Ovarian Cysts adalah nama yang diberikan kepada cyst atau kantung yang berisi lendir atau air yang berada di dalam kilang telur ovari. Lendir atau cecair ini boleh jadi seperti air, pekat likat dan ada di antaranya yang mengandungi tisu-tisu seperti rambut dan gigi.

Ovarian Cyst sering berlaku di kalangan wanita muda. Malah ramai wanita yang tidak menyedari mereka mengalaminya kerana ia jarang memberikan simptom-simptom tertentu. Ia hanya akan disedari apabila seseorang wanita itu membuat imbasan imej atau ultrabunyi ketika menghadapi isu kesuburan.

Cyst sebenarnya berkait rapat dengan proses reproduksi wanita. Ovarian Cyst yang normal adalah cyst yang mengandungi telur dan apabila ia matang, ia akan pecah untuk melepaskan telur bagi proses persenyawaan. Cyst jenis ini dinamakan sebagai Follicular Cyst. Kadang-kadang, cyst lain juga boleh tumbuh di dalam ovari dan cyst inilah yang selalu memberi masalah kerana jika ia tidak pecah, saiznya akan bertambah besar serta membahayakan.

Ovarian Cysts sebenarnya agak kerap terjadi. Ramai wanita mungkin sekurang-kurangnya akan mendapat satu cyst sepanjang hidup mereka.

Cyst ada pelbagai jenis. Kebanyakannya tidak menjadi penyebab dan tidak memberi kesan kepada keupayaan untuk seseorang wanita itu hamil. Kebanyakan cyst tidak mengganggu proses ovulasi atau persenyawaan. Namun jika anda mengalami Endometriosis atau Polycystic Ovaries (PCOS), ia mungkin berkait rapat dengan masalah kesuburan.

 

 

 

RAWATAN

Tidak semua cyst memerlukan pembedahan. Hasil pemeriksaan doktor serta analisa akan diambil kira. Berikut adalah perkara yang perlu dipertimbangkan tahap cyst.

  1. Biopsi : Sedikit cebisan tisu diambil untuk mengenal pasti bahawa ia barah atau sebaliknya.
  2. Membuang cysttersebut setelah dikenal pasti oleh doktor melalui analisa dengan menggunakan kaedah sistektomi (cystectomy) iaitu tidak menjejaskan kesuburan pesakit.
  3. Pembuangan ovari jika analisa yang diperoleh disahkan sebagai barah.

FIBROID

Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat dalam uterus atau rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an. Kajian menunjukkan bahawa fibroid berlaku disebabkan oleh hormon estrogen yang berlebihan. Fibroid juga mungkin disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, hormon dan persekitaran.

Golongan wanita yang berisiko lebih tinggi untuk mendapat fibroid ialah:

  1. Darah tinggi.
  2. Fibroid dalam sejarah keluarga. Jika ibu dan adik-beradik anda mempunyai fibroid, anda mungkin berisiko untuk mendapat fibroid.
  3. Haid pada usia awal.
  4. Pengambilan diet dengan daging merah yang tinggi dan kurang sayur-sayuran serta buah-buahan.

Fibroid boleh menyebabkan masalah kesuburan di kalangan wanita dengan cara:

  1. Mengubah bentuk pangkal rahim menyebabkan sperma sukar untuk melepasinya.
  2. Mengubah bentuk rahim sehingga mengakibatkan gangguan dalam pergerakan sperma ataupun embrio
  3. Menyebabkan saluran peranakan tersumbat.
  4. Mengubah bentuk lapisan dinding rahim dan mengurangkan aliran darah melaluinya sehingga menyebabkan masalah semasa penempelan embrio.
  5. Mengakibatkan kontraksi otot rahim yang abnormal menyebabkan kesan tidak baik kepada pergerakan sperma, fungsi tiub Falopio serta penempelan embrio yang terhasil.

Kajian menunjukkan fibroid perlu dibuang jika:

  • Intramural Fibroid: Bersaiz 5sm dan ke atas atau saiz rahim lebih besar dari 12 minggu kehamilan terutamanya jika fibroid menyebabkan pengherotan rongga atau kaviti rahim.
  • Submucosal Fibroid: Boleh mengganggu proses penempelan dan meninggikan risiko untuk keguguran jika hamil. Kebanyakan Submucosal Fibroid boleh dibuang dengan pembedahan melalui histeroskopi.

Oleh itu, amat penting membuat pemeriksaan jika anda mempunyai simptom mengenai fisiologi yang berlaku seperti di atas.

Oleh : Dr. Mohan Raj

Perunding Kesuburan

Hospital Metro IVF

 

Jangan Lupa Komen: