
Setiap orang yang hadir dalam hidup kita itu bersebab. Tiada yang sia-sia. Allah datangkan mereka sama ada untuk menguji kita, mengubah kita atau memberi peringatan kepada kita.
Jadi, janganlah kata menyesal kenal dengan dia. Setiap perkenalan itu ada hikmahnya. Namun, tahu kah anda sebenarnya terdapat beberapa sebab Allah mempertemukan kita dengan si dia.
Ini adalah 9 sebab yang anda mungkin tidak tahu. Semoga anda terus bertabah dan redha dengan apa yang berlaku.
1. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya apabila bertemu jodoh yang sebenar, kita akan merasa syukur dengan ketentuannya.
2. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita akan jadi penilai yang lebih baik.
3. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah dalam apa jua keadaan.
4. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita mendapat kasih sayang yang terbaik khas untuk kita.
5. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar Allah itu Maha Pemurah dan Penyanyang kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan masa depan kita.
6. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang mana tidak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.
7. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi manusia yang hebat jiwanya.
8. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa cinta yang terbaik hanya apabila kita bersama sama dengan Allah.
9. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita mengenali kehidupan yang tidak selamanya kekal.
Sentiasa ingat, walaupun ada insan yang meninggalkan kita, tapi Allah SWT sentiasa bersama kita dan menyanyangi kita.
Cinta Manusia Itu Hanya Sementara, Cinta Pada Ilahi Yang Akan Sentiasa Kekal Abadi.
Suami Tak Berduit Tak Apa Tapi Janji Dia Rajin Dan Membahagiakan Isteri

Membina rumah tangga tidak semudah membina rumah.
Siapa yang mahu hidup sengsara setelah berumah tangga? Semua orang mahu bahagia dan hidup senang lenang dengan orang yang mereka sayang tetapi takdir Allah tidak seperti yang kita rancang.
Apa yang kita tidak mahu, itulah yang kita dapat. Mahu tidak mahu, harus reda dan harungi kepayahan itu walaupun hidup sengsara dan terseksa. Ingat satu perkara, Allah sedang menguji hambaNya yang tabah.
Inilah mukadimah catatan saya minggu ini. Kisah seorang isteri yang nekad menuntut cerai kerana tidak larat lagi menanggung suami yang malas dan tidak bekerja.
Ini kisahnya.
“Nama saya Yatie (bukan nama sebenar). Saya berusia awal 30-an, dikurniakan dua orang anak perempuan berusia enam dan tiga tahun, hasil pernikahan dengan seorang lelaki yang saya kenal di alam maya.
“Saya bekerja di sebuah bank di pinggir bandar raya. Sebelum kahwin, hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua pihak walaupun saya tidak tahu apa pekerjaan suami yang sebenar. Katanya, dia jual insurans.
“Kami berkawan hampir dua tahun. Saya langsung tidak tahu dia kerja apa, sebab pada saya, dia tidak pernah berbohong sepanjang kami berkawan. Silap saya juga tidak siasat betul-betul latar belakangnya.
“Setelah bernikah, baru rahsianya terbongkar. Rupa-rupanya dia tidak ada kerja tetap. Saya bertahan dan tidak menunjukkan rasa marah kerana saya yakin satu hari, dia akan berubah dan berusaha mencari kerja tetap untuk menyara saya dan anak-anak.
“Saya berdoa agar dia akan berubah demi rumah tangga kami. Sekurang-kurangnya, carilah apa sahaja kerja, asalkan halal. Dua tahun berlalu tanpa ada sebarang perubahan.
“Saya terus terbeban dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Sewa rumah, kereta dan bayaran nurseri, saya yang tanggung. Dia rileks sahaja di rumah…, makan, tengok TV, tidur.
“Selama dua tahun itulah juga hidup saya terumbang-ambing. Keluarga mula menyisihkan saya dan anak. Mentua turut pandang sinis. Anak-anak membesar dalam suasana yang tidak selesa, sebab ayah tidak bekerja.
“Saya pula terpaksa bekerja keras untuk mencari duit bagi menampung hidup kami. Penat saya dibuatnya. Ketika usia anak menjejak dua tahun, saya mengandung lagi. Suami tetap tidak bekerja. Bayangkan dalam pantang, semua buat sendiri. Harapkan dia, tak makanlah saya.
“Saya mula risau. Anak kedua bakal lahir tetapi suami buat tidak tahu. Saya umpama menanggung biawak hidup di dalam rumah. Kerja suami…, tidur, makan…, tidur, makan. Sedangkan saya ke hulu ke hilir, urus anak-anak.
“Tanggungjawab tidak ditunaikan. Saya suruh cari kerja, dia mengamuk. Yang dia tahu minta duit. Memang hidup perlukan duit. Tapi gaji saya cukup untuk tanggung saya dan anak kami, di samping bayar ansuran kereta, sewa rumah dan upah orang jaga anak.
“Setiap bulan setelah ditolak semua itu, lebihan duit cukup-cukup untuk minyak, tol pergi kerja dan makan. Suami terus minta duit setiap hari. Saya cadang jual burger, dia kata sudah ramai orang jual. Semua cadangan saya, dia tak terima.
“Bila saya tidak bagi, dia mengamuk dan memukul saya. Bukan sekali dua, tapi banyak kali. Akhirnya saya laporkan kepada pihak berkuasa kerana dia mengancam nyawa saya. Dia didapati bersalah kerana memukul saya dan mengancam keselamatan kami anak beranak dan dipenjara setahun.
“Saya terus hidup dalam kepayahan. Saya nekad akan menuntut cerai. Bukan sebab saya tidak sayangkan suami tetapi saya tidak mahu masa depan anak-anak saya menjadi gelap dan tidak ada arah.
“Setelah mendapatkan nasihat peguam dan pejabat agama, saya failkan tuntutan cerai. Saya sedih terpaksa buat keputusan nekad ini tetapi pada saya, ia lebih baik untuk masa depan saya dan anak-anak kami. Biar tidak ada suami daripada ada tapi menyusahkan.
“Saya tahu suami tidak akan berubah kerana apabila keluar nanti, dia akan kembali kepada perangai lamanya. Sudah lama saya bersabar. Dia macam itu juga. Baran tak menentu. Malah kadang kala saya takut tinggal bersamanya dalam rumah.
“Mungkin ramai yang kata saya kejam tetapi saya harus fikirkan masa depan saya dan anak-anak. Orang hanya tahu bercakap, saya yang menanggungnya. Sebelum terlambat dan keadaan menjadi lebih teruk, saya perlu buat keputusan. Saya tidak boleh harapkan sesiapa lagi kerana keluarga juga tidak mahu ambil tahu.
“Saya perlu teruskan hidup sebab anak-anak perlukan saya. Saya mahu tutup buku lama dan buka buku baharu, nak lupa semua masalah sebelum ini. Nak bahagia dengan cara saya sendiri
“Nasihat saya kepada wanita di luar sana, berhati-hati apabila mencari suami terutama yang dikenali di alam maya. Baik siasat dahulu latar belakang, asal usul, pekerjaan dan sebagainya.
“Jangan jadi seperti saya, menyesal kemudian sudah tidak berguna. Cinta jadikan saya buta hati, terus terima tanpa usul periksa. Akhirnya inilah harga yang perlu saya bayar kerana terlalu ikut kata hati. Bagaimanapun saya anggap ini sebagai ujian untuk saya.
“Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya dan lindungi saya dan anak-anak di dunia dan akhirat. Saya tetap sayangkan suami tetapi saya lebih sayangkan masa depan anak-anak.
“Kepada Allah, saya panjatkan doa. Semoga Allah bagi saya ruang untuk bahagia bersama anak-anak saya. Saya tidak akan pisahkan anak-anak dari ayah mereka. Jika jodoh kami masih kuat, Insya-Allah, Dia akan tunjukkan jalan,” kata Yatie menamatkan ceritanya.
Begitulah ragam rumah tangga. Ada bahagia dan ada yang derita. Semuanya kehendak Allah, dan saya rasa Yatie telah membuat satu keputusan yang bijak untuk masa depan dia dan anak-anaknya.
Pesan saya buat Yatie, jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Kuatkan semangat dan reda dengan keputusan yang telah dibuat. Saya sangat kagum dengan keberanian Yatie.
Menamatkan catatan pesanan saya, bahagia akan wujud apabila kedua-dua pihak suami dan isteri saling lengkap melengkapi dan mengisi ruang yang ada dalam diri untuk istiqomah. Kesetiaan dan kasih sayang akan bertahan bila kita saling memberi dan menerima.
‘Ringan-Ringan’ Dengan Isteri Di Bulan Puasa. Boleh Atau Sebaliknya?

Di antara persoalan yang sering diajukan berkenaan puasa adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadhan. Di dalam Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadan kali ini kami akan kongsikan beberapa permasalahan yang berkaitan isu tersebut.
Hukum Bercumbuan Dan Bermesraan Semasa Berpuasa
Kata Saidatuna Ummul Mukminin A’isyah R.anha:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium salah seorang dari isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.
Riwayat Muslim (1106)
Di dalam riwayat yang lain, Saidatuna A’isyah R.anha mengatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).
Riwayat Abu Daud (2382)
Berdasarkan kedua-dua hadis yang sahih di atas, dapatlah kita ketahui bahawasanya baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.
Manakala pendapat dalam mazhab al-Imam al-Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi berikut:
Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.
Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/355).
Seperkara yang perlu kami nyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiduna Umar Ibn al-Khattab beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa ?
Riwayat Abu Daud (2385)
Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Baginda S.A.W mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/321).
Hukum Persetubuhan Di Siang Hari Bulan Ramadhan
Bersama dengan pasangan di siang hari bulan Ramadhan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم
Maksudnya: Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.
Surah al-Baqarah (187)
Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.
Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.
Kesan Bagi Sesiapa Yang Bersetubuh Di Siang Hari Ramadhan
Sesiapa yang bersama dengan pasangannya di siang hari bulan Ramadhan, maka kesan dari perbuatan tersebut adalah:
Pertama: Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ
Maksudnya: Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.
Riwayat Ibn Majah (1671)
Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):
Membebaskan seorang hamba.
Berpuasa dua bulan berturut-turut.
Memberi makan kepada 60 orang miskin.
Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:
أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ . قَالَ ” وَمَا أَهْلَكَكَ ” . قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ . فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أَعْتِقْ رَقَبَةً ” . قَالَ لاَ أَجِدُهَا . قَالَ ” صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ” . قَالَ لاَ أُطِيقُ . قَالَ ” أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ” . قَالَ لاَ أَجِدُ
Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.
Riwayat al-Bukhari (1936)
Adakah Beronani Membatalkan Puasa ?
Jumhur ulama mazhab yang empat mengatakan bahawa perbuatan beronani atau mengeluarkan mani dengan sengaja itu membatalkan puasa. Inilah juga yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/356).
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anhu yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Maksudnya: Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.
Riwayat al-Bukhari (1894)
Sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa.
Demikian juga kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya kami telah sebutkan bahawasanya seorang lelaki itu apabila dia mengeluarkan air mani dengan sengaja maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/342).
Keluar Mani Secara Tidak Sengaja Membatalkan Puasa ?
Dalam beberapa keadaan, boleh jadi seseorang lelaki itu keluar air maninya selain dari sebab mencium dan bermesraan dengan isteri.
Di dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, penulisnya menyebut tentang dua keadaan keluar air mani tetapi tidak membatalkan puasa:
Jika seseorang lelaki memandang, talazzuz (bersedap-sedap), lalu terkeluar air mani maka itu tidak membatalkan puasa.
Jika seseorang bermimpi di siang hari bulan puasa lalu terkeluar air maninya maka itu juga tidak membatalkan puasa.
Kedua-dua ini tidak membatalkan puasa kerana terpancutnya air mani itu bukan disebabkan oleh mubasyarah (dengan usaha). Inilah pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (6/321).
Penutup
Akhir kalam, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami isu ini. Ameen.
Akhukum Fillah
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
23 JUN 2016 BERSAMAAN 18 RAMADHAN 1437 H
Doa Yang Terbaik & Waktu Afdhal Buat Seorang Isteri Berdoa

Apabila wanita bertukar status menjadi seorang isteri, tak ada impian lain yang dia impikan melainkan mengharapkan suaminya boleh jadi ketua keluarga terbaik. Namun, percaya tak kuasa doa seorang isteri dalam rumah tangga yang bermasalah?
Tidak Semua Suami Memahami
Namun tak semua isteri beruntung dapat suami yang memahami, kadang ada sesetengah isteri terpaksa buat semua kerja sampai ke malam. Malah kalau dibelek pada wajah isteri, nampak muka tak tertanggung rasa penat tetapi masih gigih melayan karenah anak dan suami yang sesekali balik lambat. Jadi si isteri masih setia menunggu sampai tertidur di ruang tamu. Itulah… berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bersyukurlah jika ada suami yang faham, bertimbang rasa dan mahu sama-sama meringankan beban. Dan seharusnya para isteri rasa bertuah jika memiliki suami yang baik kerana lelaki sebegini sudah hampir pupus.
Tanggungjawab Isteri Untuk Menegur
Andai suami nampak leka dan jauh dari ibadat yang mana solat pun dilambat-lambatkan, malah ke masjid pun kurang… maka inilah tanggung jawab yang isteri kena betulkan. Macam mana dan apa yang patut buat, renungkan perkongsian daripada Muhammad Ahmad ini… Makbulnya Doa Seorang Isteri : Isteri WAJIB doa sungguh-sungguh untuk suami agar jadi PEMIMPIN yang terbaik untuk keluarga ini. Jika bukan isteri siapa lagi untuk doakan suami. Jika sebelum ini banyak kebaikan yang ada pada suami kenapa hari ini kita mahu bicara keburukannya? Bicara dan mengadulah kepada الله .
Mengadu Pada Yang Esa
Mengadu dengan penuh linangan air mata,dengan penuh keikhlasan. Mengadu kepada manusia adakalanya ia menyakitkan. Bila Dan Cara Doakan Suami : Sambil masak doa untuk suami, ketika basuh baju doa untuk suami. Kalau pegang tangan suami doa untuk suami. Tatap wajah suami, bicaralah dengan lemah lembut dan luahkanlah dengan linangan air mata. Wahai yang bergelar isteri, bangunlah untuk 2 rakaat doalah untuk suamimu saat dia sedang tidur: “ya الله ini suami saya, saya sayang dia lebih dari diri saya, banyak kebaikan dia untuk saya. ya الله ampunilah segala dosa dia, jadikanlah dia suami yang baik, yang taat segala perintahMU.