Tip
Elak 6 Ciri Ini  Dalam Diri Kerana Bimbang Jadi Isteri Derhaka

Elak 6 Ciri Ini Dalam Diri Kerana Bimbang Jadi Isteri Derhaka

Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani). Baca perkongsian ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Pesan untuk para isteri:

“Sekalipun suamimu tidak baik, tetapi kau masih boleh menjadi wanita yang solehah dengan mentaati perintah dan kehendaknya yang tidak menyalahi syariat. Lihatlah betapa Siti Asiah boleh menjadi isteri yang solehah walaupun suaminya (Firaun) adalah sejahat-jahat manusia. Selagi dia menyuruh kepada kebaikan… walaupun dia bukan orang yang baik, kau wajib taat.”

Satu artikel yang baik untuk perkongsian:

Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun wanita mudah masuk syurga kenapa pula wanita ramai di neraka sebagaimana Rasulullah SAW melihat ketika Israk dan Mikraj.

“Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan, walaupun banyak jalan-jalan kebaikan boleh dilakukan dan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita. Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak melakukan dosa dengan itu mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang besar dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Apakah ciri-ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut adalah di antara ciri-ciri atau tanda-tanda isteri derhaka.

Pertama: Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah SAW ditanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.” Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara diluar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.

Kedua: Suka menyakiti hati suami.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab, “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Biasanya apabila seorang wanita (isteri) memegang jawatan yang tinggi daripada suaminya, mempunyai keluarga yang berharta atau sebuk memegang jawatan di dalam masyarakat akan wujud sifat riak dan bangga diri. Suaminya dipandang sepi dan sukar untuk diberi nasihat. Bila dirumah sifat menjadi “bos” ketika dipejabat akan terbawa-bawa dirumah dengan ini sifat menghormati suami akan hilang dan jadilah dia seorang isteri yang derhaka.

Ketiga: Menerima kedatangan seorang lelaki di rumah tanpa izin suaminya.

Suasana di akhir zaman ini kadangkala pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama ditempat kerja, keluar membeli belah dipasaraya dan membawa kawan lelaki datang kerumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.

Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

Keempat: Keluar rumah tanpa izin suami.

Maksud firman Allah: “Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.” (Surah an-Nur ayat 31)

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)

Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam) darisegi akhlak Islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa disisi Allah SWT.

Kelima: Meminta cerai daripada suami.

Sabda Rasulallah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.

Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam Al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT. Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.

Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT. Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

Keenam: Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi, demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ia akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya enam ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan.

Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka  Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata: “Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.” Wallahualam

(Dipetik dari tulisan Abu Basyer dalam FBnya. Jazakallahu Khairan kathira Abu Basyer).

Walau Sudah Berkahwin, Tanggungjawab Anak Lelaki Kepada Kedua Ibu Bapanya Tidak Boleh Diabaikan

Walau Sudah Berkahwin, Tanggungjawab Anak Lelaki Kepada Kedua Ibu Bapanya Tidak Boleh Diabaikan

Tugas dan  tanggung jawab anak laki laki menurut Islam bukan hanya bertanggungjawab pada dirinya sendiri, malahan bertanggung jawab pada ibu, isteri, anak perempuan dan juga saudara perempuannya. Beban yang ditanggung oleh lelaki sangat besar dan harus diketahui dengan baik supaya tidak terjerumus ke dalam dosa.

Setelah anak lelaki berkahwin perlu tahu akan tanggungjawab dan penting untuknya  mengetahui apa  tanggungjawab pada ibu menurut Islam sebagai persiapan mental .Lihat perkongsian oleh Abu Basyer berkenaan tanggungjawab lelaki sebaik sudah mendirikan rumah tangga.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam. Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dikurniakan anak-anak maka tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.

Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya:
“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi “Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”
Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, “Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu.” Jawab Umar r.a., ” Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu.”

Hadis di atas menjelaskan selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi.

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis’. Lalu sabda baginda: “Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.

Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebut terhadap ibu bapanya?

Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.

Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .

Kedua-duanya (suami dan isteri) wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak) selagi ada hayat mereka di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas tanggungjawab dan berbakti kepada orang tuanya. Jika dia mampu dia juga hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun pendapat yg mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.

Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta keizinan dan redha daripada suami, sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.

Sahabat yang dihormati,
Dalam Islam lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibu dan bapanya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Manakala seorang perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tidak baik sedang suaminya membiarkan sahaja tidak menasihatinya maka dosanya ditanggung oleh suaminya.

Suami kena bagi nafkah pada isteri, sedangkan pendapatan isteri tidak perlu menanggung nafkah keluarga, walaubagaimana pun isteri boleh membantu meringankan beban suami.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suaminya, ayahnya (jika belum berkahwin), anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang disukainya cukup dengan empat  syarat sahaja:
1. sembahyang lima waktu,
2. puasa di bulan Ramadhan,
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah dan berdakwah dijalan Allah untuk mendapat redha Allah, tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala sama seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat,
Keruntuhan rumahtangga dan penceraian yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada pasangan suami isteri yang tidak memahami hukum-hukum Islam. Mereka tidak memahami hak-hak sebagai suami atau isteri. Mereka meletakkan nilai kebendaan dan hawa nafsu dihadapan dan meninggalkan nilai iman dan taqwa sebagai nilai hidup mereka. Penceraian boleh berlaku hanya berpunca daripada perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah bila ada iman dan pemikiran yang resional.

Jika suami faham bahawa kesabaran, lemah lembut dan bertolak ansur itu adalah akhlak yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ketika berada di dalam perselishan pendapat dengan isteri maka si suami akan mengutamakan akhlak ini kerana sungguh besar pahalanya disisi Allah s.w.t.Kerana cerai adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah s.w.t. Elakkanlah penceraian jika masih ada jalan penyelesaian yang baik.

Dan juga kalaulah si isteri faham bahawa betapa besarnya dosa derhaka kepada suami dan tidak akan dapat mencium bau Syurga, maka si isteri akan memilih untuk bersabar dan bertolak ansur semata-mata mencari redha Allah. Perlu diingat perasaan marah, keluarkan suara yang tinggi dihadapan suami, mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkit mengungkit perkara lama adalah dari dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Syaitan memang suka perpecahan dikalangan keluarga Islam kerana dengan perpecahan ini banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.

Kedua ibu bapa samaada di pihak suami atau isteri perlulah menjadi penasihat dan pendamai yang baik bukannya menjadi batu api untuk merosakkan rumah tangga yang telah dibina. Ibu bapa yang menjadi pemusnah rumah tangga bahagia anak mereka sendiri adalah mereka-mereka yang melakukan dosa besar dan menempah tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Sebagai orang tua perlu bersikap positif dan proaktif dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak jika berlaku perselisihan. Yang penting damaikanlah kerana sifat membantu dan memulihkan suasana tegang adalah sifat ibu bapa yang beriman dan bertaqwa.

Suami Kena Faham Kenapa Isteri Stres, Railah Mereka Dengan Perkara Yang Membahagiakan

Suami Kena Faham Kenapa Isteri Stres, Railah Mereka Dengan Perkara Yang Membahagiakan

Dalam melayari kehidupan berumah tangga anda seharusnya saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Isteri yang tidak bekerja sama penatnya dengan isteri yang bekerja. Suami perlulah faham kadangkala dirinya rasa stres dalam menguruskan rumah rumah tangga. Cubalah rai kan isteri dengan perkara-perkara yang disukainya. Sesekali berilah hadiah atau bawanya berjalan-jalan supaya isteri merasa dirinya lebih dihargai. Barulah kasih sayang kekal berpanjangan dan harmoni.

Ikuti perkongsian oleh Ehsan Halim bagaimana cara dia membahagiakan isterinya.

********

Kadangkala isteri saya minta izin nak pergi beli barang dapur di pasaraya. Saya kata wasap sahaja list nanti saya keluar belikan. Lagi senang. Dia tak letih.Tapi tidak lama kemudian, saya fikir balik. Saya izinkan dia keluar pergi beli barang sendiri. Maka keluarlah dia dengan anak sulung bersama. Tolak troli pasaraya beli barang. Anak yang nombor dua saya jaga di rumah.

Tidak berapa lama kemudian dia balik dengan wajah senyum sampai telinga. Bawa balik barang-barang dapur yang memang saya biasa beli. Bawang , biskut, telur dan lain-lain. Katanya, seronok dapat keluar beli-beli barang. Dapat tolak troli dalam pasaraya tu hilangkan stress.

******

Begitulah isteri kita para suami sekalian. Kadangkala kita kena raikan sifat mereka ini.Jadi isteri dengan anak-anak yang masih kecil sungguh meletihkan. Letih fizikal dan mental serta emosi. Maka kitalah para suami kena sentiasa menyokong. Kalau kita balik rumah asyik mengadap handphone dan laptop sahaja lepas tu berfikiran kerja rumah dan anak ini kerja isteri kita, itu sangatlah silap.

Letih macam mana pun kita kerja di pejabat, tak akan sama letih isteri kita mengurus anak-anak kecil di rumah. Tu belum termasuk nak basuh baju, memasak, sapu sampah dan lain-lain lagi. Pernah saya jaga 2 orang anak(seorang umur dekat dua tahun dan seorang lagi 3 bulan) di rumah. Isteri kena ke sekolah. Balik tengahari.

Penat dia tak terkata la. Sorang nak susu, sorang nak kena mandikan, nak makan la, nak dukung la. Exausted! Maka begitulah isteri kita hadapi. Jadi kalau kita para suami jenis tak buat kerja rumah di rumah. Tak suka bagi ruang pada isteri untuk dia raikan diri dia. Anda jangan pelik jika isteri anda berperangai kasar dengan anda. Sebab dia ibarat gunung berapi yang nak meletup. Stress dan serabut dia tu ditahan-tahan.Hihi

So para suami anda kena letak mindset ni:

1. Sepenat mana kerja kita dia pejabat. Takkan dapat lawan penat isteri mengurus anak-anak dan rumah. Sebab mereka tiada office hour macam kita.Mereka kerja every hour.

2. Kena bagi ‘me time’ untuk isteri kita. Sekali sekala bawa gi shopping. Biar dia je beli barang dapur. Kita bagi duit.

3. Tiada istilah tolong isteri buat kerja rumah. Tapi yang betul adalah memang kita ‘sedang buat kerja kita’.kita basuh pinggan mangkuk tu sebab memang kita dah guna untuk makan. Kita basuh dan sidai baju sebab memang kita yang pakai baju tu. Kita urus anak sebab tu anak kita.

4.Isteri kita buka robot. Jadi banyakkan komunikasi dengan dia. Tidak perlu bagi cadangan penyelesaian sangat pun apa yang mereka cakapkan. Cukup jadi pendengar tanda kita prihatin dan sokong dia.

Sekadar perkongsian. Saya pun sedang belajar-belajar jadi suami mithali. Banyak juga silap. Semoga bermanfaat.

Bagi Menjayakan Hidup Berumah Tangga… Cinta Saja Tak Cukup. Ikuti Perkongsian Ini Untuk Panduan Semua

Bagi Menjayakan Hidup Berumah Tangga… Cinta Saja Tak Cukup. Ikuti Perkongsian Ini Untuk Panduan Semua

Ketahuilah bahawa alam perkahwinan bukanlah satu benda yang boleh dibuat main. Ia bukan hanya soal cinta dan kasih sayang semata-mata. Kalau tak ada ilmu, bimbang anda tak dapat nak harungi dugaan yang datang selepas berkahwin dengan penuh kesabaran.

Bagi yang akan berkahwin, dalami ilmu rumah tangga dengan sebaiknya. Ingat, perkahwinan merupakan satu perkongsian. Harungilah susah senang bersama pasangan walau apa jua dugaan yang melanda.

Jom ikuti perkongsian ini untuk panduan semua.

Pesanan buat yang belum kahwin. Kita hanya akan benar-benar mengenali seseorang SETELAH KAHWIN dengannya, tidur sebantal, makan sepinggan, duduk sebumbung. Baru tahu masa itu dia tidur berdengkur, baru tahu rupanya jenis lepas berak tak reti flush, baru tahu cepat stress kalau ada masalah, baru tahu pemarah apabila ditegur, baru tahu… baru tahu…

Bercinta hatta 10 tahun, gayut tiap-tiap malam, dating tiap-tiap hari BELUM CUKUP untuk mengenali seseorang.

Kahwin bukan hanya tentang dating halal, snap gambar romantik dapat konvo sama-sama, boleh pegang-pegang tangan, boleh makan bersuap, semua yang sweet-sweet manis-manis (sampai diabetes katanyaaa), everything goes smooth all the time & live happily ever after.

Kalau kamu lihat yang INDAH-INDAH daripada kawan yang baru kahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya, susah payah, perit air mata yang disembunyikan… siapa yang tahu?

Kita hidup di alam realiti, bukan fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang bakal dipersoalkan.

Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk ‘elak maksiat’ saja TIDAK CUKUP untuk kahwin segera. Sebab jika masa bujang gunakan alasan kahwin untuk pelihara maruah, bagaimana kamu yakin kamu dapat menjaga maruah selepas nikah?

Kalau sebelum kahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil/sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar/banyak selepas berkahwin?

Bersediakah kamu… pulang kerja penat, lapar, mengantuk tetapi BERSABAR apabila isteri tak masak sebab alahan mengandung/anak meragam… bolehkah kamu TETAP TERSENYUM, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, urus kencing berak & mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun? Atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak & makan sahaja di luar?

Yang perempuan sudah bersediakah untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup, bersediakah menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar & lesu yang amat? You are giving your life for your children. JANGAN MIMPI hendak makan, mandi, tidur dengan aman selagi anak masih kecil…

Apabila kamu membentak marahkan orang tua… kenapa susahkan orang nak kahwin… padahal kamu tidak sedar. Ibu bapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas kahwin itu BUKAN MUDAH sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba hadapi susah sendiri tanpa harapkan orang lain sebab kahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga & ibu rumahtangga itu tidak mudah!

Tak sedikit yang rumah tangganya runtuh disebabkan masalah KEWANGAN, TIDAK FAHAM & TIDAK MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB, TIADA KEPERCAYAAN, PERSEFAHAMAN dan lain-lain, walaupun asalnya perkahwinan itu diawali atas dasar cinta yang mendalam.

Malangnya kita hanya menyedari setelah kahwin. Untuk menjayakan hidup berumah tangga… Cinta saja tak cukup rupanya… Barulah kita sedar quote ‘rezeki setelah nikah’ itu perlu diusahakan & disertakan dengan ujian bukannya terus bergolek masuk dalam mulut.

Cuma ketika itu baru kita sedar… betul apa mak ayah kata… “Cinta saja tidak cukup…”

Crdt to :
Kak Jie Nazirah & Saya Gja

Sumber : Kau Jodohku

Carilah Kaya Dengan Berkahwin Tapi Kenapa Selepas Kahwin, Masih Belum Kaya? Ini Sebabnya

Carilah Kaya Dengan Berkahwin Tapi Kenapa Selepas Kahwin, Masih Belum Kaya? Ini Sebabnya

Selalu kita dengar orang kata, nak murah rezeki kenalah berkahwin. Malah dengan berkahwin, Allah akan memberikan kekayaan dan kecukupan dalam pelbagai sumber rezeki.

Namun bila sudah berkahwin, rezeki anda selalu tak cukup dan payah. Kenapa itu berlaku? Mungkin tujuh alasan ini menjadi antara sebab kenapa rezeki anda sukar. Jom kita baca.

Allah Ta’ala berfirman;

وَأَنكِحُوا اْلأَيَامَى مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (QS. An-Nuur: 32).

Dari ayat di atas, Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata,

اِلْتَمِسُوْا الغِنَى فِي النِّكَاحِ

“Carilah kaya (hidup berkecukupan) dengan berkahwin.” Umar bin Al-Khattab juga mengatakan semisal itu. (Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, 5:533)

Disebutkan pula dalam hadis bahawa Allah akan senantiasa menolong orang yang ingin menjaga kesucian dirinya selepas berkahwin. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah SAW bersabda tentang tiga golongan yang pasti mendapat pertolongan Allah. Di antaranya;

وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

“… seorang yang berkahwin kerana ingin menjaga kesuciannya.” (HR. An-Nasa’i, no. 3220, Tirmidzi, no. 1655. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadis ini hasan)

Ahmad bin Syu’aib Al-Khurasani An-Nasai membawakan hadis tersebut dalam Bab “Pertolongan Allah bagi orang berkahwin yang ingin menjaga kesucian dirinya”.

Apabila sudah berkahwin namun kenapa belum diberi kecukupan atau kekayaan? Kenapa boleh terjadi begitu?

Ada tujuh alasan yang disebutkan oleh para ulama sebagaimana yang diutarakan oleh Syaikh Musthafa Al-‘Adawi.

Pertama:

Kecukupan itu tergantung kehendak Allah (masyiah Allah). Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman;

وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ

“Dan jika kamu kuatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia mengkehendaki.” (QS. At-Taubah: 28)

فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِنْ شَاءَ

“Maka Dia menghilangkan bahaya yang kerananya kamu berdoa kepada-Nya, jika Dia mengkehendaki.” (QS. Al-An’am: 41)

Kedua:

Umumnya, orang yang berkahwin akan diberi kecukupan rezeki oleh Allah.

Ketiga:

Jika yang berkahwin tadi dengan menikahnya ingin menjaga kesucian diri, itulah yang membuat Allah memberi kecukupan (sebagaimana janji dalam hadis yang disebutkan di atas).

Keempat:

Kecukupan itu diperoleh bagi orang yang bertakwa kepada Allah dan mencari sebab yang syar’i untuk mendapatkan rezeki.

Kelima:

Yang dimaksud ghina (cukup atau kaya) di sini adalah kaya hati atau hati yang selalu merasa cukup (alias: qana’ah).

Keenam:

Yang dimaksud adalah Allah memberi kecukupan dengan kurnia-Nya dengan yang halal sehingga ia terjaga dari zina.

Ketujuh:

Kekayaan itu diperoleh kerana sumber rezeki untuk suami bergabung dengan rezeki isteri.

Demikian, semoga Allah memberi kecukupan dan kekayaan setelah menikah. Wallahu waliyyut taufiq.

Sumber : rumaysho.com

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: