
Setiap pasangan pasti akan melalui fasa pertunangan tidak kira sama ada ia dilakukan dalam satu majlis besar-besaran atau majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga sahaja. Itu merupakan pilihan masing-masing.
Fasa pertunangan dikatakan fasa untuk mengenali pasangan serta keluarganya dengan lebih dekat lagi. Jangan terkejut kerana tidak ramai yang mampu bertahan untuk meneruskan hubungan kerana tidak mampu menghadapi ujian dan cabaran yang begitu hebat.
Bertunang tidak bermakna anda akan berkahwin dengan dia. Syaitan memang akan mengganggu perhubungan kerana tidak mahu kita menjadi pasangan yang halal. Jadi, jagalah batas anda ketika bertunang. Ingat, pertunangan bukan ‘lesen’ untuk anda dan pasangan buat apa sahaja mengikut kata hati.
Ketahui adab-adab yang perlu dipatuhi ketika bertunang. Semoga bermanfaat untuk anda dan semoga urusan anda dipermudahkan hingga ke jinjang pelamin.
1. Pertunangan Bukan Lesen Untuk Keluar Berdua
Ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk keluar berdua sehingga tidak menjaga batas pergaulan. Pertunangan bukan seperti ikatan perkahwinan yang sudah sah. Anda masih perlu menjaga batas pergaulan jika bersama pasangan.
2. Jangan Melengahkan Pernikahan
Apabila sudah mengikat tali pertunangan, ini bermakna anda dan pasangan perlu segera membuat perancangan untuk bernikah. Jangan sengaja melengahkan masa dan melambatkan pernikahan. Perlu anda tahu bahawa semakin lama pertunangan, semakin banyak cabaran yang perlu anda tempuhi.
3. Bertunang Tak Perlu Mewah
Jangan terlalu mengikut trend sehingga membazir hanya untuk majlis pertunangan. Lebih baik simpan duit untuk kahwin nanti. Lebih baik jika majlis anda hanya dihadiri oleh saudara-mara kerana jika putus, tidaklah anda malu di kemudian hari.
4. Solat Istikharah Jangan Dilupakan
Walaupun anda rasa si dia adalah yang terbaik untuk anda, mintalah juga petunjuk daripada Allah. Ia lebih menjamin kebahagiaan anda sekaligus membuatkan anda memilih pasangan hidup yang tepat.
Da’i Wan Kongsi Tak Wujud ‘Payung Emas’ Dalam Berpoligami

Bila sebut je poligami mesti akan timbul ungkapan ‘payung emas’. Para suami pulak akan jadikan modal untuk memujuk isteri jika mahu berkahwin lain.
Namun, perkongsian oleh penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din, mungkin boleh membuka mata kononnya si isteri akan memperoleh ‘payung emas’ jika mereka rela dimadukan.
“Tak ada hadis, ayat al-Quran atau nas untuk isteri setuju poligami, lagi-lagi yang payung emas tu, tapi itulah yang tersebar dalam masyarakat kita.
“Ia (payung emas) hadis palsu, langsung tak benar, tak ada rujukan atau sumber dan tidak diketahui asal-usulnya,” katanya kepada mStar Online.
Menurut Wan Dazrin, ungkapan ‘payung emas’ muncul mungkin disebabkan kiasan ulama tentang ganjaran atau perlindungan di akhirat apabila mengamalkan poligami.
“Mungkin kiasan para ulama dahulu untuk mengimarahkan golongan isteri bahawa ada ganjaran besar kalau setuju untuk berpoligami,” katanya.
Wan Dazrin berkata, disebabkan poligami adalah amalan Nabi Muhammad SAW, mana-mana lelaki yang mengikut sunnahnya akan mendapat lebih ganjaran.
Bagaimanapun katanya, dalam berpoligami kaum lelaki wajib berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya, seperti mana yang terdapat dalam surah An-Nisa ayat 3.
Sumber : Mstar Online
Kerana TOPI TEMBIKAI, Geng Basikal Lipat Jumpa Jodoh. Sweet Betul Moment Mengorat!

Kalau dah jodoh, jumpa kat mana pun tetap ‘menjadi’. Dari hobi, akhirnya pasangan Mohammad Jazlan Nangar, 34 bertemu dengan surihati Lidia Haron, 38. Paling comel. Perkenalan di media sosial menjadi titik pertemuan mereka dan topi keledar tembikai yang membuatkan pasangan ini akhirnya disatukan.
12 Oktober 2021 menjadi tarikh paling membahagiakan buat Jazlan dan Lidia. Pernikahan di Jabatan Agama Islam Negeri Selangor itu diadakan secara sederhana memandangkan negara masih berada dalam fasa PKP.
“Kami kenal di Facebook. Itu pun kerana kami mempunyai minat sama iaitu basikal lipat. Ketika itu, Lidia mengeluarkan baju untuk pengayuh basikal lipat atas jenamanya sendiri iaitu FOLDIE (Geng Foldie) dan saya adalah salah seorang pembelinya. Kebetulan, Lidia pula penonton setia Youtube channel saya, Geng Basikal Lipat, dari sebelum kenal lagi sampailah sekarang.”
“Kebetulan juga, nama Geng Foldie dan Geng Basikal Lipat lebih kurang sama pula. Kali pertama berjumpa adalah ketika saya dalam perjalanan balik ke Shah Alam sesudah selesai kayuhan di Klang. Ketika itu, Lidia sedang berbasikal bersama kumpulannya.
Trademark topi keledar corak tembikai hijau yang Lidia pakai tu yang buat saya kenal itu adalah dia. Saya terus berhenti dibahu jalan untuk menegurnya. Bermula dari situlah kami mulai rapat.”kata Jazlan.
Siapa agaknya yang mengorak langkah dulu?
“Dalam masa enam bulan perkenalan dan percintaan, kami banyak meluangkan masa dengan berbasikal santai dan ‘coffee hunt’ kerana Lidia peminat kopi. Kerana sering bersama membuatkan saya terfikir untuk membawa hubungan ini ke tahap seterusnya. Alhamdulillah keputusan saya direstui kedua belah pihak. Segala urusan dipermudahkan walaupun ketika itu kita masih dalam fasa PKP dan banyak SOP perlu dipatuhi.”
Apa yang membuatkan anda tertarik pada pasangan?
“Lidia cantik dan comel. Sikapnya yang happy go lucky dan sporting membuatkan saya terus jatuh hati. Dia juga adalah orang yang selalu menceriakan hari-hari saya dengan telatah dan kasih sayangnya. Dia juga pandai menyesuaikan diri bersama keluarga dan sahabat-sahabat saya sejak dari awal perkenalan sehinggalah sekarang. Satu lagi, Lidia juga meminati irama lagu rock 90an dan dia adalah ‘cikgu’ saya kalau saya salah lirik!” kata Jazlan.
Bagi Lidia pula, kesungguhan suaminya untuk menjadikan dia isteri sudah cukup menjadikan itu satu tarikan utama.
“Bagi saya, Jaz adalah lelaki yang sangat gentleman dan stylo. Semua perbuatannya adalah ikhlas. Sangat penyayang dan menghormati semua orang yang lebih berusia darinya. Dia juga melayani keluarga dan sahabat-sahabat saya dengan sangat baik. Manja pun ya juga!”
Pasangan yang sudah dikurniakan seorang cahaya mata, Aliya, 3 bulan, ini masih tetap aktif berbasikal. Selepas kahwin rutin berbasikal sedikit berbeza namun masih menyeronokkan.
“Sebelum kahwin, kami berkayuh dengan geng-geng. Tapi bila dah kahwin, kami lebih teruja dan seronok kerana dapat kayuh bersama tidak mengira masa dan dimana sahaja. Ada masanya kami hanya kayuh berdua sahaja. Sahabat – sahabat dia adalah sahabat – sahabat saya juga.
Yang syoknya, sebelum ini bergambar dengan basikal, tapi sekarang dah ada partner di sebelah. Persedian sebelum berkayuh pun dah berbeza. Sebagai suami, kenalah pastikan segala kelengkapan termasuk memastikan basikal isteri dalam keadaan baik dan susun atur basikal di dalam kereta.
Dan Lidia pula, sebagai isteri biasanya dia akan sediakan bekalan makanan dan minuman, pakaian yang siap digosok untuk dipakai ketika kayuhan. Inilah kami…”
“Buat masa ni, kami masih belum dapat membuat kayuhan berdua untuk jarak yang jauh. Kebanyakkan kayuhan kami berkonsepkan kayuhan santai antara 30km ke 40km sahaja. Kami sempat menyertai kayuhan sambil berkelah bersama sahabat-sahabat lain dari Kapar ke Pantai Remis Jeram, Selangor dalam 40km sebelum Lidia hamil.”
Masih banyak lagi destinasi yang belum diterokai pasangan Jazlan dan Lidia. Namun, mereka menyimpan hasrat untuk menakluki Singapura, Pantai Merdeka dan Pantai Timur untuk destinasi kayuhan santai seterusnya atau lebih dikenali sebagai kayuhan pelancongan sambil bercuti.
“Kami pun berhasrat nak bawa anak kami, Aliya, untuk bersama-sama kami mengayuh. Bukan itu sahaja, saya juga bercadang untuk mempelbagaikan lagi content menarik dalam Youtube Geng Basikal Lipat. Yang penting, bila suami isteri ada hobi yang sama, inilah tip yang kami nak kongsikan…
- Keizinan dari suami/isteri adalah sangat penting dari segi apa sekalipun.
2. Jadikan sahabat-sahabat basikal pasangan kita sebagai sahabat kita juga.
3. Membahagikan masa sebaiknya antara hobi, anak dan keluarga.
4. Sentiasa memberikan galakkan yang positif kepada suami/isteri.
5. Membatasi pergaulan antara satu sama lain ketika berbasikal di dalam kumpulan.
6. Mengekalkan hubungan mesra rumahtangga dengan memanfaatkan masa diluar ketika berbasikal sebagai hobi dan senaman dalam merpatkan hubungan kekeluargaan.
KELEBIHAN KONGSI HOBI BERSAMA ISTERI
- Dapat memanfaatkan masa hujung minggu kami bersama-sama
- Berkongsi idea dan pendapat atau cadangan dari basikal lipat
- Saling mengenali sahabat-sahabat sehobi yang sama
- Mencipta dan mengabadikan kenangan bersama.
- Nak pergi jalan-jalan di bandar-bandar sesak, kami kayuh basikal je senang. Jimat segalanya.
Perempuan Bila Terlalu Berdikari, Kehadiran Lelaki Dalam Hidup Boleh Jadi Satu Bebanan

Kehidupan wanita bergelar isteri 20 tahun lalu jauh berbeza dengan isteri masa kini. Kesedaran pentingnya pendidikan dan peluang untuk belajar hingga ke universiti menjadikan wanita kini lebih berdikari. Bukan saja mempunyai kerjaya malah mampu melaksanakan pelbagai urusan seharian sendiri.
Mengapa isteri masa kini lebih berdikari? Adakah golongan itu melakukannya dengan rela atau terpaksa? Sejauh mana keikhlasan dalam hubungan suami isteri apabila terpaksa menanggung pelbagai tugasan yang seharusnya dilakukan bersama pasangan? Jika ditanya kepada sang isteri mungkin semua persoalan itu tidak mempunyai jawapan yang tepat.
Lumrah hidup berpasangan perlukan kesefahaman dan tolak ansur. Tuntutan hidup masa kini memerlukan isteri lebih bijak bertindak dan tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan suami.
Atas faktor itu juga menjadikan semakin mudah dilihat sang isteri lebih memilih untuk berdikari, namun apa juga pilihan, biarlah ia berpada dan jangan sampai membuatkan ada hati yang terluka.
Mungkin pada niatnya, ramai isteri memilih untuk berdikari atas faktor terpaksa namun ada juga yang tidak mahu membebankan suami namun fitrah seorang lelaki mahukan dirinya dihormati, golongan itu menganggap wanita harus berharap dan bergantung kepada mereka namun sejauh mana bantuan dan kesefahaman yang diberikan si suami untuk membuatkan dirinya terus disanjungi?
Apabila si isteri terlalu berdikari, ia secara tidak langsung menyebabkan rasa hormat dan kebergantungan kepada suami menjadi longgar.
Banyak perkara dan keputusan dilakukan sendiri dan lebih memburukkan keadaan apabila si isteri langsung tidak berbincang dengan suami termasuk dalam hal yang memerlukan dia membuat keputusan.
Situasi ini mungkin tidak menimbulkan masalah pada peringkat awal namun apabila si isteri berterusan dengan sikap itu dan mahu melakukan semua perkara sendiri, ia secara tidak langsung akan menyebabkan suami berasa tidak dihormati dan tercabar. Bagaimanapun, ada juga suami yang seolah-olah suka dengan tindakan dilakukan isteri kerana mereka terlepas daripada banyak tanggungjawab yang memenatkan.
Mengupas mengenai isu isteri berdikari, kaunselor keluarga Zumasni Rajikin berkata, senario ini berpunca daripada sikap suami yang lebih senang membiarkan isteri untuk berdikari dan melakukan banyak perkara atas usaha sendiri.
“Melalui kajian dan perhatian saya, hampir separuh daripada wanita memilih untuk berdikari disebabkan sudah terbiasa. Ia merujuk kepada tuntutan tanggungjawab harian hingga mengakibatkan ada wanita yang pada mulanya memilih untuk meminta tolong namun akhirnya tetap perlu melakukannya sendiri kerana tidak mendapat bantuan yang diharapkan.
“Ia berlaku atas pelbagai sebab dan faktor, mungkin si suami tidak cukup masa untuk membantu atau mungkin juga disebabkan sikap malas. Namun ada sesetengah kes si isteri itu sendiri tidak berterus terang dan berpura-pura menunjukkan semua dalam keadaan baik, tetapi jauh di sudut hati mengharapkan bantuan suami untuk meringankan kerjanya.
“Perlu diingat, kebanyakan lelaki perlu disuruh atau diingatkan. Mungkin permintaan ini perlu diulang beberapa kali. Isteri tidak boleh menganggap suami boleh faham sendiri tanpa perlu disuruh. Faktor itulah yang menjadi penyebab ramai wanita era kini memilih untuk berdikari walaupun dalam keadaan mereka terpaksa,” katanya.
Menurut Zumasni, keadaan menjadi lebih buruk apabila si isteri berterusan menunjukkan semuanya dalam keadaan terkawal dan berterusan berdikari tanpa menyuarakan isi hati sebenar.
“Saya lihat semakin ramai isteri yang pergi menghantar dan mengambil anak dari sekolah, pergi ke pasar basah membeli keperluan dapur, membetulkan atau menyelenggara kereta di bengkel hinggakan melakukan pemeriksaan kandungan di klinik sendirian tanpa ditemani suami.
“Ia belum lagi menyentuh soal si isteri yang perlu membetulkan lampu atau suis di rumah yang rosak, memandu pulang ke kampung halaman sendiri hanya ditemani anak-anak serta menguruskan hal perihal anak-anak daripada A hingga Z. Hebat bukan? Walaupun pada zahirnya sikap berdikari ini nampak hebat namun lama kelamaan ia boleh mendatangkan kesan negatif dalam hubungan suami isteri dan paling membimbangkan adalah perceraian,” ujarnya
Menurutnya, walaupun si isteri boleh melakukan semua perkara itu, ingatlah ia perlu berpada. Apa juga alasan dan sebab, suami tetap perlu menjalankan peranannya sebagai ketua keluarga dan tidak membiarkan si isteri menggalas semua urusan rumah tangga.
“Saya sangat tidak gemar jawapan suami yang mengatakan isterinya memang suka lakukan semua perkara sendiri tanpa dibantu kerana tidak ada seorang pun wanita yang terlalu hebat sehinggakan mampu melakukan semua tugasan tanpa bantuan. Janganlah berterusan memaksa isteri berdikari walhal mereka sangat dahagakan bantuan walaupun sedikit. Ingatlah, isteri anda bukannya robot yang boleh ditukar ganti bateri, mereka hanya manusia biasa yang tahu penat dan perlukan bantuan.
“Istilah berdikari ini sangat luas, wanita memang perlu diajar berdikari terutama apabila berdepan sebarang kemungkinan akan datang namun bukanlah dengan cara melakukan semua tugasan sendiri hinggakan mereka langsung tidak ada masa berehat. Boleh ajar mereka berdikari dengan cara didikan bukannya paksaan kerana ramai isteri kini berdikari hanya disebabkan terpaksa,” katanya.
Zumasni berkongsi antara elemen yang perlu dititikberatkan suami dalam menangani situasi si isteri berdikari:
1. Jangan biarkan isteri menguruskan terlalu banyak perkara tanpa bantuan.
2. Layani isteri dengan memanjakannya dan sentiasa berada di sampingnya agar isteri boleh mengharapkan bantuan suami.
3. Jangan biarkan si isteri selalu membuat keputusan atau menyelesaikan masalah dengan sendiri, lama-kelamaan isteri akan terbiasa dan tidak lagi meletakkan suami sebagai keutamaan dalam membuat sebarang keputusan.
4. Banyakkan masa mendengar luahan dan cerita isteri meskipun kadangkala tidak berupaya membantu.
5. Jangan terlalu kerap meninggalkan isteri bersendirian di rumah.
6. Jangan terlalu sibuk dengan urusan kerja, komuniti dan lain-lain tanpa mengambil kira masa bersama isteri.
7. Aktifkan amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang suami bersama isteri seperti solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran dan sebagainya.
Sumber: Harian Metro