Kenapa jodoh aku lambat?Kenapa tak ada mana-mana lelaki/perempuan mahu mendekati aku? Menurut kajian, pada hari ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang berkahwin lambat. Namun apakah sebabnya? Adakah ada punca disebaliknya? Walaupun begitu, tidak salah sekiranya kita berusaha dan berikhtiar sehingga jodoh kita sampai jua akhirnya. Adakah ianya berpunya dari diri sendiri? Ataupun orang lain? Adakah kerana kita kurang berdoa meminta pertolongan daripada Allah SWT? Ini jawapan terbaik Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

BILA DITANYA MENGAPA LAMBAT JODOH MU?

“Mengapa jodoh saya lambat?” tanyanya penuh sayu.
Saya terdiam. Tunduk. Gadis berusia hampir 40-an itu terus menagih jawapan. Rakannya di sebelah membisu sejak tadi. Hanya setia menemani.

“Saya tidak tahu. Tetapi yang pasti, itu juga satu kebaikan.”
“Kebaikan?” tanyanya kehairanan.
“Ya. Kebaikan. Jodoh itu soal takdir yang telah ditentukan di alam rahim lagi,” jelas saya.

“Saya sayu, kadangkala malu. Berbagai-bagai gelar yang diberikan oleh sebahagian masyarakat buat wanita seperti saya; andalusia, andartu dan macam-macam lagi. Paling malu bila ditanyakan soalan, sudah kahwin ke belum?”

Dia Memberi Pilihan Terbaik

Saya tercari-cari kata untuk memberi jawapan. Soalan ini jika disusuri akan kembali jua ke pangkalnya yakni soal akidah. Soalan ini akan menyentuh soal takdir. Apabila menyentuh takdir tentunya melibatkan soal akidah.

Sebelum memahami takdir-Nya, kita perlu mengenali Allah terlebih dahulu. Lalu saya teringat akan kata-kata Ibn ‘Ataillah dalam satu hikmahnya,“mestinya ujian terasa ringan ketika engkau mengetahui bahawa Allahlah yang memberimu ujian. Dia yang menetapkan takdir atasmu ialah Dia yang selalu memberimu pilihan terbaik.”

“Saya merasai apa yang cik rasakan. Namun sebenarnya tidak ada apa yang hendak dimalukan. Dalam soal ini cik tidak melakukan sebarang dosa. Bukannya cik mendedahkan aurat, bergaul bebas atau melanggar batas-batas syariat dan akhlak. Tidak ada apa yang hendak dimalukan. Lambat dapat jodoh bukan sesuatu yang berdosa untuk dimalukan. Itu takdir.”

“Tetapi saya sering ditanya soal jodoh.”
“Mereka yang menyoal kerana memang tidak tahu atau ingin tahu, tidak mengapa. Tetapi kalau pertanyaan itu bertujuan memalukan dan menghina, itu memang satu kesalahan. Mereka yang sedemikian sebenarnya bukan sahaja menghina seorang manusia yang tidak bersalah tetapi lebih daripada itu mereka telah mempersoalkan takdir Allah!” jawab saya memberi penjelasan.

Rakan di sebelahnya mengangguk-angguk. Saya tidak pasti kalau-kalau dia juga mengalami cabaran yang sama.
“Oh, kalau begitu mereka yang menghina diri mereka sendiri, bukan menghina saya,” tambahnya.

Saya mengangguk berkali-kali. Mengeyakan. Syukur, dia mula faham.
“Tetapi mengapa ustaz katakan tadi yang semua ini satu kebaikan?”
“Apa yang ditakdirkan Allah semua kebaikan,” balas saya cepat.
“Mengapa?’
“Kerana Allah sayangkan hamba-Nya.”
“Saya belum nampak begitu.”
“Saya pun belum nampak juga.”
“Jadi bagaimana ustaz boleh beranggapan begitu?”

“Sangka baik. Kita perlu sangka baik kepada Allah walaupun ada kalanya hati kita belum nampak kebaikan di sebalik takdir-Nya. Tetapi kita tetap yakin pasti ada kebaikan. Cuma kita sahaja yang belum nampak.”

Ada Kebaikannya

“Agaknya apa kebaikan di sebalik lewatnya jodoh saya ini,” tanyanya lagi.
Saya terdiam lagi. Tersentak dengan pertanyaan itu. Mana mampu ilmu manusia yang terbatas dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas.

IKLAN

Namun, tidak salah kalau akal kita terus mencari kebaikan. Inilah mungkin yang disebut think positive seperti yang selalu dipesankan pakar-pakar motivasi.

“Mungkin Allah melambatkan, justeru untuk memberi jodoh yang terbaik buat saudari nanti.”
“Lagi?”
“Mungkin untuk memberi masa yang lebih lama buat saudari bersedia menjadi isteri yang solehah kelak. Bukan mudah untuk menjadi isteri solehah.”

“Hmm,” gumamnya sambil tersenyum.
Saya terus memandang ke bawah.
“Apa kata kalau saya ditakdirkan terus tidak bertemu jodoh sehingga meninggal dunia? Masih ada kebaikan jugakah?” tusuknya tiba-tiba.

“Saya tidak mampu membaca hikmah di sebalik takdir. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, apa jua yang ditetapkan Allah pasti baik. “
“Sekali lagi, kalau saya mati sebelum berkahwin, apakah ada kebaikannya buat saya?” tanyanya semakin mendesak.

“Insya-Allah.”
“Apa kebaikannya?”
“Saudari akan selamat daripada menjadi isteri yang derhaka.”
Spontan dan secara tiba-tiba jawapan itu meluncur dari mulut saya. Ketika itu saya teringat satu hadis daripada Rasulullah yang pernah saya dengar semasa dalam kelas pengajian bab munakahat puluhan tahun yang lalu; “ … aku melihat kebanyakan penghuni neraka ialah wanita.”

Para sahabat pun bertanya: “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian ditanya lagi: “Apakah mereka kufur kepada Allah?”

Baginda menjawab: “Mereka kufur terhadap suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalau engkau berbuat baik kepadanya sekian lama kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan pada dirimu.’” (Riwayat al-Bukhari)

Tanda Kasih Allah

Melihat dia diam saya menyambung, “jika saudari ditakdirkan tidak berkahwin anggaplah itu kasih sayang Allah yang mahu menyelamatkan saudari daripada menjadi isteri yang derhaka. ”

IKLAN

Pada ketika juga saya teringat satu soalan daripada seorang anak yatim piatu ketika saya memberi kuliah bertajuk Rasul Anak Yatim. Semasa dia bertanya, “mengapa Allah takdirkan saya menjadi yatim piatu ketika usia saya sebegini muda?”

Spontan saya menjawab, “Syukurlah kerana Allah hendak menyelamatkan kamu daripada menjadi anak yang derhaka. Bukan mudah menjadi anak yang soleh.” Begitu jugalah jawapan saya ketika ditanya, “Mengapa saya buta?” “Mengapa Allah jadikan saya bisu?”

Apalagi yang kita boleh kita katakan sebagai hamba Allah? Kita hanya mampu pasrah dan menyerah atas keyakinan Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding diri kita sendiri.

Bukankah Allah berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2: 216)

“Apakah kerana wajah saya tidak cantik?”
Saya tersenyum. Terasa malu pula ketika ditanya begitu. Namun saya tahu, dia benar-benar inginkan kebenaran. Justeru inginkan kebenaran maka dia tidak segan silu lagi bertanya begitu.

“Saya tidak tahu. Tetapi bukankah kecantikan itu sangat relatif sifatnya? Kecantikan itu ditakrif dan dilihat dari dimensi yang berbeza-beza. Cantik di mata saudari, tidak semesti cantik di mata orang lain. Begitulah sebaliknya. Namun, soal jodoh ini bukan ditentukan oleh cantik atau tidaknya seseorang,” ujar saya.

Lega hati kerana dapat menjawab begitu. Itulah hakikatnya. Dalam pengalaman saya, ada wanita yang kurang cantik tetapi telah bertemu jodohnya. Ada pula yang lebih cantik, tetapi belum juga bertemu jodohnya.”

Untuk memahamkan hakikat itu saya kongsikan satu hadis panjang ada yang menjelaskan tentang ketentuan jodoh dan kematian. Kebetulan (sebenarnya tidak ada kebetulan di sisi Allah), hadis itu telah saya muatkan dalam buku Mukmin Profesional yang berada di tangan saya ketika itu.

IKLAN

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari.
Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya.

Demi Allah yang tidak ada Ilah selain-Nya, sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta. Namun telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka.
Sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)

“Alhamdulillah, semoga saya dapat menerimanya dengan rela hati. Ilmunya sudah saya terima. Mudah-mudahan kebenarannya dapat saya hayati dan rasai. Ya, saya sepatutnya bersyukur.”
“Bersyukur? Bagaimana?” Giliran saya pula bertanya.

“Buat pengetahuan ustaz, pernah ada orang menyarankan pelbagai cara untuk mempercepatkan jodoh. Ada antaranya melibatkan ilmu hitam. Saya tahu itu syirik. Alhamdulillah, walaupun terdesak saya tidak akan sekali-kali menggadaikan akidah.”

“Tahniah saudari. Akidah yang benar lebih bernilai daripada segala-galanya. Apa gunanya mendapat suami, tetapi dengan cara yang menjejaskan akidah. Mudarat syirik itu lebih parah daripada tidak mendapat jodoh.”

Mulakan Dengan Sedekah

Dia diam. Menungnya panjang. Dalam hati saya mendoakan agar dia bertemu jodohnya. Insya-Allah, dia wanita solehah. Namun, sekuat mana pun iman kita, ada ketikanya ujian akan menyebabkan kita celaru dan keliru.

Justeru itulah pentingnya ada usaha berpesan-pesan dalam perkara kebenaran dan kesabaran. Apalagi soal takdir yang begitu seni dan misteri liuk lentoknya. Namun, dituntut untuk berusaha dan bertawakal.

“Jom kita usahakan bersama untuk terus mencari,” kata saya.
“Alhamdulillah kerana ustaz sedia membantu.”
Dalam diam saya berdoa. Sungguh-sungguh.
“Mari kita mulakan dengan bersedekah.”
“Bersedekah? Bukan berdoa?” tanyanya.
“Sedekah itu lebih tajam dan mustajab daripada doa.”
“Kemudian?”

“Teruskan mujahadah untuk menjadi wanita solehah sambil menagih janji Allah. Mari kita gandakan usaha menjadi baik berbanding mencari yang baik. Insya-Allah, wanita solehah layak mendapat lelaki yang soleh sebagai hadiah daripada Allah.”

“Dan jika yang soleh itu belum datang juga, Allah akan menentukan sesuatu yang lebih baik untuk itu,” katanya sambil tersenyum.

Saya senyum. Syukur dia faham. Mudah-mudahan Allah memberikannya hati yang tabah untuk mendepani masalah. Itulah hati emas. Itulah jodohnya yang terbaik!

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI