
“Bila nak kahwin?”
Aku jawab, “Allah masih rahsiakan jodoh saya.”
“Tak ada calon lagi ke?”
Aku jawab, “Allah masih nak rahsiakan jodoh saya.”
“Umur dah meningkat tu…”
Aku jawab, “Allah masih rahsiakan jodoh saya.”
“Bila boleh makan nasi minyak ni?”
“Hanya Allah yang tahu…”
Aku sering kali ditanya dengan pertanyaan jodoh. Pertanyaan demi pertanyaan ditanya oleh orang sekeliling. Pertanyaan oleh keluarga sendiri. Pertanyaan oleh jiran. Pertanyaan oleh sahabat-sahabat zaman sekolah dan juga rakan sekerja.
Terasa rimas dengan pertanyaan itu. Aku faham mereka sangat prihatin terhadap diriku. Terima kasih semua, tetapi tentang jodoh ini dalam rahsia Allah.
Allah ada sebut dalam Surah Ar Rum (30): 21
“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir.”
Ada yang bercinta bertahun-tahun, selalu keluar bersama tetapi akhirnya berpisah. Ada pula yang baru kenal sebulan dua, bersua muka sekali dua bersama mahramnya dan akhirnya bersama.
Aturan hidup kita, tiada siapa yang berani kata pasti kerana hanya Allah sebaik-baik perancang kepada hamba-Nya.
Masing-masing mencari diri dengan bertaubat pada-Nya dan akhirnya Allah pertemukan mereka kembali. Rahsia jodoh itu unik kerana DIA tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Impian Cinta Hatiku…
Aku ingin…
menjadi suri dalam hidupmu
supaya hubungan kita diredhai-Nya.
Aku ingin…
menjadi permaisuri hatimu
supaya hanya aku di hatimu
supaya hanya aku isterimu
yang sentiasa taat padamu
Aku ingin…
menjadi ibu mithali
putera puteri kita
supaya menjadi qudwah terbaik buat mereka.
Aku ingin…
menjadi wanita yang paling bahagia
menjadi wanita yang solehah
apabila kita hidup bersama.
Aku ingin…
bertemu denganmu
semoga ALLAH permudahkan pertemuan kita.
Walaupun kita tak bertemu
Walaupun kita tak kenal
itulah satu tempoh unik
tempoh ujian kita
kesabaran hati
ketabahan hati
tempoh usaha kita
untuk perbaiki diri
untuk mencari ilmu
mengenal cinta ALLAH…
supaya kita boleh menghadapi
mehnah dunia yang datang.
Duhai hati
sabarkan dirimu
usah gelisah
sabarkan dirinya
usah terburu-buru
kerana hati kita pasti bersatu jua
pasti bertemu jua
kerana jodoh itu rahsia ALLAH
perempuan yang baik
untuk lelaki yang baik…
Janji ALLAH pasti!!!
hanya masa belum tiba
hanya saat itu belum hadir
kerana belum tiba masanya lagi..
Duhai hati
ingatlah ALLAH
kerana hanya mengingati ALLAH
hati kita menjadi tenang
jodoh kita pasti ada
tunggulah masanya nanti!
Ya ALLAH..
jagalah hatiku
jagalah hatinya
mujahadahkan hati kami
supaya hubungan suci
antara aku dan dia terjalin
kerana-MU Ya ALLAH..
supaya ikatan suci itu terpelihara
daripada fitnah penduduk bumi
supaya sentiasa didoakan
oleh penduduk langit..
Ya ALLAH…
itulah impian cintaku
impian cinta untuk dirinya
impian cinta untuk bersamanya
hanya untuk dia
walau aku tak tahu siapa dia
walau aku hanya menanti
penantian itu satu kesabaran
aku tabahkan diri
menanti sebuah takdir terindah
takdir pertemuan aku dan dia..
Amin…
SUMBER : ILUVISLAM
Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei
Baca Ya Latif Tujuh Kali Diikuti Bacaan Surah Asy-Syura, Hembuskan Pada Muka Suami Untuk Lembutkan Hatinya

Cara terbaik adalah melembutkan hati-hati mereka yang keras terutama suami, anak-anak dna orang tersayang dalah dengan zikir dan ayat-ayat Allah S.W.T. dan berdoa semuga Dia melembutkan hati-hati mereka yang keras itu. Doa asas yang digunakan untuk melembutkan hati seseorang ada kaitannya dengan peristiwa sejarah Sayyidina Umar al-Khattab r.a, iaitu ayat yang dirampas oleh Sayyidina Umar daripada adiknya. Bila ayat ini dibaca, hatinya terus menjadi lembut lalu memeluk Islam (ayat tersebut adalah ayat 1-5 surah Taha)

Di antara bahan-bahan ciptaan Allah yang paling keras di dunia ini ialah besi tetapi dapat dilembutkan oleh Nabi Daud a.s. Doa yang ada kaitannya dengan Nabi Allah Daud inilah yang digunakan sebagai kombinasi dengan doa pelembut hati.
KAEDAH PERTAMA
Mengikut aturannya, bacalah
Pertama : Baca surah Al-Fatihah ayat 1-7.
Maksudnya :
[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Kedua : Baca Surah al-Hasyr ayat 21
Maksudnya : "Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."
Ketiga : Baca Surah Taha ayat 1-5.
Maksudnya :
"Dengan nama Allah. Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani
1. Thaahaa.
2. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
3. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),
4. Iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
5. (Iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas ‘Arsy."
Kemudian baca doa pelembut hati di bawah
“Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid” “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi”
Kemudian tiupkan ke air
Doa di atas boleh digunakan untuk semua orang yang keras hati, sentiasa melawan dan tidak menurut kata. Ini termasuklah untuk melembutkan hati untuk diri sendiri. Untuk kegunaan diri sendiri, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa di atas. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Untuk kegunaan orang lain, ketika membaca doa, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati orang yang meminta pertolongan tadi. Bagi orang yang meminta doa pelembut hati melalui wakil, air diberikan untuk diminum.

KAEDAH KEDUA
Kaedah dengan cara zikir dan doa pelembut hati .
Zikir dan Doa Pelembut Hati
Zikir ini elok dia amalkan oleh isteri yang mahu hati suaminya menjadi lembut atau suami yang mahu hati isterinya menjadi lembut.
Beristighfar sebanyak 3 kali, dan niatkan untuk melembutkan hati suami
Kemudian baca : "Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir "
Selepas membacanya beberapa kali, hembuskan ke atas suami sekira-kira suami tidak perasan. Atau isteri membacanya waktu suami tidur nyenyak. Hembuskanlah di tapak tangan dan letakkan di hati (dada) suami. Mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya. Bila hati sudah lembut, mudahlah dibuka kunci perhubungan atau pintu perbincangan. (Zikir ini juga boleh diamalkan untuk melembutkan hati anak) .
Selain daripada itu amalkan doa ini:
"Ya Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi"
KAEDAH KETIGA
Zikir dan Doa Pelembut Hati.
Baca Ya Latif, ya Latif sebanyak 7 kali kemudian diikuti dengan membaca Surah Asy-Syura ayat 19. ( baca ayat al-Quran dalam bahasa Arab)
Maksudnya : "Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Surah Asy-Syuura ayat 19)
Hembus dimuka suami dan hembusan itu dibawa turun ke hati suami.
Ulangkan sebanyak 3 kali.atau 7 kali. Insya Allah hati suami akan menjadi lembut.
Selain daripada itu amalkan doa ini:
"Ya Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi"
(Cara-cara ini boleh digunakan oleh suami kepada isteri dan ibu bapa kepada anak-anaknya)
{Amalkanlah cara-cara ini setiap hari insya Allah akan ada perubahan dan kesannya.}
KAEDAH KEEMPAT
Doa Untuk Melembutkan Hati yang Marah
Pada orang yang marah kepada kita, contohnya suami atau rakan, agar lembut hatinya, bacalah dihadapannya Surah an-Nisaa Ayat 84. berulang-ulang (Sila rujuk Al-Quran)
Maksudnya: "Semoga Allah menahan kekuatan orang-orang kafir dan Allah yang lebih kuat dan lebih sangat siksaNya. Ya Tuhan yang Maha Pemelihara dan Maha Pemberi Keselamatan."
KAEDAH KELIMA
Apabila kita marah maka doa untuk mengawal diri daripada sifat marah bacakan doa ini :
"Ya Allah, sejukkanlah hatiku dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah bersihkanlah hatiku daripada dosa-dosa sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kekotoran." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sekiranya isteri ingin menyejukkan hati suami yang marah boleh baca doa diatas dan ubah sedikit :
"Ya Allah, sejukkanlah hati suamiku (fulan bin fulan) dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah bersihkan hati suamiku (fulan bin fulan) daripada dosa-dosa sebagimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kotoran."

KAEDAH KEENAM
Doa untuk melembutkan hati anak
Doa pelembut hati Surah Asy-Syuura ayat 19'
Maksudnya : "Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Surah Asy-Syuura ayat 19)
Baca di waktu malam semasa anak sedang tidur.
Baca di waktu malam semasa anak sedang tidur.
i. Letakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri
ii. Istighfar 3 x kemudian niatkan dalam hati
Ya Allah lembutkanlah hati anakku
Ya Allah jadikanlah anakku ini anak yang soleh/solehah
iii. Kemudian baca doa di atas (Surah Asy-Syuura ayat 19)
iv. Dah habis baca doa tadi tiup umbun-umbun kepala , muka dan dada anak 3 X
Amalkan doa ini secara istiqamah, insya Allah akan dapat keberkatan dan pertolongan dari Allah . Doa ini juga boleh di amalkan untuk diri sendiri dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri dan baca doa di atas.Boleh juga di amalkan oleh isteri atau suami.

KAEDAH KETUJUH DOA PENGASIH
Kita berdoa semoga kita dikasihi oleh orang-orang yang beriman dan kita mengasihi orang yang beriman, sebagaimana doa yang diajarkan Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
"Ya Allah! Limpahkanlah perasaan cinta hamba-Mu ini terhadap diri hamba-Mu yang beriman, limpahkanlah juga perasaan cinta mereka terhadapku."
Suami boleh juga berdoa dengan doa pengasih ini supaya dia mengasihi dan dikasihi oleh isterinya :
"Ya Allah! Limpahkanlah perasaan cinta hamba-Mu ini terhadap isteriku (Pulan bte Pulan) dan limpahkanlah juga perasaan cinta isteriku (Pulan bte Pulan) terhadap diriku"
(Jika berpoligami sebut isteri-isteriku tak payah sebut nama)
Sahabat yang dimuliakan
Doa-doa di atas adalah cara dan ikhtiar kita untuk melembutkan hati insan yang dikasihi samaada isteri, suami, anak-anak, ibu bapa, adik beradik, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja dengan niat dan hasrat untuk kebaikan. Semoga hati yang keras dapat dilembutkan dengan izin Allah. Jika sekiranya usaha dan doa telah dilaksanakan hati seseorang itu masih tidak mahu lembut dan tetap keras macam batu maka serahkanlah kepada Allah S.W.T. kerana sesungguhnya hidayah itu adalah hak mutlak Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. berdoa supaya Allah S.W.T. memberi hidayah dan melembutkan hati salah satu daripada dua Umar (iaitu Umar al-Khattab dan Umar bin Hisham (Abu Jahal) maka Allah S.W.T. makbulkan doa Nabi S.A.W. dengan diberinya taufik dan hidayah-Nya kepada Umar al-Kahattab.
Oleh itu kita jangan berputus asa jika insan yang dikasihi masih tidak mahu berubah, yang penting kita teruskan berdoa selepas lepas solat, dimalam hari selepas solat tahajjud dan di waktu-waktu mustajab doa semoga dimakbulkan doa dan hajat kita..
Nafkah Urusan Jihad Suami, Isteri Jangan Sampai Hilang Hormatmu Itu

PUNCA SUAMI TIDAK DIHORMATI

Ada dua fenomena yang menjadi punca dalam isu ini. Ada yang berpunca dari diri suami itu sendiri dan ada juga yang berpunca dari sikap isteri dan anak-anak mereka. Punca-punca lain seperti penglibatan pihak ketiga juga terhasil dari berlakunya dua fenomena asas ini.
Yang sering dibaca masyarakat dalam isu ini ialah kesalahan di pihak isteri yang digelar nusyuz dan ingkar terhadap suami. Antaranya adalah kerana isteri tidak terdidik untuk menjadi insan yang patuh kepada ajaran agama, yang mengajar setiap diri untuk tunduk patuh kepada murobbi hidupnya.
Sebab kedua ialah suami itu sendiri yang jahil dan tidak berperanan sebagai pengatur rumahtangga yang baik. Suami seharusnya cukup ilmu untuk memainkan peranan sebagai pengatur (murobbi) keluarga itu sendiri. Itulah 'aturan alam' yang telah Allah tetapkan, iaitu suami mengatur 'alam rumahtangganya' secara fitrah mengikut petunjuk dari Allah.
Sebelum menyalahkan pihak isteri atau anak, pengalaman kami menyetujui bahawa punca utama seorang suami atau ayah tidak dihormati adalah kerana kelemahan dirinya sendiri.
Suami harus ada ilmu yang tepat mengendalikan rumahtangga berdasarkan aturan Allah yang dijamin kebenaran, keadilan dan kesejahteraannya. Dengan itu, isteri dan anak-anaknya ada alasan yang kukuh untuk mematuhi dan tidak tergamak menderhakainya.
Hari ini ramai suami diingkari kerana banyak perlakuan mereka sendiri menyalahi aturan Allah. Khilaf itu membuatkan situasi jadi tidak fitrah dan serba tidak kena untuk anak isteri menerima serta mematuhinya. Mereka memaksa anak isteri mematuhinya hanya kerana 'status' bapa/suami sahaja.
Keingkaran dan pemberontakan terhadap suami sebegini lebih berat lagi jika anak dan isteri jenis yang tahu hukum hakam. Mereka tahu mengapa Asiah isteri Fir'aun mengingkari suaminya, juga Ibrahim a.s. mengingkari bapanya. Itulah khilaf utama para suami kerana telah Allah katakan jika kita tidak berpandukan alQuran yang diturunkan dari Allah, tentu banyak berlaku khilaf dan salah faham yang berpanjangan.
QS: 4. An Nisaa' 82. Maka apakah mereka tidak TADABURKAN Al Quran? kiranya (aturan itu) bukan dari sisi Allah, tentulah wujud khilaf yang banyak di dalamnya.
PENYELESAIAN MENURUT ISLAM
Pergeseran yang berpanjangan antara suami isteri akan membentuk anak yang bingung dan tidak tentu hala. Akhirnya banyak perbuatan keji berlaku dalam rumah itu sendiri. Untuk mencegahnya, Allah salurkan hidayah itu melalui rukun solat (mencegah keji dan mungkar). Bicara solat pula tidak boleh lari dari berkiblat/merujuk kepada rumahtangga Ibrahim a.s. bapa agama ini.
Di Rumah Allah seharusnya berjalan aturan Allah. Apabila banyak yang tidak kena dalam rumah kita, pasti "batu timbangan" dalam minda kita sudah jadi hitam, tidak putih bersih lagi. Dari situ, tawaflah semula melawan jam untuk bermuhasabah mencari apa yang tidak kena. Itulah tarbiah dari ritual tawaf di Kaabah (Rumah Allah) itu. Selepas itu ber'istilam' meninggalkan batu hitam itu untuk mencari air dan hidayah baru.
Peranan Ibrahim a.s. yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran dan tegas mengatur keluarga berdasarkan ilmu itu adalah pedoman utama kita melalui konsep kiblat. Hasilnya adalah terbentuk kepatuhan isterinya Hajjar sehingga mampu pula membentuk akhlak mulia anaknya Ismail a.s. Itulah matlamat solat yang kita lafaz dalam tahiyat akhir, "KAMA SOLLAITA ALA IBROHIM, WA'ALA ALI IBROHIM (Sepertimana solatnya atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim).

Dalam akad nikah, wajib dilafazkan ‘LELAKI’ dan ‘PEREMPUAN’. Sebenarnya ia bukan sahaja merujuk kepada fizikal jantina, tetapi lebih menjurus kepada fungsi serta peranan lelaki dan wanita itu sendiri dalam melayari bahtera rumahtangga.
Dalam surah 4, An-Nisa’ 34, Allah tetapkan bahawa lelaki dilebihkan darjatnya berbanding wanita lalu diperintahkan untuk memimpin dan mendidik wanita. Faktor yang menyebabkan darjat lelaki ditinggikan dalam ayat ini merujuk kepada penguasaan ilmu dan kepimpinan keluarga, juga melibatkan keupayaannya mencari nafkah.
Kita semua tahu bahawa wanita dikatakan dicipta dari tulang rusuk lelaki. Maknanya ia berkait rapat dengan lelaki itu sendiri, samada ayah atau suami dalam membentuk akhlak dan keperibadiannya. Oleh itu setiap ibu bapa Allah sarankan dalam alQuran agar berusaha mendidik dan membimbing anak mereka sehingga berusia 40 tahun. Ini termasuklah ilmu pengurusan rumahtangga. Di usia 40 tahun, anak kita juga sudah jadi ibubapa/atuk. Hari ini ramai yang menghentikan pendidikan sebaik sahaja anak kita bernikah sehingga mereka terkapai-kapai.
Bagi suami yang menikahi wanita yang belum ‘siap’ pendidikannya, maka Allah wajibkan suami mendidik calun isteri sejak bertunang lagi. Begitu juga kewajiban mendidiknya sepanjang waktu selepas bernikah agar menjadi isteri solehah mengikut acuan Allah. Apa-apa sahaja tabiat isteri yang suami tidak suka haruslah ditegur dan diperbetulkan berlandaskan petunjuk alQuran dan sunnah sejak hari pertama perkahwinan lagi.
Setelah isteri terdidik dan mentaati, Allah perintah suami agar berbuat baik dan dilarang keras menyakiti hati isteri. Suami juga diperintahkan untuk berakhlak alkarimah mengikut perintah Allah sambil istiqomah mendidik dan mengatur isteri tanpa jemu dan dengan berhemah.
InsyaAllah jika semua tindak tanduk suami dan segala fakta nasihat terhadap isteri juga bertepatan dengan apa yang Allah dan rasul sarankan, tidak akan menjadi susah untuk mereka mentaati dan mematuhinya.
Yang menjadi masalah sekarang ialah ramai suami sendiri bertabiat jahiliyah dan meminta isteri melakukan perkara yang tidak selari dengan agama.
Ada juga suami yang berilmu dan mampu menasihati isteri untuk berperanan sesuai dengan aturan agama, malangnya dia sendiri pula tidak istiqomah. Mereka seolah-olah mengeksploitasi aturan agama untuk isterinya hanya untuk kesenangan diri sendiri sahaja. Inilah sikap 'cakap tidak serupa bikin' yang amat Allah benci (QS 61/2-3).

KESIMPULAN
Nisak (Ibu atau isteri) adalah perhiasan ‘syurga’ yang paling berharga dalam membahagiakan sesebuah rumah tangga. Jika baik nisaknya, maka tenang dan sejahteralah keluarga itu dalam membina suasana "Rumahku Syurgaku".
"SYURGA ITU DI BAWAH TAPAK KAKI IBU". Semua "langkah ibu" menuju syurga bakal ditiru oleh anak-anaknya dengan redha. Antaranya sentiasa berwajah redup dan redha, bermata jeli, sentiasa patuh kepada suaminya serta prihatin dengan keluarganya.
Nisak juga amanah besar Allah kepada kaum lelaki, baik bapa atau suami. Jika mereka tidak dididik dengan baik, lelaki itu digelar DAYUS dan akan mengidap sengsara hasil perangai anak isterinya. Oleh itu, suami harus bekerja keras untuk mendidik anak isteri mengikut acuan/aturan Allah.
Sebagai suami, jangan hanya mengharapkan anak isteri taat dan hormat hanya kerana STATUS kita sebagai suami/bapa. Kita harus bekerja keras untuk ‘mencipta kelayakan’ jika mahu dihormati dan ditaati. Cari dan sampai-sampaikanlah ilmu-ilmu yang hak, yang fitrah sesuai dengan kehendak Allah, agar kita mampu mendidik dan menasihati mereka.
Selisih faham tercetus kerana kita tidak faham atau berlainan faham. Oleh itu, satukanlah faham kita dengan fahaman yang sama, yang telah diberikan oleh Allah dan rasul untuk sekalian manusia. Ajaklah anak-isteri untuk sama-sama mentadabbur dan mentabayyunkan alQuran di rumah.
Apabila semua pihak sudah faham dan mengikat diri dengan fahaman yang sama, InsyaAllah semua selisih faham akan terhapus. Nasihat kita juga akan mudah diterima. Anak isteri tidak akan merasa rugi atau ragu-ragu, malah akan bersungguh-sungguh berusaha mentaati kita kerana melihat arahan kita itu juga merupakan arahan Allah, Rabb yang sama.
Jika ilmu yang seharusnya mengalir ibarat air sungai dalam syurga itu tidak dialirkan, maka ia akan bertakung dan membiak jentik-jentik. Apabila jadi nyamuk, ia bukan sahaja akan membuat bising dan merimaskan, malah bakal menyebarkan penyakit yang boleh membunuh. (QS: 2/26)
Mari fahami dan jabarkan maksud tersirat dari 7 ayat alFatihah yang berulang-ulang kita baca dalam solat. Apabila jiwa yang sempit semput sudah lapang terbuka, bukalah pula alQuran buat sama-sama mencari jalan islah untuk menjadikan amal kita benar-benar amal yang soleh.
Sebaik sahaja kita faham Fatihah, surah berikutnya adalah LEMBU BETINA (al-Baqarah). Itulah tabiat lembu yang hanya memikirkan nafsu, mencari makan minum dan beranak sahaja. Perumpamaan itu akan menyedarkan kita bahawa selama ini kita juga hidup macam lembu betina.
Nafkah itu urusan jihad suami. Hari ini fenomena ‘double income’ sudah jadi biasa. Isteri yang Allah perintah duduk di rumah juga ikut keluar mencari rezeki. Sama macam sapi betina yang ikut keluar mencari rumput. Kita hanya cuti sebentar untuk beranak dan menyusukan. Lepas pantang kita sambung mencari rumput semula. Anak-anak terbiar liar tidak terbela. Banyak juga kes 'macam lembu' terjadi di mana anak nisak ditenggek oleh bapa/saudara sendiri.
Untuk membetulkan keadaan AL-BAQOROH, kita perlu betulkan peranan lelaki (ALI-IMRAN), yang mampu mendidik wanita (AN-NISAK), buat menyiapkan hidangan syurga (AL-MA’IDAH), yang antara isinya ialah anak-anak yang tidak pernah disentuh manusia dan bidadari pelayan bermata jeli. Sama-samalah kita muhasabah diri,
WARGA PRIHATIN
Kalau Bahagia, Biarlah Kita Sahaja Yang Tahu Sebab Ramai Yang Iri Hati

Kadang-kadang bila kita bahagia bersama pasangan pasti kita suka upload dalam media sosial. Kalau boleh kita nak satu dunia tahu betapa bahagianya hidup bersama si dia yang tercinta. Dah la upload gambar mesra ditambah pula dengan caption yang memuji melangit.
Ini adalah padah yang kita cipta!
Sewajarnya, elakkanlah bercerita atau terlalu menunjukkan kebahagiaan anda di media sosial. Ini kerana kita tidak tahu mata-mata yang melihat akan terbit perasaan iri hati dan dengki. Kita tidak dapat menilai isi hati orang lain. Ditakuti ada anasir-anasir yang dengki akan cuba merampas kebahagiaan anda.

Ini alasan kenapa anda tidak boleh tunjuk kebahagiaan di media sosial
1. Bahagia Itu Untuk Dirasa Bukan Dipamer
Ketika meraikan waktu gembira bersama pasangan, mereka mahu menikmatinya bukan diganggu dengan rakaman demi rakaman gambar atau lakonan selfie untuk dimuat naik di media sosial. Jika ada pun foto yang diambil ia untuk tatapan peribadi bukan untuk dikongsi dan sekiranya memuat naik gambar waktu sebegini ia sekadar yang bersifat umum, bukan untuk mempamer kemesraan.
2. Perasaan Bahagia Itu Bersifat Peribadi
Pasangan yang benar-benar bahagia dalam perhubungan tidak berminat untuk menunjuk atau membuktikan mereka bahagia pada orang lain. Pada mereka perasaan bahagia itu bersifat peribadi. Jadi tak perlu membuang masa untuk menunjukkannya kepada orang lain.
3. Tak Perlu Bangga Dengan Kebahagiaan Yang Dimiliki
Setiap orang punya masalah dan ujian hidup yang berbeza. Kita mungkin bahagia tapi pasangan lain mungkin sedang berduka jadi tak perlu bangga dengan kebahagiaan yang dikecapi ini. Tak guna membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain atau merasakan kehidupan kita lebih baik dari mereka.

4. Tidak Semua Suka Kita
Perlu ingat tak semua orang suka dan bahagia dengan ‘kebahagiaan’ yang kita kongsikan. Lebih buruk lagi, kebahagiaan tersebut boleh ‘dicuri’, atas sebab perasaan hasad dengki dan cemburu dengan kebahagiaan yang kita miliki. Oleh itu, tak perlu menunjuk- nunjuk kebahagiaan kita ada.
5. Tak Salah Tak Tunjuk
Bahkan, pernah tak lihat pasangan yang sering menunjukkan ‘kebahagiaan’ dilaman sosial, kelihatan sangat ‘sweet’ & sempurna. Memang kita rasa cemburu lah bila melihatnya. Tapi hakikatnya, di alam realiti ia sebaliknya, tidaklah ‘semanis’ yang dipamerkan. Media sosial hanya dijadikan sebagai ‘lakonan’ untuk menunjukkan persepsi sisi bahagia, bagi menutup kekurangan didalam rumahtangga.