10 Tip Jimat Lepas Kahwin

Share

Perkahwinan pada dasarnya adalah sebuah perkongsian. Justeru apabila sudah berkahwin pasangan mesti belajar berkongsi dan menjalankan amanah yang mereka pikul. Merancang kewangan adalah agenda pertama dalam rumah tangga.

Berikut ada beberapa tip yang boleh di amalkan dan dikongsi bersama para pengantin baru supaya masalah kewangan tidak menjejaskan kebahagiaan awal perkahwinan mereka.

1. Mulakan alam perkahwinan dengan sifat berjimat dan sentiasa merancang kewangan anda. Jangan beli benda yang tidak perlu dan membazir dan pastikan hanya memberi keperluan yang manfaat dan digunakan.

Jika ada barang terpakai dari rumah ibu bapa dan adik beradik, gunakan sementara waktu sebelum ada rezeki lebih untuk membeli yang baru.

2. Ingatlah bahawa berjimat cermat bukan bererti kedekut. Selepas berkahwin, jika terpaksa berpindah dari rumah keluarga, carilah rumah yang selesa dan mampu anda bayar.

Biasanya mereka yang baru berkahwin akan menyewa rumah. Jika boleh cari rumah yang berkedudukan strategik yang tidak berapa jauh dari tempat kerja untuk memudahkan berulang alik ke rumah dan tempat kerja.

3. Jika belum mampu memiliki kereta, bolehlah gunakan perkhidmatan awam seperti bas atau LRT ke tempat kerja atau destinasi yang hendak dituju.

Mungkin jika gunakan pengangkutan awam, perlu banyak berkorban masa, umpamanya bangun awal untuk ke tempat kerja. Ini menyemai sikap untuk menepati masa. Jika mampu beli motor gunakan motor sebagai pengangkutan mudah suami isteri.

4. Jangan terpengaruh dengan konsep “biar papa asal bergaya”. Ini kerana itu suatu cara hidup yang boleh memusnahkan kebahagiaan rumah tangga dan menambah hutang yang sedia ada.

Jangan berhutang dengan bank semata-mata kerana mahu beli kereta atau peralatan dalam rumah. Jangan bersifat cemburu dengan apa yang orang lain ada. Tanamkan sifat kesederhanaan dalam diri anda.

5. Masak di rumah dan bukan makan di luar. Selepas berkahwin inilah masa nak tunjukkan kemahiran memasak bagi si isteri dan si suami juga ada yang hebat memasak, jadi boleh sama-sama kongsi kepakaran memasak untuk terus berjimat dan mengeratkan hubungan suami isteri.

Memasak sendiri banyak hikmahnya selain dapat berjimat, dapat juga bersama meluangkan masa dengan pasangan, merasa air tangan atau masakan isteri. Pasangan boleh memahami sikap suami dan isteri serta saling kenal mengenali dengan lebih rapat.

6. Membeli peralatan rumah yang hanya digunakan. Misalnya set bilik tidur, meja makan dan peralatan dapur seperti pinggan mangkuk, cawan, dapur masak dan peti sejuk. Perhiasan rumah tidak begitu penting, cukup sekadar menghias rumah nampak bersih dan ringkas.

7. Keperluan harian juga dibeli ikut kegunaan. Jika hanya berdua jangan membeli dalam kuantiti yang banyak. Takut membazir jika tidak digunakan. Beli apa yang perlu masa nak masak dan untuk seminggu sahaja.

8. Jangan ikut perangai masa bujang. Jika masa bujang suka membazir duit beli barang berjenama dan barangan yang mahal, bila dah kahwin mesti tukar sikap itu kepada lebih berhemah dan sentiasa merancang bajet dan kewangan keluarga.

9. Sepakat membawa berkat. Perkahwinan adalah sebuah perkongsian. Dalam hal perancangan kewangan suami isteri mesti banyak berkongsi bila sudah berkahwin, bukan saja kongsi nikmat tapi juga kongsi kewangan.

Jangan mempunyai perangai kedekut dan pentingkan diri sendiri. Buat perbelanjaan rumah bersama. Jangan ada sifat “Duit aku, aku punya, duit engkau engkau punya” .

10. Belajar menabung. Jika ada lebih duit walau seringgit pun boleh disimpan setiap hari. Kata orang lama “Sikit sikit lama-lama jadi bukit”. Menabung adalah satu sifat yang baik. Mulakan dengan menyimpan seringgit setiap hari. Jika ada lebih simpan dua atau lima ringgit sehari. Anda akan terperanjat apabila hujung bulan anda ada duit tambahan untuk membayar bil air atau bil elektrik untuk anda berdua

IKLAN