Tidak dapat dinafikan ramai lelaki sukakan wanita yang bertubuh langsing berbanding wanita dengan tubuh berisi. Mungkin juga kerana mereka dipengaruhi oleh penampilan model-model wanita yang sering tampil dengan tubuh ‘kurus sekeping’ di pentas fesyen.

Pernah tertanya-tanya mengapa lelaki sukakan wanita yang bertubuh kurus. Alasan mereka, wanita yang bertubuh kurus dan langsing nampak lebih seksi dan menawan. Seorang wanita yang kurus mempunyai bentuk dan ukuran badan berbentuk (curve) atau lebih tepat seperti jam pasir.

Mungkin ketika masih anak dara bentuk tubuh sebegini bukan masalah bagi ramai wanita. Walau bagaimanapun apabila sudah beranak pinak untuk mengekalkan bentuk tubuh sempurna sebegini bukanlah semudah A – Z. Jadi tidak wajarlah kiranya kaum lelaki meletakkan syarat agar wanita ‘wajib’ kekal langsing selepas berkahwin/bersalin.

Boleh sahaja jika suami ingin isteri kekal kurus dan langsing selepas berkahwin/ bersalin tetapi kenalah dengan caranya.

Sediakan Bajet Untuk Isteri
Tiada benda yang percuma dalam dunia ini. Kalau mahukan isteri kekal kurus dan langsing, suami kenalah keluarkan duit belanja sikit. Janganlah kedekut. Seperti juga kereta, tentunya perlu diservis agar selalu ‘tip-top’. Begitu juga dengan isteri anda. Sediakan bajet setiap bulan agar isteri berpeluang mendapatkan rawatan pelangsingan di pusat-pusat pelangsingan. Bukan senang hendak kekalkan bentuk tubuh yang langsing. Perlu ada modal.

Daftar Keahlian Di Gimanasium
Buat kejutan dengan mendaftarkan isteri sebagai ahli di gimnasium. Dengan cara ini isteri anda dapat bersenam dengan selesa. Boleh juga hadiahkan isteri dengan mendaftarkan isteri anda untuk mengikuti kelas Zumba. Kalau hendak tahu, Zumba bukan hanya dapat membantu isteri untuk kekal langsing tetapi juga dapat menambah kekuatan stamina tubuh.

Korbankan Masa Untuk Menjaga Anak-anak
Luangkan masa untuk menjaga anak-anak ketika isteri keluar beriadah. Ringan-ringankan tulang untuk membantu membuat kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, melipat kain dan sebagainya. Dengan cara ini, anda dapat meringankan beban isteri dan secara tidak langsung isteri pun rasa gembira dan senang hati.

Bagi Sokongan Moral
Agar isteri mencapai matlamat untuk kekal kurus dan langsing, jangan lupa untuk memberikan sokongan moral kepada isteri. Sokongan daripada pihak suami amat penting bagi memastikan isteri anda terus bersemangat dan tidak mudah berputus asas.

Sediakan Menu Sihat Untuk Isteri
Sesekali sediakan makanan untuk isteri. Jika tidak mahir memasak, apa salahnya anda belikan sajian makanan sihat untuk dinikmati oleh isteri. Dengan cara ini anda dapat menggalakkan isteri makan menu yang sihat bagi menambah nilai usahanya untuk mengawal/menurunkan berat badan.

Suami Pun Mesti Jaga Badan
Kalau hendak isteri kurus dan langsing, suami pun kenalah jaga berat badan. Jangan hanya isteri sahaja ‘digesa’ untuk menjaga penampilan diri. Kenalah seimbang, baharulah adil. Untuk para suami, jika anda mahu lihat isteri sentiasa kekal kurus dan langsing, para isteri pun tentu mahu lihat suaminya kurus dan sado atau sekurang-kurangnya tidak boroi.