Bagi memastikan rumah tangga kekal bahagia, isteri haruslah melakukan usaha tambahan supaya cinta dan kasih sayang suami terhadap anda bertambah erat.

Jangan sesekali terlupa untuk membelai atau menggoda suami kerana dengan godaan itu mampu menambat hatinya untuk terus menjadikan anda wanita istimewa di hatinya.

1. Mesej Romantis

Tuliskan mesej romantis ketika anda bercinta dahulu buat suami dan tampalkan pada tempat yang suami mudah lihat, misalnya pada stereng kereta atau dompet suami. Saat suami membaca nota tersebut, pasti hatinya tersentuh sekali gus mengembalikan ingatan zaman cintanya terhadap anda. Bukan itu sahaja, Datuk Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah turut menyarankan agar suami isteri mengungkapkan kata-kata romantis dua kali sehari.   

2. Manjakan suami

Suami mana yang tak sayang kalau isteri sentiasa memanjakannya. Saat suami pulang dari tempat kerja, apa kata anda buat kejutan dengan memberikan urutan manja di bahu atau di kakinya. Bukan sahaja urutan, anda juga boleh lakukan pelbagai perkara lain untuk memanjakan suami.   

3. Elak membebel tanpa tujuan

Suami boleh jadi stres jika mendengar bebelan isteri tanpa sebab kerana bagi mereka ia satu yang merimaskan apatah lagi jika isteri menegur mereka dengan cara yang salah. Ini kerana suami lebih suka jika isteri bersikap lemah lembut dan menegur mereka dengan kata-kata yang sopan.

4. Jangan bermasam muka

Wanita yang berkerjaya atau menjadi suri rumah tangga tentunya keletihan menjelang petang kerana saban hari mereka berdepan dengan pelbagai kerja. Sepenat mana pun anda, jangan sesekali menunjukkan muka yang masam di hadapan suami kerana ia boleh mematahkan mood suami. Pamerkan senyuman yang manis bagi memberikan ketenangan sekali gus menambat hati suami.

 5. Lakukan aktiviti bersama

Manfaatkan hujung minggu atau waktu cuti dengan melakukan aktiviti bersama. Walaupun mungkin anda tidak menggemari aktiviti atau hobi suami, tidak salah anda memberikan sokongan dengan menemaninya melakukan aktiviti tersebut. Menghabiskan waktu bersama akan membuatkan hubungan anda lebih berkualiti. Malah sokongan anda itu pasti akan dihargai oleh suami.

6. Tambat hati mertua

Pasti suami akan bertambah sayang jika anda bijak memikat hati orang tuanya. Tidak perlu membodek dengan harta benda, cukup dengan memberikan layanan yang baik, ringan tulang dan menghormati mertua seperti ibu kandung anda sendiri. Bukan sahaja anda disayangi suami, percayalah bahawa anda juga akan menjadi menantu kesayangan mertua.

 7. Buat kejutan istimewa

Sesekali apa kata beri kejutan buat suami dengan menyediakan hidangan istimewa bertemankan lilin dan wangian atau menghadiahkan suami percutian bulan madu di ibu kota untuk anda berdua menghabiskan masa bersama. Pastinya kejutan sebegini membuatkan suami rasa teruja dan dihargai.

8. Peluk suami selalu

Berikan pelukan hangat buat suami dengan penuh kasih sayang sebanyak tujuh kali sehari. Pelukan suami dari arah belakang juga boleh menambat hati suami. Selain memberikan ketenangan, ia juga mampu membuatkan suami lebih semangat kerana pelukan boleh mengingatkan tubuh, jiwa dan fikiran kita terhadap orang yang disayangi.

9. Jaga penampilan diri

Semua suami suka jika isterinya sentiasa tampil cantik, wangi, kemas dan terurus untuk tatapan matanya. Tidak salah jika anda bersolek nipis dan mengenakan pakaian serta dandanan rambut yang rapi ketika berada di rumah. Jangan lupa semburkan wangian untuk menambat hati suami.  

10. Sentuh tubuh suami

Sememangnya sentuhan sangat bermakna daripada kata-kata. Tidak salah anda mengusap wajah, lengan atau mana-mana bahagian tubuh suami sebagai tanda anda menyayanginya. Sebelum menyentuhnya, minta izin suami agar suami anda tidak terkejut dengan sentuhan anda itu.