
Anak Menantu dan Mertua
Prinsip Islam Terhadap Perkahwinan
.
Lelaki bertangungjawab sepenuhnya terhadap isteri yang dikahwininya. Ini kerana lelaki tersebut telah ‘mengambil’ anak perempuan tersebut daripada ibu bapanya. Bermakna, perempuan tersebut telah menjadi ‘hak mutlak’ si suami. Justeru, menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya untuk menyempurnakan segala keperluan isterinya zahir dan batin.
Tanggungjawab suami tidak terhenti setakat isterinya, malahan terhadap kepada kedua ibu bapa kepada isteri atau mentua. Suami (menantu) tidak boleh membiarkan ibu bapa mentua setelah anaknya telah diambil. Sikap tidak bertanggungjawab atau lepas tangan seolah-olah kita melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapa sendiri.
Pendek kata, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentuanya beragama Islam atau tidak. Sama seperti tanggungjawab anak yang telah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam.
Seperti mana Islam menetapkan bahawa setiap anak yang memeluk agama Islam wajib menghormati ibu bapanya yang tidak memeluk Islam. Begitulah juga apabila anaknya ini telah berkahwin. Hubungan dan penghormatan tetap sama, kecuali jika dipaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
Contoh, isteri saya selaku menantu kepada ibu bapa saya amat menghormati kedua ibu bapa saya walaupun agama berlainan. Begitu juga dengan saya selaku menantu kepada kedua ibu bapa isteri saya (mentua).
Pendek kata, Islam tidak membezakan martabat ibu bapa tidak kira apa juga agamanya selagi mana kedua-dua pihak tidak mempunyai niat tidak baik.
Dalam Islam tanggungjawab menantu terhadap ibubapanya sendiri dan ibubapa mentuanya adalah sama.
Hubungan Istimewa Menantu dan Mentua
Hubungan istimewa menantu dan mertua adalah sama seperti hubungan istimewa ibu bapa sendiri yakni tidak batal wuduk bila bersentuhan dan tidak boleh dikahwini. Ini bermakna, martabat mentua adalah sama seperti ibu bapa.
Tanggungjawab Menantu Lelaki dan Perempuan Mengikut Keutamaan
Menantu Lelaki
– Allah Subhannahu Wata’ala
– Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam
– Ibu/Ibu Mertua
– Bapa/Bapa Mertua
– Isteri
– Anak-anak
– Lain-lain
.
Menantu Perempuan
– Allah Subhannahu Wata’ala
– Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam
– Suami
– Anak-anak
– Ibu/Ibu mertua
– Bapa/bapa mertua
– Lain-lain
Ibu bapa mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati ibu bapa kita sendiri. Kalau mereka kecil hati, sama seperti kita menyinggung perasaan ibu bapa sendiri. Jika kita sayang anaknya, kenapa kita tidak sayang orang yang melahirkannya juga? ada ramai menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya sehingga mengabaikan anak menantunya. Perbuatan sebegini sudah pasti bercanggah dengan tuntutan agama Islam.
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Suami Boleh Benarkan Isteri Bekerja, Tapi Biarlah Menutup Auratnya

Melihat kepada skop decent work yang diberikan oleh beberapa orang di atas dapatlah kita simpulkan bahawa decent work menekankan kepada pekerjaan yang berkualiti dan tidak kepada kuantiti pekerjaan semata-mata. Jadi, mengikut konsep ini, kita perlu memikirkan tentang penyediaan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk masyarakat kita terutamanya untuk wanita.

Kualiti yang dimaksudkan di sini merangkumi beberapa bidang berikut:
a) Gaji
Yang paling penting, gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut. Ia juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja tersebut menikmati taraf hidup yang baik.Gaji ini juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja itu memberi pendidikan kepada anak-anaknya .
b) Jaminan
Pekerjaan itu pula perlulah dapat menjamin kehidupan pekerja tersebut. Jaminan ini boleh dilihat dari beberapa segi. Pertama, jaminan bahawa ia tidak akan dibuang kerja sesuka hati kerana itu adalah mata pencariannya. Ia juga hendaklah memberi jaminan keselamatan fizikal kepada pekerja baik dari segi tempat kerja yang selamat mahupun bahaya kesihatan. Jaminan-jaminan yang lain adalah seperti insuran nyawa, insuran kemalangan serta wang yang mencukupi untuk menampung hidup pekerja itu di masa tua, baik dari segi pencen, mahupun wang simpanan yang terkumpul.
c) Kesihatan
Pekerjaan itu tidak berbahaya kepada kesihatan dan sekiranya berbahaya, langkah-langkah keselamatan hendaklah diambil oleh majikan demi kesihatan pekerja. Selain itu, majikan juga perlu membiayai kos rawatan kesihatan kepada pekerjanya.
d) Layanan sebagai manusia
Majikan perlu melayan pekerja seperti manusia. Ini bermakna pekerja tidak boleh dikasari, baik secara fizikal, verbal, mahupun mental. Dalam kata lain, pekerja tidak boleh dipukul mahupun dihina. Jika majikan menyediakan makanan, makanan itu hendaklah makanan yang berkhasiat dan bukannya makanan yang disediakan secara sambil lewa. Sebagai manusia, pekerja mengalami rasa letih dan lelah dan perlukan rehat yang cukup. Sebagai penyumbang kepada syarikat dan majikan, pekerja perlu dihargai, baik secara lisan, mahupun material.
e) Kepuasan bekerja
Decent work juga dilihat dari segi sejauhmana pekerjaan yang dilakukan itu memberi kepuasan kepada pekerja dan bukannya mereka bekerja kerana terpaksa bekerja.Apa sahaja usaha yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan wanita digalakkan oleh Islam. Ini tidak bermakna Islam tidak menganjurkan usaha-usaha seumpama ini. Sebenarnya, sejak Islam wujud lagi, ia telah memberi prasyarat-prasyarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh wanita sebelum keluar bekerja. Prasyarat-prasyarat itu ialah:
a) Menutup aurat
b) Mendapat keizinan bapa atau suami
c) Pekerjaan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan fitrah mereka sebagai wanita dan tidak menjejaskan fungsi mereka sebagai anak, isteri dan ibu
d) Maruah mereka terpelihara sepanjang masa berada di luar rumah
e) Keselamatan mereka terjamin semasa berada di luar rumah.
Melihat kepada prasyarat-prasyarat ini, selain dari pekerjaan yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Islam, Islam melihat pekerjaan itu perlulah dapat memelihara wanita dari segala bahaya yang boleh menimpa mereka.
Dari segi aurat misalnya, Islam menuntut wanita memelihara aurat mereka sekiranya berada di luar rumah. Tuntutan ini bukanlah untuk menyekat wanita tetapi agar mereka dikenali (sebagai wanita Muslim) dan tidak diganggu.
Dari segi perlunya keizinan ayah atau suami, kedua-dua orang ini merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap wanita. Jadi, keizinan perlu agar mereka tahu ke mana orang yang di bawah tanggungjawabnya pergi dan apa kerja yang dilakukannya. Ini penting kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Dari segi jenis kerja yang dilakukan, ia hendaklah kerja yang tidak bertentangan dengan fitrah wanita serta tidak menjejaskan fungsi kewanitaannya. Misalnya, kerja melombong arangbatu mungkin tidak sesuai dengan wanita. Begitu juga, shif malam mungkin akan menjejaskan fungsi wanita itu sebagai isteri dan ibu.
Dari segi maruah, wanita tidak dibenarkan terlibat dengan kerja-kerja yang boleh menjejaskan maruah mereka seperti pelacuran, pelayan dan seumpamanya.
Dari segi keselamatan pula, kerja itu hendaklah tidak membahayakan nyawa wanita, termasuklah dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.
Sebenarnya syarat-syarat yang sama juga dikenakan kepada lelaki cuma kita tidak terlalu memikirkannya. Jadi, dalam melihat isu kerja ini, Islam melihatnya sama sahaja, baik terhadap lelaki mahupun wanita. Islam dari dahulu lagi melihat isu decent work bukan sahaja untuk wanita tetapi juga untuk lelaki. Dan dalam Islam, decent work tidak hanya melibatkan pekerjaan yang berkualiti dari segi gaji, persekitaran kerja, hubungan pekerja-majikan yang baik, kepuasan diri pekerja dan seumpamanya tetapi termasuk juga isu nilai kerja itu (bukan kerja yang bertentangan dengan Islam) serta maruah pekerja itu sendiri. Jadi, dalam Islam, maksud decent work adalah lebih luas yang bukan hanya keselesaan di dunia tetapi juga demi keselesaan di akhirat.
Selain prasyarat-prasyarat ini, ada juga beberapa contoh dari hadis Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bagaimana hubungan pekerja majikan itu harus berlaku yang merupakan lanjutan dari konsep decent work dalam Islam. Walau bagaimanapun, harus saya nyatakan di sini bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. kebanyakan contoh yang ada adalah dalam konteks hubungan tuan dan hamba. Namun, saya merasakan oleh kerana dalam Islam hamba itu bukanlah seperti apa yang kita fahamkan pada hari ini – boleh diperlakukan sesuka hati – maka saya rasa ia sesuai untuk digunakan dalam konteks majikan dan pekerja.
Sehubungan dengan itu, perkara pertama yang perlu kita tahu berkaitan dengan hubungan tuan dan hamba ialah tuan dilarang dari melambatkan memberi makan kepada hambanya. Muslim melaporkan bahawa dari Khaitsamah r.a. katanya, “Ketika kami sedang belajar dengan Abdullah bin Umar, tiba-tiba datang bendaharanya lalu ia masuk ke dalam majlis. Abdullah bertanya kepada bendaharanya itu, ‘Sudahkah kamu memberi makan kepada hamba sahaya?’ Bendahara menjawab , ‘Belum.’ Maka Abdullah berkata, ‘Pergilah beri mereka makan segera.’ Kata Abdullah selanjutnya, ‘Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.’” Jadi, dalam konteks hubungan majikan-pekerja, majikan tidak sewajarnya menagguhkan pemberian gaji kepada pekerjanya.

Kedua, dalam Islam tuan tidak dibenarkan memukul hambanya dan jika perbuatan ini dilakukan juga maka dendanya ialah hamba itu hendaklah dibebaskan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menampar hamba sahaya atau memukulnya maka dendanya ialah memerdekakan hamba sahaya itu” (Riwayat Muslim) Jadi, jika hamba sahayapun tidak boleh dipukul, apalagi pekerja yang memakan gaji dengan kita.
Ketiga, Islam begitu menekankan kebajikan golongan hamba ini sehinggakan pakaian tuan hendaklah sama dengan pakaian hambanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sahayamu adalah saudaramu yang dititipkan oleh Allah dalam pengurusanmu. Kerana itu, siapa yang mempunyai saudara yang berada dalam pengurusannya hendaklah diberinya makan yang serupa dengan yang dimakannya sendiri dan diberi pakaian yang serupa dengan yang dipakainya sendiri. Dan janganlah mereka kamu beri tugas yang melebihi batas kemampuan mereka. Jika akan kamu tugaskan juga, hendaklah kamu bantu ia.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa Islam begitu prihatin kepada golongan hamba. Dalam konteks hubungan majikan-pekerja, walaupun tidak mungkin pekerja memakai pakaian yang serupa dengan majikan, tetapi sekurang-kurangnya gaji yang diberi itu mencukupi untuk dia membeli pakaian yang dapat menutup auratnya (serta aurat ahli keluarganya) dan bukannya pakaian yang koyak-rabak, misalnya. Begitu juga dari segi kerja, jangan dibebankan pekerja sehingga majikan sudah berada di rumah bersenang-lenang dengan anak-isteri tetapi pekerja masih di pejabat menyiapkan kerja-kerja yang ditugaskan. Begitu juga, jangan sampai terjadi perbezaan yang terlalu ketara dari segi makanan sehingga majikan makan daging dan ayam manakala pekerja makan nasi dan ikan kering setiap hari.
Keempat, tuan dan hamba digalakkan makan bersama-sama. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila hamba sahayamu membuatkan makanan bagimu, kemudian makanan itu dibawanya ke hadapanmu dalam keadaan panas dan berasap, suruhlah ia duduk dan makanlah bersama-sama dengannya. Jika makanan itu hanya sedikit, letakkan di tangannya sesuap atau dua suap.” Dalam hubungan majikan-pekerja pada hari ini, tidaklah bererti majikan perlu makan dengan semua pekerjanya tetapi yang penting ialah kesudian majikan untuk makan semeja dengan pekerja agar hubungan antara mereka dapat dieratkan. Tidaklah seperti yang biasa kita lihat pada hari ini dalam sesuatu majlis di mana pekerja golongan rendah hanya duduk dalam lingkungan mereka manakala pegawai tinggi hanya duduk di kalangan mereka sahaja.
Demikianlah sikap Islam terhadap pekerja, baik yang wanita, mahupun lelaki. Seperti yang saya katakan tadi, konsep decent work dalam Islam begitu luas, bukan sahaja untuk keselesaan di dunia, tapi juga di akhirat. Hubungan majikan-pekerja yang berlandaskan kepasa perasaan kasih-sayang dan kasihan belas juga adalah satu komponen utama dalam konsep decent work dari perspektif Islam. Ternyata Islam lebih awal dalam mengenegahkan konsep decent work ini tetapi tidak ramai dari kita (orang Islam sendiri) yang menyedarinya.
SUMBER : http://www.ikim.gov.my/
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES
Jarak usia Bukanlah Penghalang Untuk Mereka,Yang Penting Persefahaman Kongsi Wanita Ini

Memiliki pasangan yang lebih tua atau lebih muda membuatkan hari anda semakin berwarna dan indah kerana boleh berkongsi pengalaman.Inilah masanya anda dan pasangan mengenali hati budi masing-masing dan mengeratkan lagi hubungan. Pasangan yang berusia lebih tua dari anda memiliki emosi jauh lebih stabil dan dia bersedia meluangkan waktunya untuk mendengar keluh kesah pasangannya.
Jodoh dan pertemuan itu milik Allah. Siapa sangka pertemuan sesingkat ini cuma mempertemukan Nur Hidayah dan Muhd Azmi hingga sah bergelar suami isteri. Nur Hidayah berkongsi kisah cinta hatinya.
Berapa usia kalian ketika berkenalan?
Ketika itu, usia saya memasuki 25 tahun manakala suami 32 tahun.
Adakah anda mengidamkan pasangan yang berusia? Mengapa?
Memang dari dahulu, saya selalu inginkan pasangan yang lebih berusia, paling tua pun jarak 10 tahun.
Berdasarkan fakta, wanita lebih cepat matang berbanding dengan lelaki, jadi dengan adanya jarak itu, besar kemungkinan paras kematangan kedua-duanya akan hampir serupa, tidak begitu ketara perbezaannya, makanya akan lebih banyak persefahaman di antara satu sama lain.
Kebiasaannya lelaki yang lebih berusia selalunya sudah bersedia untuk ‘settle down’ iaitu untuk mendirikan institusi keluarga sendiri dan sudah bersedia dari segala aspek terutama sekali dari segi mental dan kewangan juga pandai bertutur dan menyesuaikan diri apabila berbicara dengan orang tua.
Apakah kelebihan pasangan jika usianya lebih matang?
Jika memiliki pasangan yang lebih matang, membuatkan saya akan berasa lebih menghormatinya bukan sekadar status malahan faktor umur turut memainkan peranan. Saya juga yakin bahawa dia mampu untuk menjaga dan mendidik saya dan bertanggungjawab mengantikan tempat ayah saya. Tertariknya lagi apabila timbul satu masalah lebih mudah untuk mencapai kata sepakat. Dia juga akan melihat sesuatu perkara itu dalam jangka masa yang panjang ‘the bigger picture’.
Adakah mendapat halangan dari keluarga?
Jarak usia bukan penghalang kerana ibu bapa kami juga berkahwin dengan pasangan yang jauh jarak usianya. Malah ibu bapa suami telah sedia maklum bahawa anak mereka sudah lama bersiap sedia untuk berumah tangga, hanya menunggu calon yang sesuai dan jodoh untuk tiba. Alhamdulillah, semua anggota keluarga dari kedua belah pihak menerima kami dengan tangan dan hati yang terbuka.
Apakah yang anda pelajari dari pasangan yang berusia matang dari anda?
Erti kesabaran, cuba memahami dan bertolak ansur, kadangkala kerana faktor usia
dia tidak faham dengan kelakuan saya (contoh, kenapa saya suka ambil gambar dan upload ke Instagram)
Kenapa saya perlu ada banyak baju dan tudung yang berbeza-beza untuk mix and match (kerana dia seorang yang simple, dan tidak suka berbelanja, selalu ‘repeated outfit‘.
Ciri-ciri pasangan yang membuat anda yakin dia calon suami yang dicari
Memiliki karakter yang tenang, bak ‘air’, mempunyai misi dan visi dalam hidup, sama ada jangka masa pendek mahupun panjang. Kefahaman agama yang kuat dan mempraktikkannya dalam rutin harian (contoh, jaga waktu solat, baca al quran, peka tentang pemakanan), yakin dengan keputusan yang telah dibuat, hati tidak mudah berbolak-balik dan juga yang paling penting serius dalam perhubungan, untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.
Apakah perbezaan dan persamaan karakter anda berdua?
Suka membuat lawak jenaka dan mempunyai matlamat hidup yang sama untuk mencapai kejayaan. Sering berkongsi ilmu dan kami berdua juga berani mencuba sesuatu perkara yang baru.
Dalam persamaan masih ada perbezaan kami, saya seorang yang ceria malahan dia seorang yang pendiam, saya seorang yang sangat teliti ‘into details’ (micro) manakala suami pula seorang yang ‘see the bigger picture’ (macro). Saya lebih tegas berbanding dengan suami.Saya lebih emosi, dan senang melatah apabila terjadinya perkara yang tidak diingini, tetapi suami pula seorang yang tenang dan mampu menenangkan keadaan, cool
Kalau merajuk pasangan buat apa?
Kami mempunyai ‘Love Language’ yang berbeza sebenarnya. Sehingga kini kami cuba untuk menyesuaikan diri. Kalau dia merajuk, selalunya saya yang akan minta maaf dahulu dan membelikannya hadiah atau makanan kegemarannya untuk memujuk.
Kalau saya merajuk, suami biasanya membuat lawak. Tetapi kalau masih tidak berjaya, dia biasanya memujuk dengan memeluk saya dengan erat, ‘memaksa’ saya untuk berada di dalam dakapannya.
Perancangan keluarga
Saya berfikir dari masa jangka pendek manakala suami pula berfikir untuk jangka panjang. Oleh kerana kami masih lagi dalam proses perkenalan, kami merasakan tidak perlu untuk tergesa-gesa menimang cahaya mata seperti pasangan lain. Kami ingin menyesuaikan diri dahulu, dan mempelajari komunikasi yang berkesan di antara kami, barulah kami boleh lanjut ke peringkat seterusnya.
Dari segi faktor usia, saya merasakan bahawa masih ada lagi masa sebelum saya mencecah umur 30 tahun, rata-rata lima tahun lagi. Tetapi suami pula memikir pada masa jangka panjang, dia tidak mahu menjadi ayah yang tua, dia ingin menjadi ayah muda agar masih kekal relevan dan masih lagi ada tenaga dan kekuatan untuk membesarkan anak-anak. Perkara ini dibincang serius dan memerlukan kami untuk melihat segala aspek dengan matang dan realistik dan saling bertolak ansur.
Pasangan Ini Buktikan, Cinta Zaman Sekolah Tidak Halang Mereka Berjaya Sehingga Sama-Sama Bergelar Doktor!

Meniti alam perkahwinan di usia yang muda mungkin banyak cabarannya. Tambahan lagi, status sebagai pelajar yang menjadi kekangan dalam membahagikan masa dalam pelajaran. Menurut pasangan ini, Halimah Mohd Nasarruddin, 29 dan Fauzan Sabri, 29, sifat sabar serta tolak ansur haruslah dipegang dan dijadikan prinsip hidup agar perkahwinan yang dibina di usia muda sentiasa utuh dan kekal bahagia.
- Bagaimanakah anda dan pasangan mula berkenalan dan ceritakan detik pertemuan buat pertama kali?
Kami mula berkenalan semasa berada di tingkatan lima di Sekolah Menengah Seksyen 18, Shah Alam dan waktu itu dia suka kawan baik saya, saya hanyalah perantaraan antara mereka. Namun lama kelamaan, hubungan kami menjadi semakin akrab dari kawan menjadi kawan baik dan akhirnya rapat.
- Berapa lama tempoh percintaan sebelum mengambil keputusan untuk terus berkahwin. Apakah yang membuatkan anda bertindak dengan keputusan sedemikian?
Kami mengenali hati budi masing-masing dan mengambil masa kira-kira lapan tahun sebelum mengambil keputusan untuk ke peringkat seterusnya iaitu dari kami SPM hingga habis Dental School. Oleh kerana selepas belajar kami bakal dihantar di tempat yang berasingan, kami mengambil keputusan untuk berkahwin supaya dapat diletakkan di satu kawasan yang berdekatan atau sama.
- Bagaimanakah lamaran dibuat? Terangkan momen tersebut.
Saya dan Fauzan seorang yang simple dalam segala benda dan kami tidak ada cara istimewa dalam membuat lamaran. Cuma berbincang tentang masa depan kami dan dari situ kami membuat keputusan untuk berkahwin.
- Bagaimanakah respon keluarga mengenai isu ini?
Ibu dan ayah mana tidak bimbang bila anak bercinta sewaktu zaman belajar kerana takut bakal menjejaskan pelajaran. Tapi alhamdulillah kami buktikan pada mereka yang kami tidak mensia-siakan pelajaran waktu itu sehingga kami sama-sama berjaya memasuki Dental School.
- Apakah perasaan anda sebagai suami isteri selepas berkahwin setelah bercinta sekian lama?
Alhamdulillah, tiada perkara yang manis yang boleh digambarkan kerana akhirnya perkenalan kami tidak sia-sia. Bercinta dengan lelaki yang sama dan akhirnya menjadi suami itu ialah antara perkara yang diimpikan setiap insan bercinta.
- Apakah keistimewaan yang ada pada pasangan anda sehingga menyebabkan anda mengambil keputusan untuk hidup bersama?
Fauzan bukan sahaja suami tetapi dia juga sahabat yang sentiasa ada di masa saya jatuh dan bangun. Dia juga mempunyai kesabaran yang tinggi. Sifat rajin dan bertanggung jawab yang ada di dalam dirinya juga membuatkan dia istimewa buat saya.
- Kongsikan kenangan pahit dan manis sepanjang percintaan.
Lumrah pasangan bercinta, bila sedang bahagia, mesti ada dugaan yang menduga. Pernah juga ada yang cuba mengganggu hubungan kami. Dan mungkin kerana itu juga yang membuatkan hubungan ini menjadi lebih kuat dan akhirnya ke jinjang pelamin.
- Apakah pendapat dan pandangan anda mengenai isu cinta zaman sekolah?
Bagi saya tiada isu jika kita pandai seimbangkan antara cinta dan pelajaran. Tidak salah untuk bercinta tetapi harus ingat batas pergaulan dan perlu mempunyai hala tujunya. Pasangan terbabit perlu sedar tentang tanggungjawab mereka kepada agama dan keluarga. ‘Tepuk dada tanya selera’, itulah yang perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar kini agar setiap gerak-geri mereka tidak menimbulkan tanggapan yang kurang enak di mata masyarakat.
- Apakah nasihat anda buat mereka yang bercinta semasa zaman sekolah?
Jika mampu untuk terus fikus pada pelajaran,maka fokuslah. Jika mahu juga bercinta, maka jangan sampai pelajaran tergadai. Zaman sekarang pelajaran adalah sangat penting untuk menentukan masa depan kita. Future starts from young. Jgn lalai kerana bercinta. Dalam cerita kami, kami belajar sama-sama, i teach him addmath, he teach me biology. Yang baik mungkin kita oleh ambil namun yang buruk, kita tinggalkan.
- Ucapan anda buat suami tersayang
Terima kasih kerana menjadi sahabat dan lelaki yang terbaik untuk saya. Moga ikatan rasa cinta yang dibina berkekan hingga ke syurga, inshaAllah.