Saya dan suami sudah hampir 10 tahun berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata. Baru-baru ini dia menyatakan hasrat untuk berpoligami dan meminta keizinan saya. Alasannya adalah kerana saya tidak boleh melahirkan anak untuknya.

Jauh di sudut hati saya masih menyayanginya dan dalam masa saya tidak mahu hidup bermadu. Apakah jalan terbaik untuk saya lakukan?

Perkara paling penting yang perlu dibuat ialah dengan menjalani pemeriksaan doktor.  Bermaksud anda bersama suami, sama-sama perlu jalani pemeriksaan tersebut untuk pastikan punca masalah. Andai punca masalah daripada suami, berkahwin lagi bukan jawapannya.

Andai masing-masing tiada bermasalah, bermakna bukan rezeki anda berdua untuk mempunyai anak buat masa sekarang ni. Mungkin ada kekurangan dalam diri anda berdua sebagai tanda masih belum bersedia untuk menerima tanggungjawab menjadi ibu dan bapa.

Teruskan usaha berserta doa. Andai benar masalah berpunca daripada anda sebagai isteri, suami perlu fahami, bahagia rumah tangga bukan dengan adanya anak, tetapi dengan usaha saling melengkapi antara suami isteri.

Anda tidak minta ketidaksempurnaan sebagai wanita yang tidak mampu melahirkan tetapi yakinlah, pasti anda hikmahnya. Andai dia masih mahu berkahwin lagi dan dia mampu, berikan peluang tetapi dengan syarat-syarat perjanjian agar diri anda tidak dianiayai.

Jangan fikirkan perceraian kecuali jika dia gagal adil dalam poligami nanti.

Oleh: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie