Bakal Pengantin, 6 Bulan Amal Ulam Sebelum Majlis, Lihat Sendiri Perbezaan Kesihatan Anda

Share

Melihatkan senarai pilihan makanan harian di Malaysia yang kaya karbohidrat dan lemak, mungkin kita akan mudah mengecop budaya makan Malaysia sebagai menggemukkan.

Tetapi jika cara pemakanan tradisional dikaji, pasti kita akan mendapati bahawa budaya makan masyarakat terdahulu sebenarnya sangat seimbang. Rahsianya? Dengan menjamah ulam sebagai pelengkap hidangan.

Bahkan penyelesaian kepada epidemik obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan kanser di Malaysia mungkin ada pada cara pemakanan tradisional ini.

Apa itu Ulam?

Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.

Di Malaysia lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara.

Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terang juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam sama sahaja seperti salad dalam diet barat.

Budaya memakan ulam-ulaman ini merupakan budaya yang dikongsi di negara-negara Asia Tenggara dan bukanlah terhad kepada masyarakat Malaysia sahaja. Di Vietnam contohnya, ulam tempatan dikenali sebagai rau thorn manakala di Kemboja sebagai chi.

Berikut merupakan beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:

1. Ulam Raja

Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat. Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.

Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.

2. Sambung Nyawa

Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan. Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan tumbuhan ini hanya mempunyai kesan menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.

Bagi masyarakat Cina, ulam yang dikenali sebagai Bai Bing Cao ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina untuk rawatan kanser rahim, cervical spondylosis

dan ulser kulit yang kronik. Ekstrak tumbuhan ini juga didapati pada beberapa produk makanan (teh, kopi, kimchi, gula-gula, coklat, gam getah) dan kecantikan (krim muka, topeng muka) di China dan Korea.

3. Daun Selom

Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori. Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering. Selom juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.

4. Cekur

Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi. Selain dimakan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).

5. Pegaga

Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda. Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa pegaga mengandungi sebatian tumbuhan yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.

6.Petai

Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah. Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.

Inisiatif kajian ulam

Kesedaran tentang manfaat kesihatan yang terdapat pada ulam tradisional turut mendapat perhatian komuniti saintifik. Terbaru, Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA) menubuhkan The Ulam School diketuai Dr. Eric Olmedo, seorang pakar antropologi

Dengan tajaan geran daripada Toyota Foundation, projek tersebut bakal direalisasikan di fasiliti kajian kepunyaan UKM dalam Langkawi UNESCO Global Geopark pada tahun 2020. Projek kajian ini bermatlamat mencipta rangkaian pendidikan makanan di Asia Tenggara dalam memelihara dan menghargai pengetahuan botani tentang ulam-ulaman yang dikongsi Malaysia, Kemboja dan Vietnam.

Dalam media massa, chef-chef selebriti di peringkat antarabangsa seperti Kiran Jethwa dan Luke Nguyen juga menggalakkan penggunaan sayur-sayuran tradisional seperti ulam berbanding bergantung kepada pilihan salad terhad dalam kulinari barat. Kementerian Kesihatan Malaysia juga menggalakkan pengambilan ulam di bawah Panduan Pemakanan Malaysia (Malaysian Dietary Guidelines) tahun 2010.

IKLAN