Pada satu hari, setelah Ismail menikah, Nabi Ibrahim datang untuk melihat ahli keluarganya yang telah ditinggalkan, namun dia tidak menemukan Ismail (di rumahnya). Nabi Ibrahim bertanya tentang Ismail kepada isterinya.

Isteri Ismail menjawab: “Dia keluar mencari nafkah untuk kami.” Lalu Nabi Ibrahim bertanya tentang kehidupan dan keadaan mereka. Isteri Ismail menjawab: “Kami mengalami banyak keburukan, kehidupan kami sempit dan penuh dengan penderitaan yang berat.” Isteri Ismail mengadu kehidupan yang dilaluinya bersama suaminya (Ismail) kepada Nabi Ibrahim.

Mendengar semua itu, Nabi Ibrahim berkata: “Nanti apabila suami kamu pulang, sampaikan salam daripadaku dan katakan kepadanya agar mengubah daun penutup pintu rumahnya.”

Ketika Ismail pulang, dia dapat merasakan sesuatu lalu bertanya kepada isterinya: “Apakah ada orang yang datang kepadamu?” Isterinya menjawab: “Ya. Tadi ada orang tua begini begini keadaannya datang kepada kami dan dia menanyakan tentang kamu lalu aku terangkan. Dia juga bertanya kepadaku tentang kehidupan kita maka aku terangkan bahwa kita hidup dalam kesempitan dan penderitaan.”

Ismail bertanya: “Apakah orang itu ada memberi pesan kepadamu tentang sesuatu?” Isterinya menjawab: “Ya. Dia memerintahkan agar aku menyampaikan salam daripadanya kepadamu dan berpesan agar kamu mengubah daun penutup pintu rumah kamu.”

Ismail berkata: “Dia adalah ayahku dan sesungguhnya dia telah memerintahkan aku untuk menceraikan kamu (arahan mengubah daun pintu rumah ialah kiasan kepada menceraikan isteri). Maka oleh itu kembalilah kamu kepada keluargamu.” Maka Ismail menceraikan isterinya.

IKLAN

Ismail Menikahi Isteri Baru
Kemudian Ismail menikah lagi dengan seorang wanita lain daripada kalangan penduduk Mekah. Nabi Ibrahim pergi lagi meninggalkan mereka dalam tempoh waktu yang dikehendaki Allah dan setelah itu datang kembali untuk menemui mereka.

Nabi Ibrahim tidak menemui Ismail di rumahnya, lalu bertanya kepada isterinya yang baru itu tentang Ismail.

Isterinya menjawab: “Dia keluar mencari nafkah untuk kami.” Lalu Nabi Ibrahim bertanya lagi: “Bagaimana keadaan kalian?” Dia bertanya kepada isteri Ismail tentang kehidupan dan keadaan mereka. Isterinya menjawab: “Kami selalu dalam keadaan baik dan berkecukupan.” Isteri Ismail seterusnya memuji-muji Allah.

Nabi Ibrahim bertanya: “Apa makanan kalian?” Isteri Ismail menjawab: “Daging.” Nabi Ibrahim bertanya lagi: “Apa minuman kalian?” Isteri Ismail menjawab: “Air.” Maka Nabi Ibrahim berdoa: “Ya Allah, berkatilah mereka dalam daging dan air mereka.” (Merujuk kepada doa ini), Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan:

IKLAN

“Saat itu tidak ada biji-bijian di Mekah dan seandainya ada, tentu Nabi Ibrahim sudah mendoakannya.” Baginda melanjutkan: “Dan berdasarkan doa Nabi Ibrahim tentang daging dan air itulah, tidak ada seorang pun selain penduduk Mekah yang mengeluh apabila yang mereka dapati hanyalah daging dan air.” (Rasulullah menyambung kisah Nabi Ibrahim):

Nabi Ibrahim selanjutnya berkata: “Jika nanti suamimu pulang, sampaikan salam daripadaku kepadanya dan perintahkanlah dia agar memperkokoh daun penutup pintu rumahnya.”

Ketika Ismail pulang, dia berkata: “Apakah ada orang yang datang kepadamu?” Isterinya menjawab: “Ya. Tadi ada orang tua dengan penampilan sangat baik datang kepada kami…(isterinya memuji-muji Nabi Ibrahim), Dia bertanya kepadaku tentang kamu maka aku terangkan. Dia bertanya kepadaku tentang keadaan hidup kita maka aku jawab bahawa kita dalam keadaan baik.” 

Ismail bertanya: “Apakah orang itu ada memberi pesan kepadamu tentang sesuatu?” Isterinya menjawab: “Ya. Dia memerintahkan agar aku menyampaikan salam daripadanya kepadamu dan berpesan agar kamu mempertahankan daun penutup pintu rumah kamu.” Ismail berkata: “Dia adalah ayahku dan daun penutup pintu yang dimaksud adalah kamu. Dia memerintahkanku untuk mempertahankan kamu (sebagai isteri).”

IKLAN

Mutiara Pengajaran
Mutiara pengajaran terpenting daripada kisah benar di atas ialah sikap mulia seorang isteri yang selalu bersyukur kepada Allah, merasa cukup sekadar apa yang ada (qana’ah) dan positif tentang kehidupan (tidak merungut). Beliau menghargai usaha suami mencari nafkah dan redha sekadar apa yang mampu dijana oleh suaminya.

Apabila ditanya orang, baik yang dikenali atau tidak, dia menceritakan yang baik lagi positif sahaja. Perhatikan bahawa ketika ditanya, kedua-dua isteri Ismail tidak tahu bahawa orang yang bertanya itu ialah ayah mertua mereka dan seorang kekasih Allah (Khalilullah) dan Rasul-Nya yang bernama Ibrahim.

Isteri yang sikapnya sepertimana isteri kedua Nabi Ismail memang menyenangkan hati suami, menyebabkan dirinya terasa dihargai dan bermotivasi untuk terus mengusahakan yang terbaik bagi ahli keluarganya. Isteri sebegini akan menyebabkan suami merasa senang untuk pulang ke rumah setiap hari tanpa mengira sama ada hasil nafkah yang dibawa pulang adalah mencukupi atau tidak.

Kepada bakal-bakal isteri dan para isteri, dinasihati meneladani sikap isteri kedua Nabi Ismail dan menjauhi sikap isteri pertama beliau. Ketahuilah bahawa antara sebab utama suami enggan pulang ke rumah atau sering keluar dari rumah ialah kerana tidak tahan mendengar rungutan isteri yang serba serbi tidak cukup serta leteran meminta itu dan ini.

Dibimbangi jika isteri meneruskan rungutan dan leteran, suami akan mula mempertimbangkan nasihat Nabi Ibrahim kepada Nabi Ismail agar mengubah daun penutup pintu rumah.

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Bin Abdullah

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI