Nafkah adalah satu tanggungjawab suami kepada isterinya dan hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah at Thalaq ayat 7.

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberikan nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberikan seseorang melainkan (kadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa Allah telah menetapkan bahawa nafkah adalah tanggungjawab suami dalam kadar yang mampu. Jadi maksudnya ayat di atas dasarnya adalah kemampuan suami. Kadar yang mampu diberikan oleh suami kepada isterinya. Bukan kadar yang dimahukan oleh isteri.

Maksud nafkah adalah keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain dan ia adalah sesuai dengan keadaan semasa dan tidak bercanggah dengan syarak.

Kadar yang ditetapkan oleh ulama adalah berbeza-beza tetapi Islam telah menyatakan dalam al-Quran. Allah telah berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 19: “Dan bergaullah kami dengan mereka (isteri-isteri kami dengan cara yang baik).

Maksud dengan cara yang baik adalah jika kemampuan suami boleh memberikan lebih daripada kadar asas yang biasa, maka nafkahnya bolehlah dilebihkan mengikut kadar kemampuannya. Bila kemampuan suami semakin baik maka isteri boleh meminta lebih tetapi jika kadar kemampuan suami sudah semakin menurun maka keperluan isteri hendaklah diselaraskan dengan kemampuan suami tadi supaya keadaannya menjadi stabil dan harmoni.

Kadang-kadang ada isteri dan suami tak dapat selaraskan tuntutan dan kemampuan antara keduanya. Ini akan menimbulkan konflik antara suami dan isteri.

Oleh: Ustaz Azhar Tuarno

Baca: Suami Jangan Leka Beri Nafkah Kepada Isteri Bekerja