Jika kita menginginkan rumah tangga yang bahagia, aman damai dan tenang menghadapi segala ujian Allah SWT, teruskanlah berdoa. Mungkin doa anda tidak dimakbulkan sekarang tapi tak mustahil termakbul jua suatu hari nanti.

Jika tidak sesempurna mana pun pasangan kita, jangan pernah berhenti berdoa. Reda dan ikhlas dalam perhubungan, akhirnya nanti pasti ada sinar yang membahagiakan. Wahai isteri, jangan pernah putus berdoa kerana doamu adalah kunci pada kejayaan seorang suami.

“Doa seorang isteri untuk suami memang mustajab kerana jika wanita bermunajat, ia memang ikhlas,” kata pendakwah dan perunding motivasi terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Beliau yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, bagi membentuk keluarga bahagia, isteri perlu berdoa supaya keluarganya hidup dalam harmonis, diberi keselamatan dan kekuatan iman.

Kata beliau, sebelum suami ke tempat kerja, isteri mendoakan kejayaan ketua rumah tangga itu. Insya-Allah, dengan keikhlasan isteri, doa itu akan dimakbulkan dan suami mendapat kejayaan.

“Usaha yang disusuli dengan doa adalah faktor yang memberi kebahagiaan kepada rumah tangga,” katanya.

“Fenomena dalam masyarakat hari ini, menunjukkan kebanyakan pasangan hanya menampakkan kecantikan luaran dan tidak mengutamakan kecantikan dalaman. Ada pasangan yang hanya mahu tampil cantik lahiriah hingga mengabaikan kepentingan dan kehendak suami. Misalnya, isteri mahu kekal cantik tanpa menjaga makan minum suami hingga semuanya diserah kepada amah. Kadangkala suami pulang kerja kepenatan tetapi si isteri sibuk dengan kelas gim atau yoga,” katanya.

Menurutnya, mana-mana suami suka jika pulang bekerja, mereka disambut dengan senyuman dan rumah yang kemas.

“Jika isteri cantik tetapi rumah tangga tidak terurus, anak tidak terjaga pakaian dan makan minumnya, ia akan menyebabkan suami cepat bosan dan tidak selesa di rumah.”

Justeru ujarnya, sebagai isteri, mereka perlu tahu cita rasa suami dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana rumah adalah tempat terbaik bagi memupuk kasih sayang keluarga.

IKLAN

“Dalam usaha melahirkan keluarga bahagia, selain suami berperanan menjaga dan bertanggungjawab terhadap makan minum, isteri perlu ada peranan tersendiri. Untuk menjadi isteri dan ibu cemerlang kepada sebuah rumah tangga bahagia, peranan wanita memang penting. Jangan meminggirkan peranan isteri kerana mereka adalah kunci kebahagiaan suami.

“Isteri yang bijak, bukan saja mampu menjadi wanita yang cantik dari segi luaran dan dalaman tetapi berperanan dalam semua aspek. Walaupun mereka memegang jawatan besar di syarikat, harapan yang disandarkan suami untuk menjadi suri terbaik dan ibu cemerlang mesti ditandai dengan kehebatannya menangani masalah anak-anak kerana ia melahirkan generasi masa depan yang cemerlang,” katanya.

Ustaz Wan Akashah turut menyarankan agar wanita menjadi golongan yang serba boleh sama ada di pejabat mahupun rumah.

Kehebatan sesebuah keluarga banyak dipengaruhi oleh perawatakan isteri yang bukan saja seorang wanita tetapi ibu dan isteri.

Jika anak-anak yang lahir itu mulia akhlak dan hebat dalam pendidikan, ia menggambarkan betapa hebatnya peranan isteri membentuk mereka menuju kegemilangan. Ini sekali gus membawa mereka menuju kecemerlangan rumah tangga.

DOA YANG BOLEH ISTERI AMALKAN

Doa 1: Ya Allah, berikanlah kepadaku suami yang terbaik si sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.

IKLAN

Doa 2: Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu.

Doa 3: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syaitan dan dari mimpi-mimpi buruk (HR. Ibn as-Sani)

Doa 4: Ya Allah, aku memohon curahan cinta-Mu dan kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu, serta memohon curahan amal yang dapat mengantarakan diriku.

Doa 5: Ya Allah, bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, izinkanlah mereka memberi syafa’at untukku.

IKLAN

Doa 6: Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar terbuka hati untuk berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran.

Doa 7: Ya Allah bukakanlah bagiku hikmahmu dan limpahkanlah padaku keberkahanMu, wahai Pengasih dan Penyayang.

Doa 8: Ya Allah, berilah kesihatan dan kemudahan rezeki kepada kami, dan selalu jadikan kami berada di jalan-MU yang lurus.

Doa 9: Ya Allah Ya Rabb. Aku berdoa untuk semua hati yang menangis kerana kepahitan hidup. Bantulah kami Tuhanku untuk menjadi manusia-manusia yang terus berharap kepada-Mu

Doa 10: Ya Tuhanku, berkati aku dan keluargaku di setiap saat. Lindungilah kami dan jauhkan kami dari kemungkaran dan orang-orang yang berniat jahat kepada kami.

Berdoalah selepas solat Fardu pada setiap hari dan sedekahkan Al-Fatihah untuk suami atau sebaliknya.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI