Lumrah bila orang lelaki rasa jodohnya dah sampai, nak belajar ilmu rumah tangga pun tak sempat sebab otak dah ligat fikir macam-macam persiapan majlis. Ilmu tu katanya, lepas kahwin pun boleh belajar.Begitu juga anak dara yang bakal bergelar isteri orang. Sebelum kahwin, persiapan menjadi isteri lebih tertumpu pada hal luaran, belajar memasak, belajar menguruskan rumah atau cara berdandan cantik untuk suami.
Sayangnya selepas kahwin, yang indah-indah itu rupanya khabar angin belaka. Gaya hidup moden dimana semakin ramai golongan isteri bekerja mencari nafkah sering membuatkan si suami lupa akan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Tanpa disedari, 10 perkara ini sesungguhnya amat kerap diabaikan oleh para suami yang cetek ilmu agama dan rumah tangga. Hati-hati kalau terkena batang hidung sendiri, tiba masanya untuk kita berubah!
1.Tidak Mengajarkan Agama Kepada Isteri
Pada zaman ini, ramai isteri yang gagal dibimbing ibadahnya. Suami sebagai imam sepatutnya menjadi guru yang mengajarkan cara solat yang betul, hukum haid dan nifas, tingkah laku Muslimah serta kaedah mendidik anak-anak secara Islam. Tapi semua ini terabai, malah ramai suami yang tidak pernah bertanyakan soal ibadah isteri sendiri. Isteri adalah tanggungjawab anda. Maka ajarkanlah agama kepadanya, hadiahkan buku-buku tentang Islam, ajak mereka ke majlis ilmu dan baca Al-Quran bersama.
2.Suka Mencari Kekurangan & Kesalahan Isteri
Dalam suatu hadis riwayat Bukhari & Muslim, Rasulullah SAW pernah melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya pada waktu malam kerana dikhuatiri akan bertemu pelbagai kekurangan isteri. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri daripada kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda Rasulullah S.A.W:
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredai akhlak lain darinya.” (H.R. Muslim)
3. Memberi Hukuman Tidak Sesuai Dengan Kesalahan Isteri
Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain seperti:
Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman (Surah An-Nisa: 34).
Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syarie (Surah Ath-Thalaq: 1).
Memukul wajah, mencela dan menghina.
Dalam As-Sunan dan Al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa ia berkata: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya? Nabi SAW pun menjawab:
“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan dan tidak menghajar (boikot) kecuali di dalam rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)
4.Tidak Memberi Nafkah Kepada Isteri
Isteri berhak mendapatkan nafkah kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah dan bakhil, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun di luar pengetahuan suami.
Sabda Rasulullah SAW, “Jika seorang Muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)
5.Bersikap Keras, Kasar & Tidak Lembut Terhadap Isteri
Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik teehadap isteri-isterinya.” (H.R. at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani). Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut dan menjauhi sikap kasar.
6. Sombong Atau Enggan Membantu Urusan Rumah Tangga
Ini kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh para suami. Padahal Rasulullah SAW sendiri tidak segan silu membantu pekerjaan isterinya di rumah. Ketika Aisyah RA ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah SAW, beliau menjawab:
“Beliau membantu pekerjaan isterinya dan jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” (H.R. Bukhari)
7. Menyebarkan Rahsia Atau Aib Isterinya
“Sesungguhnya di antara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” (H.R. Muslim)
Dalam hadis ini diharamkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutama hal di tempat tidur. Juga diharamkan menyebut perinciannya serta apa yang terjadi pada isterinya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan.
8.Terburu-buru Menceraikan Isteri
Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau dan isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci, Sebab itulah Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau-bilaunya pendidikan anak dan sebagainya. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan atau mainan.
Rasulullah SAW telah bersabda:
“Ada 3 hal yang kesungguhan dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” (H.R. Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Adakalanya perselisihan rumah tangga boleh menjurus ke arah perceraian. Namun jangan sama sekali menjadikan cerai sebagai cara menyelesaikan masalah. Suami isteri seharusnya berusaha untuk mencari jalan perdamaian, kerana kemungkinan besar cerai akan menyebabkan beribu sesalan di kemudian hari.
9. Berpoligami Secara Tidak Adil
Menikah untuk kali kedua, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Tetapi suami yang berniat poligami mesti memenuhi kewajipan serta menunaikan tanggungjawabnya terhadap isteri, terutama isteri pertama dan anak-anaknya.
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” (Al-Quran, Surah An-Nisa: 3)
Memang benar poligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya, lebih baik lupakan. Suami yang tidak adil boleh menyebabkan kerosakan dalam rumah tangga, menghancurkan anak-anak serta menambah permasalahan keluarga serta masyarakat.
10. Tiada Cemburu
Para suami membiarkan keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati atau dipertontonkan oleh ramai orang. Dia membiarkan isterinya menampakkan aurat ketika keluar rumah dan membiarkan isteri berkumpul dengan lelaki-lelaki lain. Bahkan ada yang bangga kerana telah memiliki isteri cantik yang boleh dinikmati ‘pandangan’ kebanyakan orang. Padahal wanita di mata Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga keindahannya hanya dikhaskan buat suami sahaja. Seorang suami yang memiliki kecemburuan tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang bukan mahram.
“Ditusukkan kepala seorang lelaki dengan jarum dari besi lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” (lihat dalam Ash-Shahihah: 226)
Perhatikan juga ancaman Rasulullah SAW terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):
“Tiga golongan yang Allah SWT tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts” (H.R. An-Nasa’i lihat ash-Shahihah: 674). Dan ad-Dayyuts (dayus) adalah lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI