Tidak ada yang mengatakan bahawa kehidupan sebuah perkahwinan akan selalu menyenangkan. Bagaimana menghindari diri daripada kehidupan perkahwinan yang membosankan?

Ramai orang berpendapat bahawa mereka hanya benar-benar menikmati waktu indah ketika sebelum berkahwin jika dibandingkan setelah berkahwin.

Diakui bahawa bukan mudah untuk menjalani kehidupan berumah tangga. Ketika memutuskan untuk berkahwin sebenarnya kita telah mengambil sebuah tanggungjawab lebih terhadap diri masing-masing pada masa ini dan masa depan. Rasa bosan dan konflik yang terjadi boleh membuatkan rumah tangga yang dibina terasa hambar.

Ketika hal tersebut terjadi, diperlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak. Beberapa usaha kecil dan mudah dapat dilakukan agar terhindar dari keadaan hubungan hambar tersebut.

Elakkan Perdebatan

Kehidupan berumah tangga memang tidak pernah terhindar daripada konflik. Perbezaan pendapat sering terjadi, namun akan lebih baik jika segala permasalahan selalu dibicarakan dengan santai tanpa harus bertengkar berpanjangan yang boleh merosakkan hubungan.

Manfaatkan Masa Bersama

Meski telah memiliki rutin dan tanggungjawab masing-masing, hal termudah yang dapat dilakukan adalah dengan mencuba memanfaatkan masa bersama seperti ketika zaman bercinta. Dengan melewati dan mengenang waktu sedang bercinta ia dapat membantu menyegarkan kembali hubungan anda dengan pasangan.

Memberi Kejutan

Kejutan boleh berupa apa sahaja, bahkan dari hal yang simple sahaja sudah dapat memberikan suasana berbeza pada hubungan anda. Misalnya, melakukan tugas rumah yang seharusnya dilakukan pasangan anda di pagi hari sebelum si dia bangun.

Sikap Ambil Peduli

Rumah tangga yang sudah terasa hambar biasanya diakibatkan oleh sikap diri masing-masing. Berinisiatiflah untuk mula menunjukkan sikap ambil peduli dan mengambil berat pada si dia agar hubungan anda kembali hangat.

Berhias & Jaga Penampilan

Isteri boleh menyenangkan hati dan pandangan suami melalui visual. Berhiaslah di hadapan suami untuk menarik perhatiannya. Lelaki biasanya gemar jika isterinya tampil cantik di hadapannya. Oh! Ya. Kaum lelaki juga perlu tampil menawan di hadapan isteri. Jika anda mahu isteri sentiasa menarik di hadapan mata anda begitu juga isteri anda. Jagalah penampilan diri agar isteri selalu merindui kelibat diri anda.  

Hubungi Pasangan

Sempatkan waktu di tengah kesibukan untuk sekadar menelefon atau mengirimkan pesanan singkat pada pasangan atau berbicara beberapa saat. Meskipun tidak membicarakan hal yang penting, komunikasi kecil seperti ini dapat menghangatkan hubungan anda.

Membawa Oleh-Oleh

Sedikit makanan atau apa pun juga yang disukai oleh pasangan dapat memberikan sesuatu yang berbeza ketika anda membawanya ketika pulang ke rumah. Lakukanlah sesekali contohnya ketika pulang dari tempat kerja atau ketika pulang dari tugasan luar daerah.

Jangan Sentuh Gajet Di Rumah

Yang terakhir ini mungkin sering menjadi masalah kepada ramai pasangan. Secara tidak sedar ia boleh membuatkan hubungan menjadi renggang. Suami atau isteri yang lebih sering menggunakan gajet mengakibatkan pasangan terasa seperti diabaikan. Oleh itu, disiplinkan diri anda dan pasangan untuk menyisihkan gajet ketika di rumah. Manfaatkan waktu itu untuk saling mendekatkan diri antara satu sama lain.