raf di mata saya ialah dia seorang lelaki yang romantik setiap masa bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Pendek kata, setiap hari ada sahaja perkara romantik yang dilakukannya. Antara perkara romantik yang pernah dilakukan Raf sepanjang tempoh perkenalan kami berdua ialah kiriman bunga di lokasi penggambaran, kata-kata indah yang diselitkan bersama kad dan gambar kami berdua serta hadiah hari jadi yang langsung tidak pernah saya jangkakan.

 

“Saat Raf melamar saya pada 7 Jun yang lalu di rumah yang bakal kami duduki selepas bersatu nanti, saya rasa cukup terharu. Tindakan Raf itu benar-benar mengusik jiwa saya sebagai seorang wanita. Dia begitu menghargai saya sebagai seorang wanita yang istimewa di hatinya,” ujar Mawar.

Keserasian Kunci Utama

Raf pula mengakui bahawa dia sangat sukakan Mawar kerana terpikat dengan nilai santun yang ada pada diri calon isterinya itu. Ujar Raf, meskipun mereka berbeza usia 10 tahun namun cara pemikiran dan tindakan Mawar mencerminkan yang dia seorang yang matang.

IKLAN

“Dalam usia yang masih muda, Mawar sudah pandai berdikari. Sikapnya yang sukakan kanak-kanak telah berjaya mencuri hati saya. Melihat Mawar melayan anak buahnya dengan penuh manja dan kasih sayang meyakinkan saya yang Mawar boleh menjaga anak-anak saya dengan baik. Mawar bijak membawa diri. Saya yakin Mawar tiada masalah untuk menyesuaikan diri apabila kami berkahwin nanti.

 

Mawar juga nampaknya sudah benar-benar bersedia untuk menjadi ibu kepada dua orang anak-anak saya. Raden Ahmad Rayyan, 6, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 2, nampak selesa apabila bersama dengan Mawar. Hubungan saya dengan anak-anak terlalu rapat. Sebenarnya antara kriteria utama mengapa saya memilih Mawar sebagai calon isteri ialah keserasian antara anak-anak saya dengan Mawar. Ini merupakan kunci utama sebelum saya mengambil keputusan untuk memperisterikan Mawar,” ungkap Raf yang hidup menduda sejak setahun yang lalu.

Hanya Selepas Dua Bulan Perkenalan, Saya Yakin Inilah Pilihan Terbaik

IKLAN

Akui Raf, sebenarnya dia sendiri tidak menjangkakan hubungan mereka berdua akan serius sehingga ke tahap ini. Tambah Raf lagi, semakin dia mengenali Mawar, terasa semakin dekat dirinya dengan Mawar.

“Memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat diri saya, maka saya mengharapkan agar perkahwinan ini yang terakhir dalam hidup saya. Doakan saya dan Mawar kekal bahagia hingga ke syurga. Saya berazam untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik,” kata Raf.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI