Bagi seorang wanita memilih pasangan hidup adalah sesuatu yang menyulitkan kerana ia melibatkan soal masa hadapan. Namun demikian, menilai seorang lelaki tidak sekadar hanya berdasarkan pemerhatian luaran semata-mata. Ini kerana setiap lelaki memiliki sifat unik yang harus diselidiki dengan lebih mendalam.

Jika diperhatikan dengan secara terperinci, setiap perkara yang dilakukan oleh seorang lelaki sebetulnya menunjukkan apakah dia akan menjadi calon suami dan ayah yang hebat atau tidak.

Oleh sebab itu, sebelum memutuskan untuk memilih si dia sebagai teman hidup, sebaiknya anda mempertimbangkan beberapa perkara berikut.

Perilaku

Seorang lelaki yang hebat dan memiliki potensi menjadi ayah yang baik umumnya memiliki perilaku yang terpuji serta mampu mengendalikan emosinya. Oleh sebab itu, agar tidak menyesal dikemudian hari, para wanita harus boleh menilai perilaku pasangan dan kemudian segera memutuskan untuk terus melanjutkan hubungan atau mengakhirinya.

Bertanggungjawab

Seorang calon ayah yang hebat boleh dikenali melalui cara bagaimana si dia menyelesaikan setiap tugas dan tanggungjawab serta mampu mengatur jadualnya agar boleh berkumpul bersama seluruh keluarga.

Matang Dalam Pola Berfikir

Tidak perlu bingung mencari calon ayah yang hebat. Cukup hanya memerhatikan bagaimana cara si dia berfikir dalam menyelesaikan setiap persoalan itu sudah lebih daripada cukup.

Sederhana

Seorang calon ayah yang hebat, hidup dengan sederhana namun tetap bersahaja. Si dia juga tidak menyukai sesuatu secara berlebih-lebihan.

Faham Bagaimana Berinteraksi Dengan Anak-Anak

Tidak hanya wanita sahaja yang memiliki naluri berinteraksi dengan anak-anak, lelaki yang berbakat menjadi ayah yang baik juga sebaiknya faham bagaimana berinteraksi dengan anak-anak. Umumnya, lelaki-lelaki sebegini mampu membuat anak-anak selalu berasa selesa saat berada di sampingnya.

Pandai Mengutarakan Perasaan

Calon ayah yang hebat mampu menentukan bila saat yang tepat untuk mengutarakan perasaannya. Ketika si dia tersinggung, sakit hati atau tidak setuju terhadap sesuatu, si dia akan berhati-hati untuk mengatakannya.

Terbuka

Calon ayah yang hebat memiliki sikap yang terbuka, tidak kaku dan bersedia menerima kritikan daripada orang-orang terdekat dengannya. Bagi dirinya, setiap kritikan adalah sebuah ungkapan tanda kasih agar dirinya menjadi lebih baik.

Tahu Membezakan Pengorbanan

Calon ayah yang baik faham bahawa apa yang dia lakukan untuk orang-orang yang dikasihinya bukanlah pengorbanan tetapi sebagai satu cara dia menunjukkan tanggungjawab, kasih serta sikap ambil peduli.

Pergaulannya

Tidak dapat dinafikan rakan-rakan sekeliling mampu memberi impak yang besar dalam diri seseorang individu. Maka sebab itulah amat penting memilih rakan dalam pergaulan seharian. Jika anda mendapati calon suami bergaul dengan orang-orang yang memiliki kebiasaan dan perangai buruk maka fikirkan kembali sama ada untuk melanjutkan hubungan ke arah yang lebih serius atau menoktahkan sahaja hubungan tersebut.

Keimanannya

Sebagai jaminan untuk anda mendapatkan calon suami serta ayah yang baik untuk anak-anak anda nanti, jangan lupa untuk mempertimbangkan tingkat keimanan si dia. Lelaki yang baik dan taat kepada perintah Allah tidak akan berani untuk melanggar setiap perintah serta laranganNya.