
Semua orang nak kekal cantik dan sihat. Awet muda bukan tujuan menidakkan fitrah kejadian manusia, peredaran masa yang sememangnya manusia semakin tua yang telah Allah tentukan buat hamba-Nya. Kita tidak mengubah, tetapi memelihara atau menjaga serta mensyukuri nikmat Allah Yang Maha Pencipta.
Jika sayangkan sesuatu, sudah tentu kita akan menjaganya. Jadi kerana itu kita perlu menjaga kecantikan dan kesihatan tubuh badan kita dengan sebaik mungkin. Praktikkan petua awet muda ini. InsyaAllah pasti menjadi, yakin pada Allah dan pasang niat yang baik maka baiklah jadinya.
1. Urutkan wajah anda dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 3 kali.
2. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan letakkan di bawah dagu. Pusingkan jari anda ke pipi,pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi.
3. Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Perlu diingat, jangan sekali mengurut wajah anda dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.
4. Sejurus bangun pagi baca doa, amalkan petua ini sebelum mandi dan gosok gigi. Masukkan air dalam mulut selama 10 saat dan selawat 3 kali dalam hati. Kemudian, baru diteguk.
5. Air liur pada awal pagi mengandungi enzim yang boleh menjadi penawar, kemudian barulah menggosok gigi.
6. Baca ayat 35 hingga 38 surah Al-Waqiah setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.
7. Setelah solat subuh, bacalah surah Yusuf kemudian minum 3 teguk air suam. Mudah-mudahan wajah kelihatan berseri dan awet muda.
8. Setelah itu, lakukan senaman ringan. Hirup udara segar dari luar dan jalan tanpa memakai kasut di halaman yang berumput. Geselkan kaki di atas rumput yang masih berembun.
9. Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat.j. Mulakan dari telunjuk kanan sehingga kelingking jari kanan, seterusnya kelingking jari kiri ke ibu jari kiri dan diakhiri dengan ibu jari kanan. Amalkan menanam kuku dan rambut yang dipotong atau gugur mudah-mudahan mendapat berkat di dunia dan akhirat
10. Semasa berdandan pada waktu pagi baca selawat di kedua-dua telapak tangan dan rautkan ke muka beserta niat dalam hati supa diindahkan wajah seperti wajah Nabi Yusuf as. Amalkan setiap pagi.
11. Ketika makan, janganlah disulam dengan minum air. Minumlah setelah setengah jam selepas makan.
12. Rajin-rajinlah membaca Al-Quran dengan niat ikhlas kerana Allah.
13. Amalkan solat tahajud.
14. Sentiasa tenang dan bersikap positif.
15. Mulakan sesuatu urusan dengan nawaitu yang baik dan niat kerana Allah.
16. Maafkan semua orang sebelum tidur.
Hukum Memakai Inai Bercorak Dalam Islam (Lelaki dan Perempuan)

Dalam masyarakat Melayu adalah menjadi kebiasaan pemakaian inai dalam sesebuah perkahwinan sama ada pengantin lelaki atau perempuan. Inai atau Henna dijadikan perhiasan di jari dengan tujuan untuk mencantikkan si pemakai. Tetapi, apakah hukum memakai inai bercorak atau berukir mengikut syarak dalam Islam?
Pasti ada yang tertanya bolehkah lelaki pakai inai dan apakah hukum memakai inai bagi seorang wanita? Sebenarnya, persoalan begini masih lagi menjadi tanda tanya ramai dan bagi mereka pakai inai adalah untuk cantik di mata mereka tetapi tidak semestinya cantik dari segi hukum agama Islam.
Berikutnya dikongsikan penjelasan dan pengetahuan tentang hukum memakai inai sama ada bercorak atau lukis dan sebagainya yang dikongsikan oleh Ustaz Farid Rashidi yang menjelaskan tentang hukum pakai inai lelaki dan perempuan dengan lebih mendalam dan panjang lebar.
Hukum Memakai Inai Bercorak Lelaki dan Perempuan
hukum pakai inai bagi wanita belum berkahwin
Menjadi adat resam masyarakat Melayu memakai inai ketika berkahwin.
Lelaki mahupun perempuan, kuku adalah aset penting. Dengan adanya kuku, nikmat menggaru lebih terasa. Apa lagi suami isteri yang saling garu menggaru dan cakar mencakar di malam hari. Itu salah satu kelebihan kuku.
Pun begitu, di sini bukan mahu berbincang pasal kelebihan kuku atau cara menggaru. Tetapi saya mahu bawakan satu permasalahan hukum berkaitan kuku.
Iaitu mewarnakan kuku dengan inai (خِضَابَ) apa hukumnya?
InsyaAllah perbincangan kali ini tidaklah terlalu panjang untuk dihadam. Sebab sengaja disusun dan bahagikan kepada dua bahagian. Ini bahagian pertama tentang Inai. Bahagian kedua di lain perbincangan.
Baik, teruskan membaca.
Untuk kali ini, dibawakan perbincangan mengenai kaedah mewarnakan kuku menggunakan pewarna seperti inai.
Sebelum masuk ke bab hukum, kita kena tahu dulu kaedah pemakaiannya.
Perwarna inai ini pula ada dua jenis kaedah pemakaian orang biasa guna.
1. Kaedah biasa. Tradisional. Macam orang Melayu selalu pakai.
2. Kaedah doodle art (Sejenis kaedah corakkan tangan menggunakan inai, biasanya corak floral, awan larat dan lain-lain). Ia popular di kalangan gadis ‘berdahi licin’. Di sebut sebagai Henna (Reddish-brown dye). Sebenarnya Henna di ambil daripada perkataan arab (حِنَّاء).
hukum berinai bagi perempuan belum berkahwin dan di jari lelaki
Berbagai jenis inai dan Henna yang boleh dipakai di jari tangan, kuku dan kaki dilukis dan diukir.
Ok, jom masuk bab hukum pakai inai.
Pendapat yang paling tepat (rajih), harus berinai secara mutlak.
Berikut pecahan hukum berkaitan Inai dan Henna:
1. Diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah. Sebab inai tak menghalang untuk berwudhuk dan mandi hadas secara sempurna.
Dalilnya:
Daripada Aisyah r.a, bahawa seorang wanita telah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW bersabda: “Kalaulah aku perempuan nescaya aku ubahkan kukumu – yakni dengan inai”
[Al-Sayuti, jil 8, 142. Imam Ahmad bin Hanbal, Jil 6, 262. Sunan Abi Daud, Jil 4, 77]
2. Warna inai yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur campuran bahan yang meragukan. Pastikan halal.
3. Mengenai Henna bercorak pula, hanya corak atau ukiran daun, bunga dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan.
Corak-corak haiwan, lambang dewa-dewi, ada kaitan ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syara’ adalah dilarang.
Pun begitu ada kadarnya. Iaitu pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja. Tidaklah melampau melebihi had tersebut.
[Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009]
4. Untuk lelaki, pemakaian inai pada kedua tangan berikut pandangan hukumnya:
Fuqaha’ dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki, satu riwayat dari Syafi’e, Hanbali dan Zohiri berpendapat bahawa makruh mengecat, mewarnai kedua belah tangan dan kaki bagi lelaki.
Baca juga : Hukum Mencabut Bulu Kening (Mencukur atau Membuang Bulu Mata)
hukum pakai inai bagi lelaki dalam Islam
Pemakaian inai melebihi pergelangan tangan dan melebihi buku lali adalah tidak dibenarkan.
Dalam Kitab Fatawa al-Hindiyyah menyebut:
“Dan tidak sepatutnya bagi budak lelaki mengecat kedua-dua belah tangan dan kakinya kecuali ketika berhajat sahaja.” [Nizamuddin, Jil 5, 358]
Manakala dalil lain pula menyebut:
Daripada Anas r.a bahawa Nabi SAW, melarang lelaki memakai atau melumur za’faran.
Nabi SAW melarang memakai warna kuning kemerah-merahan (warna za’faran), begitu juga diambil hukum yang sama bagi mewarna kedua belah tangan kerana warna merah cenderung kepada kuning.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي
“Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.”
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
hukum pakai inai tangan pengantin lelaki
Wanita berkahwin digalakkan memakai inai dan haram bagi lelaki pakai inai.
Kesimpulan
Walaupun ada pandangan mengatakan makruh, namun sebagai orang awam kami mengikut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan; mereka cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Perhiasan dan wanita ibarat isi dan kuku. Perhiasilah dengan cara betul lagi halal. Namun, hiasan terindah di dunia adalah wanita solehah.
Boleh share ke seluruh alam flora dan fauna. – Ustaz Farid Rashidi.
Semoga perkongsian hukum memakai inai bercorak atau inai lukis di tangan ini mampu memberikan jawapan kepada anda serta menambahkan lagi pengetahuan kita tentang hukum pemakaian inai mengikut syarak sama ada untuk si pemakai lelaki atau pun perempuan. Semoga bermanfaat.
Sumber: Media maklumat
Tak Semestinya Dengan Produk Je Boleh Cantik. Tanpa Modal Pun Wajah Boleh Berseri-seri!

Cakap pasal petua, ramai yang memilih untuk tidak percaya. Bukan sebab apa, petua ni perlukan masa untuk menunjukkan hasil dan sedikit leceh. Tak seperti dengan penggunaan produk. Iklan produk pun dah boleh buat anda terpengaruh kan?
Tetapi percayalah, keindahan mengamalkan petua tinggalan orang tua-tua sangat lain serinya. Nak dapatkan sesuatu, kenalah berusaha kan? Ia juga ambil masa kerana kesannya bukan hanya untuk sebulan dua!
Jika anda ingin memiliki wajah yang tampak awet muda, anda boleh mengikuti cara orang-orang terdahulu. Seperti nenek anda, mereka bahkan hingga berumur lanjut masih tetap kuat menjalankan segala aktiviti. Maka anda perlu mengetahui tip daripada mereka.
Selain mengamalkan petua lama, anda juga boleh amalkan pelbagai doa dan zikir untuk awet muda. Jangan mengubah tetapi pelihara dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Yang Maha Esa. In sha Allah jika yakin pada Allah dan pasang niat yang baik, maka baiklah jadinya.
Petua Awet Muda
Petua 1 : Sejurus bangun pagi, sebelum mandi dan gosok gigi, amalkan petua ini. Urutkan wajah dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi dengan selawat Nabi tiga kali. Amalkan urutan ini setiap hari.
Petua 2 : Sejurus bangun pagi sebelum mandi dan menggosok gigi, minum air dan biarkan ia dalam mulut anda selama 10 saat sambil berselawat tiga kali. Kemudian, baharulah anda meneguknya. Air liur mempunyai enzim yang boleh menjadi ubat.
Petua 3 : Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yang baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.
Petua 4 : Semasa berdandan di waktu pagi, bacalah selawat Nabi di kedua-dua tapak tangan dan sapukan ke muka berserta niat dalam hati agar diindahkan wajah anda seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.
Petua 5 : Agar wajah muda daripada umur, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Setiap kali selepas solat Subuh, bacalah surah Yusuf, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja. Wajah anda akan kelihatan muda daripada umur sebenar.
Petua 6 : Hafal ayat 35-38 daripada surah Al-Waqiah. Baca dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.
Petua 7 : Amalkan bangun pagi dan mandi embun. Usap embun dari hujung daun pada wajah, rambut dan kulit badan. Khasiat air embun amat banyak. Wajah anda akan berseri dan tubuh badan menjadi sihat serta awet muda.
Petua 8 : Muka kita biasanya akan berminyak selepas bangun dari tidur. Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah. Gunakan jari telunjuk di kedua-dua belah tangan dan letakkan di bawah mulut (dagu).
Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Elak mengurut wajah dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.
Petua awet muda ini hanyalah sekadar perkongsian yang boleh anda amalkan. In sha Allah dengan izin-Nya ia dapat membantu menyerikan wajah dan membuatkan wajah awet muda.
Kredit foto: Instagram Mira Filzah
Nak Cantik 6 Bulan Sebelum Kahwin, Amalkan Pengambilan Cuka Epal

Bila nak kahwin, pelbagai persiapan yang perlu dilakukan oleh bakal pengantin. Kalau dah namanya perempuan, semua perkara perlu nampak cantik dan sempurna.
Salah satu perkara yang utama adalah untuk tampil cantik di hari bahagia. Pastinya pelbagai petua yang akan dicuba untuk kelihatan cantik dan berseri di atas pelamin nanti.
Antara petua yang boleh dicuba adalah dengan mengamalkan pengambilan cuka epal. Ada banyak manfaat cuka epal buat bakal pengantin dan boleh diamalkan 6 bulan sebelum kahwin.
1) Rambut Sihat Bersinar
Cuka epal boleh berfungsi sebagai pelembut rambut anda. Menurut seorang arkitek bernama Cheryl Cheko, beliau sering dipuji oleh pekerja salun kerana rambutnya yang cantik. Beliau menyatakan bahawa beliau menggunakan soda bikarbonat sebagai shampu, dan menggunakan cuka epal ketika membilas rambut.
Selain mencantikkan rambut, cuka epal juga boleh membantu menghilangkan gatal kulit kepala. Ini kerana, cuka epal bersifat asid, dan kebanyakan masalah rambut disebabkan rambut anda terlalu beralkali. Oleh itu, cuka epal membantu meneutralkan rambut dan kulit kepala anda.
Namun begitu, pastikan cuka epal tersebut DILARUTKAN dengan air terlebih dahulu sebelum digunakan pada rambut. Sekiranya tidak dilarutkan, bimbang ia bukan mencantikkan rambut anda, tetapi menyebabkan rambut menjadi lebih rosak.
2) Membantu Menurunkan Berat
Cuka epal sering dijadikan petua untuk menurunkan berat badan. Namun begitu, perkara ini masih belum dibuktikan secara klinikal.
Menurut Dr. Elizabeth Trattner, Pakar Perubatan Integratif dan Ahli Akupuntur, beliau sering meneliti meta-analisis klinikal di PubMed untuk melihat cadangan makanan tambahan yang sering diberikan kepada pesakit. Cuka epal antara makanan tambahan yang dikatakan baik untuk kesihatan.
Namun hanya sedikit sahaja data klinikal yang membuktikan manfaat tersebut. Walaupun terdapat dapatan yang menyatakan cuka epal membantu mengurangkan lemak, tetapi ia tidak kuat untuk mengesahkan dakwaan itu.
Dalam kajian 2013 yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, penyelidik mendapati bahawa cuka epal dapat menyekat selera makan. Jadi, perkara ini dapat membantu anda mengawal nafsu makan sewaktu dalam proses menurunkan berat badan. Namun ia juga boleh menyebabkan anda terasa mual. Jadi, sebelum anda memulakan apa-apa diet turunkan berat badan, pastikan anda rujuk kepada ahli dietetik atau doktor untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
3) Menurunkan Paras Kolesterol Dalam Darah
Dalam kajian 2012 yang diterbitkan dalam Life Science Journal, didapati cuka epal dapat membantu menurunkan paras kolesterol dan trigliserida bagi pesakit yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Namun begitu, jumlah kajian ini terlalu kecil. Jadi, dakwaan dapatan ini masih belum kuat untuk membuktikan bahawa cuka epal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Masih banyak penyelidikan perlu dijalankan untuk membuktikan hal ini.
4) Kebaikan Cuka Epal Untuk Muka (Menghilangkan Jerawat)
Walaupun ramai membantah penggunaan cuka epal untuk mengecutkan jerawat kerana bimbang kulit muka menjadi semakin rosak. Tetapi, Dr. Marie Jhin, seorang ahli dermatologi menyatakan, sekiranya cuka epal tersebut dilarutkan sehingga benar-benar cair, ia boleh berfungsi seperti toner kepada wajah. Ia juga boleh mengeringkan jerawat dan menghilangkan bintik hitam pada muka.
Sekiranya anda ingin mencuba kaedah ini, anda dinasihatkan mencairkan larutan cuka epal terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Selain itu, cuba sapukan pada pergelangan tangan untuk memastikan sama ada kulit anda sesuai atau tidak, menggunakan larutan cuka epal tersebut. Sekiranya kulit di pergelangan tangan anda tidak mengalami rengsa, maka ia selamat digunakan pada kulit muka anda.
5) Menurunkan Kandungan Gula Dalam Darah
Satu kajian pada 2005 yang diterbitkan dalam Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics mendapati apabila cuka epal ditambah dalam makanan yang tinggi glisemik (yang tinggi karbohidrat) ia dapat mencegah bacaan gula naik mendadak selepas makan.
Selain itu, kajian lain pada 2004 yang dijalankan oleh beberapa penyelidik Arizona State University turut mendapati bahawa cuka epal yang dilarutkan sebelum makan makanan yang berkanji boleh mencegah perubahan bacaan gula yang drastik dalam darah selepas makan.
Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh University of Tokyo mendapati bahawa asid asetik yang terkandung dalam cuka epal mampu merencatkan aktiviti-aktiviti enzim pencernaan karbohidrat. Kesannya, tidak banyak karbohidrat dapat diserap oleh usus. Perkara ini dapat menghindarkan peningkatan gula dalam darah selepas makan.
Namun diingatkan, sekiranya anda ingin menjadikan cuka epal sebagai rawatan alternatif dalam diet diabetes anda, pastikan cuka epal tersebut dilarutkan dengan air terlebih dahulu untuk mencairkannya.