
Kita semua nanti akan dpt rezeki jadi mak mertua. Moga Allah mudahkan.
Bila dah jadi mak mertua nanti, bacalah post ni balik.
1. Kalau anak perempuan, minta ajelah menantu bg mas kahwin semampunya. Tak payah mintak hantaran bagai. Kahwinkan anak dengan simple sekali. Kalau menantu tu anak Sultan Brunei, tak apa. Buatlah kenduri 40 hari 40 malam. Tak ada siapa kisah. Jgn lupa jemput saya.
2. Jangan bagi anak dan menantu tinggal kat rumah lebih dari 2 bulan. Bulan ketiga kahwin, suruh aje dia orang keluar rumah dan cari tempat lain.
3. Tak payahlah masuk campur hal anak menantu. Sukahati dia oranglah nak susun perabot macamana, nak potong sayur style apa, nak masak nasi pakai dapur apa! Lantaklah dia orang
4. Menantu kalau perempuan, biarlah dia nak buat apa kat rumah dia. Nak mandikan anak ke atau mandikan anak 2 hari sekali ke. Biarlah. Kalau cucu tu masam sangat, mandikan sendiri.
5. Biar anak kita hidup dengan orang yang dia sayang cara dia. Kalau anak lelaki kita nak tolong isteri dia masak dan mengemas, biarkan. Dia kan dah besar, taulah dia nak hidup
6. Tak payah gosip ngan anak-anak lain pasal menantu. Ingat! Anak kita pun menantu orang gak
7. Kalau anak ngan menantu bergaduh, bgtau anak, tak payah mengadu. Selesaikan sendiri.
8. Kalau menantu tu jenis orang susah tak berduit, jangan dibezakan dia. Mana tahu masa depan nanti dialah yang basuhkan berak kencing kita dalam seluar sebab dia yang paling free sekali. Menantu yang kaya tu busy kerja. Jangan menyesal pulak.
9. Jadilah mertua yang waras dan beriman.
10. Jangan buat tak tentu ngan anak orang. Allah tu tak lupa.
Sumber: Normaliza Mahadi
Nak Bahagia Dalam Rumah Tangga Yang Paling Penting Adalah Jangan ‘Menipu’

Bila seseorang mendirikan rumahtangga, perkara utama yang dicarinya ialah kebahagiaan bersama pasangan dan anak-anak yang bakal dilahirkan hingga akhir hayatnya. Dalam merealisasikan impiannya, pasti setiap orang akan meletakan sepenuh kepercayaan kepada pasangannya dengan harapan berlaku jujur kepadanya.
Tapi langit tidak selalu cerah hingga ke petang. Tidak kira suami atau isteri, kadangkala mereka mudah terpedaya dengan godaan luar hingga membuatkannya melanggar janji setia kepada pasangannya.

1) Bahaya bila pasangan hilang kepercayaan
Tetapi tidak KEPERCAYAAN. Sekali ia dikhianati, ia akan hilang untuk selama-lamanya. Pada masa itu, walaupun si suami berada dalam keadaan yang benar, si isteri sukar untuk mempercayainya.
2) Elak ‘penipuan’ dalam hubungan
Mula menipu dan tidak jujur dengan pasangannya. Bila semuanya terbongkar, pergaduhan akan berlaku, dan yang paling teruk ialah perceraian untuk jalan penyelesaiannya. Tapi bagi pasangan yang kental, berfikiran waras dalam mengawal emosinya, mungkin kemaafan telah tersedia untuk pasangan.
3) Tak salah pasangan menyiasat
Isteri akan mula ‘menyiasat’ segala gerak geri suami. Dan jika sekali lagi si suami ditangkap menipu, isteri akan berhenti ‘menyiasat’. Suami mungkin sangkakan isterinya tak marah lagi. Tapi sangkaan itu salah.
4) Jangan sampai pasangan ‘meluat’ dengan perangai
Jika berlaku situasi itu, maknanya isteri dah muak dengan tingkahlaku suami dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Apa yang terlintas di fikirannya ialah menyusun strategi bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan terhadap suami.
5) Persiapan mental
Dia perlu menyiapkan diri dari segi material, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Perkahwinan Tanpa Zuriat, Hanya Mereka Yang Faham Saja Akan Benar-Benar Mengerti

Bukan semua orang ditakdirkan untuk miliki anak selepas berkahwin. Malah bukan semua orang mampu memahami perasaan dan apa yang ditanggung oleh pasangan tanpa zuriat ini. Ada orang, mungkin rezekinya pada harta, ada juga pada keluarga, tak lupa juga pada sahabat-sahabat yang sentiasa menyayangi.
Pasangan tanpa zuriat ini mungkin nampak sepi tapi siapa tahu mereka ini terlalu disayangi. Bersyukurlah, itu kunci rasa bahagia dalam rumah tangga. Setiap apa yang Allah turunkan buat kita adalah rezeki. Ikuti perkongsian Nor Farah Dilah tentang perkahwinan tanpa zuriat.
:: PERKAHWINAN TANPA ZURIAT ::
“Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul”… Pepatah lama yang hanya akan difahami oleh mereka yang bernasib sama..
Tiada satupun pasangan suami isteri yang telah ALLaH satukan dalam pernikahan yang sah yang tidak mahukan zuriat.. Tapi rezeki manusia itu berbeza-beza.. Ada yang sudah bernikah bertahun-tahun lamanya tapi masih belum ada rezeki anak..
Orang keliling hanya tahu bertanya dan berkata tanpa fikir perasaan orang lain..
“Rugi kalau dapat anak lambat.. Nanti bila dah tua, anak-anak masih kecil”
“Jangan la biar lama-lama baru nak dapat anak.. Takut nanti tak sempat nak menimang cucu sendiri”
“Takde berubat mana-mana ke? Cubalah ikhtiar”
“Orang perempuan ni kalau dah kahwin tapi takde anak, dah serupa macam kain buruk”
“Bro.. Air mani kau tak power kut…”
MashaALLaH… Yang berkata dan bertanya pun seolah-olah seperti tiada iman.. Ingat anak ni macam beli air kat vending machine ke? Masuk duit, tekan punat nak jantina apa, terus keluar anak tu? Satu lagi, pasti ke yang kita akan hidup sampai tua? Sedangkan Nabi ALLaH Zakaria a.s. diuji dengan tiada zuriat sehinga Baginda tua.. dan Baginda tak putus-putus berdo’a memohon agar dikurniakan zuriat.. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi ALLaH SWT.. Akhirnya Nabi Zakaria a.s. dan isterinya yang mandul dikurniakan seorang anak iaitu Nabi Yahya a.s.
Hanya mereka yang faham saja akan benar-benar mengerti.. Setiap bulan si isteri berdebar menanti kedatangan haid dengan harapan biarlah “sangkut”.. Alangkah kecewanya hati, alangkah sedihnya hati bila tiba-tiba “bocor”.. Air mata cepat-cepat dikesat agar jangan sampai suami nampak.. Serta-merta terus berpura-pura gembira seolah-olah takde apa yang dirasa kerana taknak suami turut kecewa..
Bukan taknak ikhtiar.. Fitrah manusia itu sendiri berikhtiar.. Zaman sekarang dah ada macam-macam teknologi canggih.. Tapi bukan semua orang mampu.. Katalah kalau mampu sekalipun, bohong kalau takde rasa bimbang.. Bagi si isteri, bagaimana kalau terbukti memang dia tak boleh mengandung? Bagaimana penerimaan suami nanti? Apa fungsi seorang isteri? Perlukah diizin suami menikah lagi?
Bagi si suami pula, bagaimana jika terbukti dia tak mampu memberi zuriat? Hancurkah ego seorang lelaki? Hilangkah kejantanannya? Bagaimana harus dijelaskan kepada isteri? Semua ini memerlukan tahap redha dan persediaan mental yang amat tinggi.. Ada juga suami yang salahkan isteri setiap bulan apabila isteri datang haid.. Seolah-olah isteri itu yang menentukan dia mahu hamil atau tidak.. Tak semua pasangan mampu duduk bertentang mata untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini..
Hati isteri mana yang tak tersentuh melihat suami mendukung anak orang lain? Hati suami mana yang tak terkilan melihat isteri membelek-belek dan merenung pakaian bayi yang comel-comel ketika keluar shopping bersama?
Anak angkat… Memang mudah untuk dilafazkan tapi tak semua pasangan mampu melakukannya.. Ada suami yang berkeras hanya mahukan zuriat daripada bakanya sendiri.. Ada pula yang memikirkan masa depan anak itu nanti.. Bagaimana nak hadapi waktu untuk menjelaskan status anak itu nanti bila dia sudah dewasa.. Satu lagi yang ramai terlupa.. Anak angkat juga merupakan rezeki anugerah ALLaH.. Bukan semua pasangan ALLaH hadiahkan anak angkat.. Ada kes yang bertahun-tahun mencari anak angkat tapi ada je halangannya.. Duit dah keluar, tapi akhirnya si ibu ubah fikiran.. Ada juga yang memohon di Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi proses itu tidak semudah ABC.. Banyak prosedur dan saringan yang akan dilakukan.. Akhirnya penantian itu jadi terlalu menyiksakan..
Kepada pasangan yang ALLaH uji tanpa zuriat lagi, kuatkanlah semangat kalian.. Mungkin ALLaH nak bagi masa untuk kalian kuatkan ikatan perkahwinan.. Mungkin ALLaH nak kalian enjoy honeymoon lama sikit.. Bersangka baiklah kepada ALLaH.. Jangan putus berdo’a dan cubalah cari masa yang sesuai untuk berbincang suami isteri.. Pilihlah jalan terbaik.. Jika nak ikhtiar, biarlah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.. Bagi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, hentikan soalan-soalan yang boleh mengguris perasaan.. Ini semua hak mutlak ALLaH.. Mempersoalkan zuriat seseorang sama seperti mempersoalkan Qada’ dan Qadar ALLaH.. Hati-hati jangan sampai jatuh kufur.. Bagi yang sudah ada zuriat, jangan sombong dengan mereka yang masih belum ada zuriat.. Kita tak tahu nasib anak kita nanti macam mana.. Apa jadinya dia bila dewasa.. Betul, anak yang soleh/solehah boleh membantu ibu bapa di Akhirat.. tapi anak juga mampu menarik tangan ibu dan bapa ke Neraka.. Jangan sibukkan hal orang lain sehinggakan hal mendidik anak itu kita abaikan..
Kepada yang masih mencuba, amalkanlah do’a Nabi Zakaria a.s. iaitu Ayat 89 daripada Surah al-Anbiya’..
Pastikan isteri ambil EPO, Acid Folic dan Vitamin E 400 secara berterusan dan suami pula makan Multivitamin (apa-apa brand pun boleh).. Boleh beli di farmasi untuk stabilkan hormon dan sihatkan sperma.. Pastikan “bersama” di antara hari ke-9 sehingga hari ke-21 daripada hari haid pertama dan mesti “bersama” setiap 4 hari sekali dalam tempoh 13 hari ini.. Ini waktu subur wanita dan tempoh 4 hari sekali memastikan sperma suami berada dalam keadaan kualiti yang paling optimum.. Ramai lelaki berpendapat air mani yang tersimpan lama adalah lebih baik, tetapi ianya SALAH! Menurut pakar perubatan, air mani lelaki berada dalam keadaan yang paling sihat adalah ketika ia minimum 3 hari dan maksimum 5 hari. Selepas hari ke-5, sperma di dalam air mani mula bertukar menjadi sperma yang tidak berkualiti lagi. Para suami semua sila ambil perhatian!
Sekian, terima kasih.
Jika ada yang nak share, silakan.
Tangani Rasa Cemburu Dengan Baik, Barulah Hubungan Jadi Mesra

Cemburu adalah lumrah dalam kehidupan suami isteri dan kebiasaannya wanita yang banyak dikaitkan dengan sifat sedemikian. Bagaimanapun, tidak semua sifat cemburu mendatangkan keburukan dan boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga.
Menjaga perasaan pasangan satu daripada sunah Rasulullah SAW dan Baginda memberi garis panduan termasuk menangani rasa cemburu. Caranya, sentiasa menerapkan sifat sabar melayan kerenah isteri dan mengalah demi menjaga perasaan mereka.
Isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah RA tidak terlepas menzahirkan perasaan cemburu dan Baginda menangani situasi itu dengan penuh hikmah.
Pendakwah Muhammad Luqman Makhtar, berkata cemburu sebenarnya sifat semula jadi manusia yang diiktiraf bahkan dipuji dalam agama, bahkan Allah SWT menisbahkan sifat cemburu pada zat-Nya.
Beliau berkata, jika difahami kepentingannya, sikap cemburu boleh berperanan dalam memelihara kehormatan diri dan ahli keluarga, mengagungkan syiar Allah SWT, menjaga batasan agama serta membela hak orang lain.
“Cemburu menurut agama adalah perasaan iri atau terasa hati terhadap seseorang berkaitan haknya. Perbuatan salah atau keterlanjuran yang lahir daripada sikap cemburu dimaafkan selagi tidak menzalimi orang lain,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu dengan merujuk kisah Aisyah RA yang pernah memecahkan pinggan milik madunya, Zainab Jahsy, yang menghantar makanan kepada Rasulullah SAW disebabkan perasaan cemburunya.
.
Dalam satu riwayat menyebut: “Nabi pun meletakkan semula makanan di atasnya. Baginda bersabda: Puan kamu tengah cemburu. Makanlah! Maka sahabat pun makan.” (HR Bukhari)
“Ketika kejadian ini berlaku, ramai sahabat berkumpul bersama Rasulullah SAW di rumah Aisyah RA. Walaupun perbuatan Aisyah itu tidak manis, namun Baginda tidak bersifat menghukum sebaliknya menjaga air muka Aisyah.
“Sabda Rasulullah SAW ‘puan kamu cemburu’ adalah permohonan maaf bagi pihak isterinya dan melalui cara itu Baginda menjelaskan lumrah sifat cemburu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Muhammad Luqman berkata, dalam kalangan ulama yang mentafsirkan hadis ini turut menerangkan tidak dihukum orang yang sedang cemburu atas tindakannya kerana ketika itu akalnya sedang terhalang disebabkan dibelenggu sifat marah.
Justeru, beliau menasihatkan setiap pasangan untuk mengenali serta memahami personaliti masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menyedari sifat cemburu Aisyah berbanding isterinya yang lain.
Katanya, suami isteri yang saling memahami dengan mengamalkan sikap tolak ansur akan dapat menangani krisis rumah tangga lebih baik. Pasangan yang mengikut sunah bukan sahaja boleh bergurau ketika ceria, juga boleh bersabar dan saling memaafkan ketika krisis.
Daripada Ibnu Mas’ud, katanya: “Sungguh Allah sudah tetapkan rasa cemburu pada wanita. Sesiapa yang bersabar dengan mereka baginya pahala orang seorang mati syahid.” (Fath al-Bari)
Bagaimanapun, menurut Muhammad Luqman, terdapat sifat cemburu yang tercela dan perlu dielakkan bagi memastikan keharmonian dalam rumah tangga terutama cemburu yang mengakibatkan perbuatan menzalimi pasangan.
“Cemburu membuta tuli yang sering kali berlaku, biasanya pasangan tidak mahu mendengar penjelasan atau menerima kebenaran. Oleh itu, perlu tahu cara mengawal rasa cemburu supaya tidak menimbulkan kemudaratan,” katanya.
Beliau berkata, perasaan cemburu bukan sebab pasangan tidak bahagia kerana ia bergantung kepada bagaimana mengendalikan hak, perasaan dan kebajikan pasangan supaya tidak timbul konflik dan munculnya cemburu yang tidak sihat.
“Seharusnya kita bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan pasangan hidup. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW menyantuni, melayani dan menjaga setiap isterinya walaupun terpaksa berdepan pelbagai kerenah mereka.
“Sebaiknya ambillah pedoman dan teladan daripada rumah tangga Rasulullah SAW kerana melaluinya dapat kita mengetahui cara Baginda mendekati isteri-isterinya dengan penuh berhikmah.
“Walaupun kita merasakan keserasian dengan pasangan di tahap yang terbaik, namun realitinya sukar untuk lari daripada berlakunya salah faham dalam rumah tangga yang perlu ditangani mengikut kaedah dianjurkan Islam,” katanya.