Sebelum nak kahwin, penting untuk anda dan pasangan membuat perancangan yang rapi serta teliti bagi memudahkan anda berdua membuat persiapan. Ini penting bagi mengelakkan anda dan pasangan kelam kabut atau tertinggal mana-mana perkara penting.
Sebaik-baiknya persiapan majlis kahwin elok dilakukan seawal mungkin atau paling tidak pun enam bulan sebelum majlis kahwin berlangsung. Walau bagaimanapun perancangan yang terbaik ialah setahun sebelum majlis.
Ikuti tip persiapan menjelang hari bahagia ini.
12 BULAN SEBELUM
1. Berbincang dengan tunang serta keluarga kedua-dua belah pihak berkenaan tarikh dan waktu nikah.
2. Mengatur bajet berdasarkan konsep majlis, lokasi dan jumlah tetamu yang diundang.
3. Membandingkan beberapa lokasi pilihan dan akhirnya membuat pilihan sama ada ingin mengadakan majlis di rumah, hotel atau dewan.
4. Merancang menu yang ingin dihidang kepada tetamu sama ada secara bufet atau hidang.
5. Fikirkan juga sama ada hidangan dimasak secara gotong royong atau menggunakan khidmat katering.
11 BULAN SEBELUM
1. Menetapkan tarikh nikah, majlis sanding dan bertandang seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
2. Menghadiri kursus kahwin bersama pasangan
3. Survey beberapa butik pengantin.
4. Membeli barangan hantaran seperti kasut, beg tangan, minyak wangi dan lain-lain.
5. Tentukan siapa yang bakal menjadi pengapit lelaki dan perempuan. Pilih sama ada kawan rapat atau sanak-saudara.
10 BULAN SEBELUM
1. Buat pemilihan katerer (jika bercadang menggunakan khidmat katering). Namun jka anda menggunakan kaedah gotong royong, kenal pasti individu yang akan mengetuai bahagian penyediaan makanan.
2. Tetapkan menu yang ingin dihidangkan semasa majlis berlangsung.
Ads
3. Rancang warna tema untuk keseluruhan majlis.
9 BULAN SEBELUM
1. Senaraikan nama tetamu yang bakal dijemput.
2. Pilih jurugambar atau juruvideo untuk merakam momen indah di hari bahagia.
3. Pilih perunding perkahwinan untuk menata gaya dekorasi dewan, pelamin, meja beradab, kamar dan lain-lain.
4. Lakukan perbincangan awal dengan perunding perkahwinan yang dilantik untuk memberi ruang kepada mereka memahami keinginan majlis impian anda.
8 BULAN SEBELUM
1. Rancang barang hantaran dan tentukan siapa yang bakal menggubah dulang tersebut.
2. Rancang percutian bulan madu. Lebih jimat jika anda menempah awal untuk tiket penerbangan dan bilik hotel.
3. Menempah cincin perkahwinan.
4. Pilih pereka baju atau tukang jahit yang bakal membuat baju nikah anda.
Ads
7 BULAN SEBELUM
1. Fikirkan cenderahati yang ingin diberikan kepada tetamu.
2. Tentukan tema pakaian untuk ayah, ibu dan adik-beradik agar mereka boleh membuat persediaan awal.
3. Jika keluarga pasangan tinggal jauh, rancang soal pengangkutan dan penginapan sewaktu majlis bakal berlangsung nanti.
6 BULAN SEBELUM
1. Mula menempah kad jemputan.
2. Menjalani ujian HIV.
3. Menghubungi kadi dan Pejabat Agama Islam.
4. Tempah baju untuk pengapit.
5. Tempah langsir (jika majlis diadakan di rumah).
5 BULAN SEBELUM
1. Tentukan sama ada anda ingin menempah cenderahati untuk tetamu atau membuatnya sendiri.
Ads
2. Pilih dan tentukan semua kelengkapan perkahwinan (kad undangan, kek pengantin, bunga tangan, dekor majlis dan sebagainya).
3. Selesaikan semua urusan tempahan dengan membuat bayaran deposit (kad undangan, baju, khemah, katering, jurusolek dan lain-lain).
4 BULAN SEBELUM
1. Pastikan anda telah membeli semua barang hantaran.
2. Lakukan percubaan solekan dengan jurusolek yang telah ditempah.
3. Buat tempahan jurunikah.
4. Cari saksi nikah.
3 BULAN SEBELUM
1. Pastikan PA system dan deejay telah dimaklumkan berkenaan majlis kahiwn anda.
2. Pilih lagu-lagu yang bakal dimainkan semasa majlis berlangsung.
3. Dapatkan rawatan kecantikan selain mengambil berat tentang penjagaan kecantikan dan tubuh badan.
4. Atur penginapan untuk sanak-saudara dan rakan yang datang dari jauh (buat tempahan homestay atau hotel) untuk mereka.
2 BULAN SEBELUM
1. Edarkan kad kahwin dan dapatkan RSVP daripada tetamu secepat mungkin.
2. Lakukan fitting baju kahwin untuk pastikan ia sepadan dengan tubuh anda dan pasangan.
3. Ambil cincin perkahwinan yang telah ditempah.
1 BULAN SEBELUM
1. Adakan perbincangan dan buat senarai semak terakhir bersama ahli keluarga, teman-teman dan bakal suami agar semuanya berjalan lancar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang anak perempuan juga mempunyai tanggungjawan yang besar selepas mereka bernikah. Bukan hanya menurut suami sahaja.
Ingat jika anda masih mempunyai ibu bapa maka mereka masih dalam tanggungjawab anda. Berikan apa yang anda mampu untuk membahagia mereka. Barulah rezeki masuk dan berkat!
1. Berbakti dan menghormati orang tua
Walaupun sudah berkahwin, anda tetap perlu menghormati ibu bapa anda.
2. Hulurkan bantuan kewangan
Sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk memberi keselesaan kepada ibu bapa.
3. Menjaga nama baik ibu bapa
Jaga nama baik dan maruah keluarga agar nama baik mereka terpelihara.
4. Jalinkan silaturrahim dengan orang tua
Berkahwin tidak bermakna anda lupakan mereka. Jangan sesekali menderhaka kepada ibu bapa anda.
5. Ada komunikasi yang baik
Elak tinggikan suara pada mereka. Jaga adab ketika bercakap dengan mereka. Gunakan nada yang baik.
6. Jangan bebankan ibu bapa
Jangan sesekali susahkan orang tua anda. Ringankan beban mereka dengan membantu apa yang patut.
7. Layan mereka dengan mesra
Teruskan memberi layanan yang mesra dan istimewa kepada mereka.
8. Bersabar dengan kekurangan mereka
Mereka tetap manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Jangan cepat menghukum!
9. Sentiasa mendoakan mereka
Jangan lupa sentiasa doa kesejahteraan mereka setiap kali selepas solat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
5. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!