Semua orang sedar bahawa mempunyai jumlah tidur yang secukupnya amat penting untuk kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Jika seseorang kurang tidur pasti tubuh dan jiwanya akan mudah terganggu.

Menurut kajian yang dilakukan di University of Pittsburgh, kebanyakan pasangan akan sering bertengkar jika isteri mereka tidak memperoleh tidur yang secukupnya. Perkara ini berlaku kerana tidur boleh mempengaruhi keupayaan kita untuk mengawal diri. Apabila seseorang tidur, keupayaan mengawal diri akan ditetapkan semula dan memberikan kita fikiran yang lebih jelas dalam menangani tekanan yang berpanjangan. Sekiranya kita memperoleh tidur yang tidak cukup, lebih sukar untuk kita menyelesaikan permasalah yang berbangkit dalam rumah tangga.

Malah penyelidik juga menemui bahawa suami isteri yang tidur pada masa yang berlainan dilaporkan mempunyai kepuasan dalam hubungan yang lebih sedikit berbanding dengan pasangan yang tidur pada waktu yang sama. Mereka mempunyai lebih banyak konflik, kurang menghabiskan masa dalam aktiviti bersama-sama dan kurang melakukan hubungan intim berbanding pasangan suami isteri yang mempunyai jadual tidur yang sama dan teratur.

Oleh itu nasihat pakar agar setiap pasangan mendapatkan jadual tidur yang berkesan. Misalnya, jika suami mempunyai jadual tidur ‘si burung hantu’ manakala isteri pula dengan tabiat bangun di awal pagi, pasangan ini boleh mencapai persepakatan hanya dengan menghormati jadual tidur pasangan masing-masing. Asalkan tabiat tidur tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah.

Bukan itu sahaja, kecukupan pola tidur juga memberi pengaruh dalam kebahagiaan setiap pasangan. Ini dibuktikan dalam kajian dari Florida State University yang dilakukan ke atas 68 pasangan yang baharu berkahwin. Kajian ini mendapati suami isteri yang cukup tidur akan lebih bahagia dan mempunyai kepuasan yang lebih tinggi dalam hubungan terutamanya pada keesokan harinya.

IKLAN

Kajian ini meminta setiap pasangan merekodkan pola tidur mereka dalam seminggu, aspek dalam hubungan dan menjawab beberapa soalan berkenaan kepuasan mereka dalam hubungan secara keseluruhan. Data yang direkodkan menunjukkan bahawa pasangan yang tidur secukupnya memiliki kepuasan hubungan yang lebih tinggi berbanding pasangan yang kurang tidur.

Secara keseluruhannya, satu pertiga individu dewasa yang berkahwin melaporkan bahawa masalah tidur membebankan hubungan mereka. Namun, tidur terbukti lebih bermakna pada seorang suami, di mana mereka kebiasaannya kurang terjejas oleh pengalaman buruk apabila suami dapat tidur lebih lama.

IKLAN

“Kami dapati masalah tidur isteri mempengaruhi dirinya sendiri dan pasangan pada hari berikutnya. Isteri yang mengambil masa lebih lama untuk terlelap pada malam hari menyatakan mereka mengalami kurangnya kualiti dalam rumah tangga keesokan harinya,” kata Wendy M. Troxel, PhD, seorang psikolog di University of Pittsburgh.

Ada juga pasangan yang berharap agar mereka boleh tidur tanpa pasangan masing-masing ataupun tidur di bilik yang berlainan supaya mereka akan memperoleh tidur yang lebih berkualiti dan seterusnya mengelakkan perselisihan faham dalam rumah tangga.

IKLAN

Menurut The Wall Street Journal pula, suami isteri yang tidur bersama didapati lebih mudah cenderung untuk berehat daripada mereka yang tidur bersendirian. Pasangan ini cenderung mempunyai rutin bangun daripada tidur yang lebih stabil, menjadikan mereka lebih produktif dan mengurangkan masalah insomnia atau gangguan tidur yang lain.

Kajian The Rested Relationship: Sleep Benefits in Marital Evaluations yang diterbitkan dalam Journal of Family Psychology juga mendapati perkara yang sama di mana tabiat tidur mempengaruhi cara bagaimana pasangan mengendalikan beban dan tekanan di dalam sesebuah rumah tangga.

“Kesedaran penemuan kami adalah penting. Memang, kita tahu semua orang memerlukan tidur. Tidak kira tahap di mana pasangan berada dalam hubungan mereka atau apa jua konteks budaya di mana mereka amalkan, setiap pasangan boleh terjejas sekiranya tidak mendapat tidur yang secukupnya,” ujar pelajar siswazah FSU, Heather Maranges.

Oleh itu cuba rancang dan luangkan masa untuk anda dan pasangan menghabiskan masa bersama di tempat tidur. Sentuhan fizikal walaupun tanpa hubungan intim, merangsang hormon oxytocin di mana ia dapat mengurangkan stres dan mengeratkan lagi ikatan. Berusahalah untuk ke kamar tidur bersama-sama, walaupun sesibuk mana pun anda dan pasangan.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI