• 20.3K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    20.3K
    Shares

Saat pengantin berarak menuju ke pelamin, mereka akan diiringi pengapit pengantin yang ditugaskan untuk menjaga dan memastikan pengantin sentiasa terjaga dan sempurna. Peranan pengapit pengantin di majlis kahwin amat penting dan tidak boleh diambil mudah.

Ini kerana pemilihan pengapit pengantin yang salah dan tidak tepat boleh menyebabkan majlis kahwin terjejas dan tidak berjalan dengan lancar. Jika anda terpilih untuk menjadi pengapit pengantin, ini enam perkara penting yang perlu anda beri perhatian.

1. PAKAIAN PENGAPIT PENGANTIN

Pastikan warna pakaian pengapit pengantin senada dan sepadan dengan warna yang dipakai oleh pengantin. Menjkadi kesalahan jika pengapit  pengantin memakai pakaian yang sarat dan melebihi pengantin itu sendiri. Cukup sekadar anda menyarungkan pakaian yang ringkas seperti kurung moden, kebaya mahupun dress minimalis sebagai pilihan.

2. DATANG AWAL KE LOKASI

Pastikan anda tiba awal ke lokasi ataupun rumah pengantin. Datang sekurang-kurangnya satu jam awal sebelum majlis kahwin berlangsung. Sebaiknya tinggal berhampiran rumah mahupun lokasi majlis kahwin agar ia memudahkan urusan anda dengan pengantin.

3. TAHU TUGAS PENGAPIT PENGANTIN

Sebelum anda bersetuju untuk menjadi pengapit pengantin, pastikan anda mengetahui tugas-tugas anda. Tugas pengapit pengantin bukan sahaja mengiringi pengantin ke atas pelamin, namun anda perlu menjaga pengantin dari semua aspek seperti mengurangkan keresahan pengantin, menarik kerusi pengantin ketika sesi makan beradab, mengipas pengantin semasa bersanding, lap peluh pengantin dan sebagainya. Ibaratnya, anda perlu melayan mereka seperti raja dan ratu sehari.

4. BAWA SPAN MEKAP

Ini amat penting bagi pengapit pengantin membawa span mekap untuk mengelap peluh pengantin. Perkara ini mungkin nampak remeh, namun perlu dititikberatkan agar penampilan pengantin sentiasa terjaga. Jangan sesekali menggunakan tisu kerana ia akan menyebabkan solekan pengantin terjejas, malah akan ada kesan tisu yang melekat di wajah pengantin. Anda boleh minta span mekap ini daripada jurusolek yang menatarias pengantin pada hari tersebut.

5. SENTIASA SENYUM

Pastikan anda sentiasa melemparkan senyuman manis ketika menjadi pengapit pengantin. Berikan senyuman seikhlas mungkin kerana selain pengantin, tetamu juga akan melihat anda ketika mengiringi pengantin bersanding. Paling penting jangan tinggalkan pengantin sebaik sahaja pengantin bersanding. Tugas anda bukan hanya separuh jalan sebaliknya ia harus dibuat sehingga selesai majlis kahwin. Sekiranya pengantin mempunyai sesi bergambar di luar, anda juga harus ikut serta agar anda dapat membantu pengantin melancarkan sesi fotografi.

6. JAGA PENAMPILAN 

Pengapit pengantin harus tampak kemas dan mengikut tema majlis kahwin yang telah ditetapkan. Pastikan penampilan pengapit pengantin cantik dan sempurna. Bagi lelaki, jangan sesekali memakai selipar ataupun seluar jean ketika menjadi pengapit pengantin. Untuk wanita pula, elakkan berpakaian seksi dan menjolok mata jika anda ditugaskan sebagai pengapit pengantin. Khuatir tetamu akan memberi perhatian yang lebih kepada anda berbanding pengantin yang diraikan.

Anda Mungkin 'Love' Ini:

Jangan Lupa Komen:

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: