Bulan madu telah lama berlalu, apalagi riuh dan mewahnya sebuah resepsi. Banyak momen indah datang dan pergi dalam perkahwinan yang umurnya masih muda ini.

Masih jelas teringat nasihat tentang cabaran-cabaran utama di tahun pertama perkahwinan. Jika dahulu ketika era bercinta, sehari tidak bertemu ibarat setahun tidak ketemu namun apabila sudah berumah tangga, berjauhan kerana tugas terpaksa dilalui.

Tahun pertama perkahwinan memang tempoh yang sukar. Ini kerana dua peribadi yang berbeza hidup di bawah satu bumbung. Apabila dua insan yang berbeza karektor hidup bersama maka ia memerlukan masa untuk mewujudkan keserasian. Ketika ini akan ada konflik dan melibatkan percaturan antara dua insan yang berbeza latar belakang.

Ketahuilah bahawa tempoh setahun perkahwinan menuntut anda dan pasangan untuk belajar untuk mengenali pasangan masing-masing dengan lebih dekat.

Berikut 8 pengalaman yang diperolehi daripada tempoh setahun usia perkahwinan.  

Jatuh Cintalah Pada Pasangan Anda Setiap Hari
Suatu hari cinta akan pudar, tinggallah komitmen yang pernah anda ucapkan di hadapan saksi dan keluarga di hari perkahwinan anda. Cinta perlu dibajai dan tidak akan subur tanpa kasih sayang. Oleh itu setiap hari, semaikan kasih sayang dan rasa cinta yang mendalam kepada pasangan. Meskipun ukuran baju sudah semakin melebar, kulit tidak sekencang dahulu namun cinta kepada si dia tetap utuh seperti dahulu.

Fahami Bahasa Komunikasi Pasangan
Komunikasi merupakan kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga. Komunikasi yang berkesan menjamin kerukunan rumahtangga. Oleh itu fahami rentak komunikasi dengan pasangan. Anda dan pasangan perlu belajar untuk berkomunikasi dengan cara yang berkesan antara satu sama lain.

Kebahagiaan Tidak Bergantung Daripada  Pasangan Semata-mata
Apabila telah mendirikan  rumahtangga bukanlah jaminan bahawa suami/isteri anda akan bersama anda selama 24 jam. Jika anda berharap pasangan anda akan terus ada untuk anda selama 24 jam, bersiaplah untuk kenyataan ini. Kebahagiaan kita tidak bergantung daripada pasangan kita sahaja kerana bahagia itu juga datang daripada keluarga dan juga rakan-rakan.

Rencanakan Kewangan Anda Dengan Baik
Anda dan pasangan perlu mengatur perbelanjaan. Ikuti perancangan tersebut sebaik mungkin. Banyak perceraian terjadi kerana masalah ekonomi. Ini juga akan memandu anda untuk menjalani perkahwinan yang lebih bahagia.

Punya Waktu Berdua
Kejutan yang dilakukan ketika zaman bercinta dahulu boleh diteruskan ke alam perkahwinan. Masa untuk berdua itu penting bagi menyuburkn kasih sayang yang telah dibina. Ambil waktu berdua, hanya sekadar minum teh di rumah. Jadikan momen ini sebagai waktu untuk lebih dekat dengan pasangan.

Atur Perjalanan Kehidupan Dengan Teratur Apabila Sudah Memiliki Cahayamata
Anda perlu menyedari bahawa apabila sudah memiliki cahayamata maka kehidupan anda akan mula berubah. Waktu untuk anda berdua-duaan pun akan semakin terhad. Namun jadikan alasan itu untuk tidak menghabiskan masa bersama. Luangkan sedikit waktu untuk anda dan pasangan saling mendekatkan diri antara satu sama lain.

Beritahu Keinginanmu
Pasangan anda tidak akan tahu apa jua keinginan anda jika anda tidak memberitahunya. Oleh itu suarakan apa jua keinginan anda kepada si dia. Tidak perlu malu untuk menyatakan apa yang anda rasa kerana dalam sebuah perkahwinan, sikap terbuka itu amat penting bagi menjamin kebahagiaan yang dibina atas rasa cinta dan kasih sayang.

Fahami Bahasa Kasih Sayang Pasangan
Cara kita mengekspresikan rasa sayang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu anda dan pasangan perlu saling memahami tentang bagaimana lontaran kasih dan sayang itu agar ianya terkesan pada diri masing-masing. Apapun yang anda lakukan tidak akan memenuhi keinginan pasangan untuk disayangi bila anda tidak berbicara kasih yang tepat untuknya. Cinta perlu diungkapkan. Teruslah jatuh cinta pada si dia setiap hari dan teruslah memiliki waktu berdua sekalipun anda telah memiliki ramai cahayamata nanti.

Sumber gambar: saidahphotography

Jangan Lupa Komen: