Tiada apa yang dimahukan oleh isteri selain perhatian dan kasih sayang daripada seorang suami. Hanya suami tempat dia bermanja dan bermesra.
Namun jika si isteri tidak mendapat perhatian daripada suami seperti yang diinginkan, isteri tentu sahaja akan makan hati dan memendam perasaan seorang diri.
Isteri faham jika suami sibuk dengan kerja tetapi bila balik rumah, ambillah masa untuk berborak dengan isteri. Jangan terlalu leka dengan telefon bimbit hingga lupa isteri di sebelah.
Perkongsian oleh Ustaz Ebit Lew menerusi laman Instagramnya pasti akan menyentuh perasaan anda. Terdapat juga beberapa amalan buat isteri untuk melembutkan hati suami. Anda patut cuba!
Seorang kakak tanya. Suaminya setiap hari balik pukul 1 dua pagi. Kadang-kadang balik awal. Tapi terus pegang hp dan tak bercakap langsung.
Katanya, setiap hari saya bekerja. Kena urus anak 3 orang seorang diri. Urus rumah seorang diri. Saya tak kisah pun. Cuma sedihlah ustaz. Apa saya patut buat. Ada amalan tak saya boleh buat supaya suami saya nak pandang saya. Pedulikan saya. Stress sangat dan dah puas menangis. Penat dan rasa macam jadi bodoh jer rasa. Macam tak berguna. Saya cuma nak dia beri sedikit perhatian untuk saya dan bimbing saya. Bukan nak banyak pun..suami saya solat pun liat. Jarang nampak dia solat. Sedih rasa. Dulu saya pun jahil. Tapi sekarang saya dah mula perbaiki diri dan jaga solat. Tapi dia masih belum berubah.
Begitulah puan keadaan hari ini. Sedih dan kasihan lihat keadaan hari ini. Rumah jadi macam hotel. Tempat tidur jer. Dulu rumah zaman Nabi saw walau buruk dan sempit tetapi penuh bahagia di dalamnya. Rumah tempat bahagia. Rumahtangga pengubat jiwa.
IKLAN
Kredit: tonnyphotoworks
Cuba puan buat 3 amalan ini:
Pertama solat sunat hajat 4 rakaat hajat setiap hari.2 kali salam. Doa khusus buat suami. Baca laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin 300kali selepas solat. Hati manusia dalam genggaman Allah. Doa lebih berkuasa dari segalanya.
Keduanya tetapkan waktu Ta’lim. Dan ajak suami sama-sama duduk. Jika dia tak mahu, teruskan buat bersama anak-anak. Jangan tinggalkan amalan Ta’lim. Baca Al-Quran dan hadis buat rumah bercahaya dan hidup. Malaikat yang bawa rahmat dan ketenangan memenuhi rumah kita.
Ketiga setiap malam sebelum tidur cium tangan suami dan kata lebih kurang begini. “Abang saya minta maaf atas semua salah silap saya. Terima kaseh jadi suami saya. Tolong pimpin saya sampai melangkah masuk syurga”
Bila seseorang mula rasa ini salah saya. Rahmat Allah bersamanya. Pertolongan Allah datang. Bila 2 orang mula caci mencaci kita terjauh dari rahmat Allah. Rahmat Allah hilang.
IKLAN
Dia pun buat selama seminggu. 3 perkara ini. Suaminya menangis semasa hari ketujuh dia buat. Suaminya minta maaf. Sebenarnya abang yang tak baik. Abang yang berdosa. Maafkan abang sayang.
Syukur hari ini ramai kerana doa isteri dapat bawa suami ke keluargasunnah-
Mak mana yang tak sayang anak. Tentulah mak akan naik hantu bila menantu mengadu itu dan ini. Seolah-olah mak tak pandai jaga anak pula. Tapi sebelum ‘back-up’ anak, nilai dulu isu mereka dan tanya kedua-dua pihak. Lagi elok kalau tak masuk campur langsung!
Ada suatu ketika, saya terdengar ibu berbual dengan ayah.
“Urusan rumahtangga orang, kita jangan masuk campur walau itu urusan rumahtangga anak-anak kita atau adik beradik kita.”
“Walau kita ni mak ayah yang melahirkan dan susah payah membesarkan anak-anak, tapi bila anak sudah berkahwin, percaya atau tidak, pasangan dia tu lebih mengenali luar dalam anak-anak kita.”
“Sebab tu kalau anak kita mengadu masalah rumahtangga, jangan terus jatuh hukum dan sokong anak kita membuta tuli. Kita tak tahu apa kisah di pihak menantu kita pulak.”
Benar… sebagai orang luar sesebuah hubungan suami dan isteri, biarpun kita pernah hidup lama dengan anak/adik beradik kita, tetap tidak lunak untuk kita berkata;
“Kau tu baru je kahwin dengan anak/abang/kakak/adik aku. Aku ni yang hidup berpuluh tahun dengan dia. Aku lagi kenal siapa dia.”
“Kau tu siapa? Orang luar je, bila-bila boleh dicari ganti. Kami ni keluarga dia. Sampai bila-bila tiada yang boleh ganti.”
Kenyataan-kenyataan sebegini boleh melukakan untuk didengari. Seolah kedudukannya sebagai pasangan itu adalah picisan semata.
Memang betul, pertalian ibubapa-anak dan antara adik beradik ialah ikatan darah yang takkan terputus. Namun, pasangan suami/isteri yang soleh/solehah pun bukanlah ibarat benda yang boleh DIBUANG sesuka hati.
Maaf. Tidak lunak untuk kita sewenangnya mengeluarkan kata-kata seperti itu sekalipun kita tidak bersetuju, kita tidak suka, tidak hormat kepada ipar/menantu kita
Pandangan kita sebagai ibubapa atau adik beradik adalah tidak sama dengan pandangan pasangan yang hidup bersama, nampak semua sisinya secara total, tidur sebantal, melahirkan dan bersama-sama membesarkan anak-anak.
Percayalah. Banyak sisi lain, ‘wajah-wajah’ lainnya yang kita tak nampak – yang mungkin hanya terzahir di depan pasangannya sahaja.
Belajarlah hormat pasangan anak/adik beradik kita walau kita tidak suka atau memang tiada langsung rasa hormat pun dengan mereka.
Namun, tetap kita perlu hormat ikatan akad nikah mereka itu. Ikatan mereka suami isteri adalah ikatan yang diiktiraf di sisi agama. Hormat bahawa itulah insan yang anak/adik beradik kita sayang.
Itulah juga antara tanda kita betul-betul sayang kepada anak/adik-beradik kita itu. Iya kan?
Dua hari lagi kita bakal menyambut ketibaan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Inilah masa untuk kita meningkatkan lagi amal ibadah kita kerana pintu syurga pada waktu ini dibuka seluas-luasnya. Jadi, buatlah amal kebaikan dan pahala sebanyak yang mungkin.
Sebelum berpuasa, anda digalakkan untuk bersahur kerana ia merupakan perkara sunat. Isilah perut anda sedikit walau dengan sebiji kurma. Memandangkan Ramadan bakal tiba, kami ingin kongsikan 13 perkara yang boleh anda lakukan bermula azan Subuh sehinggalah sebelum anda bangkit daripada tikar sejadah.
Perkongsian ini meraih 24.4K Retweets dan dikongsi oleh pemilik akaun, @tufairies. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.
Solat sunat sebelum Subuh 2 rakaat. Ia lebih baik dari dunia dan seisinya [Al-Hadith].
Solat Subuh berjemaah. Ia 27 kali ganda lebih baik daripada solat bersendirian [Al-Hadith].
Isitighfār paling kurang 3 kali. Rasulullah SAW beristighfār tidak kurang
daripada 70 kali sehari semalam [Al-Hadith].
Membaca ‘Allāhumma ajirnā minannār’ sebanyak 3 kali.
Membaca ‘Allāhumma antassalām wa minkassalām wa ilaika ya’ūdussalām hayyinā rabbanā bissalām wa adkhilnal jannata dārassalām tabārakta rabanā wa ta’ālaita yā zal jalāli wal ikrām’ sebanyak sekali.
Membaca Surah Al-Fatihah sebanyak sekali.
Membaca ayat Kursi sebanyak sekali.
Membaca ‘Subhänallāh’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Alhamdulillāh’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Allāhu akbar’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Lā iläha illallāhu wahdahū lā syarīka lah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alā kulli syai in qadīr’ sebanyak sekali. Allah akan ampunkan dosa walau sebanyak buih di lautan [Al-Hadith].
Membaca ‘Subhānallāhi wa bihamdihī subhānallāhil ‘azīm’ sebanyak 3 kali. Ia akan memberatkan neraca amalan kita di akhirat [Al-Hadith].
Selepas itu barulah bangkit dari tikar sejadah untuk buat apa saja urusan harian.
NOTA!
Amalkan ketika berseorangan.
Amalkan juga ketika bersama keluarga.
Ajarkan semua ini step by step kepada isteri dan anak-anak. Nanti bila sudah tidak bersama, masing-masing boleh amalkan.
Semoga anda semua dapat ilmu yang bermanfaat hari ini. InsyaAllah.
KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat.
Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan.
Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga. Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua.
Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka.
Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya. Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka 'ah', dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, 'Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku." (Surah al-Isra, ayat 23-24)
Kewajipan memelihara ibu bapa
Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik.
Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: "Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka."
Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka. Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: "Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu."
Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata. Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa.
Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka. Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka.
Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, "Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian." Baginda juga berkata, "Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama."
Kelapangan rezeki, masa
Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita.
Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka.
Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT.
Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, "Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim."
Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, "Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa."
Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa.
Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.
Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.
Dilema pilih isteri, ibu bapa
Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua.
Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya.
Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.