Gaya Hidup

Andre Taulany & Amanda Rigby Sah Bergelar Suami Isteri, Beza Usia 18 Tahun Bukan Penghalang

Share

Selepas kisah hubungan mereka menjadi perhatian, pelawak dan pengacara terkenal Indonesia, Andre Taulany akhirnya sah bergelar suami kepada aktres Amanda Rigby.

Pasangan itu melangsungkan akad nikah pada 20 September 2026 dalam sebuah majlis yang berlangsung secara intimate di The Dharmawangsa, Jakarta Selatan, Indonesia.

Memilih untuk meraikan detik bermakna tersebut dalam suasana yang lebih peribadi, majlis pernikahan Andre dan Amanda dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat.

Lebih istimewa, pasangan ini mengangkat keindahan adat Jawa sebagai konsep utama hari bahagia mereka.

Amanda atau nama penuhnya, Amanda Lintang Larasati Rigby tampil anggun dalam persalinan kebaya putih yang menyerlahkan pesona klasik seorang pengantin Jawa.

Penampilannya disempurnakan dengan tata rias tradisional yang cukup elegan, sekali gus memberikan sentuhan tersendiri pada keseluruhan gaya pengantin.

Andre pula tampil segak mengenakan beskap rona putih lengkap dengan blangkon, sedondon dengan pilihan busana isterinya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Andre turut meluahkan rasa syukur selepas selamat melaksanakan akad nikah bersama wanita pilihannya.

“Bismillahirrahmanirrahim.

“Dengan izin Allah SWT dan menunaikan sunnah Rasulullah SAW, Alhamdulillah pada hari ini, Minggu, 20 September 2026, kami telah melaksanakan akad nikah dan mengikat janji suci dengan restu dari kedua orang tua, anak-anak dan keluarga, serta orang-orang tercinta,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Andre turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menitipkan doa buat kehidupan baharu mereka sebagai pasangan suami isteri.

“Terima kasih atas doa-doa baiknya kepada kami. Semoga Allah SWT membalasnya dengan kebaikan yang berlimpah,” katanya.

BACA JUGA: Zuhair Murad Terjemah Kisah Cinta Romeo dan Juliet Dalam Busana Pengantin

Selain busana serba putih yang mencuri perhatian, mas kahwin yang diberikan Andre turut mempunyai makna istimewa buat pasangan berkenaan.

Andre menyerahkan wang tunai berjumlah Rp20,092,026, angka yang diambil bersempena tarikh pernikahan mereka, 20 September 2026. Mas kahwin tersebut turut disertakan dengan seperangkat alat solat.

Pernikahan tersebut juga menjadi lebih bermakna apabila berlangsung dengan restu kedua-dua ibu bapa, anak-anak serta keluarga dan insan tersayang.

Tahniah Andre Taulany dan Amanda Rigby. Semoga ikatan yang dibina terus diserikan dengan kebahagiaan dan menjadi permulaan kepada perjalanan rumah tangga yang penuh makna.

Published by
Reporter Pesona Pengantin