Kehidupan ketika bercinta tentunya tidak sama dengan alam perkahwinan. Ini kerana sebaik sahaja bergelar suami isteri pastinya banyak perkara baharu tentang pasangan yang bakal anda ketahui.
Ada ketikanya membuatkan anda rasa sukar untuk menyesuaikan diri kerana masing-masing belum mengenali sedalam-dalamnya. Untuk mengelakkan rasa kekok yang mungkin boleh menimbulkan salah faham, penting untuk anda berdua ketahui 10 benda baharu ini.
1. Pasangan manusia tak sempurna dan ada kekurangan
Selalunya ketika zaman bercinta memang sukar untuk anda ketahui sifat buruk pasangan. Mesti masing-masing cuba sembunyikan daripada pengetahuan pasangan. Apabila sudah berkahwin, baru nampak kelemahan masing-masing kerana setiap manusia dilahirkan tak sempurna.
Jadi jangan sesekali anda mengharapkan kesempurnaan daripada pasangan. Belajarlah untuk menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada pasangan dengan sama-sama membaikinya ke arah yang lebih baik.
2. Kena ambil masa untuk fahami dan kenali pasangan
Walaupun anda mengenali pasangan sejak sekian lama sebelum memutuskan untuk berkahwin, ini tidak bermakna anda mahupun pasangan mengenali diri masing-masing dengan sedalam-dalamnya. Apabila sudah tinggal sebumbung ambillah masa untuk lebih mengenali dan memahami diri pasangan. Dengan cara itu anda dan pasangan boleh bertoleransi dalam banyak perkara.
3. Jangan ingat pasangan boleh membaca fikiran anda
Jangan sesekali mengharapkan pasangan boleh membaca apa yang anda rasa atau fikirkan. Mungkin anda boleh tapi pasangan anda mungkin tidak dapat meneka apa yang terlintas di minda, mahupun apa yang anda suka atau tidak suka. Oleh itu untuk membuatkan rumah tangga harmoni, komunikasi dua hala penting agar anda dan pasangan faham apa yang masing-masing inginkan.
4. Masalah duit boleh jadi isu utama
Tidak dinafikan bulan pertama selepas kenduri ramai pasangan yang kekeringan kerana banyak duit telah dihabiskan untuk majlis perkahwinan. Lagipun nak pinjam daripada orang tua mahupun keluarga, gerenti anda dan pasangan segan. Jadi adalah lebih baik anda dan pasangan membuat tabung kewangan lebih awal iaitu sebelum berkahwin sebagai persediaan untuk waktu-waktu kecemasan seperti ini.
Ads
Apatah lagi selepas berkahwin, banyak tanggungjawab yang anda berdua harus pikul bersama. Jika tidak bijak mengatur tabungan kewangan ada kemungkinan boleh membawa pada pergaduhan. Oleh itu, carilah penyelesaian agar kewangan anda berdua kembali stabil.
5. Luahkan apa yang anda rasa dan jangan pendam seorang diri
Hidup berdua memerlukan anda berkongsi rasa. Jadi apabila ada sesuatu perkara penting yang ingin anda katakan, sebaiknya luah dan beritahu pasangan dengan cara yang baik dan berhemah.
Jangan sesekali memendam rasa atau memberitahu pasangan dalam keadaan yang tidak bersedia atau dalam keadaan marah. Perbincangan penting agar anda berdua dapat mencari penyelesaian untuk perkara tersebut.
6. Belajarlah untuk menjadi satu pasukan
Alam rumah tangga memerlukan satu pasukan yang mantap agar hubungan yang dibina kekal bahagia. Dalam satu pasukan anda berdua hendaklah saling bantu-membantu dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Ads
Misalnya dalam perihal rumah tangga, suami tidak boleh membebankan isteri seorang diri menguruskan segala perkara. Urusan rumah tangga haruslah dilakukan bersama agar ia memberi kemudahan dan kesenangan dalam kedua-dua belah pihak. Kerjasama ini akan menjadikan rumah tangga anda berdua lebih harmoni.
7. Banyakkan bersabar dan muhasabah diri
Kunci dalam perkahwinan memerlukan anda untuk banyak bermuhasabah diri dan bertolak-ansur. Dalam perkahwinan tidak ada istilah menang atau kalah. Tingkatkan kesabaran dalam apa jua hal yang anda dan pasangan hadapi. Jika sedang bergaduh, anda berdua tidak perlu lawan bercakap kerana bimbang boleh merosakkan hubungan dan membawa pada pergaduhan yang lebih parah.
Bukan itu sahaja, elakkan daripada mencabar pasangan lebih-lebih lagi suami kerana lelaki ada egonya yang tersendiri. Bimbang jika dicabar boleh membawa keburukan dalam hubungan rumah tangga. Jadi berusahalah untuk menjadi pasangan yang terbaik dan bersikap positif.
8. Belajar untuk memohon maaf dan memaafkan pasangan
Tak dinafikan kalau dah hidup berdua mesti ada salah dan silapnya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Apabila menjadi suami isteri, anda hendaklah belajar untuk memohon maaf jika melakukan kesalahan, selain memaafkan kesalahan pasangan.
Ads
Terapkan dalam diri untuk saling bermaafan agar segala apa yang anda berdua fikirkan tidak berpanjangan dan memendam rasa kerana ia boleh menjadi racun dalam rumah tangga. Lepaskan segala ego yang ada dalam diri anda agar anda menjadi seorang yang pemaaf.
9. Banyakkan bertanya dan baca tentang alam rumah tangga
Selepas berkahwin memang banyak tanggungjawab yang harus anda berdua fikirkan. Anda berdua juga akan hadapi segala macam benda dan hidup sendiri tanpa bantuan ibu bapa. Kadang-kala tanggungjawab yang banyak ini boleh menjadi punca berlakunya perbalahan. Untuk melengkapkan ilmu tentang alam perkahwinan, jangan malu untuk bertanya lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana mereka lebih banyak makan garam.
Malah anda dan pasangan juga harus banyak membaca tentang ilmu rumah tangga bagi memantapkan lagi pengetahuan dan mengelakkan salah faham. Anda berdua juga boleh bertanyakan kepada kawan-kawan tentang pengalaman mereka dan cara mereka mengendalikan masalah. Sekurang-kurangnya perkongsian ini akan memberi anda pengalaman berharga apabila berdepan dengan sesuatu perkara.
10. Apa yang diimpikan sebelum berkahwin tak semestinya tercapai
Pastinya sebelum berkahwin anda dan pasangan impikan pelbagai perkara setelah berumah tangga nanti. Ketahuilah bahawa tidak semestinya apa yang anda berdua rancang dan impikan itu akan menjadi sebagaimana yang anda inginkan.
Ada ketikanya perancangan itu menjadi sukar untuk dicapai atas sebab-sebab tertentu atau setelah anda mengetahui karakter diri pasangan masing-masing. Oleh itu jangan keterlaluan mengharapkan yang indah-indah sahaja. Belajarnya untuk memberi dan menerima dengan seadanya.
Segala teka-teki selama ini tentang pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, akhirnya terlerai apabila mengesahkan berkahwin dengan wanita yang dikaitkan dengannya sebelum ini, Ira Kazar di Thailand.
Syamsul berkongsi berita gembira itu menerusi video dimuat naik dilaman Instagram (IG). Majlis akad nikah Syamsul dan Ira berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
“Hari ini saya bergelar suami Ira dengan berwalikan bapanya, Saisi. Ira kini sah menjadi isteri saya di sisi syarak dan Allah,” katanya.
Syamsul mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang bersabar menanti perkembangan terbaru termasuk isu rumah tangganya.
“Penghujungnya, saya kena beri penjelasan terhadap setiap persoalan. Seperti dikatakan, saya akan meletakkan titik noktah terhadap isu rumah tangga yang tidak sepatutnya di kongsi dalam media sosial, tetapi nak buat macam mana.
“Saya bernikah secara sah dengan Ira di Thailand. Ada sebab saya memilih berkahwin di sini bagi memudahkan beberapa perkara.
“Perkahwinan kami juga sudah didaftarkan, syukur Alhamdulillah,” katanya menerusi video berkenaan.
Pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu mengakui, Puteri Sarah Liyana masih isterinya yang sah.
“Saya mahu menegaskan Puteri Sarah masih isteri saya. Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak.
“Pulanglah ke rumah agar kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik.
“Apa sahaja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya.
“Terus-terang, bawa anak-anak ke sana sini tanpa keizinan suami, sedangkan saya masih suami awak.
“Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” katanya.
Syamsul berkata, dia juga tidak berniat membelakangkan keluarganya.
“Tak pernah terlintas membelakangkan keluarga. Saya harap doa baik-baik daripada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.
“Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati dan dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki serta niat jahat.
“Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya bukan manusia sempurna, ada masanya melakukan kesilapan,” katanya.
Baru-baru ini, Jep sempat berkongsi detik pengenalan bersama suri hatinya, Sari Yanti. Perkongsian tersebut telah berjaya mencuri perhatian warga maya. Ini kerana Jep bersikap sangat ‘gentleman‘.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di TikTok, Jep menyatakan dia hanya menghubungi pelakon wanita tersebut menerusi mesej. Selepas itu barulah dia berjumpa kedua ibu bapa Sari Yanti untuk langkah seterusnya.
“Lepas mesej, pastu ada keluar bersama. Kita cakap yang kita tak main-main.
“Jika memang okay, saya memang nak jumpa ayah dia. Jep kelihatan tenang menjawab segala persoalan daripada rakan sekerjanya yang turut berada di konti ketika itu.”
Jep sempat berseloroh untuk ‘sound’ ayah kepada Sari Yanti dan membuatkan keadaan ketika itu meriah dengan gelak tawa.
Bagaimanapun Jep segera memperbetulkan maksudnya dengan gurauan yang disampaikan. Menurutnya, dia ingin menyuarakan isi hatinya untuk mengambil alih tanggungjawab ayahnya dalam menjaga Sari Yanti.
Berikut perkongsian penuh Jep diTikTok:
Jep cerita awal-awal perkenalan dengan Sari Yanti. Terkejut dengar Jep “sound” ayah mentua dia.
Buatlah kejutan dalam rumahtangga, sesekali pasangan kita akan rasa dihargai bila diingati. Tak perlu keluarkan duit yang mahal, cukup jika anda ada masa dengannya meraikan masa-masa terluang. Teman shopping atau keluar makan-makan pun mungkin salah satu jalan bahagia suami isteri.
Mungkin ada suami tak pandai berkata-kata tapi ada kelebihan lain yang boleh membuatkan hati isteri terpikat.
Sesekali Buatlah Kejutan, Itu Tanda Kita Hargai Pasangan
Nak lagi ‘cantik’ dan moment itu lebih mahal, buatlah kejutan untuk isteri. Nak pergi lebih jauh tentang kejutan buat pasangan, cuba baca perkongsian saudara Khairul Anuar Basri ini.
Isteri yang nak marah boleh bertukar menjadi senyum bila dapat kejutan. Yang kecil hati, boleh terubat dengan sendiri. Ada isteri yang tawar dan hambar, boleh jadi manis dan ceria kembali.
Kejutan itu tandanya ambil berat dan sangat menyayangi. Walaupun apa yang dibuat untuk kejutan itu tak ada harga sangat.
Saya tak pandai nak main-main kata. Tak pandai juga nak hantar-hantar bunga.
Saya bukan yang jenis macam tu kalau nak tunjuk sayang dan kasih mesra.
Ikut Cara Sendiri Walau Tak Romantik!
Saya percaya ramai suami di luar sana yang sama macam saya. Tak pandai nak buat macam orang perempuan buat kat suami mereka. Almaklumlah, orang perempuan kan jiwa lembut dan romantis.
Sekadar yang saya boleh buat. Macam ada hari tertentu saya culik isteri saya di sekolahnya. Tinggal keretanya di sana, naik kereta dengan saya. Kami keluar makan tengah hari.
Isteri Nak Perhatian
Isteri ni kadang-kadang bukan nak apa pun dari suami. Mereka nak perhatian saja. Mereka suka kalau dibelai dan dimanja. Mereka suka kalau kita bagi sesuatu dekat mereka.
Yang ada duit lebih, boleh bagi hadiah mahal. Yang duit banyak, boleh bawa melancong merata tempat. Yang skoda-skoda macam saya ni, berilah ikut kemampuan. Nasi goreng, telur mata dan keropok keping pun jadilah tanda ingatan.
Bukan Soal Pemberian Tapi Soal Masa Bersama
Sebenarnya yang penting bukanlah pemberian tu. Tapi saat bersama tu. Enjoy the moment orang putih cakap.
Makan makanan best dan melancong tempat menarik. Apa yang best?
Makanan itu ke yang best? Tempat itu ke yang menarik?
Bukan makanan itu yang best dan tempat itu yang menarik.
Makanlah makanan paling mahal di restoran paling eksklusif sekalipun, tapi makan seorang diri saja, tak best mana pun.
Pergilah melancong ke tempat paling cantik dengan pakej paling mahal sekalipun, tapi pergi seorang diri saja, tak la best mana pun.
Dengan siapa kita menikmati makanan itulah yang menjadikan makanan itu best. Dengan siapa kita melancong itulah yang menjadikan tempat pelancongan itu best.
Makan roti kosong dengan wife jadi best. Berjalan ke pasar pagi dengan kekasih hati jadi best. Tak ada apa sangat pun, kan?
Tapi dia jadi sangat best. Kerana orang yang kita sayang dan kasih itulah akan menjadikan segala di dunia ini jadi best.
Sibuk Mana Pun, Hargailah Masa Dengan Pasangan
Hargailah setiap masa pasangan kita masih hidup. Sesibuk mana sekalipun kita, carilah masa untuk pasangan kita. Jika tak sempat nak rancang, secara mengejut pun boleh la.
Masa pasangan kita hidup masih hidup, kita tak ada lah rasa benda tu penting sangat. Tapi bila pasangan kita dah tak ada, itulah memori yang akan kita kenang sampai ke akhir hayat kita.
Ciptalah memori bersama pasangan sementara nyawa masih dikandung badan.