
“Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah.
Belanja atas isteri dan keluarga sedekah paling besar nilainya. Nafkah wajib. Apa yang kita suka untuk diri, itu juga yang kita kongsikan dengan isteri.”
“A successful marriage requires falling in love many times, always with the same person.”
Hargai Jasa Isterimu, Mungkin Proses Bersalin Itu Perjalanan Terakhirnya

Fasa mengandung dan melahirkan anak adalah satu saat yang manis untuk dikenang ramai para ibu. Namun ia menjadi tragis apabila ada suami yang tidak tahu bersyukur dan menghargai pengorbanan sang isteri yang bertarung nyawa melahirkan zuriat mereka. Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli dari yang mungkin boleh menyedarkan kaum suami bahawasanya mengandung itu tidak mudah. Hargailah isteri anda yang masih hidup selepas bersalin.
Apabila seorang isteri mengadu suaminya buat endah tidak endah apabila dia berdepan alahan dan ragam mengandung, rasa stress, tak dihargai, tak dipedulikan, tidak cukup rehat menguruskan anak-anak, saya pula rasa sedihnya.
Iya. Memang lelaki tidak merasa walau secuit apa pun yang isteri rasakan. Sebab itu, adakalanya sesetengah lelaki rasa ragam isteri sewaktu mengandung, bersalin dan menyusu itu seperti mengada-ngada.
Dari rasa loya, pening, perit tekak dan dada memuntahkan segala isi perut, rasa perit hujung dada yang tersangat sensitif, sakit pinggang, sakit badan situ sini, hinggalah ke saat dibelah berlapis lapisan kulit, dicucuk sana sini, dijahit sana sini. Semua ditanggung oleh wanita itu seorang diri.
Bukan soal merungut, atau meminta simpati. Ini hakikat yang selalu diperlekehkan atas pelbagai alasan dan sebab.
“Alah.. Isteri orang lain pun mengandung jugak.”
“Alah.. Isteri orang lain pun beranak jugak,”
“Emak saya dulu anak 10 orang, tak ada rungut apa pun,”
“Dah memang tugas orang perempuan hamil dan bersalin. Kalau kahwin dengan orang lain, dia pun beranakkan anak saya juga. Entah-entah lagi ramai!”
Iya. Betullah apa yang dikatakan itu. Tetapi mungkin isteri orang lain tak ada alahan, isteri awak pula alahannya teruk sampai melepek berbulan-bulan. Isteri orang lain sakit nak bersalinnya cuma beberapa minit, tetapi isteri awak menanggung sakit sampai berhari-hari. Isteri orang lain mungkin beranak tak kena jahit, tak kena belah, tetapi isteri awak pula, jahitannya sampai ke lubang dubur!
Menyedihkan apabila kadang sesetengah orang perempuan sendiri pun pandai merendahkan kaumnya sendiri hanya kerana bahagiannya dipermudahkan.
Saya tak boleh lupa apabila seorang lelaki bergelar suami yang mengeluh isterinya lama sangat dalam labour room, isteri orang lain baru sampai pintu labour room dah selamat beranak dah. Dia perlu menunggu subuh sampai ke malam. Penat!
“Banyak sangat dosa, dosa dengan suami lagi. Sebab tu payah nak bersalin!”
Terkesima saya mendengar.
Adakah patut ayat itu yang keluar dari mulut seorang suami terhadap isteri yang menggadai nyawa beranakkan zuriatnya sendiri? Allahuakbar.
Sebab orang lelaki tak rasa. Dia tak rasa sendiri betapa perit dan sakitnya mengandung, bersalin dan menyusukan anak.
Sebab itu, kadang ada sesetengahnya selamba sahaja request mahukan anak jantina lain selepas ini, walhal isteri baru selamat beranak – yang mungkin masih trauma. Ada yang lebih jahat, waktu isteri hamil dan bersalin boleh lagi curang dengan orang lain. Nauzubillah min zalik.
Oleh itu, bagi saya, antara ujian paling berat untuk orang lelaki, inilah dia.. iaitu bersikap belas kasihan terhadap ibu yang mengandungkan dan melahirkannya serta kepada isteri yang mengandungkan dan melahirkan zuriatnya.
Sebab bukan dia yang tanggung segala sakit perit semua itu, namun rasa kasihan, belas, syukur dan mahu menghargai itu hadir di dalam diri sekalipun dia tidak faham dan dia tidak rasa sendiri sakit itu.
Dan perasaan ihsan ini bukanlah boleh dibuat-buat melainkan lahir ikhlas dari hati.
Lihat isteri kesakitan dan keletihan, suami pula yang tak sudah-sudah rasa bersalah dan tak henti mendoakan kemudahan dan ampunan. Banyak berdoa dan bersedekah agar isteri mudah bersalin. MasyaAllah.
Sesekali urutkan pinggang isteri pun bukannya jatuh saham sebagai suami. Hargailah isteri, jangan malu dan kedekut sangat mahu menunjukkan kasih sayang dan ihsan.
Sudah pasti, sokongan, kata-kata penghargaan dan kesantunan begini pun sudah cukup menyejukkan hati seorang wanita. InsyaAllah.
Disebalik kisah-kisah begini dalam masyarakat, saya pun yakin masih ramai suami yang baik terhadap ibu, isteri dan anak-anak mereka.
Doa saya, moga golongan ini ini sentiasa dirahmati Allah selalu. Subhanallah. Anda hebat. Buat golongan suami yang sebaliknya pula, moga diberikan hidayah taufik sebelum terlambat.
Wahai para suami ingatlah, tak semua suami masih ada isteri yang hidup sihat setelah proses melahirkan zuriatmu. Barangkali proses melahirkan anak itu merupakan perjalanan terakhirnya di muka bumi ini.
KREDIT : Intan Dzulkefli
Jika Selalu Bergaduh Suami Isteri, Cuba Amal Solat Jemaah Selama 40 Hari

Besar tanggungjawab seorang lelaki ini di dalam sebuah institusi perkahwinan. Bukan sahaja dari segi nafkah, tetapi juga dari segi mendidik seorang isteri menjadi zaujah yang sentiasa taat dan patuh dengan agamanya.
Perkongsian Afnan Rosli ini benar-benar menjentik hati seorang isteri agar sentiasa buat yang terbaik untuk suaminya.
PETUA LEMBUTKAN HATI PASANGAN
Pagi tadi lepas Solat Jemaah, belum sempat wirid tau2 wife saya dah landing atas riba. Mungkin penat sangat jaga Baby semalam kot. Takpela saya pun teruskan wirid dan doa sampai habis.
Lepas doa, saya nak bangun, tapi bila tengok balik muka wife yang keletihan ni, tak sampai hati nak kejut. Maka saya biarkan lah dia tidur kejap.
Tengah duk termenung sambil tenung muka bidadari saya ni, saya terfikir, macamana budak ni boleh jadi baik sangat ya?
Fikir punya fikir, akhirnya saya dapat. Rupanya jawapan pada solat Jemaah. Dulu kami jarang solat Jemaah. Masing2, kalau tak sependapat kira nak gaduh je. Saya pun Ego jugak, kira nak betul kita je kan.
Tapi bila dah mula berjemaah, cakap apa pun semua boleh cakap baik2. Cakap apa pun semua dia ikut. Rupanya Solat Berjemaah ni memang Power!
Ada beberapa concept yang ramai tak faham dalam rumah tangga. Antara basic nya ialah, lelaki ni dia nak Di HORMATI. Manakala wanita pula dia nak di SAYANGI. Apa yang terjadi pada ramai pasangan. Diorang expect dapat benda2 itu dari pasangan mereka dulu.
Maksud nya, kalau u sayang i, i hormat u. Macamtu jugak lah pada lelaki. U hormat i, i sayang u. Sebenarnya, the key is kita kena mula dengan diri kita dulu. Kalau kita lelaki, kita yang mula tunjuk kasih sayang pada Isteri kita dulu, nescaya isteri akan timbul rasa hormat pada suami. Automatic!
Dan yang best nya, benda ni ada dalam SOLAT JEMAAH. Bila solat jemaah, Automatic Sense of HORMAT pada suami tu akan terbentuk dalam Jiwa Isteri. Sebab suami jadi Imam, apa suami buat semua isteri ikut, patuh dan taat. Bila suami doakan apa2 hajat pun semua isteri amin kan. Maka dua2 ada matlamat yang sama, ada doa yang sama. Senang nak capai Kejayaan & Matlamat kalau sama2 berdoa ni.
The cycle will continue, Bila suami Dihormati, dia Automatic akan rasa bersalah kalau tak mencintai. Isteri bila di Cintai Automatic timbul rasa Hormat. Begitu lah seterusnya kitaran Emosi dalam Perkahwinan, asbab Solat Jemaah.
Jadi, kalau ada pasangan yang asyik2 nak gaduh, asyik2 tak sependapat, asyik2 suami nak marah. Ajak dia solat Jemaah. Susah lah kalau dah solat Jemaah hari2, nak gaduh jugak. Tak percaya cuba dulu 40 hari.
Bila kasih sayang ada dalam rumah, Rahmat Allah tu turun mencurah2. Allah Redha suami isteri yang berkasih sayang. Rezeki melimpah limpah2 Allah turun kan InsyaAllah.
Paling bagus pergi masjid bawak anak2 sekali. Tapi kalau sibuk sangat mulakan di rumah dulu Subuh, Maghrib, Isya. Yela, waktu lain masing2 dah busy dengan urusan masing2 kan. Waktu ni lah nak berkumpul family pun.
Macam kes kami, Alhamdulillah laki bini takyah kerja. So, kami ada plenty of time together.
InsyaAllah itu jela perkongsian harini. Moga bermanfaat selamat beramal.
Apa lagi? Ajak hubby solat jom.
-Afnan Rosli-
Exclusive Calligraphy Artist
Suami Itu Ketua Keluarga. Kalau Dia Tak Solat, Isteri Kena Main Peranan

Ramai di kalangan kita membincangkan isteri derhaka pada suaminya, tetapi jarang orang membincangkan derhaka suami kepada isterinya. Kenapa keadaan ini berlaku? Bukankah nampak macam tidak adil di pihak isteri? Mungkin juga isteri menjadi derhaka kerana suaminya yang tidak pandai mendidik isteri yang menjadi amanah yang diterimanya melalui akad yang sah.

Sebuah keluarga yang bahagia terbentuk dengan kesefahaman, toleransi, bantu membantu dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Bahagialah sebuah rumahtangga yang diketuai oleh suami atau si ayah yang memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah dalam rumah. Tetapi apabila suami gagal memahami tugasnya selaku ketua rumahtangga akan berlaku ketidakstabilan pengurusan dalam rumahtangga.
Suami perlu diperbetulkan supaya mereka yang di bawah jagaannya terdidik. Suami bertanggungjawab mengemudi bahtera rumahtangga.
Suami umpama kepala gerabak kereta api, kalau sesat kepala kereta api itu sesatlah seluruh penumpangnya.Lelaki sebagai ketua rumah tangga perlu tunjukkan teladan yang baik terhadap anggota keluarga. Hari ini, ramai ketua keluarga yang tidak memainkan peranan yang baik dengan menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak dengan melakukan solat wajib lima kali sehari.
Senario memalukan ini bukan perkara pelik. Lihat saja sekeliling anda, boleh dikira lelaki yang rajin menunaikan solat, tidak kira lima waktu atau solat Jumaat. Malah, masih ada jejaka yang tanpa rasa malu ‘menyertai’ wanita membeli-belah, dan yang paling menyakitkan mata apabila dengan pasangan masing-masing menjamu selera waktu azan berkumandang tengahari Jumaat tanpa merasakan ia satu kesalahan yang besar.
Mungkin ada yang menyelar topik ini dengan menyatakan bahawa solat isu sensitif dan hak peribadi sehinggakan ada kalanya apabila ingin mengajak seseorang bersolat pun menjadi perkara yang paling sukar dilafazkan.
Tidak keterlaluan kita pula yang malu untuk bertanya soalan berkenaan lantas menjadikan insan yang tidak bersolat bangga dengan perbuatan berkenaan. Hakikatnya lelaki yang tidak menunaikan solat walaupun apa alasannya tidak layak bergelar pemimpin dan ketua keluarga.