Suami sepuluh tahun lebih tua? Suami tua isteri muda bukan luar biasa. Kalau setakat sepuluh tahun perbezaan usia, tidak ketara walau sedikit pun.
Jadi, kalau ada jejaka dengan jarak usia seperti itu masuk meminang, jangan berwalang durja. Lagi pun berdasarkan pengalaman, orang lelaki biasanya awet muda. Walaupun usia sudah mencecah setengah abad, bentuk tubuh dan daya tahan masih seperti remaja belasan tahun.
Sebaliknya orang perempuan cepat dimamah usia. Selepas melahirkan seorang anak nampak sangat perubahan bentuk tubuhnya. Berat badan meningkat, dan tubuh yang dulu ramping mula kurang kerampingan. Jika selepas melahirkan tubuh tidak dibaik pulih dengan sempurna, baru masuk 40 isteri sudah kelihatan lebih tua dari usia. Jadi, janganlah bimbang sekiranya anak dara hendak dijodohkan dengan teruna yang sepuluh tahun lebih muda.
Demikian pula halnya sekiranya seorang anak teruna berkahwin dengan gadis atau janda yang lebih tua sepuluh tahun. Ini jarang terjadi dalam kalangan masyarakat kita, tetapi bukan sesuatu yang luar biasa.
Perihal isteri lebih tua dari suami tidak sepatutnya dijadikan isu. Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang usianya jauh lebih tua. Tidak kira berapa jarak usia dengan suami, isteri tetap isteri.
Jangan pula oleh sebab usia lebih tua, si isteri menganggap dia sebagai kepala keluarga. Dia tidak boleh mengatasi peranan suami. Suami tetap ketua keluarga. Betapa hebatnya isteri, dia hanya pembantu keluarga. Mungkin dia boleh memegang beberapa portfolio lain seperti ketua kewangan, ketua keselamatan, dan sebagainya. Tetapi jawatan No.1 mesti pada suami, walaupun dia sepuluh tahun lebih muda.
Selagi masing-masing faham dan dapat memainkan peranan dengan baik, faktor usia bukan satu masalah. Siapa lebih tua bukan isunya. Lagi pun seperti yang selalu diberitahu, usia hanyalah angka. Jadi apa yang hendak dibimbangkan pada angka-angka itu.
Apa yang penting dalam perkahwinan ialah persefahaman. Ini sebenarnya satu cabaran. Sebab selepas menjadi suami-isteri kita mula masuk ke alam rumah tangga sebenar.
Banyak yang perlu difikirkan setelah menjadi suami-isteri. Banyak yang perlu dipelajari untuk melayari bahtera rumah tangga. Kena tolak ansur dalam semua perkara. Kena banyak sabar, dan kena menyesuaikan diri dengan suasana baru. Sekiranya persefahaman dapat diwujudkan, usia walaupun bezanya berpuluh tahun langsung tidak menjadi halangan kebahagiaan.
Kesimpulannya, tidak kira siapa yang lebih tua, bahtera hidup itu akan berlayar sempurna sekiranya masing-masing bijak berdayung. InsyaAllah! Lagi pun kata orang usia hanyalah angka. Apa hendak dibimbangkan pada angka-angka itu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Makanan Sunnah Pasangan Suami Isteri Patut Amal Untuk Dapatkan Anak Bijak
Menjaga pemakanan sangat penting untuk satu organ kita yang sangat penting iaitu otak. Mengapa menjaga pemakanan itu penting di dalam Islam? Di sini saya melihat pada konteks yang diajarkan Allah swt di dalam al Qur’an seperti firmannya:
Ya, makanlah dari rezeki yang baik-baik sebagai tanda syukur pada nikmat dari Allah swt. Menjaga pemakanan bermakna kita juga menjaga tubuh fizikal yang dikurniakan Allah swt. Ini juga menjadi sebahagian ibadah sebagai hamba Allah, salah satu cara hidup dalam Islam. Rezeki yang baik-baik pula semestinya halal kerana setiap yang haram dan dilarang oleh Allah swt dan RasulNya adalah memudaratkan manusia.
Dari al Quran telah diberi panduan bagaimana mencari yang terbaik bagi diri kita. Rasulullah saw juga amat tegas tentang soal menjaga kesihatan dan keberadaan tubuh badan seperti sabda Baginda:
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”Hadis Riwayat Bukhari
Menunaikan hak terhadap tubuh badan adalah menjaganya dengan baik serta selamat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani bagi memastikan tubuh badan kita dapat berfungsi secara optimum dan berupaya mencapai potensi dan matlamat hidup berpandukan agama. Menjadi Mukmin yang kuat juga adalah lebih dituntut berbanding dengan mukmin yang lemah seperti sabda Baginda saw lagi:
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.”Hadis Riwayat Muslim
Oleh itu, kali ini saya ingin berkongsi sunnah Rasulullah s.a.w sebgai panduan dalam pemlihan makanan yang diambil yang mana secara tidak langsung dapat membantu agar tubuh badan kita menjadi lebih sihat.
Dengan izin Allah swt juga, makanan-makanan ini bukan sahaja membantu mencerdaskan otak malah memberi kesihatan tubuh, melambatkan, mencegah serta membantu kesembuhan pada penyakit-penyakit yang melibatkan struktur dan fungsi otak seperti Dementia, Schizophrenia, Alzheimer, Parkinson, Strok dan lain-lain penyakit lagi.
Makanan Sunnah #1 – Madu
Madu merupakan satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.
Menjaga keberadaan sel adalah sangat penting kerana ada berbilion sel yang menjadi komponen utama otak. Otak memerlukan sel-sel dan saraf yang sentiasa berhubung bagi melakukan penyampaian matlumat agar mudah dan cepat diproses dan disimpan di dalam memori.
Terdapat banyak lagi kelebihan pada madu yang menjadi penawar pada pelbagai penyakit dan ini selari dengan janji dalam firman Allah swt:
Makanan Sunnah #2 – Kismis
Buah anggur segar mengandungi kandungan vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak membantu menjaga kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu melawan radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin, riboflavin dan folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.
Kismis juga merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah saw tentang kismis adalah:
“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”
Manakala ramai ulama’ yang menggalakkan pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya ingatan otak seperti Ibni Qayyim sebagai berkata:
“Sesiapa yang ingin menghafal hadis hendaklah sering memakan kismis.”Petikan kitab Tibb an-Nawawi
Kismis sebagai makanan otak telah lama dibuktikan dalam amalan pemakanan para ulama’ Islam yang rata-rata berjaya meraih taraf ilmuwan di usia muda dan dalam pelbagai bidang. Pencapaian luar biasa para ulama’ terdahulu membuktikan tahap luar biasa kapasiti otak yang mereka bentuk sejak kecil lagi.
Makanan Sunnah #3 – Kurma
Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan antioksida yang lengkap untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf sebagai pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit.
Antaranya kurma dapat membantu pesakit anemia, menguatkan tulang, meningkatkan tenaga batin, mengawal berat badan, mencegah kanser dan mengelak serangan angin ahmar. Potassium di dalam kurma pula menjadi agen utama dalam menjaga kesihatan sistem saraf. Ini telah meningkatkan kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.
Amalan memakan kurma bukan sahaja boleh dilakukan oleh individu malah digalakkan kepada wanita mengandung untuk memakannya bagi membentuk otak yang sihat buat bayi di dalam kandungan. Buah kurma juga telah diiktiraf oleh Rasulullah saw sebagai makanan yang baik untuk otak seperti sabda Baginda:
“Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”
Ini dikuatkan lagi dengan kisah Maryam di dalam Quran di mana Allah swt telah menjadikan kurma sebagai santapan Maryam setelah kelahiran Nabi Isa as. Ini membuktikan keajaiban kurma sebagai penyembuh dan zat lengkap bagi manusia.
Makanan Sunnah #4 – Buah Tin
Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma, kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.
Secara saintifiknya apabila komponen dan keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan berada dalam keadaan kesihatan yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you are what you eat‘ juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan. Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan sepenuhnya oleh darah.
Aktiviti penyingkiran toksin dan sisa buangan juga dapat dilakukan dengan lebih efisien. Darah yang terhasil adalah lebih berkualiti dan darah ini akan mudah diangkut ke seluruh badan termasuk otak. Bukan sahaja otak mendapat segala kebaikan malah antioksida, vitamin dan mineral dari buah ini juga dapat mengelak keradangan otak dan meningkatkan fungsi otak. Buah tin yang juga dapat mengawal tekanan darah mampu membantu dalam menangani tekanan dan mengelak serangan strok.
Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini diangkat sebagai buah dari syurga seperti sabda Baginda saw:
“Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.”Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti
Makanan Sunnah #5 – Minyak Zaitun
Saya cukup terpikat dengan pujian Allah swt kepada minyak zaitun yang bercahaya dan menjadi sumber cahaya di dalam surah an-Nur ayat 35 seperti berikut:
Ayat ini bukan sahaja memberi gambaran betapa indahnya cahaya itu malah menjadikan saya berfikir apakah yang menjadikan minyak zaitun bukan sahaja bercahaya seperti di dalam ayat di atas malah para ulama’ mengatakan bahawa minyak zaitun boleh menerangi hati seorang penuntut ilmu menjadikan hafalannya mudah dan hidayah Allah swt sentiasa menaunginya.
Suatu ilmu akan mudah difahami dan dihafal dengan keupayaan otak yang cemerlang. Di dalam Islam, ilmu juga diumpamakan sebagai cahaya. Bagai ada suatu hubungan antara sifat ilmu dan minyak zaitun serta hubung kait dengan otak. Apakah rahsianya?
Minyak zaitun kaya dengan polyphenols- antioksida semulajadi, lemak sihat, sumber bagi Omega 3 dan Omega 6 yang juga terdapat di dalam ikan, avokado dan kekacangan. Antara khasiatnya adalah menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, mengawal tekanan darah, mengurangkan tanda-tanda penuaan, menguatkan sistem imunisasi, melindungi dari kesan radikal bebas dan mengelak keradangan.
Para saintis juga telah menemui bukti bahawa minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap tulang dan kesihatan penghadaman serta agen anti-kanser. Tubuh badan yang sihat membantu otak menjadi cerdas secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. Mungkin kunci utamanya adalah lemak berguna di dalam minyak zaitun yang penting bagi pemantapan kondisi otak kerana 60% komponen otak adalah lemak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pastikan 7 Pengajaran Ini Ada Saat Jalinkan Hubungan Agar Cinta Anda & Si Dia Semakin Melekat!
Setiap pasangan bercinta pasti tidak akan terlepas daripada perselisihan faham dan pergaduhan. Lumrah percintaan, ada kalanya pasang surut. Setiap perkara yang berlaku harus dijadikan pengajaran agar anda dan pasangan dapat meneruskan perhubungan dalam melayari susah senang bahtera yang ingin dibina.
Percayalah, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Begitu juga dalam hubungan cinta. Pertahankan cinta yang disemai selama ini agar ia tidak putus di pertengahan jalan. Jadikan pengajaran pada setiap yang berlaku supaya hubungan anda dengan si dia bertambah erat dan semakin melekat.
Jom kita lihat 7 pengajaran cinta yang boleh anda peroleh ini.
1. SISTEM SOKONGAN
Percayalah tidak ada manusia dicipta dengan sempurna serta mampu hidup sendiri. Atas alasan itu, lengkapkan diri dengan menjadi sistem sokongan kepada anda dan pasangan. Jadikan segala kekurangan sebagai saluran untuk melengkapkan cinta serta kehidupan.
2. MELEPASKAN KERAGUAN
Cinta ibarat satu lembar perasaan yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Kepercayaan adalah azimatnya. Jadi lepaskan segala keraguan yang ada dengan meletakkan azimat kepercayaan tadi supaya ia menjadi ilham dan azam kepada satu perhubungan yang abadi.
3. PELAYARAN EMOSI
Emosi adalah satu tenaga yang boleh membuat anda teruja, sedih atau apa saja yang melibatkan anda resah dan gelisah! Pengajaran terbaik tentang emosi adalah bagaimana anda harus bijak mengawal daripada terus tenggelam di dalam permainannya. Jangan terlalu menurut sehingga membiarkan emosi yang mengawal diri dan perasaan secara keterlaluan.
4. MENCINTAI DIRI SENDIRI
Belajar menerima kelebihan dan kekurangan diri harus dititikberatkan terlebih dahulu. Pemuisi terkenal Oscar Wilde dalam salah satu karyanya menulis, “Cara terbaik untuk anda dicintai dan disenangi orang lain adalah dengan belajar bagaimana anda mampu mencintai diri sendiri.”
5. MENJADI POSITIF
Pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kata-kata yang keluar daripada tindakan seseorang sebenarnya menggambarkan siapa mereka. Ya, pasti ada saja cemburu dalam percintaan, namun anggap ia sebagai warna dalam melayari kehidupan bersama pasangan. Bersikap positif dan usah terlalu ambil pusing selagi belum ada sumber sah untuk anda membuat pertimbangan.
6. PENGHARGAAN
Kunci untuk dihargai adalah dengan menghargai orang sekeliling anda. Jangan sesekali mengharap penghargaan daripada orang lain jika anda sendiri tidak tahu menghargai persekitaran mahupun diri sendiri.
7. ROMANTISME
Baik lelaki atau wanita, anda perlu bijak mengadili pasangan dengan momen-momen indah biar ia terbit menjadi satu momen indah dalam perhubungan. Ingat! Menjadi romantik bukan sekadar memberi kuntuman ros atau sekotak strawberi bersalutkan coklat semata-mata, namun apa yang lebih penting bagaimana cara anda bertindak balas dengan pasangan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kini Mampu Kahwin Sebelum Usia 30-an, Ini 10 Cara Kukuhkan Duit Simpanan
Cuba periksa diri anda. Adakah tanda-tanda ini ada pada anda? Sekiranya tiada, tahniah diucapkan. Sekiranya tanda-tanda ini ada pada anda, jangan lagi bertangguh untuk mendalami ilmu pengurusan kewangan dan ubah status kewangan anda menjadi lebih baik. Terutama buat bakal pengantin, jangan terlalu selesa dengan kehidupan sedia ada. Cuba dan terus berubah untuk hidup yang lebih baik demi keluarga tersayang. Di sini kami berikan anda 10 tip untuk urus kewangan anda secara lebih bijak.
Ikuti 10 tips mudah atasi masalah tiada duit
- Berbelanja kurang daripada pendapatan
Walaupun teorinya nampak mudah, namun ramai yang terperangkap dengan hutang akibat terlebih berbelanja. Dengan mengurangkan perbelanjaan, anda akan lihat status kewangan anda menjadi lebih baik dan secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kehidupan anda. Amalkan beberapa tips berikut:
- Mulakan dengan menghapuskan/mengurangkan hutang. Apabila anda mula mengurangkan perbelanjaan, duit tersebut boleh digunakan untuk membayar segala hutang tertunggal anda.
- Simpan, simpan, simpan. Setelah hutang anda terkawal, terus mula menyimpan pula duit tersebut. Simpanan amat diperlukan ketika kecemasan, bekalan untuk persaraan dan kegunaan anda dikemudian hari.
- Senaraikan bil-bil bulanan anda. Cuba lihat segala bil anda dan cari apa yg boleh dikurangkan. Mana-mana servis yang tidak diperlukan, sila hentikan segera
- Pantau setiap sen perbelanjaan anda. Gunakan buku 555 atau apps di “smartphone” untuk merekodkan setiap perbelanjaan anda. Ini penting untuk pastikan anda berbelanja kurang daripada pendapatan
- Hapuskan/elakkan hutang dengan kadar bunga (interest) tinggi
Apabila seseorang itu mempunyai hutang yang banyak, kita perlu merangkan pelan pembayaran hutang. Mulakan membayar hutang yang mempunyai kadar bunga yang paling tinggi contohnya kad kredit. Elakkan menambahkan lagi hutang sedia ada
- Berbincang soal kewangan
Ramai yang fobia atau takut apabila bercakap soal kewangan. Walaupun sedang menghadapi masalah kewangan, masih tidak mahu meminta nasihat berkenaan kewangan atas alasan malu dan sebagainya. Akhirnya, tuan badan yang terpaksa merana seorang diri apabila nasi sudah menjadi bubur. Berbincanglah dengan jujur berkenaan kewangan dengan pasangan anda, ibu bapa, anak-anak, saudara mara atau rakan rapat anda.
- Berhenti cuba utk “impress” orang lain
Adakah anda termasuk di kalangan meraka yang membeli sesuatu kerana nak “impress” orang lain? Dek kerana tidak sanggup menerima sindiran akibat kita tidak mengikut trend atau tidak diterima di kalangan rakan-rakan kita. Jangan sampai kita terperangkap dalam hutang kerana berbelanja melebihi kemampuan kita semata-mata ingin dilihat “cool” di mata orang lain.
- “Do it yourself”
Banyak wang yang boleh dijimatkan sekiranya kita menggunakan konsep “Do it yourself (DIY)”. Antara kerja biasa yang boleh dilakukan sendiri seperti mambasuh kereta, memasak, memotong rumput, membaiki paip dan sebagainya. Sekiranya anda lakukan sendiri, sudah tentu kosnya akan lebih murah dan anda boleh berjimat melalui cara ini.
- Sentiasa memperbaiki diri
Di dalam islam, kita diterapkan dengan konsep hari esok lebih baik daripda hari ini. Konsep “continuos improvement” ini penting untuk survival kita di kemudian hari. Laburkan sebahagian masa dan wang anda untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kesihatan serta hubungan dengan Allah dan Manusia
- Sentiasa pantau perkembangan anda
“Plan, Do, Check, Act” adalah konsep yang biasa digunakan dalam organisasi korporat. Kita juga perlu merancang, melaksanankan, memantau dan mengambil tindakan dalam pengurusan kewangan kita. Sentiasa memantau perkembangan kewangan secara berterusan dengan menggunakan teknik yang lebih menyeronokkan. Antara contoh yang menarik adalah aplikasi yang memantau perkembangan senaman, larian atau pembakaran kalori dengan merekodkan setiap pencapaian anda.
- Bina “networking”
Antara kata-kata Robert Kiyosaki yang menarik perhatian saya ialah “The richest people in the world look for and build NETWORK. Everyone else looks for work”. Jadi, “networking” atau jaringan adalah penting dalam perjalanan kita menuju kebebasan kewangan.
- Mulakan bisnes sampingan
Cuba memulakan projek bisnes secara “part-time” atau pendapatan pasif untuk menambahkan pendapatan anda. Lihat diri anda dan cari kemahiran, pengetahuan atau sumber yang anda miliki yang boleh menjana pendapatan.
- Sedekah membawa berkah
Bila anda bersedekah secara ikhlas, insyaAllah pulangan lumayan menanti anda samada di dunia atau di akhirat. Pastikan anda peruntukkan minimum 5% daripada pendapatan anda untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan.
Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, (adalah) seperti satu biji (benih) yang menumbuhkan tujuh tangkai: tiap tiap tangkai ada seratus biji: dan Allah mengganda (pahala) kepada sesiapa yang Ia kehendak: dan Allah itu Luas (pemberiannya), amat Mengetahui” (Al Baqarah,2:261)
Follow Pesona Pengantin di Instagram #PesonaPengantin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI