
Isi Kandungan
ToggleBahagian bawah lengan ataupun ketiak merupakan salah satu bahagian anggota badan yang paling sensitif. Kemungkinan, masih banyak wanita di luar sana yang mempunyai banyak masalah di bahagian tersebut.
Ketiak berwarna gelap dan disertakan dengan bulu-bulu halus pada ketiak boleh menjadi salah satu gangguan yang boleh membuatkan seseorang itu rasa tidak selesa dan kurang keyakinan diri.
Bagi mendapatkan kaedah rawatan yang terbaik untuk bahagian ketiak adalah mengekalkan bau wangi pada diri sendiri. Menjaga kebersihan badan juga memainkan peranan yang besar untuk kekal yakin dan berani.
1. Ketiak hitam
Rutin biasa bagi menghilangkan bulu ketiak adalah dengan mencukurnya. Apabila sering mencukur, itu mengakibatkan bawah ketiak bertukar kehitaman dan gelap.
Warna gelap itu dipanggil perma-bayangan. Simptom-simptom tersebut akan menyebabkan ketiak menjadi kehitaman akibat dari aktiviti kuman dan juga hormon manusia.
2. Pertumbuhan bulu
Pertumbuhan bulu pada ketiak sudah pasti tidak disedari kehadirannya. Malah selepas dicukur, bulu-bulu halus terasa sangat cepat tumbuh. Apabila melakukan aktiviti lasak, kadangkala ia membuatkan kita menjadi tidak yakin dan selesa.
Bulu ketiak cenderung tumbuh dalam jenis kerinting. Bagi merawatnya, anda boleh lakukan skrub sebanyak 3 kali seminggu. Gosok dengan perlahan dan lembut supaya tekstur ketiak tidak mudah terhakis dan cedera. Paling berkesan adalah dengan menggunakan lidah buaya.
3. Kaedah laser
Sekiranya anda ragu-ragu untuk menggunakan jenama prosuk kecantikan secara semulajadi, anda boleh saja menggunakan kaedah laser yang berteknologi tinggi. Menurut FDA, bulu-bulu halus pada permukaan ketiak juga boleh ditanggalkan menggunakan laser ataupun bahan elektrolisis. Penggunaan laser juga mampu mengurangkan bulu halus pada ketiak.
Terdapat banyak cara sebenarnya untuk menghilangkan bulu ketiak dan pada masa yang sama melicinkan kulit ketiak anda. Namun anda tidak boleh sebarangan memakai produk kebersihan kerana takut mempunyai kesan sampingan.
Sebaiknya anda berjumpa dengan pakar kulit bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut. Sekian petikan dari CiriCara.com.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Korset Tak Bakar Lemak Sebaliknya Sekadar Ilusi Kurus

Penggunaan korset atau bengkung merupakan amalan masyarakat Melayu sejak dari dulu lagi. Malah, ia menjadi satu kaedah untuk membuat pinggang nampak ramping dan cantik.
Masyarakat dahulu, anak dara semuanya menggunakan bengkung dan makan jamu dari bahan semulajadi dalam menjaga penampilan.
Pengunaan bengkung bukan perkara baru dalam masyarakat Melayu kerana ia sudah wujud sejak sekian lama sebagai satu kaedah merampingkan pinggang.
Untuk menjadikan organ dalaman kembali kepada kedudukan asal selain memulihkan bentuk badan selepas melahirkan untuk ibu berpantang.
Dengan pemakaian bengkung ini, ada ramuan khusus disapu pada bahagian perut ibu berpantang. Namun, dalam peradaban moden kini bagi sesiapa yang mengenakan bengkung, mungkin ada yang menyapu krim pemecah lemak pada perut dengan tujuan untuk mengempis perut.
Bengkung terdahulu juga diperbuat daripada kain dengan teknik pemakaian ia dililit kemas di badan bermula pada bahagian abdomen hingga pinggul selama beberapa jam atau sepanjang hari bergantung kepada orang yang memakainya.
Kini, bengkung muncul sebagai satu daripada keperluan penting penjagaan badan untuk wanita untuk membentuk badan menjadi ramping atau ingin tampil dengan parut kempis dan menawan.
Lebih menarik ia juga bukan lagi berupa kain yang dililit pada pinggang sebaliknya seperti sehelai pakaian dalam yang kemas dan inovasi bengkung moden ini digelar korset.
Ada yang diikat menggunakan tali, menggunakan cangkuk atau pelekat velcro menjadikan tempoh pemakaiannya lebih cepat dan mudah juga untuk ditanggalkan.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul dalam kalangan orang ramai mengenai pemakaian korset ini ialah adakah ia berkesan untuk membuang lemak di dalam badan dan benarkah dengan pemakaian korset juga mampu mengurangkan berat badan individu?
Selebriti kesihatan dan kecergasan Malaysia, Kevin Zahri menerusi perkongsian di laman sosial miliknya menyebut dilihat dengan fungsi korset itu sendiri, ia bukanlah pembakar lemak di dalam badan.
Tetapi ianya lebih tepat dikatakan sebagai menolak lemak daripada bahagian perut ke atas dan ke bawah untuk ilusi bentuk badan yang lebih menawan. Dalam erti kata lain, ianya diperbuat untuk menyorok gumpalan lemak sahaja.
Berkesankah untuk kurus?
Apabila anda memakai korset, situasi ini boleh dikatakan seperti meletakkan tekanan ke atas perut serta ukuran pinggang anda. Ia menyebabkan kesukaran untuk makan berlebihan sekali gus mengurangkan selera makan.
Malahan, jika korset itu telah digabungkan dengan infra merah, ia akan menjadi panas (umpama sauna) dan meningkatkan metabolisme serta membakar kalori yang tidak semestinya membakar lemak.
Bagaimanapun, teori yang digunakan ini juga dapat mengakibatkan kesan sampingan yang serius terhadap kesihatan baik dari segi jangka pendek dan jangka panjang iaitu:
1. Ketidakselesaan untuk bernafas – penggunaan yang berpanjangan boleh menyebabkan tahap oksigen yang rendah dalam badan, sehingga menyebabkan keletihan, pening dan mual.
2. kompresi atau tekanan terhadap rongga dada yang dapat mempengaruhi organ dalaman seperti hati, paru-paru dan jantung.
3. Penyebab kepada chlorosis (greensickness) iaitu kulit menjadi putih kehijauan yang disebabkan oleh adanya gangguan pada hempedu.
4. Kelainan bentuk fizikal tubuh misalnya tekanan pada perut akan terjadinya benjolan di bahagian tubuh yang lain.
Pemakaian korset bukanlah alat untuk membakar lemak atau sebagainya tapi ia mungkin dapat mengurangkan keinginan untuk makan berlebihan dan memberikan ilusi bentuk badan yang lebih ‘cantik.’
Menurut Kevin, sesetengah kos korset mencapai harga beribu-ribu ringgit, jadi bagi sesiapa yang membeli korset ini ia bukanlah pelaburan yang kecil-kecilan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berilah Duit Pada Mak Ayah Walau Sikit, Rezekinya Memang Tak Disangka-sangka

Sebagai seorang anak jangan sesekali rasa ‘terbeban’ untuk berikan duit gaji kita kepada mak ayah walaupun sedikit.Walaupun gaji kita tak besar mana, terikat dengan pelbagai hutang dan komitmen, paling penting asingkan sedikit duit gaji untuk mak ayah.Percayalah perkara kecil yang kita lakukan ini mampu beri kesan yang amat besar dalam kehidupan. Rezeki akan jadi melimpah ruah, hati lebih tenang malah hidup pun rasa lebih tenang.
Meskipun adakalanya mak ayah ‘menolak’ tak mahu duit kita, sebab mereka pun dah ada duit sendiri. Namun rebutlah peluang tetap beri walaupun nilainya sedikit kerana dari situlah Allah lorongkan keberkatan dalam kehidupan dan setiap rezeki kita.
Ikuti perkongsian daripada Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, membuka mata dan hati kita sebagai seorang anak akan tanggungjawab dan punca keberkatan dalam kehidupan.
Tahun pertama dia kerja, sedikit duit gaji disisihkan untuk mak dan ayahnya. Padahal masa tu, gajinya tak sampai pun seribu. Dia hantar rm100 sebulan. Rm50 untuk ibu, rm50 untuk ayah.Begitulah rutinnya setiap bulan. Walau mak ayah dia bukan orang miskin, namun tetap dia hantar juga. Malah, pencen ayah dia sendiri 4x ganda lebih mahal dari gaji dia.
“AKU TAK MAMPU BERI BANYAK. SEDIKIT PUN AKU TETAP KIRIM JUGA. BUKAN SEBAB MEREKA NAK DUIT AKU. MEREKA TAK MINTA PUN.TAPI AKU NAK MEREKA RASA JUGA HASIL TITIK PELUH AKU. SELAMA INI, MEREKA TANGGUNG AKU. SEKARANG, AKU DAH KERJA. AKU NAK MEREKA RASA JUGA. LAGI PUN, KALAU IKUT ADAT, UMUR MEREKA BERAPA LAMA SAHAJA LAGI. BERAPA LAMA SAHAJA LAGI MAMPU AKU BERBAKTI DAN MENGHARGAI.”
Itu yang Alang sering ucap bila orang tanya kenapa dia masih kirim duit setiap bulan pada ibu dan ayahnya kerana ayahnya boleh dikatakan seorang yang berada juga.
Kehidupan Rasa Sukar
Sampai satu masa, Alang kahwin. Bebanan hidup berkeluarga mula dia rasa. Sewa rumah tidak lagi dikongai dengan rakan bujang, semua atas bahu dia. Segala bil-bil, ansuran kereta, bebanan pinjaman peribadi dan sebagainya; dia kena fikir dan lunaskan.
Meski pun isteri Alang pun bekerja, namun kehidupan memang agak sukar memandangkan kos sara hidup yang tinggi.Sejak itu, Alang mula berhenti kirim duit pada ibu dan ayahnya. Dia mula fikir tentang keluarga sendiri, tambah-tambah isterinya mula mengandung. Makin banyak nak guna duit.Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu. Walau gajinya dan isteri sentiasa meningkat setiap tahun, namun bebanan kewangan makin lama makin berat. Anak-anak makin bertambah, bebanan hutang pun begitu juga.
Alang bukan lupa nak kirim duit pada mak ayahnya, dia nak tunggu kewangan dia stabil dulu. Namun tak pernah stabil, makin merosot adalah.Gaji bersih dia hanya tinggal 3 angka sahaja selepas tolak semua bebanan. Sedangkan gaji kasar dia masa tu dah melebihi RM3000.
Dengan baki tiga angka itulah dia nak survive sebulan di kota raya. Memang tenat la kan?
Sehinggalah suatu hari, dia renung dalam diri. Bermonolog sendirian.
‘KENAPA HIDUP AKU SUKAR. MAKAN CUKUP-CUKUP SAHAJA. BARU ADA LEBIH SIKIT, BANYAK PULA BENDA PERLU GUNA DUIT.
AKU DULU, WALAU GAJI KECIL TETAPI TIDAK RASA SETENAT INI. TIDAK RASA SESESAK INI WALAU MASA TU GAJI TAK SAMPAI SERIBU.
AGAKNYA DULU HIDUP AKU LEBIH BERKAT. AGAKNYA BERKAT AKU ISTIQOMAH KIRIM DUIT PADA ORANG TUA.’
Inginkan Keberkatan Hidup
Alang nekad, biar dia makan nasi lauk kicap sekali pun, dia akan kirim duit belanja pada ibu dan ayahnya di kampung. Walau ibu dan ayahnya tidak meminta-minta, walau kehidupan ibu dan ayahnya jauh lebih senang dari dia. Alang nekad kirim duit seratus untuk ibu, dan seratus untuk ayahnya setiap bulan.Gaji bersih dia selepas kirim duit belanja pada orang tuanya hanya sekitar RM700 sahaja.
Awalnya, si ayah menolak. Dia tahu anaknya sesak. Lagipun, pencen dia sendiri tak habis nak makan. Anak-anak lain lagi kirim duit belanja.
Tapi Alang mendesak.
Bertahun-tahun lamanya dia tidak mengirim duit. Semenjak dia kahwin dan punya keluarga. Kononnya sebab untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga pun semput-semput. Namun kali ini dia tekad, semput pun dia nak juga kirim.
Walau duitnya tidak banyak, malah terkadang terpaksa berhutang sementara tunggu gaji masuk, hidup Alang terasa makin tenang. Terasa keberkatan hidup mula muncul sebaik mengirim semula duit belanja kepada orang tua.
Apa-apa masalah yang tidak dijangka, yang tidak mampu dia selesaikan memandangkan duit poket pun tidak cukup, Allah hantar orang lain bantu.Motornya rosak orang lain bagi pinjam tanpa diminta. Masalah tempat kerja, ada sahaja datang bantu selesaikan.
Beberapa bulan selepas istiqomah kirim duit belanja pada ibu ayah, rezeki Alang mula mencurah. Satu demi satu idea dan lubang buat duit seolah terhampar di depan mata.Allah buka lubang rezeki lain sebaik sebahagian duit gajinya diberi pada ayah dan ibu. Rezeki yang berganda-ganda mula masuk.
Di situ Alang dapat rasa dengan jelas betapa berkatnya mengirim duit belanja pada ibu dan ayah.
Rezeki Datang Tidak Disangka-Sangka
Janganlah sesekali terlintas lagi difikiran bahawa sedikit kiriman duit belanja untuk ibu dan ayah itu menjadi beban pada kita. Jangan! Kira-kira Matematik pasti menunjukkan duit kita makin berkurangan, namun kira-kira Tuhan melalui keberkatan dan rezeki yang datang tidak disangka-sangka itu rupanya berbeza.
Jika masih ada orang tua, kirimlah duit belanja buat mereka walau mereka itu jutawan sekalipun.Bagi mereka rasa walau RM10 duit dari hasil titik peluh kita. Nescaya hidup makin berkat, rezeki makin dekat.”
Aku hanya mampu mengangguk kepala tanda setuju. Sesungguhnya apa yang Alang kata dan cerita itu benar belaka. Ibu dan bapa ini, doanya mereka sahaja tidak ternilai harganya. Jika masih ada ibu bapa, jangan berkira untuk mengirim duit belanja. Seringgit kita kirim untuk gembirakan mereka, Tuhan pasti balas beribu-ribu kali ganda. Malah, melalui rezeki dan keberkatan hidup yang tidak dijangka-jangka. Sungguh!
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terbalikkan Tapak Tangan Semasa Doa Tolak Bala?

Saya ingin bertanya tentang perbuatan sebahagian ustaz yang membalikkan kedua tangan semasa berdoa tolak bala. Adakah perbuatan ini dibolehkan dan bertepatan dengan sunnah ?

Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara umumnya perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa merupakan suatu perkara yang dianjurkan, khususnya pada tempat-tempat yang dianjurkan padanya untuk mengangkat tangan semasa berdoa. Bahkan perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa ini turut termasuk dalam antara adab bagi mendapatkan kemustajaban doa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu kepada hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu mengangkat kedua tangan kepada-Nya lalu Dia membiarkan ia pulang dengan tangan kosong.
Riwayat Abu Daud (1488)
Hadis ini menjadi dalil utama dalam menjelaskan anjuran mengangkat kedua belah tangan semasa berdoa. Oleh kerana itu Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa perbuatan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan semasa berdoa adalah mustahab (disunatkan). Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (12/433).
Bahkan Imam al-Bukhari sendiri menjelaskan anjuran mengangkat tangan semasa berdoa ini dengan menjadikan ia sebagai suatu bab di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhari iaitu باب رَفْعِ الأَيْدِي فِي الدُّعَاءِ (Bab Mengangkat Kedua Tangan Semasa Berdoa). Beliau memasukkan hadis yang menjelaskan hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W mengangkat kedua tangan baginda (semasa berdoa) sehingga aku melihat putihnya dua ketiak baginda.
Riwayat Al-Bukhari (6341)
Meskipun begitu, dalam menjelaskan berkenaan kaifiat (tatacara) berdoa ini terdapat anjuran mengangkat tangan dengan menjadikan bahagian batin (dalaman) dari pergelangan tangan mengarah ke langit dan dalam masa yang sama terdapat larangan akan berdoa dengan cara mengarahkan bahagian zahir (luar) pergelangan tangan ke langit. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Yasar al-Sakuni bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلاَ تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا
Maksudnya: Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) mintalah dengan bahagian batin (dalam) pergelangan tangan kamu dan jangan kamu meminta kepada-Nya dengan bahagian zahir (permukaan) pergelangan tangan kamu.
Riwayat Abu Daud (1486)
Kata Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini: ‘’Apabila kamu meminta sesuatu kepada Allah iaitu doa untuk mendatangkan manfaat atau menolak sebarang kemudaratan maka mintalah kepada-Nya dengan (mengangkat) bahagian dalam tangan kamu. Iaitu berserta dengan mengangkat keduanya ke arah langit. Ini kerana begitulah keadaan seseorang yang meminta dan menuntut serta menunggu untuk mengambil (apa yang diminta) maka keadaan ini diraikan secara mutlak. Sebagaimana ia adalah apa yang ditunjukkan oleh zahir hadis’’.
Kata beliau lagi: ‘’Ada pendapat yang menyebut bahawa dalam (doa) menolak bala, seseorang itu menjadikan tangan yang zahirnya berada di atas bahagian batin (dalam) sebagai tanda optimis dan juga meraikan bentuk menolak (bala atau musibah)’’. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (4/1532).
Manakala Syeikh al-Saharanfuri pula berkata: ‘’Adapun seseorang yang meminta untuk mengangkat sesuatu bala yang telah berlaku kepadanya, maka sunnah nya adalah dengan cara mengangkat bahagian zahir tangannya ke arah langit sebagai ittiba’ (mengikuti petunjuk) Nabi S.A.W’’. Rujuk Bazl al-Majhud, Khalil Ahmad al-Saharanfuri (6/210).
Membalikkan Tangan Ketika Doa Tolak Bala
Dalam isu berdoa bagi menolak bala dan musibah seperti kemarau panjang dan selainnya dengan cara membalikkan tangan semasa berdoa, maka antara hujah yang digunakan dalam hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan istisqa’ (meminta doa hujan turun), lalu baginda menghalakan bahagian zahir (atas) kedua pergelangan tangan baginda ke arah langit.
Riwayat Muslim (895)

Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:
قال جماعة من أصحابنا وغيرهم : السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى السماء ، وإذا دعا لسؤال شيء وتحصيله جعل بطن كفيه إلى السماء واحتجوا بهذا الحديث
Maksudnya: Sebahagian dari ashab kami dan selain mereka menyatakan bahawa sunnah di dalam setiap doa mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya adalah dengan mengangkat kedua tangan dan menjadikan bahagian zahir (atas) kedua tangannya mengarah ke langit. Dan apabila seseorang itu berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) kedua tangannya menuju ke langit. Dan mereka berhujahkan dengan hadis ini. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/494).
Manakala Syeikh Zakaria bin Muhammad bin Zakaria Al-Ansari pula berkata: Dan diqiyaskan dengan (doa) istisqa’ itu perkara yang sama pada makna (dengannya) dan hikmahnya (membalikkan tangan) adalah untuk mengangkat bala’ berbeza keadaannya dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) tangannya ke arah langit. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakaria bin Muhammad al-Ansari (1/293).
Meskipun begitu para ulama tidaklah kesemuanya bersepakat dalam hal ini. Ini disebabkan berbezanya kefahaman mereka terhadap hadis doa istisqa’ tersebut. Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dari hadis tersebut adalah Nabi S.A.W mengangkat kedua tangan baginda dengan begitu tinggi sehingga kelihatan warna putih ketiak baginda S.A.W, lalu orang ramai yang melihatnya seakan menyangka bahawa baginda mengarahkan bahagian zahir tangan ke langit.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa perbuatan membalikkan tangan ketika berdoa tolak bala merupakan suatu pendapat yang bertepatan dengan zahir hadis. Disunatkan untuk melakukannya ketika seseorang berdoa untuk menjauhkan bala dan musibah. Maka tidak diingkari seseorang yang berpegang dan beramal dengan pandangan ini kerana ia ditunjukkan oleh hadis yang sahih dan sabit juga dari pengamalan para salaf.
SUMBER :https://muftiwp.gov.my/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI